06 July 2015

Benci Tanda Sayang 14

ADIB menjengukkan sedikit kepalanya ke dalam bilik rehat itu. Dari jauh, dia melihat kelibat Nor sedang lena diulit mimpi di atas sofa. Kemudian, perlahan-lahan dia melangkah masuk dan mendekati. Dia duduk di sisi Nor sambil matanya tertancap pada luka di dahi Nor. Ada sedikit kesan darah yang telah kering. Barangkali lukanya itu hanya dituam dengan ais sahaja kerana dia melihat ada sehelai tuala dan semangkuk ais yang telah cair di atas meja berhampiran.
Wajah mulus gadis itu direnung lama. Timbul perasaan kesal atas apa yang telah menimpa Nor. Semuanya berpunca daripada dia. Sebetulnya, kemarahan Rina tadi ditujukan kepada dia tetapi Nor pula yang menjadi mangsanya. Tergamak Rina memperlakukan Nor sebegitu. Perempuan itu memang tidak berhati perut.
Nor perlahan-lahan membuka kelopak mata. Daripada pandangan matanya yang kabur itu, dia dapat melihat sesusuk tubuh sedang duduk berteleku di sisinya. Semakin lama semakin jelas. Adib? Nor terkejut dan cuba untuk bangun, tetapi dia berasa seperti tidak berdaya.
Adib yang menyedari situasi tersebut segera membantu Nor bangkit dan menyandarkannya di sofa. Gadis itu kelihatan lemah. Sebotol air mineral yang turut terdapat di atas meja itu pantas dicapai. Lalu, minuman itu disuakan ke mulut Nor dan perlahan-lahan diminum oleh Nor.
Sesudah minum, Nor membetulkan kedudukannya. Dia tertanya-tanya sendirian akan kehadiran Adib di situ. Bila masa pula Adib masuk? Jangan-jangan, Adib berniat tidak baik terhadap dia. Nor mula bersangka buruk. Tangannya meraba-raba badan dan memeriksa pakaian yang dikenakannya. Bimbang kalau-kalau ada yang tersingkap.
“Tak payahlah nak bersangka buruk dengan saya pulak. Kalau saya nak buat jahat, dari tadi lagi saya dah buat. Tak perlu tunggu sampai awak sedar pun,” ujar Adib bagaikan dapat membaca fikiran Nor.
Nor meneguk air liur.
“Eh, mana ada. Sa… saya tak cakap apa-apa pun. Encik Adib yang cakap macam tu,” balas Nor sambil melurut-lurut rambutnya yang sedikit menggerbang. Sebenarnya, cuba untuk meredakan perasaan kaget yang dialaminya. Dia malu sendiri apabila Adib berkata seperti itu.
Adib sekadar tersenyum sinis.
“Macamlah saya tak tak tahu apa yang awak fikir. Jangan risau, awak masih ada dara lagi. Sejahat-jahat saya pun, saya tak pernah lagi rosakkan masa depan anak dara orang tau,” sambung Adib lagi.
Nor mendengus perlahan. Bibirnya diketap rapat.
Adib pula menahan ketawa apabila melihat reaksi wajah Nor yang sedikit kemerahan itu. Ha... kan sudah tersentap. Fikir lagi yang bukan-bukan fasal dia.
“Macam mana luka kat dahi awak tu? Sakit lagi?” soal Adib. Dia menukar topik mengenai luka di dahi Nor pula. Sebetulnya, niat dia datang ke situ pun memang hendak bertanya tentang hal itu.
Tangan Nor menyentuh perlahan luka yang dimaksudkan Adib. Masih lagi terasa sakit, tetapi sudah beransur kurang sedikit berbanding tadi. “Dah tak ada apa-apa, Encik Adib. Dah okey dah.”
“Mari saya tengok,” pinta Adib. Dia menyentuh dahi Nor lembut. Kemudian, matanya jatuh tepat ke wajah Nor semula. Rasa seperti mahu marah pun ada juga. Dia menyambung lagi bicaranya.
“Macam ni awak cakap okey? Luka ni, mana boleh dibiar macam ni. Bahaya tau. Nanti kena jangkitan kuman. Jomlah, ikut saya pergi klinik. Kita pergi jumpa doktor.” Adib bingkas dari sofa.
“Tak payahlah, Encik Adib. Luka sikit aje ni. Nanti balik rumah, saya sapulah dengan minyak gamat pulak,” ucap Nor menolak pelawaan Adib.
Adib mendengus.
“Awak tahu tak, awak jadi macam ni disebabkan oleh saya. Jadi, takkanlah saya nak biarkan saja awak macam ni. Saya kenalah bertanggungjawab atas semua ni,” tukas Adib begitu prihatin.
“Tapi, Encik Adib...” ujar Nor, tetapi kata-katanya segera dipintas oleh Adib.
“Tak ada tapi, tapi. Boleh tak kalau awak jangan berdegil? Dengar sikit cakap saya!” getus Adib dengan tegas. Dia tidak mahu mendengar apa-apa alasan lagi. Sakit-sakit macam ini pun masih kuat beralasan. Degil betul.
Nor terdiam. Akhirnya dia akur dengan kata-kata Adib. Tubuhnya yang lemah itu dipapah oleh Adib keluar dari bilik tersebut.

SEGALA urusan di klinik itu diuruskan sepenuhnya oleh Adib. Bermula daripada urusan pendaftaran pesakit sehinggalah urusan yang berkaitan ubat-ubatan, Adib menunjukkan keprihatinannya terhadap Nor. Cuma, sewaktu Nor masuk berjumpa dengan doktor sahaja Adib tidak masuk bersama. Adib hanya sekadar menghantar dan menyambut Nor di luar pintu sahaja.
Oleh kerana luka di dahi Nor perlu melalui proses cucian dan jahitan untuk mengelakkan jangkitan kuman, ia memakan masa yang agak lama juga. Tetapi Adib tetap sabar menunggu tanpa mengeluh. Sesekali terbit juga perasaan terharu Nor dengan sikap Adib itu.
“Doktor cakap apa tadi?” soal Adib sebaik sahaja mereka keluar dari klinik.
“Doktor suruh balik berehat. Dia beri MC tiga hari,” jawab Nor. Dia mula mencongak hari. Campur cuti Sabtu dan Ahad, jadi lima hari. Wah, agak lama juga dia bercuti. Hatinya melompat riang.
“Baguslah tu. Kalau macam tu, saya hantar awak balik sekarang,” ujar Adib.
Nor mengangguk dan menuruti langkah Adib menuju ke tempat letak kereta berhampiran.

“NOR, saya minta maaf. Semuanya salah saya. Saya tak sangka pulak keadaan boleh jadi seteruk macam ni.” Adib bersuara setelah mereka berdua masuk ke dalam kereta. Dia masih lagi diselubungi perasaan kesal yang berpanjangan.
Nor senyum tawar. Kalau diikutkan, memang dia berasa marah pun. Tiba-tiba sahaja dirinya itu terheret sama dalam masalah Adib dan Rina. Tetapi apa gunanya? Semuanya telah berlaku. Adib juga telah menebus semua itu dengan menunjukkan keprihatinannya di klinik tadi. Sedikit sebanyak membuatkan rasa marahnya kian surut.
“Tak apa, Encik Adib. Saya faham,” balas Nor.
“Apa yang awak faham?” soal Adib, memandang Nor sekilas.
“Yalah, perempuan kalau kena tinggal dengan lelaki tanpa alasan yang kukuh, memanglah akan naik darah,” jawab Nor. Kalau kena batang hidung dia sendiri pun dia akan mengamuk juga. Mujurlah Rina yang terkena. Padan juga dengan muka perempuan sombong itu.
Adib ketawa.
“Macam mana pulak awak tahu yang saya tinggalkan dia tanpa alasan kukuh?” soal Adib lagi bersama ketawa yang masih tersisa di bibir.
“Habis, dia tanya Encik Adib, Encik Adib tak jawab. Kalau Encik Adib ada jawapan, mesti Encik Adib dah jawab kan semua pertanyaan dia tu?”
Mata Adib tertancap ke wajah Nor lama. Ah, memang dia sengaja tidak mahu jawab. Takkanlah dia mahu menyebut nama Nor pula semasa Rina beria-ia mendesak dia supaya memberitahu siapakah gadis yang telah berjaya mengubah perasaannya. Silap hari bulan, ada pula yang masuk dalam wad ICU nanti.
“Kalau saya jawab, takut nanti dia kerjakan awak lagi teruk,” ungkap Adib.
Nor mengerut dahi.
“Eh, apa pulak kaitannya dengan saya? Saya mana ada kena-mengena dengan hubungan Encik Adib dan dia? Encik Adib janganlah nak babitkan saya pulak,” marah Nor. Jawapan Adib itu tidak masuk dek akal langsung.
Adib hanya senyum. Sudah tentulah ada kaitannya. Ini kerana cinta Nor telah menguasai dirinya. Semakin hari, semakin bercambah perasaan itu. Dia dapat merasakan betapa kehadiran Nor jauh lebih bermakna jika dibandingkan dengan Rina atau gadis-gadis yang lain. Sesungguhnya, cintaku tiada dua. Hanya kepadamu, bisik hati kecil Adib.

Reeani Annur 2015 

No comments:

Post a Comment