15 May 2014

Meow! Kau Curi Hatiku 3

“BESARNYA kucing-kucing encik ni. Encik beri dia orang makan apa?” soal Husna dengan perasaan teruja setelah melihat dua ekor kucing di dalam bakul masing-masing. Sudahlah besar, gemuk pula tu. Kalau buat peneman tidur malam-malam, mesti lena sampai ke pagi.
           
“Pembetulan! Bukan kucing aku, tapi kucing kekasih aku,” tegas lelaki itu. Terpamer riak marah pada wajahnya apabila dikatakan sebagai tuan kucing tersebut.
           
“Habis tu, apa yang encik nak suruh saya tolong?” Husna masih tidak nampak pertolongan apa yang perlu dihulurkannya kepada lelaki itu.
           
“Aku nak suruh kau mandikan kucing-kucing tu. Lepas tu, beri dia orang makan kenyang-kenyang. Lepas tu pulak, kau tidurkan dia orang sampai dia orang lelap.”
           
“Hah?” Husna sedikit melopong. Kalau mandi dan beri makan kucing tu, memanglah dia biasa buat di rumah. Tetapi, kalau tidurkan kucing, tidak pernah pula dia buat. Bukankah kucing tidur sendiri dan tidak perlu sesiapa menidurkannya? Apa yang lelaki ni merepek?
           
“Kau suka ke tak suka ke, kau kena tolong aku jugak!” desak lelaki itu lagi.
           
Eh, ini bukannya hendak minta tolong. Ini sudah dikira memaksa. Hisy! Teruknya sikap lelaki ni. Husna mengetap bibir geram.

 *****

KIRA-KIRA 10 minit kemudian, perjalanan Husna dan lelaki itu sampai ke destinasi yang dituju iaitu di sebuah kawasan apartmen yang elit dan eksklusif.
           
Husna terkebil-kebil sebaik sahaja keluar dari kereta. Seumur hidupnya, tidak pernah lagi dia menjejak kakinya ke kawasan mewah begitu. Kalaulah dia yang menetap di sini, belum cukup sebulan sudah tentu dihalau keluar terlebih dahulu oleh tuan rumah sebab tidak mampu nak bayar sewa.
           
“Hah, apa lagi? Cepatlah angkat Anchu dan Chicky tu keluar,” arah lelaki itu sekali gus menghilangkan khayalan Husna.
           
Husna mendengus perlahan. Ah, terasa seperti sudah jadi kuli lelaki itu pula. Sesuka hati sahaja mengarah dia buat itu dan ini. Benci!
           
“Ini apartmen kekasih aku. Dia pesan dekat aku tadi, suruh uruskan kucing-kucing dia sebab hari ni dia balik kerja lambat. Tapi, kau tahu ajelah kan, aku ni tak suka kucing. Sebab tu aku minta tolong dengan kau,” terang lelaki itu panjang lebar ketika mereka sama-sama berjalan menuju ke arah lif.
           
Husna hanya sekadar mendengar dan tidak memberi reaksi apa-apa. Patutlah beria-ia sangat lelaki itu menawarkan diri hendak menghantar dia pulang tadi. Ada udang di sebalik batu rupa-rupanya. Kiranya, lelaki itu hendak mengambil kesempatanlah ni?

*****

PINTU lif terbuka di tingkat 10. Setiap langkah yang diatur oleh lelaki yang tidak dikenali dan diketahui namanya itu, Husna hanya menurut sahaja dari belakang. Namun, dalam hati, Husna merungut sikap lelaki itu. Tidak gentleman langsung. Bukannya sudi hendak bertanya sama ada tangan dia lenguh ataupun tidak membibit dua buah bakul di kiri dan kanan tangannya. Pentingkan diri betul.
           
Akhirnya, mereka berhenti di hadapan unit apartmen bernombor E-13-98. Lelaki itu membuka kunci sebelum menguak luas pintu rumah tersebut.
           
“Okey, sekarang kau pergi bawa kucing dua ekor tu masuk ke bilik air dan mandikan dia orang sampai bersih. Ingat, jangan kau pulakyang ikut pergi mandi sekali,” pesan lelaki itu kepada Husna sebelum dia masuk dan meninggalkan Husna terkial-kial seorang diri di muka pintu.
           
Husna ikut masuk dan meletak bakul-bakul itu di atas lantai. Anchu dan Chicky dikeluarkan dan dikelek masuk ke dalam bilik air.
           
Mudah kerja memandikan mereka memandangkan kedua-duanya tidak menggelupur atau mahu lari. Tampak seperti sudah biasa dengan keadaan itu. Malah, langsung tidak mengiau disebabkan takut dengan air. Situasi itu membuatkan Husna berasa seronok dan galak mengusik Anchu dan Chicky dengan merenjiskan air ke muka mereka tanpa menyedari gelagatnya diperhatikan oleh seseorang.
           
“Hoi! Aku suruh kau mandikan kucing tu. Bukannya suruh kau main-main dengan dia orang. Cepatlah buat kerja yang aku suruh tu!” sergah lelaki itu dari muka pintu bilik air.
           
Husna tersentak sehingga terjongket kedua-dua belah bahunya. Hih! Mamat ni… Buat dia terkejut sahajalah. Tegur elok-elok tak boleh ke?
           
“Saya nak mesra-mesra dengan dia orang dulu. Nak suruh dia orang biasa dengan saya,” jawab Husna sambil mendongak.
           
“Tak payahlah nak mesra lebih-lebih sangat. Aku dah tak ada masa dah ni. Nanti mak nenek tu telefon, membebel pulak dia bila tahu kucing-kucing dia tak siap mandi lagi. Dah, cepat sikit mandikan dia orang.” Lelaki itu menjeling Husna tajam.
           
Husna hanya mencebik setelah lelaki itu berlalu. Mujurlah dia ini jenis yang sukakan kucing. Bolehlah dia tunaikan permintaan lelaki itu. Kalau tidak, jangan haraplah!
           
Peralatan mandian kucing yang tersedia di dalam bakul kecil itu dibelek satu per satu. Ada syampu, sikat dan beberapa peralatan lain termasuklah berus gigi. Eh, kucing pun kena berus gigi juga ke? Macam mana nak gosok ni? Husna menggaru-garu kepalanya. Namun, melihat kesemua peralatan mandi tersebut, dia dapat menebak bahawa pemilik Anchu dan Chicky benar-benar menjaga kebersihan kucing-kucingnya. Kalau kucing di rumah dia, usah kata nak berus gigi, mandi pun belum tentu. Nak suruh badan bau wangi, letak bedak sahajalah.
           
Selepas siap memandikan Anchu dan Chicky, Husna memberi mereka makan sehingga kenyang. Patutlah dua ekor kucing itu besar sangat. Makan makanan yang mahal rupanya. Terbeliak mata dia apabila melihat stok makanan kucing jenama Royal Canin dan Blackwood yang terletak di ruang makan khas kucing-kucing tersebut.
           
Husna terus terkenangkan kucing-kucingnya yang hanya makan nasi dengan ikan kukus sahaja. Kucing kampung, biasalah. Makan sekadar yang termampu sahaja. Mahu beli makanan mahal seperti itu, terpaksa catu duit belanja dialah jawabnya.
           
Sesudah makan, Husna membawa Anchu dan Chicky masuk ke dalam bilik tidur. Sekali lagi Husna tergamam. Semua kelengkapan tidur tersedia rapi. Bukan tidur di dalam kotak atau bakul biasa. Tetapi, di atas katil yang lengkap dengan bantal dan selimut. Di sisi katil, turut terdapat lampu tidur juga. Beruntungnya Anchu dan Chicky dapat tuan yang memanjakan mereka sebegitu rupa.
           
Husna keluar semula ke ruang tamu usai menidurkan Anchu dan Chicky. Namun, timbul rasa geram apabila melihat lelaki itu begitu senang hati sekali duduk bermalas-malasan di atas sofasambil berbaring menonton televisyen.
           
“Saya dah selesaikan kerja yang encik suruh buat tu. Sekarang, boleh encik hantar saya balik?” tanya Husna. Dia memang sudah tidak sabar-sabar lagi hendak pulang. Lagipun, sekarang sudah masuk waktu maghrib. Balik lambat-lambat, nanti kena marah dengan ibu dan ayahnya pula.
           
Lelaki itu segera bangkit.
           
“Kucing dua ekor tu dah tidur ke?” tanyanya, mendapatkan kepastian.
           
“Dah,” jawab Husna sepatah.
           
“Kau tunggu sekejap. Aku nak pergi pastikan yang dia orang tu dah tidur mati dan bukannya tidur-tidur ayam. Bukan boleh percaya sangat kucing dua ekor tu.” Lelaki itu terus berjalan ke arah bilik tidur Anchu dan Chicky.
           
Sementara menanti lelaki itu kembali, Husna duduk seketika di atas sofa, melepaskan lelah. Matanya terasa berat. Semakin lama, pandangannya semakin gelap. Beberapa detik kemudian, terasa seperti bahunya dicuit kasar. Husna celik mata semula.
           
“Hah, jomlah aku hantarkan kau balik. Yang kau tidur kat sini, kenapa? Ini rumah orang, bukannya rumah kau,” kata lelaki itu sambil mencuit bahu Husna menggunakan hujung kunci keretanya beberapa kali.
           
“Saya kat mana ni?” tanya Husna, sedikit mamai. Kelibat lelaki itu pun nampak kabur sahaja pada pandangan matanya.
           
“Kat bilik aku,” jawab lelaki itu selamba.
           
“Hah!” Husna terloncat. Dia terus bangun dari sofa. Serta-merta matanya menjadi cerah semula. Dipandang ke sekelilingnya untuk memastikan kebenaran kata-kata lelaki itu. Lega hatinya apabila mendapati dia masih lagi berada di ruang tamu. Huh! Tak guna betul lelaki itu. Main-mainkan dia pula.
           
Lelaki itu ketawa terbahak-bahak sambil menekan-nekan perutnya.
           
“Kau boleh tanya aku, kau ada dekat mana? Tidur tak sampai lima minit pun dah boleh lupa. Apalah kau ni. Kau ada penyakit nyanyuk ke?” perlinya, sinis.
           
“Saya letih sangat tadi,” balas Husna sambil menenyeh mata beberapa kali. Mungkin kerana terlalu letih berjalan hari ini. Letak kepala sekejap sahaja pun boleh terus terlelap.
           
“Alah, baru minta tolong sikit dah merungut letih. Macamlah berat sangat kerja yang kau buat tadi tu.”Lelaki itu mencebir.
           
Husna menggigit bibir. Lelaki di depan dia ni memang terlebih makan cili burung agaknya. Dia bukan penat sebab itulah. Dia penat sebab hari ini hampir sehari suntuk dia berjalan turun naik ke pejabat orang, mencari kerja. Lelaki itu apa tahu? Tahu sembang sahaja lebih.
           
“Kalau macam tu, kenapa encik sendiri tak buat? Kenapa paksa saya buat?” bidas Husna pula. Satu jelingan tajam dilemparkan ke arah lelaki itu. Huh, bencinya dia!
           
“Sebab aku ni tak suka kucing. Lagi satu, sebab aku malas nak kotorkan tangan aku, pegang kucing yang ada berjuta-juta kuman dan bakteria tu. Dahlah, cepat keluar. Nanti kalau kekasih aku nampak aku bawa masuk perempuan lain dalam rumah dia, mengamuk pulak dia nanti,” gesa lelaki itu lagi, lantas berjalan mendahului Husna pergi ke muka pintu.
           
Husna mendengus. Angkuh sungguh cara lelaki itu bercakap. Macam bagus sangat. Hatinya mencemuh geram.

© Reeani Annur 2014

No comments:

Post a Comment