06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 9

PHEW! Muslim hembus nafas lega sebaik sahaja masuk ke dalam kereta. Dia toleh Zara di sebelah seraya melorek senyum.
“Terima kasih, sayang, sebab beri lakonan terbaik kat depan famili abang tadi. Abang rasa nenek abang dah berkenan dekat sayang,” ucap Muslim. Maka, masalah dia akan selesai tidak lama lagi.
“Lakonan dah habis. Tak payahlah nak berabang-sayang bagai lagi,” tegur Zara kurang senang.
Alah, nak manja sikit pun tak boleh, desis Muslim lantas menghidupkan enjin kereta.
“Awak nak balik terus ke nak balik ke ofis?” tanya Muslim setelah kereta bergerak meninggalkan pekarangan hotel.
“Balik ofis. Tapi, awak hantar saya sampai stesen teksi ajelah. Saya boleh jalan kaki aje balik ke ofis saya. Lagipun sekarang dah pukul 2.00. Nanti awak lambat nak masuk ofis pulak. Saya tak nak susahkan awak,” pinta Zara.
“Tak payahlah jalan kaki. Biar saya aje yang hantar. Ofis saya dengan ofis awak bukannya jauh sangat pun. Awak tak payah risaulah. Setakat ni saya tak ada niat jahat nak bawa awak lari atau jual awak dekat mana-mana bapa ayam,” seloroh Muslim sambil tergelak. Zara macam takut-takut sahaja dengannya. Muka dia macam orang jahat ke?
Mendengar ayat terakhir Muslim itu, Zara didatangi rasa cuak. Terus dia keluarkan telefon bimbit lalu menghantar mesej kepada Sheila.
Muslim panjangkan leher menjengah ke skrin telefon Zara dan baca mesej yang Zara taip. Matanya terbuntang tiba-tiba. “Awak suruh kawan awak buat laporan polis ke kalau saya bawa awak lari?”
Zara panggung muka menoleh ke arah Muslim. Spontan dia tolak tubuh Muslim agar menjauhinya.
“Siapa izinkan awak baca mesej saya?” marah Zara sambil terbalikkan telefon bimbit ke dada. Dia cepat-cepat menekan butang send sebelum menyimpan semula telefon ke dalam beg tangan.
Muslim mengerising serentak menggeleng.
“Tak baik tau berprasangka buruk macam tu dekat saya. Saya bawa lari betul-betul baru awak tahu,” acah Muslim.
“Kalau awak ada niat macam tu, sekarang jugak saya telefon polis,” ugut Zara, kembali menggagau telefon bimbit. Namun, apabila melihat Muslim buat-buat tidak tahu perlahan-lahan dia keluarkan semula tangannya.
Muslim terus memandu sehingga sampai di hadapan bangunan pejabat Zara. Setelah memberhentikan kereta, dia memusingkan badan menghadap Zara.
“Tunggu apa lagi? Cepatlah telefon pihak polis sekarang,” cabar Muslim. Dia tersenyum-senyum melihat muka Zara yang sudah merona merah. Dia tahu Zara malu dengan sindirannya. Siapa suruh cari pasal dengan dia?
Zara lekas-lekas menanggalkan tali pinggang keledar. Hatinya begitu memberontak ingin keluar dari situ. Jiwanya terasa seperti didera. Muslimlah orang yang bertanggungjawab ke atas seluruh rasa itu.
“Terima kasih,” ucap Zara seraya membuka pintu kereta.
“Zara...” Panggilan Muslim membuatkan Zara tidak jadi bangkit. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Muslim.
“Saya gurau aje,” ujar Muslim. “Janganlah terasa hati.”
Zara hanya mengangguk. Kemudian dia tunduk memandang tubuhnya. “Err... pasal baju dan kasut ni...”
“Saya hadiahkan kepada awak. Upah sebab awak sudi jadi kekasih saya,” pintas Muslim terlebih dahulu sebelum sempat Zara menghabiskan kata-katanya.
Mulut Zara ternganga. Dia menggeleng laju. “Saya tak boleh terima.”
Baju itu terlalu mewah baginya. Cukuplah jika dia pakai sekali sahaja. Lagipun dia bukannya jenis suka melaram. Baju yang menyerlahkan potongan badan begitu tidak sesuai dengannya.
“Awak dah pakai dah pun. Maknanya awak dah terimalah tu. Saya ikhlas, Zara. Kalau awak tak nak pakai pun awak simpanlah buat kenangan. Hadiah daripada lelaki idaman.” Muslim senyum sambil mengangkat kedua-dua kening.
Lelaki idaman? Tolong sikit ya! Perasan tak habis-habis Muslim ni, gerutu Zara yang kembali berasa panas hati dengan Muslim.
“Saya dah lambat ni. Saya naik atas dulu.” Zara terus keluar tanpa berlengah. Bersembang lama-lama dengan Muslim boleh buat tekanan darahnya naik mendadak. Jadi, lebih baik dia beredar cepat-cepat.
“Hati-hati naik tangga. Kalau jatuh bangun sendiri,” usik Muslim sebelum ketawanya terhambur dek dijeling oleh Zara. Ah! Takkanlah dia sampai hati buat begitu. Kalau Zara jatuh, dialah orang pertama yang akan sambut. Macam di dalam butik Miki tadi.

ENCIK PEON pegun beberapa saat melihat Zara muncul di pejabat memakai baju kebaya dan kasut tumit tinggi. Daripada nak toleh sekilas, jadi dua tiga kilas. Susah payah dia menelan air liur.
“Encik Peon ni dah kenapa? Tak pernah tengok saya ke?” tegur Zara kepelikan. Dia terus berjalan ke mejanya tanpa mempedulikan mata Encik Peon yang masih lagi tertancap ke arahnya.
Encik Peon mara ke meja Zara.
“Saya tak pernah tengok awak pakai baju kebaya macam ni. Dengan kasut tumit tingginya lagi. Awak sihat ke tak hari ni? Kalau tak sihat, ambillah cuti,” kata Encik Peon. Masih lagi sukar hendak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya sekarang.
“Kalau tak sihat, takkanlah saya masuk kerja pulak. Saya baru balik jumpa dengan keluarga klien Encik Peon tu ha... Ni semua idea dialah yang suruh saya pakai macam ni.” Zara memberitahu hal sebenar. Sekali lagi dia tunduk memandang diri sendiri. Kuasa solekan dan fesyen seratus peratus merubah penampilannya. Terasa macam bukan dia yang berdiri di hadapan Encik Peon.
Mata Encik Peon buntang.
“Awak dah jumpa dengan nenek dia? Habis tu, macam mana? Semua okey ke?” soalnya bertalu-talu dan penuh minat.
“Okeylah. Kalau Encik Peon undi saya dalam kategori anugerah pelakon terbaik, mesti saya akan menang punya.” Zara melawak. Dia berasa lucu mengingati watak kekasih Muslim yang dilakonkannya tadi.
Encik Peon tersengih sekali gus menampakkan gigi bawahnya yang tidak berapa tersusun.
“Saya tahu awak memang ada bakat jadi pelakon. Tak sia-sia saya pilih awak pegang watak kekasih upahan tu,” ujar Encik Peon senang hati.
“Tapi...” Zara tiba-tiba berjeda panjang.
“Tapi apa? Ada masalah lain pulak ke?”
Zara hela nafas panjang dan mengangguk. “Saya risaulah tengok nenek dia tu. Dia macam teringin sangat nak tengok Muslim kahwin. Tadi dia tanya saya macam-macam pasal hubungan saya dengan Muslim. Saya cakap kami dah kenal dua tahun, tapi belum ada perancangan nak kahwin. Lepas tu, Encik Peon tahu apa dia cakap?”
Encik Peon angkat dagu.
“Dia cakap umur saya ni bukannya muda lagi. Kalau kahwin lambat-lambat takut nanti susah nak dapat anak. Macam mana ni, Encik Peon? Kalau dia betul-betul serius suruh saya kahwin dengan Muslim, apa yang saya nak buat?” soal Zara mula gusar. Bagaimana dia nak hadapi semua itu jika ia menjadi kenyataan?
“Apa susah, kahwin ajelah!” Ketawa Encik Peon bergema di segenap ruang pejabat.
Zara ketap bibir. “Encik Peon, saya serius ni. Bukannya main-main!”
“Alah, saya gurau ajelah. Janganlah marah. Lagi satu, cuba awak jangan terlalu fikir ke depan sangat. Benda belum pun terjadi. Tapi, awak dah fikir yang bukan-bukan. Karang kena kahwin betul-betul baru awak tahu.”
“Saya bukannya sengaja nak fikir bukan-bukan. Tapi semua tu tak mustahil tau boleh berlaku.”
“Tak payah bimbanglah pasal hal tu. Saya akan pastikan tak ada babak-babak kahwin antara awak dengan Muslim. Semuanya ikut macam perjanjian yang dah dibuat,” pujuk Encik Peon.
Mata Zara bersinar-sinar. “Betul ke ni, Encik Peon? Encik Peon boleh janji?”
Encik Peon mengangguk lemah. “Ya... saya janji. Yang penting sekarang, awak fokus dengan apa yang awak sedang buat dan bantu Muslim keluar daripada masalah dia. Itu aje.”
Zara urut dada perlahan. Lega mendengar jaminan yang diberikan oleh Encik Peon tadi. Dia memang berharap semua itu tidak akan terjadi. Kalau terjadi sekalipun janganlah dalam keadaan dia tidak mempunyai sebarang perasaan dekat Muslim. Dia tidak mahu berkahwin sebab terpaksa.
Encik Peon tersenyum pandang Zara. Kemudian, terlintas dalam fikirannya nak menyakat Zara. “Saya tengok Muslim tu boleh tahan jugak orangnya. Awak tak berkenan ke dekat dia?”
Zara mencebir.
“Huh! Tak berkenanlah saya dengan lelaki macam dia tu. Dahlah gatal. Kalau bawa balik kampung kenalkan dekat mak dan ayah saya, mesti dia orang reject,” kutuk Zara dengan lantang. Namun, apabila teringat permintaan Muslim yang mintanya memanggil abang, tidak semena-mena dia senyum sorang-sorang.
“Betul ke dia orang reject? Entah-entah, Muslim tu bakal jadi calon menantu pilihan mak dan ayah awak. Ha, menangis awak nanti.”
Zara kepal kedua-dua belah tangan. Encik Peon dah mulalah tu nak bakar hati dia. “Eii... Encik Peon ni! Boleh tak jangan racun pemikiran saya?”
“Mana ada saya racun. Saya cuma cakap aje. Bak kata awak tadi, semua tu tak mustahil tau boleh berlaku.”
“Yang Encik Peon beria-ia sangat mengenenkan si mamat tu dengan saya ni, kenapa? Eh, tak payah nak berharap sangatlah, Encik Peon. Saya tak teringin langsung nak kahwin dengan dia. Dahlah, jangan kacau saya lagi. Saya nak buat kerja ni,” ujar Zara sambil menjeling Encik Peon. Dia buka komputer dan buat-buat sibuk menaip.
Encik Peon kemam bibir tahan gelak.
“Zara, kebencian tu ibarat duri yang berbisa tau. Kalau nak benci, benci sikit-sikit dahlah. Takut lama-lama nanti jatuh suka pulak.” Sebaik sahaja habis menutur ayat itu, Encik Peon terus melepaskan ketawa.
Zara berhenti menaip dan mendengus. Ayat Encik Peon tu macam mengundang bencana gempa bumi saja di dalam pejabat ini.      

“NENEK setuju batalkan hasrat nenek nak jodohkan Mus dengan calon pilihan nenek,” kata Hajah Rokiah.
“Sungguh ke, nek?” Muslim pandang Hajah Rokiah tidak berkelip. Sungguh sukar sekali dia hendak percaya. Apabila Hajah Rokiah mengangguk, dia terus merangkul tubuh neneknya erat-erat.
“Terima kasih, nek. Neneklah warga emas yang paling cantik kat dalam Malaysia ni,” ucap Muslim penuh lega sambil memuji Hajah Rokiah.
Itulah kata-kata yang paling dia nanti-nantikan. Akhirnya dapat juga dia dengar. Fuh! Selesai masalah. Tidak sia-sia dia berhabis duit berpuluh-puluh ribu ringgit demi nak gagalkan rancangan neneknya itu.
“Tapi dengan satu syarat. Mus kena kahwin dengan Zara,” bisik Hajah Rokiah.
Muslim terpempan. Pelukannya perlahan-lahan menjadi longgar. Kahwin dengan Zara? Aduh! Dapat masalah lain pula. Lepas satu, satu. Huru-haralah hidup kalau macam ni. Kenapa neneknya kemaruk sangat nak tengok dia kahwin?
“Apa, nek? Kahwin dengan Zara?” Muslim mengulang semula ayat neneknya tadi.
“Nenek berkenanlah tengok Zara tu. Dia memang secocok dengan Mus. Jadi, nenek nak Mus kahwin dengan dia,” nyata Hajah Rokiah sambil tersenyum. Setelah bertemu muka dengan Zara semalam, hatinya begitu meronta-ronta inginkan Zara menjadi isteri Muslim. Gadis cantik dan sopan begitu tidak patut dilepaskan. Jika tidak, dia akan menyesal.
“Tak boleh, nek!” bantah Muslim.
Kata-kata Muslim mematahkan senyum yang bertenggek di bibir Hajah Rokiah.
“Kenapa pulak tak boleh?” soalnya sambil mengerut dahi pandang Muslim.
“Sebab...” Muslim menggaru-garu kepala. Isy! Apa alasan yang aku nak beri? Nak mengaku hal sebenar memang cari mautlah jawabnya.
“Cukup! Mus jangan cuba nak mengelat dengan nenek. Kata cinta sama cinta. Suruh kahwin tak boleh pulak.” Hajah Rokiah mencerlung Muslim dengan rasa tidak puas hati. Geram!
“Err... memanglah kami saling cinta, nek. Tapi... buat masa sekarang kami masih belum bersedia lagi nak ke arah tu,” tipu Muslim. Mana boleh dia berkahwin dengan Zara. Zara hanyalah kekasih upahan dia sahaja. Walaupun dia sukakan Zara tetapi belum tentu Zara juga sukakan dia.
Hajah Rokiah mendengus. Alasan Muslim itu buat hatinya jadi menggelegak.
“Kalau nak tunggu sedia, sampai bila? Mus ni terlalu banyak alasanlah. Dah naik bosan nenek dengar semua alasan Mus tu. Nenek tak peduli. Nenek tetap akan pastikan perkahwinan Mus dan Zara berlangsung macam yang nenek nak. Mus sedia ke, tak sedia ke, nenek peduli apa?” tegas Hajah Rokiah lagi dengan nada suara yang lebih lantang berbanding tadi. Biar Muslim tahu yang dia serius dan tidak main-main.
Muslim sudah jadi tidak keruan. Habislah dia kali ini. Apa yang perlu dia buat sekarang?
“Janganlah macam ni, nenek. Nanti apa pulak cakap Zara. Mus baru aje bincang dengan dia pasal hal ni. Kami dah janji takkan kahwin dalam tempoh dua tahun dari sekarang.” Lembut Muslim menyulam ayat sambil menggenggam erat tangan Hajah Rokiah. Sedaya upaya dia cuba menghayati lakonannya agar Hajah Rokiah jatuh simpati dan berfikir semula tentang hasratnya itu.
Mata Hajah Rokiah terjegil. Semakin terbakar perasaannya mendengar kata-kata Muslim.
“Muslim! Dua tahun akan datang, umur Mus dah masuk 30 tahun tau. Nenek takkan benarkan Mus langgar tradisi keluarga nenek. Hujung bulan ni, Mus kena kahwin Zara. Muktamad!” Hajah Rokiah segera bangun meninggalkan Muslim yang terkebil-kebil di ruang tamu seorang diri.
Muslim terkedu. Kalau tadi dia berasa lega. Sekarang, dia rasa benar-benar berserabut. Ibarat terlepas dari mulut harimau, masuk pula ke dalam mulut buaya. Nyawa di hujung tanduk!

MASUK sahaja ke dalam bilik, Muslim terus mencapai telefon pintarnya. Nombor Zara didail pantas.
“Zara, kita ada masalah besar,” beritahu Muslim sejurus panggilan bersambung.
“Masalah apa pulak ni, awak?” soal Zara.
“Nenek saya suruh kita kahwin hujung bulan ni.”
“Apa?!” Zara menjerit terkejut.
Muslim menjauhkan telefon dari telinga sambil mengerut muka. Macam nak pecah gegendang telinganya mendengar jeritan Zara. Nak suruh telinga dia jadi pekak ke Zara ni?
“Ha... habis sekarang, apa kita nak buat? Be... betul ke nenek awak cakap macam tu?” Zara tergagap-gagap mendapatkan kepastian sekali lagi.
“Yalah. Buat apa saya nak tipu awak. Setakat ni, telinga saya belum ada masalah pekak lagi,” jelas Muslim bersahaja. Sejurus itu, dia dengar Zara mengeluh.
“Eii... nenek awak tu, kenapa? Dah gila ke? Saya tak nak kahwin dengan awaklah. Saya tak puas lagi hidup bujang!”
Ketawa Muslim tiba-tiba pecah kuat. Hilang seketika resah yang membelenggu dirinya sebentar tadi. Ooo... tak nak kahwin dengan aku ya?
“Bila awak dah kahwin dengan saya, saya percaya awak akan tarik semula kata-kata awak tadi tu,” balas Muslim sambil berseloroh. Ketawanya semakin menjadi-jadi apabila mendengar suara Zara mendengus bengang.
“Awak jangan nak main-mainlah. Saya serius ni. Kalau nak bincang, bincanglah elok-elok!” tempelak Zara pula.
“Okey, kita bincang. Zara, sama ada awak nak kahwin dengan saya ataupun tak nak, itu semua tak penting. Persoalannya sekarang, macam mana kita nak selesaikan semua ni? Nenek saya betul-betul serius nak suruh kita kahwin bulan depan.” Muslim kembali serius setelah ketawanya pergi.
“Bulan depan cuma tinggal tiga minggu aje lagi, awak.” Zara mengingatkan Muslim.
“Ya, saya tahu. Tapi saya dah tak ada idea nak halang semua tu berlaku.”
“Fikirlah! Takkanlah awak nak terima bulat-bulat aje rancangan nenek awak tu.”
“Saya dah tak tahu nak buat apa lagi untuk pujuk dia. Saya dah beri macam-macam alasan dekat dia. Tapi dia tetap tak nak terima. Dia cakap, saya dengan awak saling mencintai. Jadi, kenapa kita nak tolak permintaan dia?” Muslim mengurut-urut pangkal hidungnya beberapa kali. Nak suruh dia kahwin dalam keadaan tergesa-gesa begini memanglah buat kepala dia rasa pening macam kena migrain.
Zara diam seketika.
“Senang-senang, awak mengaku ajelah hal yang sebenarnya,” cadang Zara apabila bersuara semula.
Mata Muslim terjegil. “Awak gila ke? Kalau saya mengaku sah-sahlah nanti saya kena kahwin dengan calon pilihan dia. Saya tak nak kahwin dengan perempuan tu!” tegas Muslim. Idea Zara itu memang tidak berguna langsung. Itu cari nahas namanya. Dia tidak akan sesekali mengaku perkara sebenar kepada neneknya.
“Habis tu, takkanlah awak nak kahwin dengan saya pulak!”
Muslim terkelu. Kahwin dengan Zara? Okey juga kalau ia mampu menghentikan campur tangan neneknya dalam hidup dia. Tiba-tiba ada sesuatu yang terlintas dalam fikiran. Bibirnya terherot-herot membuka senyum. Idea bernas! Kahwin dengan Zara.
“Kalau itu mampu selesaikan semua masalah, saya sanggup,” jawab Muslim.
“Awak dengan nenek awak tu sama aje. Sama-sama gila!” Zara terus memutuskan panggilan.
Muslim mendecit hampa.

ZARA melihat nama Muslim berkelip-kelip pada skrin telefon bimbitnya. Sesudah memutuskan panggilan tadi, Muslim masih tidak berputus asa menghubunginya semula. Namun dia sudah tidak ada mood hendak bercakap dengan lelaki itu. Bunyi telefon sudah berhenti dan kini diganti pula dengan bunyi SMS. Jari Zara lambat-lambat menekan butang view.

Tolonglah jawab panggilan saya. Kita kena bincang. Jangan buat saya macam ni. Please...

SMS daripada Muslim itu direnung lama. Bincang pun bukannya ada jalan penyelesaian. Buat hati jadi sakit lagi ada, getus Zara.
“Saya akan pertimbangkan apa saja cadangan awak. Kecuali cadangan bodoh awak yang nak kita kahwin untuk selesaikan masalah tu.” Zara menegaskan sebaik sahaja pintu hatinya terbuka nak jawab panggilan Muslim.
Muslim mengeluh berat. “Habis tu, apa lagi pilihan yang saya dan awak ada?” soalnya bingung.
“Awak ada banyak lagi pilihan lain. Cuma awak aje yang malas nak fikir. Takkanlah awak sanggup pilih jalan tu semata-mata nak selamatkan diri awak dan dalam masa yang sama, awak nak korbankan masa depan saya!” bidas Zara dengan lantang. Dia memang nak kahwin. Tetapi hanya dengan lelaki yang dia cinta sahaja. Bukannya dengan lelaki yang dia tidak kenal!
Muslim bergumam sejenak sebelum menyambung semula kata-katanya. “Okey, kalau macam tu, apa kata kita buat perjanjian baru.”
“Perjanjian apa?” Kening Zara hampir-hampir bertaut.
“Kita kahwin. Tapi hanya untuk tempoh enam bulan. Lepas enam bulan, kita cerai dan masalah kita akan selesai.”
“Apa?!” Daripada duduk di atas katil, Zara terus bangun. Cadangan yang dikemukakan oleh Muslim itu seolah-olah menyekat saluran pernafasannya. Kahwin dalam tempoh enam bulan kemudian bercerai? Selepas itu dia akan jadi janda? Oh, kejamnya Muslim ni!
“Awak tahu tak, awaklah lelaki yang paling teruk pernah saya jumpa selama 27 tahun saya bernafas kat bumi Allah ni. Sanggup awak suruh saya kahwin dengan awak, lepas tu suka hati awak aje nak ceraikan saya. Awak ingat saya ni apa? Perempuan murahan?” Zara sudah naik angin. Tercalar perasaannya apabila Muslim cuba mempersendakan hal serius begitu.
“Kalau awak tak nak cerai pun tak apa. Kita jadilah suami isteri sampai mati.” Muslim masih sempat berseloroh dalam menghadapi kemarahan Zara yang sedang marak itu.
Zara mendengus kasar. Ada hati juga rupanya Muslim nak kahwin dengan dia sampai mati. Pelipisnya dipicit perlahan. Dia berasa semakin pening dengan masalah yang dihadapi.
“Cadangan awak tu tak masuk dek akal langsung. Saya tak setuju,” bantah Zara.
Tidak! Kahwin bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Dia tidak akan tunduk dengan cara itu. Kenapalah fikiran Muslim begitu cetek sekali? Jadi pengurus di syarikat cili giling, takkanlah itu sahaja idea hebat yang dia dapat?
“Habis, awak ada cadangan lain ke? Kalau ada, beritahulah saya,” kata Muslim.
Ah! Aku pula yang kena kerah fikir jalan penyelesaiannya. Dalam keadaan kalut macam sekarang mana sempat nak fikir apa-apa. Muslim ni, agak-agaklah sikit. Zara menggerutu tidak puas hati.
“Saya rasa... saya dah tak sanggup nak teruskan lakonan kita ni. Mungkin jalan terbaik awak berterus terang aje dengan nenek awak,” luah Zara menyatakan apa yang dirasakannya. Apa yang dia buat dengan Muslim sekarang dia ibaratkan seperti meletak tali jerut di leher sendiri. Tunggu masa hendak mati sahaja. Dia kesal kerana terjebak dengan masalah yang tidak ada kesudahan ini.
“Zara, awak tak kesiankan saya ke? Saya dah bayar dekat Encik Peon berpuluh-puluh ribu tau. Habis semua duit simpanan saya guna semata-mata nak minta tolong dia selesaikan masalah saya. Takkanlah macam ni aje hasil yang saya dapat?” Suara Muslim lirih menutur kata-kata.
“Jadi, awak nak salahkan saya pulak ke? Eh, saya tak pernah suruh pun awak habiskan duit simpanan awak untuk tujuan tu,” selar Zara tanpa berlapik.
Kemudian dia menyambung lagi, “Saya bukan tak nak kesiankan awak. Masalahnya sekarang, kalau saya kesiankan awak, siapa pulak yang nak kesiankan saya? Hidup saya sebelum ni tenteram aje. Tak ada masalah yang memeningkan kepala. Tapi, sejak saya disuruh menyamar jadi kekasih awak, macam-macam hal buruk yang menimpa diri saya. Paling teruk, saya kena paksa kahwin dengan lelaki yang saya tak pernah kenal langsung. Enam bulan lagi mungkin saya akan jadi janda berhias pulak. Sekarang ni, siapa yang lebih bernasib malang? Awak ke saya?”
Zara menghela nafas panjang usai menghabiskan kata-katanya. Semoga Muslim mengerti gelodak rasa yang bertakung di jiwanya pada saat ini. Dia bukanlah kejam sangat macam Muslim yang tergamak hendak menghancurkan masa depannya.
“Okey, kita sama-sama bernasib malang,” jawab Muslim selamba.
“Eii! Sakit jiwalah cakap dengan orang macam awak ni.” Zara kacip gigi sambil menumbuk-numbuk dinding biliknya. Kalaulah dinding itu merupakan dada Muslim, dia nak tumbuk kuat-kuat biar sampai Muslim rasa senak dan serik nak teruskan semua ini.
“Zara, tolonglah... Kalau saya terpaksa tanggung rugi sekalipun, sekurang-kurangnya biarlah ada usaha berbanding menyerah macam tu aje,” pujuk Muslim dengan lembut sekali gus membuatkan Zara terdiam lama.
“Baiklah, beri saya masa untuk fikirkan semua tu. Nanti saya beritahu awak jawapannya,” balas Zara lantas menamatkan perbualan mereka.
Zara duduk semula di atas katil sambil merenung lantai. Ya Allah, apa aku nak buat ni? Takkanlah kahwin aje jalan penyelesaian yang ada?

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment