“Nak masuk macam mana? Hati saya ni tengah duk risaukan si
Una tu. Manalah perginya maghrib-maghrib macam ni tak balik ke rumah lagi.” Mak
Milah menjawab. Hatinya digamit risau kerana anak bongsunya itu belum berada di
depan mata.
“Anak awak tudah besar. Tahulah dia balik nanti.” Pak Hashim
memujuk. Cuba meredakan kebimbangan isterinya.
“Memanglah dah besar. Tapi, dia tu perempuan. Takutlah kalau
terjadi apa-apa dekat dia. Tambah-tambah, hari dah gelap macam ni. Saya
risaulah, bang.” Mak Milah terus berkeluh-kesah. Dipanjangkan lehernya ke arah
simpang jalan masuk ke rumahnya. Kosong. Namun, dia masih berharap kelibat
Husna akan kelihatan di jalan itu nanti.
“Awak ni, suka sangat fikir yang negatif. Selama ni pun,
kalau dia pergi ke bandar, bukannya dia tak tahu jalan balik ke rumah,” tegur
Pak Hashim lagi sambil menggeleng lemah.
“Abang mana nak risaukan dia. Dia bukannya anak kesayangan
abang,” bidas Mak Milah laju.
“Sudahlah, Milah. Malas saya nak melayan awak lagi. Suka hati
awaklah nak duduk bertenggek kat situ sampai tengah malam pun.” Pak Hashim
terus masuk ke dalam rumah. Kalau bertekak pun tidak ke mana juga.
Mak Milah pula terus duduk bertongkat dagu di atas tangga,
melayani perasaan risaunya. Ke manalah anak dia itu pergi? Dia tertanya-tanya
sendiri.
Tidak lama selepas itu, sebuah kereta masuk ke halaman rumah.
Mak Milah kehairanan. Siapa pula yang datang? getusnya. Namun, setelah melihat
Husna keluar dari kereta itu, barulah pertanyaannya terjawab. Dia menarik nafas
lega.
“Assalamualaikum, mak.” Husna memberi salam.
“Waalaikumussalam. Una, kenapa balik lambat? Risau mak tadi
dibuatnya tau,” luah Mak Milah.
“Teksi tak ada, mak. Mujur ada kawan Una yang tolong
hantarkan Una balik,” jawab Husna. Kemudian, dia berfikir sejenak. Kawan? Sejak
bila pula dia dan lelaki itu menjadi kawan? Nama pun dia tidak tahu. Kawan apa
macam tu?
“Kawan Una yang mana pulak ni? Mak tak pernah tengok pun.
Ajaklah dia singgah naik ke rumah dulu.”
“Sekejap ya, mak.” Husna bergegas mendapatkan lelaki itu
semula setelah melihat keretanya mula mengundur perlahan. Cermin kereta diketuk
bertalu-talu.
Lelaki itu menurunkan cermin dan bertanya, “Ada apa lagi ni?
Nak bayar tambang ke?”
“Encik, mak saya pelawa encik naik ke rumah. Nanti bolehlah
encik solat maghrib dekat sini terus,” beritahu Husna.
“Tak apalah. Aku balik sembahyang dekat rumah aje.” Lelaki
itu menolak.
“Sempat ke? Lagipun waktu maghrib dah nak habis ni,” soal
Husna kembali sambil kemudiannya diiakan oleh lelaki itu.
“Sempatlah kut. Kalau tak sempat, aku qadalah balik kalau aku
rajin,” balas lelaki itu selamba.
Telan air liur Husna mendengar kata-kata lelaki itu. Ada juga
manusia macam ini? Namun, dia malas hendak mempersoalkannya. Takut nanti dengan
solat maghrib dia sekali yang terbabas.
“Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih sebab tolong hantar
saya balik.” Husna mempamer senyum seikhlas mungkin.
Lelaki itu hanya menjongket kening. Kemudian perlahan-lahan
keretanya bergerak meninggalkan kawasan rumah Husna.
“Yang itu kawan Una yang mana satu? Mak tak pernah tengok pun
dia sebelum ni. Pakai kereta mewah macam tu, mesti anak orang kaya, kan?” Mak
Milah berasa hairan. Sepanjang pengetahuan dia, anaknya itu tidak ada kawan
dalam kalangan orang kaya. Rata-ratanya terdiri daripada yang setaraf mereka
sahaja.
Bibir Husna melorek senyum tawar mendengar pertanyaan Mak
Milah. Kaya harta, tetapi miskin budi bahasa. Hatinya menjawab.
“Kawan baru kenal, mak. Dahlah, mak… Jom kita masuk ke dalam
rumah. Dah malam ni,” ajak Husna sambil mendaki anak tangga. Sebelum masuk, dia
sempat berpaling ke arah jalan. Kereta lelaki itu telah hilang daripada
pandangan.
*****
“DAPAT ke kerja yang kau cari tadi?” tanya
Pak Hashim kepada Husna ketika mereka sekeluarga sedang makan malam di dapur.
“Tak dapat, ayah. Nanti esok Una cuba lagi,” jawab Husna.
Walaupun dia mempunyai ijazah, tetapi itu bukanlah tiket jaminan untuk dia
mendapat kerja.
Pak Hashim bergumam.
“Kenapalah nasib kau ni tak macam abang dan kakak kau? Dia
orang belajar tinggi-tinggi, habis belajar aje terus dapat kerja yang
bagus-bagus. Tapi, kau? Hmm… susah-susah sangat, kau kahwin ajelah, Una,”
cadang Pak Hashim.
Nasi yang ingin disuap masuk ke dalam mulut terhenti. Husna
melirik ke wajah ayahnya. Kahwin? Ah, itu adalah perkara terakhir yang akan dia
fikir dalam hidupnya. Apa kaitan tidak dapat kerja yang bagus dengan kahwin?
Adakah kahwin itu akan dapat menyelesaikan masalah susah nak dapat kerja yang
dia alami?
“Abang ni,
kenapa cakap macam tu dekat dia? Janganlah nak bandingkan si Una ni dengan si
Taufik dan Lela tu pulak,” sampuk Mak Milah yang ternyata turut tidak berasa
senang dengan kata-kata suaminya itu. Terdengar dengusan pendek yang
dilepaskannya.
“Kenapa? Salah ke apa yang saya cakap tadi? Memang betul pun,
kan? Taufik dan Lela tu, keluar aje dari universiti terus jadi pegawai. Anak
awak ni, jadi apa? Jadi tunggul aje duduk kat rumah, main dengan kucing. Tak
boleh nak dibanggakan langsung.” Pak Hashim menyindir sambil mengerling ke arah
Husna.
Husna tunduk memandang nasi yang baru sesuku masuk ke dalam
perutnya. Pedih sekali kata-kata ayahnya itu. Dia ingin membuka mulut, mahu
melawan. Tetapi, bimbang jika dikatakan kurang ajar. Lebih-lebih lagi mereka
sekarang sedang menghadap rezeki. Kata-kata itu ternyata payah sekali untuk
ditelan.
Mak Milah yang duduk di sebelah suaminya itu turut sama
terkedu.
“Astagfirullahal-azim. Abang ni… bercakap tu, tak fikir
perasaan orang langsung. Kecil hati Una dengar abang cakap macam tu tau. Taufik
dan Lela tu dapat kerja sebab dah rezeki dia orang. Si Una ni, mungkin rezeki
dia lambat sikit. Lain orang, lain rezekinya, bang.” Mak Milah menyebelahi
Husna.
Pak Hashim hanya mendengus. Dia sambung makan tanpa
mempedulikan anak dan isterinya.
“Sudahlah, Una. Una jangan nak ambil hati sangat dengan apa
yang ayah cakap tadi. Habiskan nasi tu cepat,” gesa Mak Milah. Sebenarnya,
lebih kepada memujuk perasaan Husna. Dia nampak wajah Husna berubah sebaik
sahaja mendengar kata-kata suaminya tadi.
“Una dah kenyang, mak. Mak dengan ayah makanlah ya.” Husna
terus bangun menuju ke singki dan membasuh tangan. Putus sudah seleranya mahu
makan. Kata-kata ayahnya tadi sudah cukup membuatkan perutnya berasa kenyang.
Selepas itu Husna masuk ke dalam bilik. Di dalam bilik, dia
menangis semahu-mahunya. Hati dia cukup tergores apabila ayahnya membandingkan
dia dengan abang dan kakaknya. Dia tahu, sejak dari dahulu lagi ayahnya tidak
pernah berasa bangga dengannya. Sebab antara mereka tiga beradik, dialah
satu-satunya anak yang paling tidak berjaya.
Walaupun
berjaya masuk ke universiti, tetapi dia tidak pernah mendapat Anugerah Dekan
setiap semester seperti mereka. Abang dan kakaknya menghabiskan pengajian tepat
pada waktunya. Tetapi, dia pula terpaksa menambah dua semester disebabkan gagal
dalam beberapa subjek yang diambilnya.
Apabila tamat pengajian, kedua-duanya berjaya mendapat
pekerjaan di sektor awam dan bergelar pegawai tinggi. Manakala dia pula masih
menganggur sehingga sekarang. Sebab itulah ayahnya tidak berasa bangga
dengannya. Mahu dipuji jauh sekali. Dikeji lagi ada.
Menurut firasat ayahnya, ukuran bangga adalah apabila
anak-anaknya berjaya menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam dan ada harta
seperti kereta dan rumah. Abang Taufik dan Kak Lela sudah memiliki semua itu.
Sebab itulah pujian terhadap mereka tinggi melangit.
Bukannya dia tidak berusaha. Tetapi, seperti kata ibunya
tadi, rezeki setiap orang tidak akan sama. Mujurlah ibunya faham. Tetapi, hati
dia telah koyak rabak ditujah dengan kata-kata tajam seperti duri sembilu itu. Husna
terus menangis sehingga tidak sedar bila dia terlelap.
*****
NAIM sampai di rumah keluarganya
sedang-sedang elok sahaja azan isyak berkumandang. Terlepas sudah solat maghrib
yang sengaja tidak ditunaikannya. Namun, baginya, itu perkara biasa walaupun
solat merupakan rukun Islam kedua dan wajib ditunaikan oleh semua orang Islam
sepertinya.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, dia ditegur
oleh Dato’ Mazlan yang sedang duduk di ruang tamu menonton televisyen.
“Im, lewat balik? Pergi ke mana tadi?” Mata Dato’ Mazlan
memanah tepat ke wajah Naim.
“Pergi hantar kawan balik ke rumah dia, papa,” jawab Naim
sambil menghenyak punggung di atas sofa baldu berwarna putih susu itu. Tali
lehernya dilonggarkan dan dia bersandar lesu.
“Anchu dan Chicky tu ke?” soal Dato’ Mazlan lagi. Dia ingat,
petang tadi Naim ada menyebut dua nama itu di depannya. Tetapi, dia tidak
sempat bertanya lebih lanjut kerana Naim tergesa-gesa mengejar masa. Hendak
menegur kelakuannya di dalam bilik mesyuarat tadi pun tidak sempat juga.
Naim kerut dahi. Itu kucing Bella, bukannya kawan dia. Yang
dia maksudkan itu adalah perempuan yang dia jumpa di tepi jalan sewaktu
terlanggar kucing petang tadi. Namun, diiakan sahaja kerana malas mahu bercakap
banyak. Nanti banyak pula soalan yang ditanya oleh papanya.
“Yalah, dia oranglah,” jawab Naim.
“Hmm… Pelik betul nama orang zaman sekarang ni,” komen Dato’
Mazlan sambil bergumam.
Memanglah pelik sebab nama itu nama kucing, bukannya nama
manusia. Naim menjawab kata-kata papanya dalam hati.
“Biasalah, pa. Zaman moden macam sekarang ni, nama pun
kenalah ikut peredaran zaman jugak. Mama mana, pa?” Naim kemudiannya
bertanyakan tentang mamanya pula. Dipanjangkan lehernya mencari kelibat wanita
separuh umur itu. Biasanya di mana ada papa, di situlah ada mama.
“Mama solat kat atas. Im dah solat ke belum?” tanya Dato’
Mazlan.
Alamak! Air liur Naim seperti tersekat di kerongkong.
Berdebar-debar hatinya mahu menjawab soalan papanya itu.
“Err… Belum lagi, papa,” jawab Naim tersengih. Janganlah papa
dia tanya maghrib sembahyang ke tidak? Kalau dia jawab tidak, memang kepala dia
kena hempuk dengan meja kaca di depan sofa ini.
“Pergilah bersihkan diri Im tu dulu. Lepas tu, solat. Malam
ni, Im tidur kat sini ke?” saran Dato’ Mazlan.
“Ha’ah. Tidur kat sini ajelah kut. Letihlah nak balik ke
rumah Im. Okeylah, papa, Im naik ke bilik dulu ya.” Naim segera angkat punggung
dan mendaki anak tangga menuju ke biliknya pula.
Masuk sahaja ke dalam bilik, Naim terus menghempaskan badan
ke atas katil sambil menggeliat malas. Sambil berbaring terlentang, dia sempat
mengenangkan kembali kejadian yang berlaku pada petang tadi. Bibirnya tiba-tiba
sahaja tersenyum meleret. Siapalah nama perempuan itu tadi ya? Lupa pula mahu
bertanya nama. Ucap terima kasih pun dia terlupa juga. Mujurlah si gadis itu
menjadi penyelamat keadaan. Kalau tidak, memang terkial-kiallah dia hendak
menguruskan kucing-kucing Bella yang mengada-ada macam tahi kuda itu.
Telefon Naim tiba-tiba mengalun bunyi. Nama Bella terpampang
lagi pada skrin. Dengan rasa malas, dia menjawab panggilan tersebut.
“Dah… I dah buat semua yang you suruh buat tu,” terang Naim
sebelum Bella membuka mulutnya. Lebih baik dia beritahu dahulu untuk mengelak
Bella membebel panjang kepadanya. Badannya terasa letih. Tidak larat hendak
mendengar bebelan Bella yang tidak ubah macam mak nenek.
“Terima kasih, sayang. I baru aje sampai kat rumah ni. Lega
hati I bila tengok dia orang dah tidur. Maaflah sebab susahkan you tadi. I love
you, sayang.” Suara Bella kedengaran lembut dan bernada riang.
Naim mengherotkan bibir. Jika Bella bersuara lembut macam
perempuan Melayu terakhir seperti itu, bermakna tugas yang dia buat memang
memuaskan hati Bella.
“Hmm… I love you too,” balas Naim lemah. Adillah tu. Bella
menyusahkan dia, dia pula menyusahkan si hantu kucing. Sama-sama susah. Tidak
mengapalah. Yang penting semuanya sudah selesai.
Naim berkira-berkira hendak bangun pergi ke bilik air.
Tetapi, terasa begitu malas sekali mahu bangkit. Ah, baring dululah sebelum
mandi, getus hati kecilnya. Matanya dipejam rapat dan dia terus hanyut dalam
mimpi.
© Reeani Annur 2014
No comments:
Post a Comment