SALEHA memanjangkan leher mengintai kelibat Adib sehingga
bayangan lelaki itu hilang daripada pandangan matanya. Sejurus selepas itu, dia
cepat-cepat merapati meja Nor pula. Lengan Nor disiku perlahan.
“Eh, Encik Adib keluar pergi mana pulak tu?” soal Saleha
ingin tahu.
“Hai, kau tak nampak ke tadi buah hati kesayangan dia tu ada
datang ke mari? Nak pergi mana lagi, keluar pergi berasmaralah,” sindir Nor.
Naik geram melihat gelagat teman wanita Adib yang
mengada-ada itu. Sudahlah pakai baju tidak cukup kain. Buat malu kaum perempuan
sahaja. Macam miskin sangat hendak beli baju. Adib pun sama. Dua kali lima
sahaja. Kalau sudah kaki perempuan tu, memanglah. Semuanya mahu dilayan,
walaupun sedang bekerja.
Saleha tergelak kecil. “Alah... nak buat macam mana. Dah
buah hati datang nak lepas rindu, takkanlah nak dibiarkan pulak. Nanti merajuk,
susah pulak nak memujuknya. Kau cemburu ke?”
“Aku bukan cemburu. Tapi masalahnya, dia tu keluar waktu
kerja macam ni. Kalau ada hal urgent ke nanti, tak ke susah? Balik-balik, aku
jugak yang nak kena menjawab, mereka-reka cerita dengan klien dia tu. Kau
bukannya tak tahu, klien-klien dia tu semuanya yang jenis cerewet-cerewet
belaka. Isy, benci betul!” omel Nor geram.
Saleha hanya tersenyum mendengar kata-kata Nor itu. Dia
mengerti kemarahan yang ditunjukkan oleh Nor itu.
“Nanti bila dia balik, kau beritahu dia apa yang kau tak
puas hati tu,” ujar Saleha.
Nor mencebikkan bibir.
“Dia dah besarlah. Takkanlah itu pun dia tak boleh nak fikir
sendiri? Aku hairan betullah macam mana dia tu boleh jadi bos,” tukas Nor.
“Aku pun hairan jugak macam mana kau boleh bekerja dengan
dia,” tambah Saleha lagi.
“Hih, kau ni! Aku serius, kau main-main pulak ya,” tegur Nor
lantas menjeling tajam. Tangannya laju mencubit lengan Saleha. Dia menyambung
lagi, “Aku bukan apa, aku cuma tak suka tengok dia bawa perempuan masuk ke
dalam pejabat ni sesuka hati. Kalau orang luar nampak, bukan ke nanti akan beri
persepsi yang buruk pada kita semua? Kita yang kerja satu syarikat ni dah kira
bersubahat tau.”
“Kalau fasal hal tu, aku tak retilah nak komen,” ucap Saleha
seperti kehilangan kata-kata apabila memperkatakan tentang tabiat Adib itu.
Sejak dari awal dia bekerja di situ, memang sikap Adib sudah
begitu. Kalau dia nasihat, adakah Adib akan mendengar nasihat dia?
“Kalau Encik Adib tu masih tak berubah, aku ingat aku nak
letak jawatan. Sakit matalah kerja dekat sini lama-lama,” rungut Nor. Perkara
itu sering kali bermain di fikirannya apabila mengenang sikap liar Adib.
Saleha tergelak besar mendengar kata-kata Nor.
“Dibuatnya dia tak terima hasrat hati kau tu, sakit barah
kau nanti,” ujar Saleha.
“Kenapa pulak? Suka hati akulah kalau nak berhenti kerja
pun. Dia tak ada hak tau nak halang aku,” balas Nor tegas.
“Takkanlah senang-senang aje Encik Adib tu nak lepaskan kau.
Dia sekarang kan tengah sibuk nak pikat kau. Itu pun kau tak faham-faham lagi
ke?” jelas Saleha lagi.
Eh, Saleha ni... Nak kena ketuk kepala dengan telefon
agaknya. Adakah semua itu berkait?
“Tolonglah... aku tak inginlah lelaki macam dia tu!” tukas
Nor.
“Ya ke? Tapi aku dengar cerita, dia ada datang makan-makan
kat rumah kau semalam. Ha... tu apa pulak maksudnya? Sesi suai kenal dengan
keluarga bakal mertua ke?” ujar Saleha sambil memandang Nor dan tersenyum
nakal.
Nor terkejut. Saleha pun sudah tahu juga tentang hal itu?
Cepat betul ia tersebar. “Itu bukan aku yang ajak. Tapi mak aku yang beria-ia
mengajak. Kalau tak disebabkan mak aku, tak inginlah aku nak jemput dia.”
Dia menggigit bibir rapat. Memang sakit hati betul bila
diingatkan kembali kejadian semalam. Adik dia pun dua kali lima sahaja. Yang
itu, lagilah teruk. Dengan ramah mesranya boleh bercerita kepada Adib mengenai
kisah dia menolak lima pinangan lelaki. Buat dia malu sahaja.
“Ha... kau tengok, mak sendiri pun dah mula terpikat.
Takkanlah anak dia ni tak terpikat kut?” usik Saleha lagi lantas terkekek-kekek
ketawa.
“Tak payahlah kau memandai-mandai nak memadankan aku dengan
lelaki kasanova tu. Tak sesuai langsung. Aku lebih rela tak kahwin tau daripada
berjodoh dengan dia” tegas Nor. Yakin.
“Itu kata kau. Tapi kalau Tuhan dah tetapkan jodoh kau
dengan dia, kau suka ke, tak suka ke, kau tetap akan kahwin jugak dengan dia.
Tapi aku yakin, lama-lama nanti kau mesti akan jatuh cinta dekat Encik Adib tu.
Aku berani potong kukulah!” ujar Saleha sebelum kembali semula ke mejanya.
Nor hanya mampu mengetap bibir. Potong kuku? Eleh, Saleha
ni. Kalau macam tu, dia pun berani.
ADIB melirikkan mata ke pergelangan tangan. Sudah lebih dua
jam dia bersama Aurora, keluar masuk setiap kedai yang terdapat di dalam pusat
membeli-belah itu. Sudah naik lenguh kaki dia mengekori Aurora. Aurora ni tidak
kenal erti penatkah?
“Aurora, jomlah kita balik. Dah pukul berapa dah ni,” ajak
Adib setelah dia dan Aurora keluar dari sebuah butik kasut.
“Alah... I belum puas lagi nak shopping ni. Tunggulah I
habis beli dulu. Lepas tu baru kita balik, okey,” balas Aurora.
Adib berhenti melangkah. Dia memandang muka Aurora.
“Tak puas lagi? Berapa banyak lagi barang yang you nak
shopping ni? Tengok kat tangan you tu, dah berapa banyak beg kertas yang you
pegang. Itu semua tak cukup lagi ke?” keluh Adib. Tidak faham betul dia dengan
tabiat perempuan yang suka membeli-belah ini.
Aurora tunduk melihat beg kertas yang dibimbit di kedua-dua
belah tangannya dan tangan Adib.
“Mana cukup, sayang. I baru beli baju dan kasut. Aksesori
badan dan mekap I belum beli lagi,” balas Aurora.
Selagi semua kedai di dalam pusat membeli-belah ini belum
dijejak, selagi itulah dia tidak akan berasa puas. Mana boleh main pilih dengan
ala kadar sahaja. Kenalah buat perbandingan antara satu sama lain dan pilih
barang yang terbaik. Barulah dia berasa puas.
Adib tergamam. Lemah lutut dia mendengar jawapan Aurora itu.
Kalau macam ni, sampai esok pun tidak habis membeli-belah.
“You ni, tadi janji nak shopping sekejap aje. Sekarang ni
dah lebih dua jam tau kita kat sini. I tak boleh nak temankan you lama-lama. I
ada banyak kerja kat pejabat tu,” ujar Adib.
“You ni, macam tak suka aje keluar dengan I. Bukan senang
tau kita nak keluar berdua macam ni. Sekali-sekala, apa salahnya you korbankan
kerja-kerja you tu dan luangkan masa dengan I? You ada pembantu. Suruhlah
pembantu you yang buat kerja-kerja kat pejabat tu,” ucap Aurora.
“You tak faham. Walaupun I ada pembantu tapi I tak bolehlah
nak serahkan semua kerja I dekat dia. Dia pun ada kerja dia sendiri jugak yang
nak kena buat. Kita balik sekarang ya,” kata Adib yang terus melangkah menuju
ke eskalator.
“I tak nak balik. I nak you temankan I masuk ke dalam kedai
aksesori tu,” ucap Aurora lantas menarik tangan Adib menuju ke arah sebuah
kedai menjual anting-anting pula.
Adib segera merentap pegangan tangan Aurora.
“Kalau you nak pergi, you pergilah seorang-seorang. I nak
balik,” ucap Adib dengan tegas.
“I tak kira, I nak you temankan I jugak. Jomlah, sayang,”
balas Aurora yang mula mendesak Adib dengan gaya manjanya.
“Aurora, you ni tak faham ke apa yang I cakap? I cakap, I
nak balik. I dah penatlah ikut you shopping. Kalau you masih tak puas nak
shopping, you teruskanlah. Nah, ambil barang-barang you ni,” kata Adib meletak
beberapa beg kertas yang dipegangnya ke atas lantai dan terus meninggalkan
Aurora.
Aurora menghentakkan kaki tanda geram. Akhirnya dia akur
dengan kehendak Adib. Terkocoh-kocoh dia mengejar Adib dari belakang.
SEPANJANG perjalanan pulang, Adib hanya mendiamkan diri.
Sepatah pun dia tidak bercakap dengan Aurora. Hatinya masih berasa geram dengan
sikap Aurora yang mengada-ada itu. Menyesal dia turutkan kemahuan Aurora.
“You marah I ke, sayang?” tegur Aurora apabila melihat Adib
bersikap dingin dengannya.
Adib tidak membalas pertanyaan itu. Dia terus memandu tanpa
menoleh sedikit pun ke arah Aurora.
“Sayang, I tanya you ni... Kenapa you diam aje?” soal Aurora
sambil menggoncang kuat lengan Adib yang memegang stereng kereta.
“Hei! You tak nampak ke I tengah memandu ni? Boleh tak you
duduk diam-diam?” tengking Adib kuat. Tindakan Aurora itu hampir-hampir sahaja
membuatkan dia hilang kawalan tadi.
Aurora mencebik bibir.
“Adib, I laparlah. Jom kita pergi makan nak tak?” tanya
Aurora membuka mulut semula setelah agak lama dia berdiam diri setelah dimarahi
Adib. Niatnya adalah untuk menyejukkan hati Adib yang kelihatan bengkek
dengannya.
Adib mengeluh. Tadi beli-belah, sekarang makan pula. Kalau
beli-belah pun sudah mengambil masa selama dua jam lebih, makan apatah lagi.
Membazir macam itu sahaja masa dia hari ini.
“Tak naklah. I tak lapar. I nak balik pejabat cepat,” balas
Adib.
“Pejabat you tu tak ke mana-mana pun kalau you balik cepat atau
lambat. Yang you tergesa-gesa sangat nak balik ke sana, kenapa? Apa yang ada
kat sana? You tak bosan ke asyik menghadap kerja aje 24 jam?” tanya Aurora
lagi.
Adib mendengus. Dia mula naik angin dengan sikap Aurora.
“You ni, tak faham bahasa ke? Nak I ulang berapa kali lagi
baru you nak faham?”
jawab Adib dengan berang. Wajah Aurora dijeling tajam.
Sedikit masa lagi tidak mustahil rasa marahnya itu akan meletup.
“I tak kira, I nak makan jugak. You bawa I pergi ke restoran
yang kita selalu pergi makan tu,” pinta Aurora. Dia juga tidak mahu mengalah.
Adib terus memecut keretanya kemudian berhenti di hadapan
restoran yang dimaksudkan oleh Aurora.
“Tadi you cakap you nak makan, kan? Apa lagi, you turunlah
sekarang,” arah Adib.
“Habis, you?” soal Aurora hairan dengan arahan Adib itu.
“You turunlah dulu. Kat sini mana ada tempat parking. I nak
pergi cari parking dulu,” jawab Adib lagi.
Aurora segera turun tanpa soal. Namun, sebaik sahaja dia
menutup pintu, kereta Adib terus memecut laju meninggalkannya. Aurora tergamam
dengan tindakan Adib itu. Dia cuba menghubungi Adib, namun panggilannya tidak
berjawab.
“Eii... tak guna punya lelaki!” jerit Aurora sambil mengetap
bibir geram. Sakit hati dia apabila diperlakukan begitu oleh Adib. Tergamak
Adib menipu dia.
Namun tidak lama selepas itu, dia melihat kereta Adib
mengundur semula ke arahnya. Tentu Adib tidak sampai hati meninggalkan dia
kesorangan di situ, fikirnya dalam hati. Lalu, dia merancang untuk merajuk dan
berharap Adib akan memujuknya. Sebaik sahaja Adib keluar dari kereta dan
menghampirinya, Aurora segera berpaling ke arah lain. Adib ingat dia tidak
terasakah dengan tindakannya tadi? Jangan harap dia akan berlembut hati dan
memaafkan Adib dengan cepat.
“I lupa nak suruh you ambil barang-barang you tadi. Nah,
ambil semua barang you ni,” ujar Adib selamba sambil menghulurkan kesemua beg
kertas itu kepada Aurora.
Aurora terlopong. Hatinya bertambah sakit.
“What? You nak tinggalkan I dekat sini? Habis tu, I nak
balik dengan apa?” soal Aurora dengan nada tinggi kerana tidak puas hati dengan
tindakan Adib.
“You ada tangan, kan? Gunalah tangan you tu untuk tahan
teksi,” ujar Adib sebelum masuk semula ke dalam kereta. Jeritan Aurora
memanggil namanya tidak diendahkan lagi. Dia harap Aurora berasa serik untuk
menghubungi dia selepas ini.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment