10 July 2013

Benci Tanda Sayang 5

JARUM jam pada dinding sudah menunjukkan pukul 5.15 petang. Nor tergesa-gesa menyusun fail-fail yang berada di atas mejanya. Dia sudah terlewat 15 minit daripada kebiasaannya. Sejak akhir-akhir ini, waktu pulangnya sudah tidak menentu lagi. Lebih-lebih lagi apabila syarikat tempat dia bekerja berjaya memperolehi banyak projek pembinaan. Dia yang bukan arkitek pun dikerah balik lambat seperti arkitek juga.

Tetapi mujurlah hari ini lebih baik berbanding tiga hari yang lepas, balik lambat dalam kondisi yang memalukan. Usai siap semuanya, Nor bangun ingin meninggalkan tempatnya. Namun, dalam masa yang sama juga kelibat Adib turut dilihat keluar dari biliknya. Tanpa mempedulikan langkah Adib yang semakin dekat menyainginya, Nor terus menuju ke arah pintu. Hatinya berdoa agar tidak ada perkara yang akan membantutkan hasratnya untuk pulang pada waktu itu.

“Eh, awak pun baru nak balik ke? Jomlah, saya hantarkan,” sapa Adib sewaktu tangan Nor hampir-hampir mahu menarik pintu.

Tangan Nor terus menjadi kaku. Sekali lagi? Oh, tidak! Nor memusingkan badannya perlahan-lahan.

“Tak apalah, Encik Adib. Saya balik dengan teksi aje. Lagipun hari ni tak hujan, mesti banyak teksi yang lalu-lalang,” tolak Nor penuh hemah. Janganlah Adib cuba nak paksa-paksa dia lagi macam hari itu. Tidak sanggup dia mahu menumpang kereta Adib lagi.

“Kalau naik teksi, kena bayar tambang. Tapi kalau naik dengan saya, percuma aje,” usik Adib sambil tersengih memandang Nor.

Pula! Kalau percuma tetapi tidak selesa, tidak ada gunanya juga. Adib ingat dia suka sangat ke tumpang kereta orang? Nor mengomel dalam hati.

“Tapi, saya lebih suka naik teksi. Mahal pun tak apa, asalkan selesa. Maaf ya, Encik Adib, saya dah lambat ni. Saya kena pergi dulu,” balas Nor lagi.

Dia segera menarik pintu tanpa berlengah lagi. Sebaik sahaja keluar dari pejabat, dia mencepatkan langkahnya menuju ke arah lif pula. Sesekali, jam di tangannya dikerling. Hatinya turut berdoa agar pintu lif segera terbuka. Dia tidak mahu naik lif yang sama dengan Adib.

“Nor, tunggu!” panggil Adib.

Nor terus menekan butang lif berkali-kali. Aduh, kenapa lambat sangat lif ni? Dia semakin resah apabila melihat kelibat Adib yang semakin lama semakin dekat menghampiri. Dan akhirnya Adib berjaya merapati dia sekali lagi.

“Awak ni kenapa? Bila nampak saya aje, selalu nak jauhkan diri daripada saya. Muka saya ni macam muka pembunuh bersiri ke?” soal Adib bersama ekor matanya yang turun naik memandang Nor. Hairan pula rasa hatinya melihat gelagat Nor itu.

“Saya rasa Encik Adib kena suruh orang datang tengok-tengokkan lif nilah. Lambat betul nak terbuka. Naik lenguh dah kaki saya ni duk berdiri kat depan ni,” dalih Nor ke topik lain. Dia memang sengaja memilih untuk tidak mahu menjawab pertanyaan Adib itu.

Lif ini pun satu hal juga. Masa-masa beginilah hendak lambat-lambat. Kebiasaannya, apabila tekan sahaja butang turun, terus sahaja pintu lif terbuka. Tetapi hari ini, seperti sengaja pula bersekongkol dengan Adib.

“Saya tanya lain, awak jawab lain,” balas Adib seakan-akan merungut. Dia mengerising sambil menggeleng perlahan. Ada juga yang nak kena pulas telinga nanti.

Nor tidak memberi apa-apa reaksi. Ah, faham-faham sahajalah yang dia memang tidak berminat dengan soalan itu. Tidak lama kemudian, pintu lif terbuka dan Nor cepat-cepat masuk mendahului Adib. Sepanjang berada di dalam lif tersebut, Nor memilih untuk terus mendiamkan diri walaupun dia sedar mata Adib galak menodai wajahnya. Macam tidak pernah jumpa orang sahaja Adib ni. Kalau Adib ada niat jahat lain, dia sudah bersedia untuk membuka langkah silat yang pernah dia belajar ketika di sekolah menengah dahulu.

Setelah beberapa minit, pintu lif kembali terbuka di tingkat paling bawah. Tanpa menunggu lebih lama, Nor cepat-cepat keluar dan bergegas menuju ke perhentian teksi berhampiran. Dalam fikirannya cuma memikirkan satu perkara sahaja. Teksi.

Mata Adib pula hanya mampu memerhati kelibat Nor yang meninggalkannya tanpa kata. Kenapa gadis itu bukan seperti gadis lain yang berasa teruja setiap kali dia ingin mendekati? Pelik. Fikiran Adib bertalu-talu ditegur oleh pelbagai persoalan.

Setelah Nor hilang daripada pandangan, Adib berjalan menuju ke tempat parkir berhampiran.


NOR memanjangkan lehernya ke atas jalan raya sambil matanya melilau-lilau mencari teksi. Tadi ada beberapa buah teksi yang dia tahan, tetapi tidak berhenti pula kerana sudah ada penumpang. Isy, geram betul. Masa dia mahu naik macam inilah teksi semuanya sudah penuh. Kalau dia tidak mahu naik, banyaklah pula yang lalu-lalang di depan matanya sambil membunyikan hon. Kadang-kadang dia tidak tahan pun, ada juga yang berhenti bertanya.

Setelah penat berdiri, akhirnya Nor kembali duduk di atas bangku yang disediakan di bawah pondok perhentian teksi. Pada waktu itu, dia mula teringatkan kembali kata-kata ibunya yang menyuruh dia supaya mengambil lesen motosikal atau kereta. Tidak dinafikan, kadang-kadang terasa penat juga apabila selalu berhadapan dengan situasi begini. Pergi kerja awal, balik kerja lambat. Itulah, cakap ibu sendiri tidak mahu dengar. Sekarang, tanggunglah sendiri akibatnya. Padan muka! Nor memarahi dirinya sendiri.

Sedang dia enak berkhayal dalam lamunannya, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi tayar yang bergesel kuat dengan jalan raya. Nor tersentak. Sebuah kereta Perdana V6 berwarna hitam berhenti di pinggir jalan. Kemudian, pintu kereta di bahagian sebelah pemandu dikuak dari dalam dan ternganga luas, lantas menyerlahkan raut wajah pemiliknya.

Ah, dia lagi. Sudah tidak ada muka lainkah? Asyik-asyik muka yang sama sahaja. Nor mengeluh perlahan. Isyarat Adib yang meminta dia supaya masuk ke dalam keretanya hanya dipandang sepi. Aku tak mahu balik dengan kaulah! Hati Nor menjerit kuat.

“Pintu tu takkan ditutup selagi awak tak masuk!” ujar Adib separa menjerit. Dia juga seperti tidak mahu mengaku kalah.

Nor mengetap bibir. Seperti ugut dia pun ya juga. Cepat sahaja perasaan geramnya terhadap Adib membuak-buak hadir. Dia ingatkan gangguan Adib tadi berakhir setakat di depan pintu lif sahaja. Namun sangkaannya meleset sama sekali. Sehingga ke perhentian teksi Adib berusaha mencari jalan untuk memastikan hajatnya tercapai. Dasar lelaki Melayu yang tidak faham bahasa Melayu. Tolak berkali-kali pun masih tidak serik-serik juga. Agaknya dia kena bercakap bahasa Melayu baku lama kut baru Adib boleh faham dengan jelas.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi hon kereta dibunyikan kuat tanpa henti. Nor menggelabah.

© Reeani Annur 2013 – Benci Tanda Sayang


P/s: Hanya mampu siarkan setakat ini sahaja. Apapun, semoga 5 bab ini mampu memberi sedikit gambaran dan penilaian terhadap novel BTS ini. Sudi-sudikanlah mendapatkan novel ini bila dah ada di pasaran nanti. Terima kasih.

09 July 2013

Benci Tanda Sayang 4

SALEHA melopong sebaik sahaja melihat kelibat Nor dan Adib berjalan beriringan masuk ke dalam pejabat. Mana dia tidak terkejut, pagi tadi Nor baru sahaja menafikan dia mempunyai sebarang hubungan mesra dengan Adib. Alih-alih, tengah hari ini keluar makan berdua pula. Mahu marah pun ada juga sebenarnya.

Sebelum turun rehat tadi, dia awal-awal lagi sudah mengajak Nor untuk turun makan bersama, tetapi Nor beria-ia menolak. Alasan Nor, perutnya sudah kenyang. Namun apabila Adib yang mempelawa, cepat pula bersetuju. Kalau Nor menolak pelawaan dia tadi disebabkan mahu keluar dengan Adib, mengaku sahajalah. Tidak perlulah mereka cipta banyak alasan pula. Geram sungguh dia dengan Nor.

“Hai, cakap tadi perut dah kenyang. Tapi boleh pulak keluar makan dengan Encik Adib. Masa aku ajak tadi, kau tak nak. Bila dengan Encik Adib, boleh pulak kau nak. Pilih bulu betul kau ni,” rungut Saleha sebaik sahaja Nor sampai di mejanya.

“Kau ingat, aku ni nak sangat ke keluar dengan dia? Kalau tak kerana dia paksa aku tadi, aku lebih rela tidur kat meja ni daripada ikut dia pergi makan tau,” balas Nor sambil menghempas beg tangannya di atas meja. Dia menarik kerusi dan melabuhkan punggung di atasnya.

Walaupun Adib sudah belanja dia makan tengah hari, tetapi rasa geramnya terhadap lelaki itu masih belum surut. Kalau hari-hari kena paksa begini, hilanglah nikmat hidup dia. Mustahil asyik mahu ikut kata-kata Adib sahaja. Mentang-mentanglah Adib bos, suka hati dia sahaja mahu memaksa orang supaya mengikut kehendaknya. Dia berhenti kerja baru tahu.

Saleha hanya mencebikkan bibir mendengar kata-kata Nor. Namun begitu, semua itu berjaya juga menjawab persoalan-persoalan yang tergantung mengenai status perhubungan antara Nor dan Adib. Dia kemudiannya bangun, meninggalkan mejanya dan merapati Nor. Dia menyandarkan punggungnya di meja Nor sambil berpeluk tubuh erat.

“Aku tengok Encik Adib tu macam nak pikat kau aje. Kau perasan tak?” tanya Saleha.

Nor menjongketkan bahu.

“Entahlah, Sal. Aku tak perasanlah pulak,” jawab Nor acuh tidak acuh. Jemarinya mula mencapai tetikus komputer. Pandangan matanya pula terarah ke skrin komputer tanpa mempedulikan renungan mata Saleha yang sedang menerjah wajahnya.

“Isy! Kau ni... ada pulak boleh tak perasan. Kalau tak, takkanlah dia ajak kau keluar makan. Mestilah sebab dia nak memikat kau, kan? Tak adanya lelaki yang suka dekat perempuan, ajak perempuan tu keluar untuk saja-saja. Mestilah ada sebabnya,” ujar Saleha.

“Hmm... kau ni, dah mulalah tu nak mengarut buat cerita yang bukan-bukan,” balas Nor lantas mengeluh sambil menggeleng lemah kepalanya. Kalau Saleha sudah mula jadi pakar cinta, memang dia rasa lemah longlai.

“Mana ada. Aku cakap hal yang betul aje. Takkanlah kau tak perasan kut. Cara Encik Adib tu, memang dah terang-terang sangat menunjukkan yang dia tu cuba nak rapat dengan kau. Kau tahu tak, semua orang kat dalam pejabat ni dah mula bercakap fasal hal kau dengan dia tau. Dia orang semua rasa cemburu bila dapat tahu Encik Adib tu sukakan kau. Aku pun rasa cemburu jugak sikit-sikit,” akui Saleha, tersengih-sengih menayangkan giginya.

Haruslah dia berasa cemburu. Siapalah yang tidak terpaut dengan lelaki kacak seperti Adib? Tetapi cemburu dia cemburu sihat, bukannya cemburu buta.

Nor hanya bergumam tanpa menoleh.

“Eh, Nor... kau tak rasa bertuah ke bila ada orang approach kau macam tu? Lebih-lebih lagi lelaki yang kacak macam Encik Adib tu. Kalau akulah, eiii... sukanya,” ucap Saleha lagi, menggeletik teruja. Kedua-dua tangannya saling digenggam erat dan dibawa ke dada. Matanya pula dipejam rapat seolah-olah sedang membayangkan dirinya sendiri yang berada dalam situasi tersebut.

Gelagat Saleha itu mengundang ketawa lucu di hati Nor. Ini barulah dikatakan sedang membuat lawak. Adib patut melihat dan membandingkannya dengan kelakuan dia semasa di restoran tadi. Nor segera berpaling dan menghadap Saleha pula. “Kau ni kelakarlah, Sal...”

“Apa yang kelakarnya? Aku tersalah cakap ke? Setahu aku, bukan senang tau nak dapat perhatian daripada Encik Adib tu. Hanya orang-orang yang terpilih aje yang mendapat tempat di hati dia. Bukannya kau tak tahu taste dia tu macam mana. Kau tu dikira beruntunglah sebab dia sudi pandang. Itu pun kau masih tak rasa bertuah?” soal Saleha sambil mencuit bahu Nor menggunakan hujung jari telunjuknya.

Siapa yang tidak kenal dengan lelaki yang bernama Qusyairy Adib? Seorang arkitek muda yang sedang mencipta nama dalam dunia seni bina. Rupa parasnya yang tampan membuatkan dia menjadi rebutan gadis di kota Kuala Lumpur ini. Dia rasa bukan setakat di Kuala Lumpur sahaja kut, di luar dari lingkungan itu pun mungkin ada juga yang memuja. Kalaulah Adib yang cuba mendampingi, memang tidak akan jual mahal. Itu tolak tuah namanya.

Nor mencebikkan bibir. Beruntung ke? Dia rasa lagi malang adalah. Rasa meluat pun ada juga. “Tapi aku tak ada apa-apa perasaan pun dekat dia. Dia bukan ciri-ciri lelaki idaman akulah.”

Saleha menelan air liur. Matanya berkelip-kelip memandang Nor. Sementara tangannya pula menggosok-gosok telinga beberapa kali, kalau-kalau dia tersilap dengar.

“Apa, Nor? Encik Adib yang kacak macam tu kau cakap bukan lelaki idaman kau? Ya Allah!! Kau ni buta ke apa, Nor?” Saleha seperti tidak percaya mendengar pengakuan Nor.

Adib yang kacak dan ada iras-iras macam pelakon Fahrin Ahmad itu dikatanya bukan lelaki idaman dia? Haih, melopong dia sejenak.

“Yalah... Lelaki yang kaki perempuan macam tu, takkanlah nak jadi lelaki idaman aku pulak kut. Kalau sekadar kacak, tapi suka mainkan perasaan orang, nak buat apa? Memang sah-sahlah tak akan masuk dalam senarai lelaki yang aku suka. Kalau kau nak dia, kau ambillah. Tak ada sesiapa pun yang nak marah. Aku pun tak kisah,” ujar Nor tersenyum sumbing memandang Saleha.

Saleha pun satu, kalau ya pun nak menjodohkan dia dengan mana-mana lelaki, carilah yang jenis baik sedikit. Ini tidak, nak jodohkan dia dengan Adib pula. Memanglah tidak layak. Macam sudah tidak ada lelaki lain sahaja. Namun, hati dia tetap mengakui bahawa Adib seorang lelaki yang kacak. Sesuailah juga dengan gelaran Romeo yang melekat pada dirinya itu. Romeo jatuh cinta kepada gadis gemuk macam dia? Samalah seperti kata-kata perumpamaan Beauty and the Beast. Ngeri sekali bunyinya.

“Habis tu... Kalau bukan dia, lelaki yang macam mana pulak yang boleh jadi lelaki idaman awak?” sampuk satu suara yang lain pula.

Nor dan Saleha sama-sama mencari arah dari mana suara itu datang. Setelah berjaya mengesan, kedua-duanya saling tergamam dan berpandangan sesama sendiri.

“Eh, Encik Adib. Err... sa... saya...” ujar Nor terketar-ketar. Lebih-lebih lagi apabila melihat mata Adib begitu tajam merenungnya. Habislah dia kali ini. Mesti Adib sudah mendengar segala-galanya tadi. Sekarang mahu buat apa? Malu? Usah cakaplah!

Nor menggigit bibir menahan perasaan. Hari ini, tidak habis-habis dia dirundung malang. Semuanya berkait dengan Adib. Lidahnya seperti sudah kelu untuk berkata-kata. Dalam debaran yang melanda, dia cuba mengasak fikirannya supaya melakukan sesuatu agar dia dapat keluar daripada situasi tersebut.

“Ha... saya baru teringat. Sebenarnya saya ada dokumen yang nak kena fotostat. Saya nak pergi buat kerja dulu,” ucap Nor lantas mencapai fail hitam yang berada di atas mejanya dan pergi dari situ.

Entah fail apa yang dia ambil, dia sendiri pun tidak tahu. Ah, redah sahajalah. Kalau dia tidak membuat alasan begitu, mati kutulah dia nanti kalau Adib bersoal jawab dengan dia. Saleha pula, pandai-pandai sendirilah buat alasan. Otak dia sudah tepu mahu tolong berfikir.

Adib sekadar berpeluk tubuh memerhati gelagat Nor yang kelihatan kelam-kabut cuba mengelakkan diri daripadanya. Sesudah Nor menghilang, matanya melirik pula ke arah Saleha yang sedang tersengih-sengih memandangnya.

“Awak pulak, tak ada apa-apa dokumen yang nak kena fotostat ke?” perli Adib sambil mendongak kepala tinggi.

“Err... sa... saya ada nak print kerja saya,” jawab Saleha teragak-agak. Jari telunjuk dihalakan ke arah mesin pencetak komputer yang terletak di atas mejanya.

Ah, logik ataupun tidak alasan itu, dia tidak peduli lagi. Yang penting dia harus menyelamatkan dirinya juga. Tanpa menunggu reaksi Adib, perlahan-lahan dia mengatur langkah, kembali semula ke mejanya.

Adib mengetap bibir rapat. Bagus! Dua-dua ada bakat menjadi pelakon yang terkenal. Adib berpatah semula masuk ke dalam biliknya. Niatnya mahu meminta Nor membuatkan dia secawan kopi terus terbantut.

© Reeani Annur 2013 – Benci Tanda Sayang

08 July 2013

Benci Tanda Sayang 3

ADIB bersiul-siul kecil sambil mengatur langkah keluar dari biliknya. Sudah melewati waktu tengah hari. Seluruh pejabatnya sudah bergelap, menandakan semua orang sudah keluar makan tengah hari. Perutnya juga turut memberi isyarat yang sama. Di rumah tadi dia tidak sempat bersarapan. Hanya sempat menjamah secawan kopi sahaja. Tambahan pula, pagi tadi dia ada mesyuarat dengan Encik Marzuki, jurutera dari Syarikat Alam Bina yang bekerjasama dengan syarikatnya dalam perlaksanaan projek perumahan yang sedang dijalankan sekarang. Bimbang terlewat sampai, itu yang membuatkan dia tidak sempat bersarapan.

Adib berjalan melintasi kaunter hadapan pejabatnya untuk menuju ke arah pintu. Namun, sebaik sahaja dia ingin menarik pintu, dia perasan sesuatu. Dia memusingkan badannya semula dan menuju ke arah kaunter.

“Dah pukul 1.00 ni. Awak tak keluar makan ke?” tanya Adib menegur sesusuk tubuh manusia yang sedang lena beralaskan lengan di atas meja sebaik sahaja dia menghampiri.

Diam. Tidur mati ke? Kepalanya terjenguk-jenguk mengamati.

“Nor...” tegur Adib lagi sambil mengetuk meja beberapa kali.

Beberapa minit kemudian barulah tegurannya itu mendapat reaksi. Nor mendongak. Matanya yang kuyu tiba-tiba menjadi segar sebaik sahaja pandangan matanya dan Adib bertembung. Dia terus bangun dari kerusi. Hilang rasa mengantuknya.

“Awak tak keluar makan ke?” soal Adib semula, mengulangi pertanyaan yang sama seperti sebelumnya.

“Tak, saya dah kenyang,” jawab Nor pendek, acuh tidak acuh. Dalam hati, dia menggerutu kerana tidurnya terganggu. Dia baru hendak bermalasan-malasan, tetapi Adib pula datang mengacau. Kalau sehari tidak ganggu dia, memang tidak sah agaknya Adib ni.

“Ya ke? Atau awak diet?” tebak Adib sambil senyum sinis.

Belum sempat Nor membuka mulut, Adib terlebih dahulu menyampuk.

“Alah... tak payah dietlah. Awak memang dah comel pun. Jom, ikut saya,” pelawa Adib mesra.

“Ikut Encik Adib? Nak pergi ke mana pulak?” soal Nor lantas mengerutkan dahi.

“Pergi mana lagi, pergi lunchlah. Kan dah pukul 1.00 dah ni. Jomlah, hari ni saya belanja awak makan,” ujar Adib.

Ha? Makan tengah hari dengan Adib? Nor melopong beberapa saat.

“Tak naklah. Saya baru aje lepas makan tadi. Kenyang lagi ni. Lain kali ajelah ya. Atau mungkin Encik Adib boleh ajak orang lain,” balas Nor yang menolak secara baik. Orang mahu tidur, dia mahu ajak makan pula. Kalau dia sudi pun tidak tahu sama ada dia berselera ataupun tidak hendak makan nanti.

Mata Adib kemudiannya meliar ke segenap ruang di dalam pejabat. Sesudah itu, kembali semula tertancap ke wajah Nor.

“Tapi sayangnya saya tak nampak pulak sesiapa pun yang ada dekat sini melainkan awak seorang,” kata Adib lagi.

Nor memandang ke sekeliling. Alamak, betullah. Hanya dia dan Adib sahaja yang berada di dalam pejabat itu. Dia mula terkial-kial mencari alasan.

“Err… betul, Encik Adib, saya dah kenyang. Lagipun, saya ada banyak kerja yang nak kena siapkan ni. Ha, ini….” ujar Nor sambil pantas mencapai sebuah fail yang berada di atas meja itu dan menunjukkan kepada Adib.

Sesekali dia berpura-pura membeleknya di depan Adib. Walaupun keadaan di dalam pejabat itu gelap dan hanya disinari dengan cahaya dari luar cermin pejabat sahaja, tetapi dia bersungguh-sungguh meyakinkan Adib.

Adib mendengus. Tadi tidur, sekarang tiba-tiba pula ada banyak kerja. Huh, nak tipu dia lagilah tu. Hari ini, dia mana ada beri apa-apa kerja pun lagi kepada Nor. Kuat betul beralasan. Fail yang dipegang oleh Nor itu segera dirampas dan ditutup rapat sehingga menerbangkan beberapa helai rambut Nor ke belakang.

“Hmm... mengikut peraturan di pejabat ni, waktu rehat adalah waktu untuk berehat dan bukannya waktu untuk membuat kerja. Jadi, awak kena patuhi peraturan tu,” ucap Adib sedikit tegas.

“Ta... tapi...” ujar Nor mula tergagap-gagap.

“Alah, satu jam aje... Bukannya lama pun. Jomlah, ikut saya. Kalau tak nanti, awak akan dipersalahkan sekiranya perut saya ni masuk angin,” tambah Adib lagi.
Eh, apa kena-mengena dengan dia pula? Adib ni mengada-ada betul. Suka benar memaksa dia buat perkara yang dia tidak suka. Nor cuba untuk terus menolak, tetapi apabila melihat mata lelaki itu mencerlung tajam ke arahnya, dia terpaksa akur juga. Memang dia tidak ada pilihan lain lagi.

“Okeylah...” tutur Nor lemah.

Namun persetujuan itu bukan ikhlas daripada hati kerana dia sedikit pun tidak berasa gembira menerima pelawaan Adib. Jika Adib mengizinkan dia kembali menyambung tidurnya, itulah hal yang paling menggembirakan hati dia. Tetapi sayangnya, itu semua tidak terjadi. Hampanya...

“Ha... macam tulah gadis idaman saya. Jom!” ujar Adib gembira.

Dia berasa puas apabila berjaya memujuk Nor supaya bersetuju dengan pelawaannya. Bukan senang sebenarnya mahu mengajak Nor ke mana-mana. Sebelum ini, dia asyik gagal sahaja. Melainkan dengan satu cara iaitu menggunakan kuasa sebagai seorang bos! Itu sahajalah cara yang paling berkesan. Maka, sudah pastilah dia akan terus mengguna pakai alasan tersebut untuk menawan hati Nor selepas ini.


ADIB membawa Nor menjamu selera di sebuah restoran makanan laut yang diberi nama Thai Seafood Paradise. Restoran itu memang sentiasa menjadi restoran kegemarannya untuk singgah makan. Ini kerana terdapat banyak pilihan makanan yang memenuhi seleranya. Datang setiap hari pun dia tidak berasa jemu.

Adib mengambil tempat duduk di hujung ruang yang sedikit tersorok daripada pandangan orang yang lalu-lalang. Barulah berasa selesa sedikit mahu menikmati selera bersama pujaan hati tersayang. Namun, kelihatannya mungkin hanya dia seorang yang berperasaan sedemikian. Apa tidaknya, reaksi Nor sejak melangkah keluar dari pejabat sehinggalah sampai ke restoran hanya diam membisu. Sepatah ditanya, sepatahlah yang dijawab. Mahu bersembang pun tidak seronok. Tiada kemesraan antara mereka. Masih marah barangkali kerana dipaksa mengikutnya datang ke situ. Atau merajuk?

Sebaik sahaja pesanan sampai, Adib mengisi perutnya dengan penuh selera. Terasa begitu lega apabila dapat menghilangkan rasa lapar yang mencucuk sejak dari pagi. Tetapi berlainan pula dengan gadis yang duduk di hadapannya.

“Kenapa awak tak makan? Tak sedap ke nasi goreng tu?” soal Adib. Matanya memandang Nor dan nasi goreng paprik di dalam pinggan itu silih berganti.

Dia lihat makanan tersebut langsung tidak diusik oleh Nor. Tertanya-tanya juga dia kenapa? Takkanlah tidak sedap? Makanan dia sendiri pun sudah hampir separuh pinggan dia habiskan. Rasa seperti mahu tambah lagi sepinggan.

“Hmm... sedap...” jawab Nor perlahan sambil mengangguk.

Nasi yang sedang dikunyah oleh Adib bagaikan mahu tersembur keluar. Adib tidak dapat menahan ketawa. Dia ketawa berdekah-dekah mendengar jawapan Nor. Hai, dia buat lawaklah pula. Mujur tidak tercekik nasi yang dia telan.

“Awak ni... kelakar jugak ya,” ujar Adib usai meneguk jus oren di dalam gelas yang terletak di sebelah kirinya.

Nor mengerut dahi kehairanan. Dia tertanya-tanya sendiri mengapa Adib tiba-tiba sahaja ketawa macam orang yang sedang menonton lawak Mr. Bean.

“Kenapa Encik Adib ketawa? Apa yang lucu sangat?” soal Nor, menahan perasaan geram di hati. Mahu dikatakan dia sedang membuat lawak, dia bukannya masuk rancangan Maharaja Lawak pun.

“Tak adalah, jawapan awak tu. Macam mana awak tahu makanan tu sedap kalau awak sendiri pun belum makan lagi? Nasi tu beritahu awak ke?” soal Adib lalu kembali dalam ketawa yang masih lagi tersisa.

Mata Nor jatuh ke pinggan yang berada di depan matanya. Eh? Dia hilang kata-kata. Ah, terkena pula dia. Patutlah Adib ketawa sakan. Wajahnya mula terasa membahang. Tiba-tiba sahaja dia berasa malu dengan Adib. Adib pun satu, siapa suruh tanya dia soalan macam tu? Itu sahajalah jawapan yang dia boleh jawab pun. Jawapan yang paling selamat dia kira. Tetapi tidak sangka pula sampai boleh menjadi bahan ketawa Adib.

“Itulah... lain kali, jangan buat lawak di depan saya. Nanti lagi kuat saya ketawakan awak. Kalau sedap, habiskanlah nasi tu. Tak payah nak malu-malu dengan saya. Kalau awak malu, lapar ajelah yang awak dapat,” ujar Adib lagi seakan-akan cuba meredakan perasaan malu Nor. Dia tahu, Nor malu dengannya. Raut wajah Nor yang merona merah telah memberi jawapannya.

“Saya dah kenyanglah, Encik Adib. Kan saya dah cakap tadi saya dah makan,”
getus Nor.

Adib segera meletakkan sudu yang dipegangnya di atas pinggan. Kemudian, dia mengesat perlahan mulutnya dengan kain napkin putih yang terletak di atas riba. Jus oren disedut buat sekian kalinya sebelum matanya beralih lama ke wajah Nor.

“Setakat makan biskut dan cicah dengan air Milo, kenyang ke? Mana ada orang kenyang setakat makan macam tu? Kalau nak diet sekalipun, janganlah melampau-lampau sangat.” Adib menegur dalam senyum.

Ah, bukan dia tidak nampak di atas meja Nor tadi ada secawan Milo dan sepaket kecil biskut Tiger. Kalau dia sendiri makan biskut itu pun dia tidak akan berasa kenyang sampai ke petang. Sekadar buat alas perut bolehlah.

Nor berdeham kecil. Dapat malu lagi. Isy, Adib ni tahu sahaja semua perkara yang dia makan dan dia buat. Setahu dia, di pejabat bukannya ada CCTV pun. Entah-entah, Adib membela hantu raya kut.

“Mana ada saya diet. Saya cuma...” ucap Nor namun kata-katanya segera dipintas oleh Adib.

“Sudahlah, jangan nak buat apa-apa alasan lagi. Habiskan nasi tu cepat. Selagi awak tak habiskan nasi tu, kita takkan keluar dari restoran ni,” ujar Adib tegas sambil menyandarkan badannya di kerusi dan berpeluk tubuh memandang Nor.

Nor mengetap rapat bibir dan menyumpah-nyumpah Adib dalam hati. Mahu tidak mahu, dipaksa juga dirinya untuk menelan nasi goreng tersebut sehingga habis. Adib kejam!
© Reeani Annur 2013 - Benci Tanda Sayang

04 July 2013

Benci Tanda Sayang 2

“KAU dengan Encik Adib tu ada apa-apa ke?” Pertanyaan Saleha, teman sepejabat Nor yang duduk bersebelahan dengan mejanya membuka topik bicara pada pagi itu.

Jemari Nor yang sedari tadi rancak menekan papan kekunci komputer terhenti seketika. Wajah Saleha yang sedang menongkat dagu di atas penghadang yang memisahkan tempat duduknya dan tempat duduk Saleha diamati lama.

“Hmm? Ada apa-apa apa pulak ni?” soal Nor kehairanan. Dahinya berkerut seribu.

“Eleh, buat-buat tak tahulah pulak,” cebik Saleha bersama dengusan kecil.

“Dah aku memang tak tahu pun apa maksud kau tu. Lain kali, cakaplah terang-terang sikit,” ujar Nor lagi.

Saleha mengeluh panjang. Susah betullah bercakap dengan orang yang lambat menangkap ni. Memang jenis tidak faham ke sengaja buat tidak faham?

“Maksud aku, kau dengan Encik Adib tu ada hubungan yang serius ke?” ulang Saleha. Giginya sudah dikacip rapat. Kalau Nor tidak faham juga, tidak tahulah dia hendak guna bahasa apa lagi.

“Hubungan serius?” soal Nor hairan.

Saleha memejam mata tanda mengiakan.

Nor terus memusingkan kerusinya dan menghadap Saleha secara berdepan.

“Kau ni, kenapa? Tiba-tiba aje tanya soalan bodoh macam tu? Dah tak ada soalan lain ke yang kau nak tanya? Ha... lagi satu, sejak bila pulak kau ni jadi tukang jaga tepi kain orang? Gaji yang Encik Adib bagi setiap bulan tu tak cukup ke?” sindir Nor. Keningnya terangkat tinggi. 

“Cepatlah jawab soalan aku tadi tu,” desak Saleha pula seperti endah tidak endah dengan sindiran Nor. Memang tidak ada hari-harinya tanpa sindiran Nor. Telinga dia sudah kalis mendengar. Mujur hati dia jenis kebal. Kena sindir berdas-das pun masih boleh tahan sabar lagi.

“Kau ni, mana aku ada apa-apa hubungan dengan dia. Kawan ajelah,” sangkal Nor. Atas alasan apa pula dia ditanya soalan macam tu? Nampak secocok sangatkah dia dengan Adib?

“Ya ke kawan? Tapi, kawan tu banyak istilah. Kawan biasa, kawan karib, kawan istimewa. Ha... kau dengan dia ni kategori kawan yang mana?” soal Saleha lebih lanjut. Dia seakan-akan meragui jawapan yang Nor berikan. Mana boleh kawan sahaja. Mestilah ada tahap dia. Macam susah sahaja dia hendak percaya penafian Nor itu.

“Haih... dah aku jawab, kau tak nak percaya pulak. Apa kena dengan kau ni? Yang kau duk sibuk-sibuk sangat nak tahu fasal hubungan aku dengan dia, kenapa? Ada orang upah kau suruh siasat fasal hal aku dengan dia ke?” soal Nor kembali. Tanya soalan macam ejen FBI. Banyak komisen sangatlah tu Saleha dapat.

“Tak adalah... Aku cuma nak kepastian aje. Sebab ada orang beritahu aku, semalam kau dengan Encik Adib naik kereta berdua-duaan. Betul ke?” soal Saleha lagi sambil tersenyum.

“Siapa yang beritahu kau? Ha... ini mesti si Hadi tu yang beritahu kau, kan?” tebak Nor pantas.

Fikirannya mula terbayangkan wajah Hadi, teman sepejabat yang berkaca mata tebal dan merangkap jawatan sebagai pembantu arkitek di Morphosis Archiland. Memang tidak syak lagi. Ini sudah tentulah Adib yang bercerita kepada Hadi. Sebab Adib memang suka berkongsi apa-apa cerita dengan Hadi. Kalau Hadi sendiri yang melihat dengan mata dia, sudah pastilah tidak logik sebab Hadi balik awal semalam. Hadi tidak ada, dia pula yang kena kerah dengan Adib buat kerja-kerja yang tidak ada kaitan dengan tugas kerja dia.

“Memanglah aku ada naik kereta Encik Adib semalam. Dah dia yang hantarkan aku balik,” akui Nor tanpa berselindung. Takkanlah naik kereta dengan Adib nampak pelik kut? tanya Nor dalam hatinya.

“Ha... Mengaku pun kau. Jadi memang betullah kau ada apa-apa dengan dia. Kalau tak, takkanlah dia hantarkan kau balik. Ooo... dalam diam-diam, rupa-rupanya kau dengan Encik Adib bermain perasaan ya?” tanya Saleha mula serkap jarang. Jari telunjuknya digerakkan berkali-kali ke arah muka Nor.

“La... Main perasaan apa pulak kau ni? Dia cuma tumpangkan aku balik ajelah. Semalam kan hujan lebat. Teksi tak ada, jadi dia hantarlah aku balik. Itu aje, bukannya ada apa-apa pun. Kau ni, benda kecil macam tu pun kau nak kecoh,” rungut Nor sambil menggelengkan kepala.

Kalau setakat balik kerja tumpang naik kereta Adib tidak perlulah nak diperbesar sangat. Lainlah kalau dia dengan Adib tiba-tiba sahaja bercinta. Itu barulah boleh hendak kecoh-kecoh. Tetapi, kalau bukan Adib yang paksa dia semalam, memang tidak ingin dia naik kereta bosnya itu. Kalau diikutkan, dia lebih suka naik teksi sahaja.

“Hmm... Setahu aku, Encik Adib tu hanya tertarik dekat perempuan yang seksi-seksi aje tau. Yang badannya ala-ala macam supermodel. Tapi bila aku dapat tahu dia cuba nak approach kau, itu yang aku naik hairan tu. Takkanlah Encik Adib suka dekat perempuan yang badan berisi macam kau pulak kut,” usik Saleha. Dahi Saleha berkerut memandang Nor dari bawah sehingga ke atas seolah-olah begitu payah sekali mahu merungkai persoalan tersebut.

Nor ketawa kecil mendengar kata-kata Saleha yang terang-terangan mengkritik bentuk badannya. Mentang-mentanglah badan dia tidak kurus macam orang lain, Saleha ingat dia tidak ada daya tarikan ke? Namun sedikit pun dia tidak berkecil hati. Sejak dari dahulu, dia memang sentiasa menjadi buah mulut orang lain yang tidak suka memandang gadis gemuk sepertinya. Dia sudah lali menghadapi situasi seperti itu. Alah bisa tegal biasa.

“Ya ke? Entahlah, Sal. Aku pun tak tahu pulak kenapa. Kalau kau nak tahu jawapan dia, baik kau sendiri pergi tanya dia. Lagipun, kau kan dah naik pangkat jadi tukang jaga tepi kain orang. Ha... pergilah siasat. Untung-untung bulan ni kau dapat bonus satu bulan gaji. Bolehlah belanja aku makan,” ujar Nor sambil melepaskan ketawa. Dia memusingkan kembali kerusinya, menghadap meja. Tidak kuasalah dia mahu terus melayan pertanyaan mengarut Saleha itu.

“Kau perli aku ya? Tak apa, tak apa…” ucap Saleha sambil mengetap bibir dan menumbuk penghadang tempat dia sedang berpaut. Matanya menjeling tajam ke arah Nor yang sudah kembali menyambung kerja-kerjanya semula. Hatinya tercuit dengan kiasan Nor yang berbaur sindiran. Haih, kena sindir lagi.


TANGAN Adib memutar-mutar pen yang berada di tangannya. Dia senyum sendirian mengenangkan kejadian yang berlaku pada lewat petang semalam. Nor Qaseh Umairah. Nama itu terus meniti di bibirnya berulang kali. Lantas, mengundang bayangan wajahnya di fikiran. Orangnya berambut ikal mayang melepasi bahu dan fizikalnya sedikit berisi. Namun, walaupun berisi masih juga mampu menarik perhatiannya. Tidak seperti gadis-gadis lain, penampilannya setiap hari ke pejabat hanyalah berbaju kurung sahaja. Hatinya tertawan dalam diam.

“Hoi! Apa yang kau senyum sorang tu? Gila ke apa?” tegur Hadi kepada majikannya yang sejak tadi dia lihat begitu leka melayani perasaan. Patutlah dia ketuk pintu, Adib buat tidak tahu sahaja. Layan perasaan rupanya. Huh, buat sakit tangan dia sahaja ketuk pintu berkali-kali.

Adib tersentak dan segera mendongak.

“Eh, Hadi... Bila kau masuk? Tak perasan pun,” soal Adib, sedikit terkejut apabila melihat kelibat Hadi yang sudah pun duduk bersantai sambil menyilangkan kaki di atas kerusi di depan mejanya itu. Macam duduk di dalam bilik dia sendiri pun ada juga lagaknya.

Hadi mengeluh perlahan sambil menggeleng.

“Dah kalau orang tu tengah syok layan perasaan, manalah nak sedar ada orang keluar masuk dalam bilik ni. Agaknya, kalau hantu duduk kat sebelah kau tu pun kau tak sedar. Yang kau ni, kenapa? Duk senyum aje dari tadi aku tengok. Hobi baru ke?” tegur Hadi lagi.

Pelik juga dia melihat sikap Adib pagi itu. Biasanya kalau pagi-pagi dia masuk ke dalam bilik itu, Adib mesti sedang tekun menghadap pelan. Paling tidak pun duduk menghadap komputer di atas mejanya. Tetapi hari ini, duduk termenung sambil tersenyum seorang diri pula.

Adib ketawa mendengar pertanyaan Hadi. Kemudian dia mengheret kerusi rapat ke meja. Wajah Hadi yang berkulit sawo matang itu direnung lama.

“Hadi, aku rasa aku nak kenal dia dengan lebih rapatlah,” ujar Adib.

“Siapa?” soal Hadi sambil mengangkat kening tinggi. Adib bercakap fasal siapa pula ni? Hatinya tertanya-tanya.

“Nor Qaseh Umairah,” jawab Adib.

“Hah? Nor?” ucap Hadi separuh menjerit. Isy, aku silap dengar ke apa ni? tanya Hadi dalam hati. Muka Adib yang kelihatan berseri-seri daripada biasa itu diamati bersama tegukan air liur yang tersekat-sekat di kerongkong. Dia menyambung pertanyaannya sambil membuat isyarat bentuk badan Nor. “Err… setiausaha kau yang comel-comel tu ke?”

Melihat saja Adib mengangguk, terasa air liur yang cuba ditelannya semakin payah hendak ditelan.

“Yalah, siapa lagi,” jawab Adib lagi dengan penuh yakin.

“Kau ni, biar betul. Sejak bila pulak kau tangkap cintan dengan dia, Dib? Takkanlah baru hantar dia balik semalam kau dah jatuh cinta dekat dia?” tanya Hadi lebih lanjut. Matanya tidak berkelip memandang wajah Adib. Dia masih lagi berasa sangsi.

“Yang kau terkejut mengalahkan beruk ni, kenapa? Salah ke kalau aku jatuh cinta dekat dia?” tanya Adib sambil menjongketkan kening.

Hadi tersengih.

“Err... aku tak adalah cakap salah. Cuma... aku terkejut aje. Yalah, biasanya taste kau bukannya perempuan macam dia,” jelas Hadi menyatakan perasaannya yang sebenar. Macam mana dia tidak terkejut, dia kenal cita rasa Adib jenis yang bagaimana. Kalau tidak ada pendamping yang cantik dan seksi, itu memang bukan Adib namanya.

“Maksud kau chubby?” soal Adib, disusuli dengan ketawa panjang. Kemudian, dia menyambung kembali. “She’s so sweet. Comel apa? Sekali-sekala tukar taste, tak salah, kan?”

Ah, kalau hati sudah tertawan, kurus atau gemuk bukan lagi menjadi persoalan. Persoalannya sekarang, hatinya itu sudah dicuri oleh gadis itu. Terasa begitu berbeza sekali perasaannya apabila berdepan dengan Nor. Kalau bukan cinta, apa lagi perkataan yang mampu menterjemahkan perasaan itu?

“Kau serius?” soal Hadi inginkan kepastian.

“Kenapa? Muka aku ni tak macam orang yang serius ke? Dah tentulah aku serius, Hadi. Aku memang dah lamalah perhatikan dia. Kau tu aje yang baru tahu,” luah Adib.

Sebenarnya, sejak hari pertama Nor menjejakkan kaki ke syarikatnya dia sudah dapat merasakan sesuatu. Seperti ada satu daya tarikan yang dimiliki oleh gadis itu yang membuatkan jiwa lelakinya bergetar. Tetapi semua itu hanya dipendam sahaja dalam hati. Cuma sejak akhir-akhir ini barulah dia mendapat kekuatan untuk bertindak.

“Tapi, dia tu mana suka melayan lelaki. Pandang lelaki pun sebelah mata aje. Kau yang kaki perempuan ni, lagilah dia tak mahu pandang,” ujar Hadi lantas ketawa berdekah-dekah.

Adib mendengus. Huh, tak guna betul Hadi ni. Ketawakan aku pula, omel Adib dalam hati. Selama ini, bukan satu masalah yang besar pun untuk dia menakluki hati mana-mana perempuan. Kadang-kadang tidak perlu berusaha keras pun, senang-senang sahaja dia boleh dapat. Perempuan manalah yang sanggup melepaskan peluang untuk mendampinginya? Dia sedia maklum akan kelebihan yang dimilikinya.

“Kau jangan cabar aku, Hadi. Aku tak pernah gagal tau dalam soal hati dan perasaan. Takkan kau tak kenal siapa Adib?” bentak Adib sambil mengepal rapat tangannya. Sakit juga perasaan dia apabila mendengar kata-kata Hadi yang seperti memperlekeh niat hatinya itu.

“Sekarang, kita bercakap fasal Nor. Bukannya fasal teman wanita kau yang sedozen tu. Gadis yang kau nak tackle sekarang ni jenis yang anti lelaki. Bukannya yang jenis cepat menyerah macam dia orang tu. Faham?” Hadi menekan perkataan “Faham” dengan nada yang sedikit tinggi. Biar Adib terlebih faham sedikit.

“Jadi? Apa masalahnya? Ooo... Jadi, kau takut aku gagal?” tanya Adib yang cepat menangkap maksud Hadi.

Hadi mengangkat kening sambil mencebikkan bibirnya.

“Okey... kalau macam tu, kita tengok nanti macam mana,” balas Hadi.

“Baik. Kalau kau berjaya tackle dia, aku akan belanja kau makan di hotel lima bintang. Tapi kalau kau gagal, kau yang kena belanja aku makan di hotel enam bintang. Macam mana, kau setuju?” cabar Hadi. Keningnya terangkat sebelah.

Adib menekan perut mendengar cabaran Hadi. Setakat belanja makan di hotel enam bintang apalah sangat. Sedikit pun dia tidak berasa susah hati. Lainlah kalau Hadi cabar dia terjun gaung. Itu barulah dia rasa tercabar.

“Okay, deal! Tapi, pastikan kau dah mula berjimat dari sekarang. Takutlah nanti terpaksa berhutang dengan ah long pulak kan sebab nak belanja aku makan di restoran lima bintang.” Adib menjentik lidah ke lelangit mulut sambil mengenyit mata kanannya. Cabaran Hadi itu membuatkan semangatnya naik membuak-buak.

© Reeani Annur 2013 – Benci Tanda Sayang