14 May 2014

Meow! Kau Curi Hatiku 2

TELEFON bimbit Naim berbunyi lagi. Sempat dia mengerling ke arah dashboard kereta. Sudah hampir pukul 6.30 petang. Matilah dia kali ini kena bebel lagi.
           
“Sayang! You kat mana ni? Dah balik kerja ke belum? Kenapa tak pergi ambil lagi Anchu dan Chicky? Awin dah lama tunggu you tau.” Bella terus membebel sebaik sahaja Naim menjawab panggilannya.
           
“Ya, ya. I dalam perjalananlah ni. Jalan sesak ni. You suruhlah Awin tunggu sekejap,” balas Naim. Mukanya berkerut menahan bebelan Bella. Agaknya, semua orang yang bernama Bella ni memang jenis suka membebel kut. Bunyi pun kedengaran lebih kurang sama sahaja. Naim masih sempat menelah.
           
“Tadi I beritahu you suruh you pergi ambil dia orang pukul berapa? Sekarang ni, dah pukul berapa? Awin tu dah lambat tau nak keluar sebab tunggu you lama sangat. You ni, tolonglah respek sikit masa orang lain.” Bebelan Bella semakin menjadi-jadi.
           
Amboi! Bella cakap pasal respeklah pula. Habis, masa dia ni ada ke Bella respek? Sesedap hati Bella sahaja tuduh dia begitu. Ini yang buat dia rasa nak naik angin.
           
“You ingat, jalan kat bandar ni macam jalan kat kampung ke? Lengang tak ada kereta? I baru habis mesyuarat tadi. Nak kena pergi berkejar ambil dia orang pulak. Memanglah makan masa sikit.” Naim membalas dengan menekankan sedikit suaranya.
           
“Eii… Balik-balik itu ajelah alasan you. Dahlah, pergi ambil dia orang cepat-cepat. Nanti you jangan lupa buat apa yang I dah pesan tadi tu sekali.” Bella akhirnya mengalah. Malas hendak bertekak lama-lama dengan Naim.
           
“Ya, I belum hilang ingatan lagi. Dahlah, I tengah memandu ni. Bye.” Naim mencampakkan telefonnya di tempat duduk sebelah. Dia mendengus bengang. Kalau tidak disebabkan kes dia melanggar kucing tadi, tentu dia sudah sampai ke rumah Awin tepat pada waktunya.
           
Ini semua sebab perempuan hantu kucing itulah. Pasal kucing pun hendak kecoh. Bukannya dia langgar orang pun. Si Bella ni pun satu hal juga. Kalau tidak membebel macam mak nenek, tidak bermakna kehidupan seharian dia agaknya. Malang betullah dapat kekasih yang kuat membebel macam Bella. Lama-lama nanti, tidak mustahil telinganya boleh terkena penyakit kanser telinga.
           
Tanpa berlengah, Naim terus memecut keretanya laju-laju. Sebaik sahaja sampai di rumah Awin, sedang elok sahaja Awin sudah menunggunya di depan pintu pagar.
           
“Maaf, Awin. I lambat sikit. You dah lama ke tunggu?” tanya Naim berbasa-basi. Sengaja dia bertanya soalan itu untuk menampakkan keramahannya walaupun dia sendiri sudah tahu Awin telah lama menanti kedatangannya. Kalau buat ramah, risiko kena marah kurang sedikit.
           
“Yalah. Tadi Bella cakap you nak datang sebelum pukul 6.00. I tunggu dari pukul 5.30 tadi lagi. KekasihI dah bising-bising sebab dah lambat nak keluar,” jawab Awin sambil menala matanya ke arah seorang lelaki yang sedang duduk di atas sebuah kerusi batu di halaman rumah.
           
Naim memanjangkan leher untuk menjenguk. Sempat dia mengangkat tangan ke arah kekasih Awin itu. Namun, lelaki itu hanya sekadar menjongketkan keningnya. Senyum pun tidak. Marah sangatlah tu. Nasib kaulah, lelaki. Kalau kau bengang, aku ni lagilah bengang.
           
“Maaf, maaf. I tak berniat nak buat you tertunggu lama. Hah, mana Anchu dan Chicky?” Naim terus mengubah topik.
           
“Ada kat dalam rumah. Sekejap ya, I masuk ambilkan dia orang.” Awin beredar dan masuk ke dalam rumahnya.
           
Beberapa minit selepas itu, dia keluar semula bersama dua buah bakul sederhana besar yang dibimbit di kedua-dua belah tangannya. Naim yang melihat keadaan itu cepat-cepat membuka pintu belakang bagi membolehkan Awin meletakkannya di dalam kereta.
           
“Bye, Anchu dan Chicky. Jumpa lagi. Muah!” Awin sempat melayangkan flying kiss kepada dua ekor kucing itu sebelum menutup pintu.
           
Naim hanya mencebir melihat gelagat Awin. Dengan kucing pun bercium bagai juga? Reti ke kucing itu hendak sambut flying kiss itu? Awin ni, sama sahaja macam Bella, omel Naim.
           
“Okeylah, Awin. Terima kasih sebab sudi jaga Anchu dan Chicky. Jumpa lagi ya,” ucap Naim sebelum melangkah masuk ke dalam keretanya.
           
“Okey. Bawa kereta tu, hati-hati sikit. Jangan pandu laju-laju sangat. Nanti dia orang takut pulak.” Awin sempat berpesan sebelum Naim menutup pintu.
           
Naim hanya mengangguk. Sejurus kemudian dia terus menggerakkan kereta, beredar dari kawasan perumahan Awin.Di sepanjang perjalanan pulang, hati Naim berasa resah memikirkan bagaimana hendak menguruskan kucing-kucing kesayangan Bella itu. Tergaru-garu kepalanya apabila mengingatkan pesanan Bella yang menyuruh dia memberi makan, memandikan dan menidurkan Anchu dan Chicky. Aduhai, leceh betullah. Ada ke patut Bella suruh dia buat semua itu. Tidak maco langsung.
           
“Meow!” Tiba-tiba Naim terdengar salah seekor kucing tersebut mengiau kuat. Dia segera menoleh.
           
“Hah! Jangan bising-bising kat dalam kereta aku ni. Duduk diam-diam!” sergah Naim dalam nada garang. Tersentak dia mendengar kucing itu mengiau. Pantang sungguh dia kalau mendengar suara kucing. Tengok kucing di depan mata lagilah.
           
“Meow…” Suara kucing itu berbunyi sayu. Seolah-olah menjawab, “Baiklah.”
           
Naim tersenyum nipis.
           
“Ha, bagus! Jangan nak buat kereta aku ni, macam kereta tuan kaupulak. Boleh bising-bising sesuka hati kau aje. Kalau aku dengar kau mengiau lagi sekali, aku campakkan kau dua ekor keluar dari kereta ni, faham?” ugut Naim lagi sambil mendengus.
           
Kucing itu terus diam dan tidak berbunyi lagi.
           
Naim terus memandu sambil melayan fikirannya yang hanyut entah ke mana. Tiba-tiba….
           
“Ha… baru aku teringat!” Naim memetik jari sambil tersenyum. Dia sudah mendapat idea bagaimana mahu menyelesaikan masalahnya. Pedal minyak kereta terus ditekan kuat.

*****

HUSNA menarik nafas lega apabila diberitahu oleh doktor bahawa kucing yang dilanggar tadi tidak mengalami kecederaan yang serius. Di atas saranan doktor, kucing itu ditinggalkan beberapa hari di klinik untuk pemantauan dan rawatan susulan.
           
Setelah selesai semua urusan di situ, Husna bersiap-siap mahu pulang. Ketika itu, jam sudah mencecah ke pukul 7.00 petang. Sudah hampir waktu maghrib. Hendak balik naik apa? Ada lagi ke bas dan teksi pada waktu begini? Hatinya bersoal sendiri.
           
Husna kemudiannya berjalan menuju ke perhentian teksi berhampiran. Dia mahu mencuba nasib. Manalah tahu jika berjaya tahan sebuah teksi. Bolehlah dia sampai ke rumah cepat-cepat.
           
“Oh, rimau!” Husna melatah spontan apabila disergah oleh bunyi hon kereta dari belakang. Hisy! Siapa punya angkara ni main hon sesuka hati sahaja?
           
Husna mengurut dada perlahan dan segera berpaling. Eh, mamat yang langgar kucing tadi. Apa lagi yang dia buat di sini? Husna tertanya-tanya sendirian dalam hati. Ingatkan sudah tidak ada jodoh lagi mereka nak bertemu.
           
“Ada apa ni, encik? Datang nak minta baki duit rawatan kucing tadi ke?” Husna menyoal sambil menundukkan sedikit kepalanya. Takkanlah berkira sangat kut.
           
“Kau nak balik ke? Marilah aku hantarkan,” pelawa lelaki itu sambil buat isyarat tangan, menyuruh Husna masuk ke dalam keretanya.
           
Husna terkedu sejenak. Kenapa pula tiba-tiba sahaja lelaki itu menjadi sangat budiman dengan dia? Tadi minta tolong hantarkan kucing pergi ke klinik bukan main sombong lagi.
           
“Tak apalah, encik. Saya tak ada duit nak bayar tambang dekat encik. Kereta encik ni kereta mahal,” jawab Husna, menolak lembut.
           
Sebenarnya, dia berasa segan kerana tidak pernah menaiki kereta semahal itu. Eh, pernahlah. Tadi, semasa dia buat muka tidak malu, menyuruh lelaki itu menghantarnya pergi ke klinik. Tetapi,tadi tidak pula dia berasa segan. Mungkin sebab cemas dengan keadaan kucing yang kena langgar itu. Jadi, dia tidak sempat memikirkan perasaan malu dan segan.        
           
“Alah, kau jangan bimbanglah. Aku bagi kau tumpang percuma aje. Duit minyak semua, aku tanggung. Cepatlah naik,” gesa lelaki itu.
           
Husna masih teragak-agak. Kenapa lelaki itu beria-ia sangat mahu menumpangkan dia balik? Atau dia ada niat jahat? Ah, sudah! Husna mula berfikir yang bukan-bukan. Lagipun, dia mana kenal dengan lelaki itu. Dibuatnya nanti dia kena bawa lari atau dijual ke mana-mana, tidak ke malang nasibnya?
           
“Hoi! Yang kau keras macam patung tu, kenapa? Kau takut ke aku buat benda tak elok dekat kau? Kau jangan risaulah. Aku sikit pun tak tergoda tengok kau.” Lelaki itu seolah-olah dapat membaca fikiran Husna.
           
“Macam mana saya nak tahu encik ni tak ada niat jahat dekat saya? Saya bukannya kenal encik pun.” Husna cuba menguji keikhlasan lelaki itu.
           
Lagipun, dia ingat pesan ibunya. Jangan naik kereta orang yang dia tidak kenal sembarangan. Bahaya. Tambah-tambah sekarang, banyak kejadian jenayah yang tidak dijangkakan. Tidak salah kalau dia mengambil sikap berhati-hati.
           
“Muka aku ni macam muka pembunuh bersiri ke? Takkanlah pasal kes aku langgar kucing tadi, kau terus anggap aku ni orang jahat? Sudahlah, kau jangan nak banyak tanya sangat. Naik cepat!” Kali ini, lelaki itu semakin bersungguh-sungguh mempelawa. Dibuka pintu kereta bahagian penumpang dari dalam dan menyuruh Husna masuk.
           
Akhirnya, dalam takut-takut Husna menerima juga pelawaan itu. Namun, hatinya tidak putus-putus berdoa agar tidak ada hal buruk yang akan menimpa dirinya.
           
“Kau tak payahlah buat muka cuak macam tu kat depan aku. Sekarang ni, niat aku baik nak tolong kau. Karang kalau setan dah mula hasut aku buat jahat, gelap pulak masa depan kau nanti. Baik kau fikir yang baik-baik pasal aku,” kata lelaki itu lagi setelah Husna duduk di sebelahnya.
           
Husna mengetap bibir. Macam sudah puas hidup sahaja lelaki ini. Cakap macam esok sudah tak ada hari lagi. Huh!
           
“Kenapa encik susah-susah nak tumpangkan saya balik? Bukan ke tadi encik cakap encik ada hal penting. Ni, tak mencuri masa encik ke?” Perasaan ingin tahu Husna hadir membuak-buak.
           
Lelaki itu mengerising.
           
“Dah banyak dah masa aku kena curi hari ni. Ni, aku nak tanya kau sesuatu. Kau suka kucing?” Wajah gadis yang tidak diketahui namanya itu dikerling sekilas.
           
“Suka.” Laju Husna mengangguk. Memanglah dia hantu kucing. Dia pantang kalau jumpa kucing di mana-mana. Mesti cepat sahaja kucing itu berada di dalam pelukannya. Kalau tidak, takkanlah dia berasa marah sangat apabila lelaki itu buat endah tidak endah terhadap kucing yang dilanggarnya tadi. Semua tentang kucing, dia suka.
           
Lelaki itu tersenyum nipis sambil mengangguk. “Kalau macam tu, kau kena tolong aku,” katanya.
           
“Tolong apa pulak ni?” Dahi Husna berkerut.
           
“Tolong aku uruskan dua ekor kucing kat belakang tu.” Lelaki itu menujahkan ibu jarinya ke tempat duduk belakang.
           
Husna berpaling. Serentak dengan itu, dia menjerit kuat.

© Reeani Annur 2014
      

2 comments:

  1. K unik cinta pada binatang sidah tentu skn cinta sesama manusia.keep it up ye reeani

    ReplyDelete