06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 7

ZARA pandang sekeliling kawasan tempat Muslim parkir kereta. Di hadapannya merupakan bangunan kedai yang menempatkan banyak premis perniagaan. Di sini ke Muslim nak ajak dia shopping?
“Sayang, jom...” pamit Muslim sekali gus menyedarkan Zara.
Zara toleh Muslim di sebelah. “Awak nak shopping apa dekat sini?”
Tanpa menjawab pertanyaan Zara, Muslim terus pegang pergelangan tangan Zara dan mengheretnya masuk ke dalam sebuah butik yang diberi nama The Fabulous Miki.
“Isy! Apa awak ni main pegang-pegang tangan saya? Saya tahulah jalan sendiri,” marah Zara sambil merentap tangannya. Dia jeling Muslim, tetapi lelaki itu buat tidak tahu sahaja.
“Ini butik kawan abang, Miki. Cuba sayang tengok barang-barang kat dalam butik ni. Baju, kasut, beg, aksesori... Semuanya ada termasuk salun kecantikan. Jadi, kita dah tak perlu shopping ke mana-mana lagi dah. Shopping dekat sini pun dah cukup. Sayang suka tak?” Muslim senyum pandang Zara, menanti respons daripadanya.
“Awak yang nak shopping. Buat apa tanya saya?”
“Bila masa pulak abang cakap abang nak shopping?
“Tadi dekat ofis. Dah tu, kalau tak nak shopping buat apa awak ajak saya datang ke sini?”
“Sebab nak suruh sayang shoppinglah.”
Zara kerut dahi. Cuba memahamkan kata-kata Muslim yang berputar belit dan memeningkan kepalanya. “Awak ajak saya pergi shopping. Tapi, awak tak nak shopping. Kemudian awak nak suruh saya shopping pulak? Eii... apa yang awak cakap ni? Saya tak fahamlah!”
“Sayang shopping. Abang bayar. Faham tak?” jelas Muslim masih tenang melayani sikap Zara.
“Hah?!” Rahang Zara jatuh. Baru sahaja nak bertanya lebih lanjut, Muslim berlalu meninggalkannya, pergi mendekati seorang lelaki. Dia nampak Muslim berbual mesra dengan lelaki itu sebelum datang menghampirinya semula.
“Miki, hari ni aku nak minta tolong kau pilihkan baju untuk Zara. Yang boleh buat dia nampak gorgeous dan memukau pandangan semua orang. Boleh?” kata Muslim bergilir-gilir pandang Miki dan Zara. Dia rasa Miki lebih tahu apa yang terbaik buat Zara. Lagipun pengalaman Miki dalam bidang fesyen bukannya sehari dua. Malah, sudah mencecah hampir 10 tahun.
Miki pandang gadis di sebelah Muslim atas bawah. Kemudian tersenyum lebar.
“Oh, tentulah boleh. Kau cakap aje nak baju jenis macam mana? Tertutup, terbuka, terkoyak? Semuanya ada kat sini. Mari ikut aku,” ujar Miki lalu mengajak Muslim dan Zara pergi ke sudut pakaian.
“Aku nak yang kau carikan baju yang jenis tertutup dan sopan, tapi seksi. Ada tak?”
Zara kerut dahi memandang Muslim. Tertutup dan sopan, tapi seksi? Biar betul Muslim ni. Baju jenis apa yang Muslim maksudkan tu? Isy! Janganlah Muslim nak suruh dia pakai fesyen baju yang bukan-bukan. Tak rela dia nak memalukan diri sendiri di hadapan orang lain.
Miki bergumam sambil mengetuk-ngetuk jari telunjuk ke dagu. Lama dia berfikir sebelum memetik jari kuat. Dia pergi ke bahagian baju kebaya lalu membelek-belek pakaian yang tergantung di rak. Tiga pasang baju yang menarik perhatiannya ditarik keluar dan ditayangkan kepada Muslim.
Taraa... Amacam? Cantik tak?” tanya Miki.
Muslim kerling Zara. “Pilihlah mana satu yang sayang berkenan.”
Zara telan air liur. Terkial-kial dia dibuatnya. Mana dia suka pakai baju kebaya. Tengok design baju yang dipilih oleh Miki itu lagilah dia tak berkenan. Moden sangat bagi dia yang tak berapa nak bergaya ni.
Baby, cepatlah pilih baju ni...” sampuk Miki pula dalam nada manja sambil menggoyang-goyangkan pinggulnya.
Zara tersentak. Baby? Aduh! Ini seorang lagi manusia yang buat kepalanya berasa pening. Sudahlah penampilan dan gaya percakapannya macam orang yang ada krisis identiti sahaja.
“Okeylah, kalau sayang tak tahu nak buat pilihan, biar abang yang tolong pilihkan untuk sayang. Hmm... abang rasa abang suka yang warna merah ni. Sayang tentu nampak cantik kan bila pakai nanti?” Muslim mengambil baju kebaya tersebut dari tangan Miki seraya memadankannya pada badan Zara.
Gorgeous! I pun suka. Kalau dipadankan dengan kasut tumit tinggi empat inci tentu baby nampak lagi menawan. Ha... I ada satu kasut edisi terhad yang baru sampai tadi. Tunggu sekejap ya, I pergi ambil.” Miki terus bergegas ke bahagian pameran kasut lalu mencapai kasut yang dimaksudkannya sebelum datang semula menghampiri Muslim dan Zara.
Perfect! Baby, cuba baby tengok. Baju kebaya dengan kasut tumit tinggi ni memang secocok dengan baby. Kalau baby pakai, I yakin baby akan jadi cantik macam I. Percayalah. Oh, my God... I dah boleh bayangkan semua tu.” Miki menggenggam kedua-dua tangannya lalu dibawa ke dada. Dia berasa teruja membayangkan Zara memakai baju dan kasut tersebut.
Cantik macam Miki? Perasan jugak mamat krisis identiti ni, gerutu Zara. Hairan betul dia. Macam manalah Muslim boleh berkawan dengan lelaki lembut macam Miki ni. Zara tunduk melihat kasut tumit tinggi yang diletakkan di depan kakinya. Isy, tingginya! Kalau jatuh memang sah kakinya terseliuh. Gerun semacam dia tengok ketinggian kasut itu. Tak sangguplah dia nak pakai.
“Saya tak berkenanlah dengan kasut ni. Tinggi sangat. Lagipun saya tak suka pakai kasut tinggi-tinggi macam ni. Saya tak sanggup nak cederakan kaki saya,” kata Zara sambil menggeleng.
Kening Muslim terjongket tinggi memandang Miki.
Miki terus peluk bahu Zara spontan. Walaupun Zara menepis, namun dia sedikit pun tidak mengendahkannya.
Baby... kalau baby nak tahu, kebaya dan kasut tumit tinggi merupakan satu kombinasi yang bagus tau. I percaya, kalau baby pakai kedua-duanya, baby akan jadi cantik macam I dan lebih cantik daripada semua perempuan yang ada kat dalam dunia ni. I berani potong rambut I tau. Sekarang, apa kata kalau baby pergi masuk ke dalam bilik persalinan dan cuba pakai baju kebaya dan kasut tu dulu. Mari I bawa baby pergi ke sana.” Miki heret lengan Zara pergi ke bilik persalinan dan menolak Zara masuk ke dalamnya.
Nak tak nak, Zara terpaksa menurut. Dia termenung sejenak di dalam bilik itu mengenangkan apa yang sedang dilaluinya sekarang. Kenapa dia perlu buat semua ini? Kenapa dia harus terlibat dengan masalah Muslim? Perasaan kesal bertimpa-timpa datang menghimpit diri.
Miki menyeka dahi serentak menghembus nafas panjang. Dia kembali menghampiri Muslim dan berbual-bual dengannya sementara menanti Zara menukar pakaian.
“Sejak bila kau pasang awek baru ni? Sebelum ni aku tak pernah nampak pun kau heret perempuan datang ke butik aku?” tanya Miki. Dari tadi lagi dia hendak tanya soalan itu, tetapi tidak berkesempatan.
“Itu bukan awek betul,” jawab Muslim ringkas.
“Dah tu, yang berabang-sayang bagai tadi tu apa maksudnya?” Kening Miki hampir-hampir bertembung.
Muslim tersengih.
“Itu panggilan manja aku dengan dia. Aku upah dia menyamar jadi kekasih aku,” nyata Muslim tanpa berselindung. Dengan Miki memang tidak ada apa yang perlu dia sembunyikan.
“Apa masalah kau yang hadapi sekarang?” Miki menatap lama wajah Muslim. Dia kenal sangat dengan lelaki itu. Setiap apa yang Muslim buat pasti ada sebab musababnya. Hanya tunggu Muslim buka mulut sahaja.
Muslim hembus nafas panjang sebelum bercerita kepada Miki.
“Nenek aku nak jodohkan aku dengan calon pilihan dia. Aku minta bantuan dengan sebuah syarikat untuk upah orang menyamar jadi kekasih aku. Dialah orangnya,” jelas Muslim. Matanya mengintai-intai ke bilik persalinan, namun bayang Zara masih belum muncul. Lamanya salin baju.
“Oh...” Miki berjeda panjang sambil terangguk-angguk. “Habis tu, nenek kau dah jumpa dia?”
Muslim menggeleng. “Aku nak kau buat dia jadi cantik dulu. Lepas tu baru aku bawa dia jumpa dengan nenek aku. Jadi, tugas kau sekarang, kau kena pastikan dia kelihatan menawan supaya bila nenek aku tengok Zara nanti dia akan lupa terus dengan calon pilihan dia tu.”
Miki tersengih. Geliga juga otak Muslim ni. Malah, dia juga tidak menyangka ada syarikat yang menawarkan khidmat menyamar seperti yang Muslim buat sekarang. Syarikat jenis apa tu?
“Kalau bab tu, kau tak perlu risau. Aku akan pastikan mulut nenek kau tu ternganga sampai lalat masuk ke dalam mulut dia masa dia tengok Zara nanti. Kau serahkan aje semuanya pada aku.” Penuh berkobar-kobar Miki meyakinkan Muslim. Setakat hal macam tu, hujung jari kelengkengnya sahaja dia boleh selesaikan.
“Aku tahu kau boleh tolong aku. Sebab tu aku datang jumpa kau,” ungkap Muslim lagi. Dia percaya Miki akan mengotakan kata-katanya.
Bunyi geseran pintu menarik perhatian Muslim dan Miki ke arah bilik persalinan. Kedua-duanya saling terkedu apabila melihat Zara melangkah keluar dari situ.
Zara mengatur langkah penuh berhati-hati mendekati Muslim dan Miki. Kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki buat dia berasa kekok. Dia yakin, kalau ada kura-kura di sebelah, pasti kura-kura itu berjalan lebih laju daripadanya.
Baby!” Miki menjerit tiba-tiba.
Zara terkejut dan hilang imbangan badan. Terasa tubuhnya melayang-layang namun, tidak pula dia jatuh di atas lantai. Sebaliknya jatuh di atas tangan Muslim yang bertindak menahan tubuhnya dari bawah. Pandangan dia dan Muslim saling berlaga. Buat beberapa saat, dia dan Muslim sama-sama terpaku.
Baby, baby okey ke?” tanya Miki cemas.
Pertanyaan Miki akhirnya membawa Zara dan Muslim ke alam nyata semula.
Muslim memapah Zara bangun. Mujur dia sempat menyambut Zara tadi. Kalau tidak sudah tentu Zara jadi nangka busuk di depan dia dan Miki.
“Sa... saya tak apa-apa,” balas Zara tergagap-gagap sambil membetulkan baju kebaya dan kain batik yang dipakainya. Ya Allah! Malunya... Kenapalah nasib aku malang sangat hari ni? Zara menggerutu. Mukanya terasa panas hangat.
“Maaflah kalau jeritan I tadi buat baby terkejut. I jerit bukannya apa. I cuma terkejut tengok baby pakai baju kebaya dengan kasut tu. Baby nampak cantik sangat. Sungguh, I tak tipu. Kalau tak percaya, baby tanya Muslim. Muslim pun terpegun tengok baby tadi.”
Mata Zara berkalih ke wajah Muslim. Muslim mengangguk sambil mengukir senyum. Entah mengapa, di saat itu dia rasa senyuman Muslim sangat manis pada pandangan matanya. Sweet macam gula-gula kapas. Alamak! Ayat dia pun sudah sama macam ayat Muslim juga.
“Saya rasa tak selesa,” adu Zara kepada Muslim.
“Tak apa, sayang masih ada masa nak sesuaikan diri dengan semua ni. Miki akan ajar sayang macam mana nak berjalan pakai kasut ni,” pujuk Muslim lalu memberi isyarat kepada Miki supaya memulakan peranannya.
Miki mengangguk dan terus menepuk tangan.
Okay, baby... Baby jangan risau ya. I akan ajar baby berjalan pakai kasut ni sampai baby berjaya. Mula-mula, baby kena berdiri tegak. Tarik nafas dalam-dalam. Hembus perlahan-lahan. I tahu baby nervous. Tapi, percayalah... Baby boleh lalui semua ni dengan baik. Yang penting baby kena yakin dengan diri sendiri.” Miki memberi kata-kata semangat kepada Zara.
Zara menurut apa yang disuruh oleh Miki. Segala resah dan debar dilepaskan bersama hembusan nafasnya. Terasa lega sedikit walaupun tidak sepenuhnya. Dalam hati, dia tidak henti-henti berdoa agar kejadian malang tadi tidak akan berulang kembali.
“Caranya taklah susah sangat. Baby kena berjalan dari heel to toe supaya badan baby jadi lebih seimbang dan tak jatuh. Lepas tu, jarak langkah baby jangan terlalu besar sangat tau. Takut nanti tersalah langkah baby jatuh pulak. Okey, cuba baby jalan, I nak tengok,” terang Miki panjang lebar mengenai cara betul apabila berjalan menggunakan kasut tumit tinggi.
Penuh berhati-hati Zara menyusun langkah. Beberapa percubaan awal hampir-hampir membuatkan dia tersungkur. Namun, mujur ada Miki di sebelah. Kata-kata perangsang yang diberi oleh Miki sedikit sebanyak membina keyakinannya mengorak langkah.
Manakala Muslim pula hanya memerhati Miki mengajar Zara. Butir-butir yang keluar dari mulut Miki tenggelam timbul dalam larutan perasaannya terhadap Zara. Tidak pernah dia rasa perasaan aneh sebegini terhadap mana-mana perempuan sebelum ini.
“Muslim, tengok ni... Sayang kau dah pandai berjalan pakai kasut tumit tinggi!”
Jeritan Miki menyentap kelekaan Muslim. Dia tengok Zara sudah yakin berjalan dan pusing ke sana sini berbanding tadi, yang cara jalannya macam siput sambil mendepakan tangan. Muslim mengangkat ibu jarinya. Dia perlu berterima kasih kepada Miki kerana Miki telah berjaya membuatkan Zara melangkah yakin menggunakan kasut itu. Terima kasih kepada Zara juga sebab cepat belajar. Dalam tempoh terhad begini, dia rasa itu semua sudah cukup bagus.
“Baju sudah. Kasut pun sudah. Aksesori tu nanti biar I yang pilihkan. Sekarang, I nak dandan rambut baby pulak. Mari, baby... iIkut I pergi ke salun. I akan jadikan baby gadis yang paling cantik kat dalam dunia ni.” Miki berjalan melenggang mendahului Zara menuju ke bilik salun.
“Awak nak ubah penampilan saya jadi apa pulak ni?” Zara bertanya kepada Muslim ketika dia berselisih dengan lelaki itu.
“Jadi tuan puteri,” balas Muslim bersahaja.
“Tak payahlah beria-ia sangat. Nanti rosak rambut saya.” Zara mencari alasan untuk mengelak daripada disuruh membuat rawatan rambut. Rambut dia sekarang tak cantik ke?
“Ini semua strategi.” Muslim tersenyum.
Dia menilik rambut Zara yang panjang mengurai melepasi bahu. Pada pandangannya, rambut Zara sekarang sudah sedia cantik. Tetapi jika diubah sedikit gayanya, Zara pasti akan kelihatan lebih menawan.
Baby!” Suara Miki melaung kuat sekali gus membuatkan Muslim dan Zara berpaling serentak. Miki menggerak-gerakkan jari telunjuknya kepada Zara supaya datang ke salun.
“Boleh tak awak beritahu dekat kawan awak tu supaya jangan panggil saya baby? Saya ni dah besar panjang. Bukannya budak kecil lagi.” Zara ketap bibir menahan geram. Dari tadi lagi dia tahan sabar. Baby, baby, baby... Nama dia Zara, bukannya baby. Panggil nama betul tak boleh ke?
Muslim mengerling Miki yang sedang bercekak pinggang memandang dia dan Zara.
“Lebih baik sayang pergi dekat Miki cepat-cepat sebelum dia panggil sayang dengan panggilan baby sekali lagi,” kata Muslim.
“Huh! Menyampah!” Zara mendengus. Yang ini seorang lagi. Sayanglah sangat. Nak kena luku kepala dahulu kut baru reti nak panggil dia Zara.

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment