KEESOKAN pagi, Zara
bersiap-siap hendak pulang ke bandar semula. Cuti yang dipohon dua hari sahaja.
Kalau bercuti lama sangat tidak ada orang pula nak uruskan kerja-kerja di
pejabat. Kelam-kabut Encik Peon nanti. Zara bawa
keluar beg pakaiannya ke luar rumah. Sampai di beranda, dia melihat emak dan
ayahnya sedang sibuk mengikat dua plastik berwarna hitam yang tidak diketahui
isi kandungannya.
“Apa tu, ayah, mak?” Zara menyoal sambil memuncungkan mulut ke arah
plastik tersebut.
Pak Mutalib dan Mak Leha mendongak serentak seraya bangun.
“Ha... ini ada buah tangan sikit buat bakal menantu ayah dan mak tu.
Nanti Zara beri dekat Muslim ya. Untuk Zara dan Sheila makan kat rumah sewa,
ayah letak sekali jugak kat dalam tu. Sampai sana Zara asingkanlah plastiknya,”
kata Pak Mutalib panjang lebar.
Zara tunduk menjamah bahagian luar kedua-dua plastik. Kemudian berdiri
semula memandang Pak Mutalib dengan riak terkejut.
“Buah duku dan rambutan? Banyaknya! Macam mana Zara nak bawa balik semua
ni? Dengan beg pakaian lagi. Ayah, Zara balik dengan bas tau, bukannya kereta sendiri,” keluh Zara. Boleh patah
tangan dia bawa banyak barang macam ni.
“Bolehnya... Beg pakaian Zara galas kat
bahu. Dua belah tangan lagi tu Zara bibitlah plastik buah-buahan ni.”
“Beratlah, ayah...”
“Isy! Mana ada berat. Ringan aje ni. Cuba tengok ayah pegang. Ha, mana
ada patah tangan pun.” Pak Mutalib mengambil kedua-dua plastik itu lalu
berjalan ke hulu ke hilir bagi membuktikan kata-katanya.
Zara hentak kaki beberapa kali tanda geram.
“Mak... tengoklah ayah ni,” adu Zara. Dia serius tetapi ayahnya buat
lawak senario pula.
Mak Leha ketawa melihat gelagat suami dan anaknya.
“Alah, berat sikit aje tu. Lagipun Zara bukannya tak biasa angkat
barang-barang berat macam ni, kan? Hari tu mak tengok Zara bawa balik buah
manggis satu plastik besar tak ada apa-apa masalah pun. Takkanlah dua plastik
kecil macam ni Zara tak boleh bawa?” kata Mak Leha menyebelahi Pak Mutalib.
“Hari tu dengan hari ni lain. Mana sama. Mak dengan ayah ni tak kesiankan
Zara ke?” Zara tarik muka masam.
“Siapa cakap ayah tak kesiankan Zara? Cuba tengok siapa yang datang tu?”
Pak Mutalib menjuih mulut ke arah sebuah kereta Kancil berwarna merah yang
sedang memasuki pekarangan rumah.
“Abang Leman?” kata Zara setelah mengecam wajah pemandu kereta itu.
“Ayah minta tolong Leman hantarkan Zara sampai ke stesen bas. Jadi, tak
lenguhlah tangan Zara nak bawa semua plastik buah ni,” jelas Pak Mutalib.
membunyikan hon sebaik sahaja keretanya berhenti di hadapan tangga rumah
Pak Mutalib. Setelah itu, dia keluar bersalaman dengan Pak Mutalib.
“Pak Talib, semuanya dah siap ke?” soal Leman sambil memandang
ketiga-tiga beranak itu silih berganti.
“Dah. Ni, kamu tolong angkat semua barang ni bawa masuk ke dalam but
kereta,” arah Pak Mutalib sambil menghulurkan plastik buah duku dan rambutan
kepada Leman.
Zara memerhati Leman yang bersungguh-sungguh melaksanakan suruhan ayahnya
tadi. Leman memang boleh diharap kalau minta tolong apa-apa. Semua orang kampung
menyenangi sikapnya. Dia juga sudah menganggap Leman seperti abang sendiri.
“Kenapa ayah tak cakap awal-awal dekat Zara pasal semua ni?” soal Zara.
Timbul pula rasa bersalah di atas keterlanjuran kata-katanya tadi.
“Kalau ayah cakap, tak ada kejutanlah nanti.” Pak Mutalib tergelak
apabila Zara menampar manja lengannya.
“Dahlah tu. Cepat bertolak. Nanti kena tinggal dengan bas pulak.” Mak
Leha menyampuk.
Zara terus hulur tangan kepada Mak Leha dan Pak Mutalib. Kemudian memeluk
dan mencium kedua-dua pipi mereka.
“Zara minta diri dulu, mak, ayah. Jaga diri baik-baik,” pesan Zara
sebelum menuruni anak tangga.
“Jangan lupa tau beri buah duku
dan rambutan tu dekat bakal menantu ayah. Sampaikan salam ayah dan mak sekali
kepada dia.” Pak Mutalib mengingatkan Zara sekali lagi.
“Yalah...” Zara menjawab lemah sebelum masuk ke dalam kereta. Sayang
sangat dekat bakal menantu palsu mereka tu, getusnya.
SEBAIK sahaja kereta Leman
bergerak, ada SMS masuk ke dalam telefon bimbitnya. Zara lekas-lekas membaca.
Kau
dah bertolak ke? Nanti dekat-dekat nak sampai, mesejlah aku. Aku datang ambil
kau dekat stesen bas.
Okey.
Sayang kau beribu kali sayang.
Zara tersenyum membalas SMS Sheila. Nasib baik Sheila tawarkan diri
hendak menjemputnya. Maka, tidak perlulah dia bersusah payah balik ke rumah
berjalan kaki sambil membimbit banyak barang. Kalau diikutkan, jarak rumah
sewanya dengan stesen bas tidaklah begitu jauh. Jika berjalan kaki, hanya
mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja. Tetapi
kalau bawa banyak barang, 10 minit pun boleh
melarat jadi 30 minit.
“Hai, senyum sorang-sorang nampak. Main mesej dengan buah hati ke?” tegur
Leman sekali gus mematikan senyuman Zara.
Zara menyimpan semula telefon bimbit ke dalam beg tangan. Entah buah hati
mana yang Leman maksudkan.
“Abang Leman ni pandai-pandai aje. Zara mana ada buah hati,” nafi Zara.
“Ya ke ni? Abang tak percayalah.” Leman tergeleng-geleng. Mustahil orang
secantik Zara tidak memiliki teman istimewa.
“Kalau tak percaya, pergilah tanya dekat mak dan ayah Zara sendiri,”
cabar Zara. Geram pula dia rasa apabila cakapnya tidak dipercayai.
Leman tersenyum.
“Abang dengar cerita, hujung bulan ni Zara dah nak kahwin. Habis, kalau
Zara tak ada buah hati, bakal suami Zara tu buah apa? Buah dadu?” Ketawa Leman
terburai kuat.
Zara tersentak. Dia renung muka Leman lama-lama. Dari
mana Leman tahu semua ni?
“Siapa yang beritahu Abang Leman pasal hal tu?” soal Zara inginkan
kepastian.
“Pak Talib sendiri yang cerita. Amboi, Zara... Diam-diam
aje ya? Dalam duk kata tak ada buah hati, tiba-tiba dah nak kahwin dah.
Melepaslah semua lelaki kat dalam kampung ni,” seloroh Leman sambil melirik
Zara sekilas pandang.
Hampir tercekik Zara menelan air liurnya. Isy! Ayah dia ni... Cepat betul
pergi bercerita tentang kisah kahwinnya kepada orang lain. Dibuatnya tidak jadi
kahwin, siapa yang malu nanti?
“Lambat lagilah, Abang Leman...”
“Lambat apanya? Ada beberapa minggu aje lagi ni. Tak lama lagi sampailah
masanya.”
Zara tersenyum hambar. Kata-kata Leman itu memang dia tidak nafikan
kebenarannya. Namun, dia amat berharap waktu tidak akan cepat berlalu sebab dia
masih perlukan masa untuk memikirkan cara-cara hendak melepaskan diri daripada
kena berkahwin dengan Muslim.
“Nanti dah sampai bandar, siapa yang jemput Zara?” tanya Leman lagi.
“Kawan,” balas Zara sepatah.
Dahi Leman berkerut. “Kenapa tak suruh buah hati Zara
aje yang jemput?”
Zara palingkan muka ke luar tingkap. Dia berusaha menyabarkan diri agar
tidak melepaskan kata-kata yang tidak sepatunya. Leman ni kan... Tak habis-habis dari tadi asyik menyebut ayat buah
hati. Dia cepuk kepala baru tahu.
“Dia pergi outstation. Minggu depan baru
balik.” Zara mereka-rekakan cerita. Semoga jawapannya itu akan membuatkan Leman
berhenti menyoal pasal buah hati yang tidak dianggap itu.
Leman bergumam panjang.
“Jadi, sama-sama sedang terseksa tanggung rindulah ni ya?” usiknya lagi
lalu tergelak.
Zara mengeluh halus. Leman macam sengaja nak cari pasal saja ni.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment