HANIS duduk termenung di beranda rumah
selepas tamat kenduri tahlil. Walaupun sudah tiga hari berlalu, namun air
matanya masih belum kering menangisi pemergian emak dan ayahnya.
Kenapa mereka
pergi terlalu cepat? Bagaimana dia dan Sarah mahu meneruskan
hidup tanpa sokongan mereka di sisi? Ya Allah, kuatkanlah semangatku. Hati
Hanis bermunajat sambil menyeka air mata yang tumpah ke pipi.
“Sudahlah,
Hanis. Tak elok menangis berlebihan macam ni. Yang pergi tu, biarkanlah pergi.
Allah lebihkan sayangkan mereka. Kita doakan saja semoga mereka tenang di
sana,” pujuk mak teh seraya duduk bersimpuh di sebelah Hanis. Tangannya
menyentuh lembut bahu Hanis.
Dia juga dapat
merasakan kesedihan yang ditanggung oleh anak saudaranya itu. Berbanding Sarah,
Hanis kelihatan lebih sedih kerana dia tidak sempat bersemuka dengan emak dan
ayahnya sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir. Tambahan pula, Hanis
tinggal di asrama dan jarang dapat bersua muka dengan mereka.
Hanis hanya
membisu. Dia tahu, air mata itu tidak akan dapat mengembalikan kedua-dua orang
tuanya semula. Tetapi, apa lagi yang dia terdaya lakukan?
“Hanis, mak teh
ada perkara nak bincang dengan Hanis sikit. Mak teh dah tanyakan hal ni dekat
Sarah. Sekarang mak teh nak tanya dekat Hanis pulak.”
“Apa dia, mak
teh?” soal Hanis lemah.
“Mak teh dan pak
teh dah sepakat nak ajak Hanis dan Sarah tinggal bersama-sama kami. Sarah dah
setuju. Hanis pulak, macam mana?” beritahu mak teh mengenai rancangannya dengan
suami.
Hanis menghela
nafas. Wajah mak teh dipandang redup. Lama dia gantung jawapan yang didambakan
oleh wanita itu.
“Kalau Hanis
setuju, nanti mak teh dan pak teh akan uruskan pertukaran sekolah Hanis.
Sebelum mak dan ayah Hanis meninggal, mereka dah pesan dekat mak teh supaya
jaga Hanis dan Sarah kalau ada sesuatu terjadi pada mereka. Jadi, inilah
masanya mak teh nak tunaikan hasrat mereka. Kalau Hanis dan Sarah tinggal
dengan mak teh, senanglah sikit mak teh nak tengok-tengokkan kamu berdua.
Sekolah pun dekat aje dengan rumah mak teh. Nanti tak perlulah Hanis duduk
asrama lagi,” terang mak teh panjang lebar apabila Hanis tidak memberi jawapan
seperti yang dikehendaki.
“Kalau itu
keputusan yang baik untuk Hanis, Hanis ikut ajelah cakap mak teh,” putus Hanis
perlahan. Sesungguhnya, dia sudah tidak mampu berfikir apa-apa lagi di kala
itu.
Mak teh
tersenyum lebar mendengar keputusan Hanis.
PUKUL 5.00 petang, Izam bersiap-siap hendak turun ke gelanggang
takraw untuk menjalani latihan rutin. Ketika menuruni tangga asrama, dia
bertembung dengan Dali yang mengkhabarkan kepadanya tentang kepulangan Hanis.
Tidak tunggu lama, Izam terus bergegas ke asrama perempuan.
Hampir-hampir dia nak berlanggar dengan sebuah kereta yang baru keluar dari
pekarangan kawasan itu. Akibat terlalu teruja hendak berjumpa dengan Hanis, dia
jadi tidak peka dengan keadaan sekeliling. Mujurlah dia sempat mengelak.
Dari jauh, dia nampak Ifa yang mahu melangkah masuk ke
dalam pagar asrama. Cepat-cepat dia memanggilnya. “Ifa, tunggu!”
Ifa menoleh dan terus batalkan hasrat naik ke dorm apabila
melihat Izam berlari ke arahnya. Dia segera tahu tujuan Izam datang ke situ.
“Kau nak jumpa Hanis ke?”
Izam mengangguk.
“Ha’ah. Mana dia?” Mata Izam meliar mencari Hanis. Tidak sabar
mahu bersemuka dengan gadis itu. Dia ingin nyatakan kepada Hanis betapa dia
teramat rindu kepadanya.
“Err... Hanis tak ada. Dia dah pergi,” jawab Ifa serba
salah.
Muka Izam berkerut pandang Ifa. “Dah pergi? Pergi ke mana?
Dali beritahu aku tadi Hanis dah balik asrama.”
“Memang Hanis ada balik tadi. Tapi dia singgah sekejap aje.
Lepas ambil semua barang, dia terus pergi. Dia... dah pindah sekolah,” beritahu
Ifa hal sebenar.
Izam tergamam. Hanis pindah sekolah? Tetapi mengapa Hanis
tidak beritahu dia sepatah pun tentang hal itu? Kenapa dia perlu tahu daripada
orang lain? Sampai hati Hanis buat dia begini. “Dia pergi macam tu aje? Kenapa
dia tak datang jumpa aku dulu sebelum dia pergi?”
“Aku tak tahu. Dia pun tak ada sebut apa-apa pasal kau.”
Hati Izam semakin luluh mendengar kata-kata Ifa.
Berkecai-kecai seperti kaca yang menghempas lantai.
Melihat wajah kecewa Izam itu, Ifa jatuh simpati. Dia ingin
sekali tolong menemukan Izam dengan Hanis buat kali terakhir, tetapi tidak tahu
bagaimanakah caranya.
“Tadi Hanis datang naik kereta pak cik dia. Proton Waja
warna kelabu. Kalau kau nak kejar, pergilah. Tapi... aku rasa mungkin dah tak
sempat kut.”
Izam tersentak. Proton
Waja kelabu? Jadi, kereta tadi tu kereta pak cik Hanislah. Ah, kenapa dia tidak
perasan ada Hanis di dalamnya? Tanpa berlengah, Izam terus cari jalan pintas
menjejaki kereta yang dimaksudkan Ifa. Dia berlari sekuat hati ke pondok pengawal apabila
ternampak kereta itu berhenti untuk pulangkan pas masuk ke dalam kawasan
sekolah.
“Hanis, tunggu!” Izam memerah seluruh keringatnya mengejar
kereta itu.
Malang tidak berbau, kaki kiri secara tidak sengaja
tersepak sebiji batu lalu mengakibatkannya terpelecok dan jatuh tersungkur di
atas jalan tar. Dalam masa yang sama, dia lihat kereta tersebut perlahan-lahan
bergerak keluar dari kawasan sekolah lalu hilang daripada pandangan.
“Hanis!!!” Suara Izam bergema melaung nama Hanis. Dia benar-benar kecewa kerana gagal
menahan Hanis pergi.
Dali muncul di situ tidak lama kemudian dan memapah Izam
bangun.
“Zam, kau okey ke ni?” soalnya sambil lihat lutut dan siku Izam yang tersiat dan berdarah akibat bergesel
dengan jalan tar.
“Hanis dah pergi, Li. Dia tak tunggu aku pun,” kata Izam
tanpa menjawab pertanyaan Dali. Kalau maksud Dali itu merujuk kepada kecederaan
yang dialaminya, dia enggan peduli. Yang dia peduli sekarang adalah tentang
Hanis sahaja.
“Sabarlah... Mungkin ada sebab dia buat macam tu,” pujuk
Dali sambil menepuk-nepuk bahu Izam.
Izam terkelip-kelip pandang Dali sebelum toleh semula ke
arah pintu pagar sekolah. Berharap agar kereta yang Hanis naiki tadi akan
muncul semula di situ. Namun, harapannya sia-sia kerana ia tidak berlaku. Kenapa,
Hanis? Kenapa kau pergi tanpa menunggu aku?
IZAM tongkat dagu di koridor asrama sambil melihat air hujan
yang gugur dari langit. Sebagaimana lebatnya hujan turun, selebat itu jugalah
hatinya menangis. Cara Hanis meninggalkannya buat dia rasa terkilan. Dia
dianggap teman istimewa di sisi Hanis. Sayangnya, dia merupakan orang terakhir
yang tahu tentang pertukaran Hanis ke sekolah lain.
Teganya Hanis pergi tanpa mengucap sepatah kata kepadanya.
Jika Hanis berniat mahu menyakiti hatinya, ternyata Hanis sudah pun berjaya
melakukannya.
“Sudah-sudahlah tu, Izam. Kalau kau duduk termenung macam
tu pun bukannya dia akan datang semula ke sini.” Dali mendekati Izam lalu
memeluk bahunya erat. Sejak semalam, Izam banyak termenung dan buat hal
sendiri. Makan pun tidak mahu. Susah hati dia dibuatnya.
“Yalah, Zam. Buang masa aje kau layan perasaan kecewa kau
tu. Tak berbaloilah kau jadi macam ni sebab perempuan.” Giliran Farid pula
menyampuk.
Izam menjeling sekilas. Ah! Itu kata-kata orang yang tidak
tahu erti cinta. Farid apa tahu? Bengang usah cakaplah tetapi dia tahan
daripada melepaskannya. Karang tak pasal-pasal dia naik tangan dekat Farid.
Dali yang menyedari situasi itu cepat-cepat memberi isyarat
kepada Farid agar tidak mengeruhkan lagi keadaan. Apalah si Farid ni. Orang
tengah sedih, dia pergi bakar perasaan pula. Memang sengaja cari nahaslah tu.
“Apa? Salah ke apa yang aku cakap?” bisik Farid.
“Kau nak cakap apa pun, kau cakaplah. Kau tak faham apa
yang aku rasa,” balas Izam seraya masuk ke dalam dorm dan menghempaskan
badannya ke atas katil.
Dia berasa sakit hati mendengar kata-kata Farid tadi.
Kehilangan Hanis bukanlah sesuatu yang mudah untuk dia hadapi. Cinta Hanis
terlalu kuat melekat di jiwanya.
“Itulah kau... Lain kali kalau nak cakap tu, biarlah
berlapik sikit. Kan dah kena sound.
Padan muka!” Dali menjeling Farid tajam sebelum meninggalkannya keseorangan di
situ.
“Aik, aku cakap benda betul pun kena marah jugak ke?” Farid
mencebik. Tidak semena-mena pula dia yang dipersalahkan.
Apa lagi yang dia hendak cakap? Kalau hati sudah dikuasai
cinta, mata yang celik pun boleh jadi buta. Mujurlah dia tidak terjebak dalam
masalah cinta. Dia bawa diri pergi ke tandas. Buang air besar lagi bagus.
Dali menghampiri Izam dan duduk di birai katil.
“Zam, kau tak payahlah ambil hati sangat dengan cakap si
Farid tadi. Dia tu anti perempuan. Memanglah dia tak faham perasaan kau. Kau
sabar ajelah ya. Kalau masih ada jodoh kau dengan Hanis, mungkin kau akan jumpa
dia semula nanti,” pujuk Dali lagi cuba mententeramkan perasaan Izam.
Izam hanya membatukan diri. Dia memejam mata rapat,
mengasak bayangan Hanis hadir dalam fikirannya. Sungguh, dia benar-benar
merindui Hanis.
Hanis Aqilah, sampai suatu masa nanti, kita pasti akan
bertemu kembali. Dan sisa-sisa cinta yang terdampar itu akan kuhimpuni,
mencantumkannya kembali, menjadi pelangi cinta yang bererti.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment