NAIM tersenyum memandang Husna yang menyambut kepulangannya
di muka pintu.
“Lewat abang balik hari ni?” tegur Husna sambil menyalami
Naim. Perkara wajib yang dilakukannya setiap kali Naim pergi dan balik kerja.
Malah, sebelum tidur juga.
“Abang singgah bazar tadi. Kan sayang cakap nak makan kuih
nekbat?” Naim tunjuk plastik berisi makanan tersebut kepada Husna.
“Terima kasih, abang. Una sayang abang.” Lengan Naim
dirangkul sambil melentokkan kepalanya di situ. Terharu sebab Naim sudi
memenuhi keinginannya.
Naim usap kepala Husna sebelum tunduk memegang perutnya yang
memboyot. Sudah enam bulan usia kandungannya. “Anak papa apa khabar hari ni?
Nakal tak duk kat dalam?”
“Anak papa aktif main tendang-tendang hari ni. Mama tak boleh
nak buat kerja langsung.”
“Iya? Mesti sebab mama dia nakal, kan? Tak dengar cakap papa
suruh duduk diam-diam dan jangan buat sebarang kerja.” Naim usik Husna sambil
tersengih. Dipimpin Husna masuk ke dalam rumah dan duduk melepaskan penat
seketika di sofa.
“Hari ni kita berbuka lauk apa?”
“Nasi goreng aje.”
“Tak letak cili banyak-banyak, kan?”
Husna tergelak. Teringat kejadian dia kenakan Naim dahulu.
Sampai terbatuk-batuk suaminya itu. “Taklah. Kali ni Una letak tak sampai
sepuluh biji.”
“Abang takkan lupa tau apa yang sayang dah buat dekat abang
dulu,” kata Naim. Trauma rasanya makan nasi goreng pedas berapi macam tu. Macam
nak membunuh pun ada.
Ketawa Husna terhambur lagi. “Ya, Una janji tak buat macam tu
dah dekat abang. Nanti dekat nak berbuka abang tolong goreng keropok ya. Buat
ulam dengan nasi goreng.”
“Okey.” Naim angguk.
Setakat kerja menggoreng macam tu, dia tak ada masalah nak
buat. Lagipun sudah terbiasa buat semua kerja suri rumah sejak Husna disahkan
mengandung.
“Lagi satu… makanan Anchu dan Chicky kat dalam sangkar dah
nak habis. Sebelum masuk dapur, abang tolong tambahkan dulu ya?”
Muka Naim terus berubah riak. Bab ni memang dia rasa lemah
sikit.
“Kucing sayang tu teruk betul. Orang lain puasa tapi dia
orang asyik makan aje.”
“Abang ni… kucing mana boleh puasa. Dia orang bukan manusia
macam kita.”
“Nak seribu daya. Tak nak seribu dalih,” balas Naim bersahaja
membuatkan Husna mencubit pahanya.
“Janganlah nak suruh Una membebel dekat abang. Karang banyak
pulak pahala puasa Una yang hilang.” Husna menjeling Naim.
Tak habis-habis nak samakan kucing dengan manusia. Biarpun
Naim dah boleh sesuaikan diri dengan Anchu dan Chicky, namun ia masih belum
mampu membuatkan dirinya berhenti merungut pasal kucing. Kadang-kadang ada
sahaja yang dibebelkannya.
Selepas berkahwin, dia cuba bantu Naim hilangkan perasaan
takut dan geli dengan kucing. Tetapi, setakat ini masih belum berjaya
sepenuhnya. Naim dengan kucing tetap macam musuh sejati.
Naim hanya menggeleng. Dia tahu dia tak akan menang kalau
berdebat dengan hantu kucing macam Husna ni.
“Okeylah, sayang… abang nak pergi mandi dulu. Nanti abang
buat semua kerja tu,” ujar Naim seraya bangkit meninggalkan Husna sendirian di
ruang tamu.
*****
USAI membersihkan diri, Naim melaksanakan suruhan Husna tadi.
Disebabkan keadaan Husna yang sedang sarat mengandung, Anchu dan Chicky tidak
lagi dibiarkan bebas seperti dahulu. Kedua-duanya telah dipindahkan ke dalam
sangkar dan diletakkan di luar rumah.
Naim duduk mencangkung di depan sangkar sambil memakai sarung
tangan. Kalau diikutkan, dia gerun nak buat semua itu sebab kena berada dekat
dengan kucing. Tetapi, demi Husna dia terpaksa jadi berani dan buat-buat
berani.
“Kau orang dua ekor dengar sini baik-baik. Selagi aku tak
selesaikan kerja aku ni, jangan datang dekat dengan aku. Duduk kat tempat
masing-masing diam-diam. Faham?” Keras suara Naim memberi amaran sebelum
membuka pintu sangkar.
Anchu dan Chicky terkebil-kebil memandang Naim.
Setelah memastikan keadaan selamat, Naim cepat-cepat
mengeluarkan bekas makanan automatik milik kedua-duanya dan mengisi makanan
sampai penuh. Dia melakukannya cepat-cepat kerana bimbang Anchu dan Chicky
datang menerkam tangannya.
“Lain kali, makan tu berjimat cermatlah sikit. Biar tahan
seminggu ke makanan kat dalam bekas tu. Jangan makan macam orang bela hantu
raya. Tak larat aku nak tambah selalu tau.” Mulut Naim terus membebel-bebel
walaupun dah habis buat kerja. Dia tanggal sarung tangan dan seka peluh di dahi
sambil hela nafas lega.
Baru sahaja nak masuk ke dalam rumah, tiba-tiba Husna muncul
di muka pintu.
“Abang, Una lupa nak cakap kat abang tadi suruh tukarkan
pasir dia orang sekali. Abang tolong tukarkan sekejap, boleh?”
Naim telan air liur. Argh! Stressnya kena buat kerja yang dia
tak pakar. Dalam menguruskan kucing, kerja inilah yang paling dia tak suka
buat. Tetapi Husna selalu suruh dia buat.
“Topeng?”
Husna tayang topeng muka hijau putih yang dimaksudkan Naim.
Tak perlu tunggu Naim suruh pergi ambil. Dia sendiri sudah tahu apa keperluan
Naim untuk buat kerja tersebut.
Tubuh Naim dipusing membelakanginya. Sambil menyelitkan tali
ke belakang telinga Naim, dia bersungut, “Abang ni mengada-ada betul. Macamlah
tak biasa buat kerja tu.”
“Abang sayang nyawa tau. Tak naklah nanti kena kanser
hidung,” jawab Naim selamba.
“Pasir tu kan serap bau. Tak adanya sampai hidung abang tu
kena barah.”
Naim buat muka bosan. “Hmm… kata-kata seorang hantu kucing
memang selalu kedengaran positif,” perlinya kepada Husna sebelum berlalu pergi
ke sangkar semula.
Sarung tangan dipakai kembali. Dia tarik nafas seketika bagi
menghilangkan perasaan geli.
“Hah! Berhenti makan sekejap. Aku nak bersihkan tandas kau
orang yang tercemar ni.” Naim tunggu kedua-duanya berganjak jauh sedikit.
Kemudian barulah dia buka pintu sangkar.
Litter box di dalamnya ditarik keluar. Naik kembang anak
tekaknya melihat ketulan-ketulan najis yang bersalut pasir. Semua bahan kumuh
itu dibuang ke dalam tong sampah di luar pagar sebelum digantikan dengan pasir
baharu.
“Kau orang dua ekor ni tahu melepas aje, kan? Bersih jamban
sendiri kau orang tak pandai. Cubalah belajar menyenangkan aku sikit. Kalau
bukan sebab peguam bela kau orang tu, memang tak ada maknanya aku nak buat
semua ni, tahu?” Naim bersungut kepada Anchu dan Chicky sambil mengunci pintu
sangkar.
“Meow!” Anchu tiba-tiba menerpa ke pintu sekali gus
membuatkan Naim terperanjat dan terduduk di atas simen.
Naim mendengus. Baru sahaja nak angkat kaki, mengacah mahu
sepak sangkar, terdengar suara Husna berdeham kuat.
“Abang nak buat apa tu?” Husna lipat tangan ke dada sambil
jongket kening. Naim ni, dengan kucing pun dia nak bergaduh.
“Tak ada apa-apa. Buat senaman kaki sikit. Kaki abang lenguh
sebab duduk cangkung tadi,” ujar Naim berbohong. Sempat dia jeling Anchu sambil
mengetap bibir. Nasib baik tuan kau ada duk perhati. Kalau tak, memang dah
bergegar sangkar kau tu aku goyang, gerutunya dalam hati.
Naim tanggalkan sarung tangan dan topeng muka. Kemudian pergi
basuh tangan berdekatan pintu pagar sebelum mengajak Husna masuk ke dalam
rumah.
“Abang macam tak ikhlas aje buat kerja yang Una suruh tadi
tu.” Husna muncungkan mulut seperti orang merajuk.
“Kenapa pulak sayang cakap macam tu?”
“Yalah… cakap dengan Anchu dan Chicky bukan main kasar lagi.
Mesti dia orang kecil hati dengar abang cakap macam tu.”
“Mana ada abang bercakap kasar. Kalau dia orang kecil hati,
tentu dia orang dah menangis tadi,” gurau Naim. Malas nak ambil serius dengan
cakap Husna tu.
Husna tampar lengan Naim. “Hari tu abang janji nak sayang dia
orang. Tapi, sampai sekarang Una tengok abang tak sayang pun.”
“Abang tengah cubalah ni. Tapi, sayang pun kena faham jugak
keadaan abang. Semua ni tak mudah bagi abang. Sayang beri abang masa ya?”
Lembut Naim memujuk Husna.
“Lain kali janji tau. Jangan cakap kasar-kasar lagi dengan
dia orang.”
“Ya, abang janji. Lepas ni abang akan cakap lembut macam
pijak semut pun tak mati.”
“Abang!” Husna cubit pinggang Naim sambil menjeling geram.
Naim tersengih tayang gigi. Dia paut bahu Husna erat. “Dahlah
sayang… jom kita pergi dapur goreng keropok. Karang tak sempat pulak nak makan
buat berbuka.”
*****
NAIM dan Husna duduk menonton televisyen sambil berbual
sesudah berbuka dan solat maghrib.
“Lambatnya baby nak lahir. Abang dah tak sabar dah nak tengok
muka baby ikut muka siapa,” kata Naim sambil pegang perut Husna yang duduk
dalam pelukannya.
Husna mendongak dan tersenyum. “Mestilah ikut muka comel mama
dia.”
“Habis, muka handsome papa dia tak adalah ya?”
Laju Husna menggeleng.
Naim mencebir. “Tak adil betul. Usaha sama-sama tapi sayang
yang dapat lebih.”
Spontan tangan Husna menampar dada Naim yang sakan
mengetawakannya. Enggan melayan cakap Naim tadi lebih-lebih.
“Abang, raya nanti abang ambil cuti berapa hari?”
“Seminggu aje. Abang simpan cuti untuk jaga sayang lepas
sayang lahir baby nanti,” ujar Naim.
Dia teringin nak rasa pengalaman jadi
seorang ayah. Jaga anak sampai tak cukup tidur. Tolong Husna mandikan anak.
Pakaikan pampers. Dodoikan tidurnya. Pendek kata, semualah dia nak rasa.
Husna mengulum senyum terharu. Paras cinta dan sayangnya
terhadap Naim meningkat semakin tinggi.
“Raya nanti giliran rumah Una dulu ya?”
“Abang Taufik dengan Kak Lela ada balik tak?”
“Mestilah balik. Sebab tu Una ajak abang raya kat sana dulu.
Meriah sikit nanti.”
“Abang okey aje. Tapi… rumah sayang tu banyak kucinglah.
Seriau abang dibuatnya.” Naim menggigilkan badan.
Itulah hal yang paling menggusarkan jiwa dan raganya jika
balik ke rumah keluarga mentua. Kucing Husna pula jenis yang tak mesra alam.
“Kucing Una bukan kacau abang pun. Apa yang abang nak
risaukan sangat?” balas Husna.
“Memanglah dia tak kacau abang. Tapi, dia orang buat abang
tak senang senang duduk dengan sikap dia orang yang tak dijangka tu. Tak boleh ke
suruh ayah buat rumah kucing untuk dia orang?”
“Kucing Una mana biasa kena kurung. Dia orang bukannya macam
Anchu dan Chicky.”
Naim mendecit. “Susahlah macam tu. Tak dapatlah abang
bergerak bebas dalam rumah sayang nanti,” sungutnya sambil termenung susah
hati.
“Tak baik tau abang bersangka buruk macam tu dekat kucing
Una. Kucing Una baiklah. Kalau abang mesra dengan dia orang, mesti dia orang
akan mesra dengan abang,” tingkah Husna terus mempertahankan kucing-kucing
kesayangannya. Geram betul dia dengar kata-kata Naim tadi. Macam kucing dia tu
buruk sangat perangainya.
Mesra? Naim telan air liur. Ah, tak kuasalah dia nak
mesra-mesra dengan kucing ni.
“Kalau baik, dia orang tak buat abang terperanjat tau masa
abang datang ke rumah sayang dulu.” Kenangan pahit yang memalukan itu kembali
menerjah ingatan. Dalam banyak-banyak kenangan, kenangan itulah yang paling dia
benci sekali nak kenang.
Husna sedaya upaya cuba menahan diri daripada ketawa. “Abang
tu yang terperanjat lebih-lebih. Kucing-kucing Una memang jenis galak sikit.
Suka main kejar-kejar.”
“Habis, kalau dia orang kejar abang nanti, macam mana?” soal
Naim. Dia semakin resah memikirkan kemungkinan tersebut.
“La… apa yang susahnya? Abang lari ajelah. Tak pun, abang
kejarlah dia orang balik,” balas Husna bersahaja tanpa pamer simpati. Sengaja
mahu tengok reaksi Naim.
Mata Naim terbeliak. Jawapan Husna beri tu tak munasabah
langsung. Rasa nak cekik-cekik sahaja lehernya!
*****
HUSNA bantu Naim pakai tali leher. Sejak berkahwin, tabiat
itu sudah menjadi rutinnya. Daripada tak pandai terus jadi pandai. Naim pun
lebih suka dia pakaikan sebab katanya boleh main-main mata. Nakal bukan main
suaminya itu.
“Abang, hari ni abang balik kerja pukul berapa?”
“Macam biasalah, sayang. Kenapa?” soal Naim kembali. Pada
bulan puasa, dia balik kerja pukul 4.30 petang. Sejam lebih awal berbanding
hari biasa.
“Una teringin nak makan onde-onde la. Nanti lepas abang balik
kerja, kita keluar cari barang sekejap, boleh?” Ini semua gara-gara tengok buku
resipi kuih tradisional sebelum tidur semalam. Esok lusa entah mengidam apa
pula. Bulan puasa ni, selera lain macam sikit. Macam-macam nak makan.
Naim kerut dahi. “Sayang nak buat sendiri ke?”
“Buat sendiri lagi puas hati. Nanti boleh makan
banyak-banyak.”
“Lecehlah, sayang… biar abang beli ajelah ek? Lagipun
sayangkan tak larat.”
“Mana ada leceh. Senang ajelah cara buatnya. Kalau abang
tolong, lagilah bertambah senang nanti.”
Naim mengeluh sambil menggeleng lemah. “Degillah sayang abang
ni…”
“Boleh ya?” Mata Husna berkerdip-kerdip menanti persetujuan
Naim.
Naim tersenyum memandang Husna. Kalau Husna dah buat muka
comel begitu memang hatinya cepat goyah. Kalau buat suara menggoda, lagilah…
“Hmm… yalah. Kalau cakap tak boleh, jenuh pulak abang nak
pujuk sayang nanti.”
“Terima kasih, abang,” ucap Husna gembira. Itulah salah satu
perkara yang dia suka tentang Naim. Minta apa-apa, Naim jarang menghampakannya.
Kecuali jika benar-benar tidak mampu.
Naim angguk. “Okeylah, abang nak pergi kerja dulu. Sayang
jaga diri baik-baik ya. Jangan buat kerja berat-berat tau. Kalau ada apa-apa,
telefon abang,” pesan Naim seperti biasa.
“Abang pun sama. Hati-hati drive kereta.”
*****
PUKUL 4.45 petang, Naim dan Husna bertolak ke Mydin Mall.
Suasana dalam pasar raya besar itu agak sesak dengan orang ramai. Namun, Husna
tetap bersemangat walaupun terpaksa berhimpit-himpit. Naim pula hanya ikut
sahaja langkah isterinya itu.
“Abang, tunggu sini sekejap ya. Una nak pergi cari daun
pandan,” ujar Husna sebaik sahaja mereka memasuki bahagian barang basah.
“Kenapa tak nak abang temankan?” soal Naim hairan.
“Abang tak nampak ke troli orang lain penuh kat sana? Kalau
heret troli kita, tak bergeraklah jawabnya nanti.”
“Kalau macam tu, biar abang ajelah yang pergi cari. Sayang
tunggu kat sini. Nak cari daun pandan aje, kan?” Naim sudah bersiap sedia mahu
pergi tetapi Husna pantas menahan.
“Alah, tak apalah. Una tahu jaga diri. Abang tak perlu risau
okey. Una pergi sekejap aje. Bukannya lama.” Husna bersungguh-sungguh
meyakinkan Naim.
Naim bergumam. Akhirnya dia mengalah. “Yalah. Hati-hati
berjalan. Lantai kat sana licin,” pesannya mengingatkan Husna.
Ketika sedang leka mengawasi Husna dari jauh, tiba-tiba
tubuhnya dilanggar seseorang. Naim terus berpaling.
“Sorry, sorry… I tak sengaja,” kata gadis itu kalut sambil
mengangkat kedua-dua tangannya separas dada.
“Bella?” Mata Naim terbuntang setelah terpandang raut wajah
gadis yang melanggarnya.
Bella terkesima. Namun kemudian tersenyum gembira. “Im… hei,
tak sangka boleh jumpa you kat sini. Apa khabar?”
“Baik.” Naim mengangguk perlahan. Dia juga tak sangka
bertembung dengan Bella di sini. Tak ada perubahan ketara pun pada diri Bella
yang dia perhatikan kecuali baju dan seluarnya dah longgar sikit.
“You… sorang aje ke?” soal Bella teragak-agak. Kalau Naim
sendirian, bolehlah dia bersembang lama sikit. Mungkin boleh pelawa Naim
berbuka puasa bersamanya juga.
“Taklah. Berdua.” Naim hantar isyarat mata ke arah Husna yang
ralit memilih daun pandan.
Senyum Bella kendur perlahan-lahan tatkala terpandang Husna.
Rasa terujanya tadi kini diganti dengan duka.
“Jadi… tak lama lagi you bakal jadi bapalah ya?”
“Insya-Allah.”
“Tahniah.” Bella memaksa bibirnya senyum.
Dilontarkan sekali
lagi pandangannya ke arah Husna. Walaupun dia cuba tahan perasaan cemburu,
namun rasa itu tetap menyelimuti hatinya. Kalaulah dia berada di tempat Husna
sekarang, tentu dia sedang menikmati bahagia bersama Naim.
“Bila you balik?”
Bella toleh Naim semula. “Baru aje sampai kelmarin. Tapi I
cuti tak lama pun. Seminggu sebelum raya, I dah balik ke Australia semula.
Tahun ni I raya kat negara orang.”
“Bukannya you tak biasa, kan? Dulu pun masa hari raya, you
selalu bercuti ke luar negara jugak,” kata Naim.
“Tapi… yang paling sedih, tahun ni I raya tanpa you.” Suara
Bella kini bertukar jadi sayu. Matanya tak lepas daripada merenung Naim. Entah
bagaimana dia nak hadapi kesepian hatinya di pagi Syawal nanti.
“Tak ada apa yang bestnya beraya dengan I. Bukannya you dapat
duit raya pun.” Naim berseloroh lalu gelak. Seboleh-bolehnya dia tak mahu
berbual mengenai perkara yang dah lepas.
“I tahu you faham maksud I.”
Renungan mata Bella dibalas kembali. Naim mengeluh halus.
“You tak move on lagi ke, Bella? Janganlah macam ni. Bukannya I sorang aje
lelaki yang ada dalam dunia ni. You carilah teman baru. Mungkin you akan lebih
gembira bersama dengan orang lain. Mungkin jugak jauh lebih bahagia. Siapa tahu?”
Senyum Bella terukir tawar. Sekalipun sudah lama putus cinta
dengan Naim tetapi hatinya masih belum mampu melupakan lelaki itu. Apatah lagi
semua kenangan cinta mereka.
Melihat Naim tak berminat bercakap soal hati, Bella terus
tukar topik lain. Biarlah dia pendam sahaja apa yang dirasakannya. Jika diluah
sekalipun belum tentu Naim akan faham.
“Anchu dan Chicky macam mana? Sihat ke dia orang?”
Naim mengerising. “Kucing dua ekor tu biasalah… tak pernah
habis perangai divanya. Husna pun lebih kurang macam you jugak. Suka sangat
manjakan dia orang. Makin mengada-adalah jawabnya.”
Bella tak dapat tahan rasa lucu melihat reaksi muka Naim
bercerita pasal Anchu dan Chicky. Tanya pasal kucing terus bertukar jadi masam.
“Penyakit Ailurophobia you tu masih belum sembuh lagi?”
“I memang tak ada chemistrylah dengan kucing. Dengan Anchu
dan Chicky, I selalu terpaksa jadi hipokrit tau. Husna memang berusaha nak
tolong I berbaik dengan dia orang. Tapi I tak bolehlah. Susah sangat nak buat
semua tu,” akui Naim sejujurnya.
“Nanti bila you dah dapat lawan ketakutan you tu, you akan
tahu betapa seronoknya berkawan dengan dia orang. Usahalah sampai dia orang
jadi best friend you. Main dengan kucing ni dapat hilangkan stress tau.”
Ketawa Naim meledak. Main kucing dapat hilangkan stress?
Yalah tu… Tengok muka kucing pun dia dah rasa stress. Inikan pula nak main
kucing.
“Tak payahlah berharap sangat dengan sesuatu yang mustahil.”
“Apa yang mustahil?” Husna tiba-tiba mencelah perbualan Naim
dan Bella. Dari jauh dia sudah nampak Naim dan mantan kekasihnya itu berbual
rancak tetapi serba salah nak datang dekat sebab tahu Bella tak berapa
sukakannya.
Naim menoleh. Tersengih memandang Husna yang mengerut muka
memandangnya. “Bella ni, ha… dia berharap abang dengan kucing-kucing sayang tu
berbaik sampai jadi best friend.”
Husna kerling Bella. Dia tersenyum. “Susah. Kat rumah, dia
dengan Anchu dan Chicky selalu bergaduh.”
“Terima kasih sebab jaga dia orang dengan baik,” ucap Bella.
Dia tiada modal nak berbual panjang dengan Husna. Kemudian berkalih mata ke
wajah Naim pula.
“Okeylah, Im… I ada nak cari barang sikit. So, I minta diri
dulu ya. Jumpa lagi. Bye.”
Tanpa menunggu lebih lama, Bella berlalu pergi. Namun,
setelah agak jauh daripada pasangan itu, dia berpaling semula. Hatinya seperti
disiat-siat melihat gelagat Naim yang berbual mesra dengan Husna.
Dia tahu Naim sudah jadi sebahagian daripada masa lalunya.
Cuma dia yang tak berdaya hendak melepaskan kerana masih cinta.
© Reeani Annur 2014
Hihihi..... mmg x lah si naim ni nk ada kimia ngan meow
ReplyDeleteMakin lama makin loving naim ngan bella ni yek
Haaaaaa.... jgn bella masuk jarum udah ler....
hahaha
Dengan Husnalah bukan Bella. Mengamuk Naim baca komen u ni nanti tau. Hahaha... Haruslah loving sebab dulu asyik berkau-aku ajekan. Nak romantik pun jarang sekali. Gitu. *Kenyit mata nakal.
DeleteOps..ops... mohon Bella terima kenyataan dengan apa yang terjadi. Usahlah berharap sesuatu yang tak pasti. Kelak diri sendiri jugak yang merana. Hahaha. Tq Nana!
Yalah salah org.... hahahaha
Deletesib baik abam naim x pasan hahaha
wah dh kwen dh dorg.. cian kt bella tp apa nak buat kn.. jodoh dia dgn naim takde..
ReplyDeleteDah..Alhamdulillah. Hehe...
DeleteBermusuh sakan dengan kucing. Haila... bilalah nak mesra alam dengan kucing tu? Sian Una.
ReplyDeleteMemang kesian, ateh. Penatnya bersuamikan si penakut meow. Tak maco di situ.
Deletehahaha....payah sgt naim tu nk berbaik dgn anchu dan chicky yek walaupun dah kawin dgn pecinta kucing....dan bella tu,alahai npe die tak move on lg?...
ReplyDeleteInsaf sekejap aje uda. Kalau dah berbaik konflik pun tamat. Hahaha...
DeleteNaim klu dgn kucing faham2. Jela
ReplyDeleteMmg lmbt la naim nk jd bff ngan meow.mm hihi...
ReplyDeleteBest..Sambung lg....
ReplyDeleteSemua part 1, 2 & 3 dah ada sis Norhaizan. Klik link bawah cover Meow tu.
Delete