Sebelum
turun rehat tadi, dia awal-awal lagi sudah mengajak Nor untuk turun makan
bersama, tetapi Nor beria-ia menolak. Alasan Nor, perutnya sudah kenyang. Namun
apabila Adib yang mempelawa, cepat pula bersetuju. Kalau Nor menolak pelawaan
dia tadi disebabkan mahu keluar dengan Adib, mengaku sahajalah. Tidak perlulah
mereka cipta banyak alasan pula. Geram sungguh dia dengan Nor.
“Hai,
cakap tadi perut dah kenyang. Tapi boleh pulak
keluar makan dengan Encik Adib. Masa aku ajak tadi, kau tak nak. Bila dengan
Encik Adib, boleh pulak kau nak. Pilih bulu
betul kau ni,” rungut Saleha sebaik sahaja Nor sampai di mejanya.
“Kau
ingat, aku ni nak sangat ke keluar dengan dia? Kalau tak kerana dia paksa aku
tadi, aku lebih rela tidur kat meja ni daripada ikut dia pergi makan tau,”
balas Nor sambil menghempas beg tangannya di atas meja. Dia menarik kerusi dan
melabuhkan punggung di atasnya.
Walaupun
Adib sudah belanja dia makan tengah hari, tetapi rasa geramnya terhadap lelaki
itu masih belum surut. Kalau hari-hari kena paksa begini, hilanglah nikmat
hidup dia. Mustahil asyik mahu ikut kata-kata
Adib sahaja. Mentang-mentanglah Adib bos, suka hati dia sahaja mahu memaksa
orang supaya mengikut kehendaknya. Dia berhenti kerja baru tahu.
Saleha
hanya mencebikkan bibir mendengar kata-kata Nor. Namun begitu, semua itu
berjaya juga menjawab persoalan-persoalan yang tergantung mengenai status
perhubungan antara Nor dan Adib. Dia kemudiannya bangun, meninggalkan
mejanya dan merapati Nor. Dia menyandarkan punggungnya di meja Nor sambil
berpeluk tubuh erat.
“Aku
tengok Encik Adib tu macam nak pikat kau aje.
Kau perasan tak?” tanya Saleha.
Nor
menjongketkan bahu.
“Entahlah,
Sal. Aku tak perasanlah pulak,”
jawab Nor acuh tidak acuh. Jemarinya mula mencapai tetikus komputer. Pandangan
matanya pula terarah ke skrin komputer tanpa mempedulikan renungan mata Saleha
yang sedang menerjah wajahnya.
“Isy! Kau ni... ada pulak
boleh tak perasan. Kalau tak, takkanlah dia ajak kau keluar makan. Mestilah
sebab dia nak memikat kau, kan? Tak adanya lelaki yang suka dekat perempuan,
ajak perempuan tu keluar untuk saja-saja. Mestilah ada sebabnya,” ujar Saleha.
“Hmm... kau ni, dah mulalah tu nak mengarut buat cerita
yang bukan-bukan,” balas Nor lantas mengeluh
sambil menggeleng lemah kepalanya. Kalau
Saleha sudah mula jadi pakar cinta, memang dia rasa lemah longlai.
“Mana
ada. Aku cakap hal yang betul aje. Takkanlah kau
tak perasan kut. Cara Encik Adib tu, memang dah terang-terang sangat
menunjukkan yang dia tu cuba nak rapat dengan kau. Kau
tahu tak, semua orang kat dalam pejabat ni dah mula bercakap fasal hal
kau dengan dia tau. Dia orang semua rasa cemburu bila dapat tahu Encik Adib tu
sukakan kau. Aku pun rasa cemburu jugak
sikit-sikit,” akui Saleha, tersengih-sengih menayangkan giginya.
Haruslah
dia berasa cemburu. Siapalah yang tidak terpaut dengan lelaki kacak seperti
Adib? Tetapi cemburu dia cemburu sihat,
bukannya cemburu buta.
Nor
hanya bergumam tanpa menoleh.
“Eh,
Nor... kau tak rasa bertuah ke bila ada orang approach kau macam tu?
Lebih-lebih lagi lelaki yang kacak macam Encik Adib tu. Kalau akulah, eiii... sukanya,” ucap Saleha lagi, menggeletik teruja.
Kedua-dua tangannya saling digenggam erat dan dibawa ke dada. Matanya pula
dipejam rapat seolah-olah sedang membayangkan dirinya sendiri yang berada dalam
situasi tersebut.
Gelagat
Saleha itu mengundang ketawa lucu di hati Nor. Ini barulah dikatakan sedang
membuat lawak. Adib patut melihat dan membandingkannya dengan kelakuan dia
semasa di restoran tadi. Nor segera berpaling dan menghadap Saleha pula. “Kau
ni kelakarlah, Sal...”
“Apa
yang kelakarnya? Aku tersalah cakap ke? Setahu aku, bukan senang tau nak dapat
perhatian daripada Encik Adib tu. Hanya orang-orang yang terpilih aje yang mendapat tempat di hati dia. Bukannya kau tak
tahu taste
dia tu macam mana. Kau tu dikira
beruntunglah sebab dia sudi pandang. Itu pun
kau masih tak rasa bertuah?” soal Saleha sambil mencuit bahu Nor menggunakan
hujung jari telunjuknya.
Siapa
yang tidak kenal dengan lelaki yang bernama Qusyairy Adib? Seorang arkitek muda yang sedang mencipta nama
dalam dunia seni bina. Rupa parasnya yang tampan membuatkan dia menjadi rebutan
gadis di kota Kuala Lumpur ini. Dia rasa bukan setakat di Kuala Lumpur sahaja
kut, di
luar dari lingkungan itu pun mungkin ada juga yang memuja. Kalaulah Adib yang
cuba mendampingi, memang tidak akan jual mahal. Itu tolak tuah namanya.
Nor
mencebikkan bibir. Beruntung ke? Dia rasa lagi malang adalah. Rasa meluat pun
ada juga. “Tapi aku tak ada apa-apa perasaan pun dekat dia. Dia bukan ciri-ciri
lelaki idaman akulah.”
Saleha
menelan air liur. Matanya berkelip-kelip memandang Nor. Sementara tangannya
pula menggosok-gosok telinga beberapa kali,
kalau-kalau dia tersilap dengar.
“Apa,
Nor? Encik Adib yang kacak macam tu kau cakap bukan lelaki idaman kau? Ya
Allah!! Kau ni buta ke apa, Nor?” Saleha seperti tidak percaya mendengar
pengakuan Nor.
Adib
yang kacak dan ada iras-iras macam pelakon Fahrin Ahmad itu dikatanya bukan
lelaki idaman dia? Haih, melopong dia sejenak.
“Yalah...
Lelaki yang kaki perempuan macam tu,
takkanlah nak jadi lelaki idaman aku pulak kut.
Kalau sekadar kacak, tapi suka mainkan perasaan orang, nak buat apa? Memang
sah-sahlah tak akan masuk dalam senarai lelaki yang aku suka. Kalau kau nak
dia, kau ambillah. Tak ada sesiapa pun yang nak
marah. Aku pun tak kisah,” ujar Nor tersenyum sumbing memandang Saleha.
Saleha
pun satu, kalau ya pun nak menjodohkan dia dengan mana-mana lelaki, carilah
yang jenis baik sedikit. Ini tidak, nak jodohkan dia dengan Adib pula.
Memanglah tidak layak. Macam sudah tidak ada lelaki lain sahaja. Namun, hati dia tetap mengakui bahawa Adib seorang lelaki
yang kacak. Sesuailah juga dengan gelaran Romeo
yang melekat pada dirinya itu. Romeo jatuh cinta kepada
gadis gemuk macam dia? Samalah seperti kata-kata perumpamaan Beauty and the Beast.
Ngeri sekali bunyinya.
“Habis
tu... Kalau bukan dia, lelaki yang macam
mana pulak yang boleh jadi lelaki idaman awak?”
sampuk satu suara yang lain pula.
Nor
dan Saleha sama-sama mencari arah dari mana suara itu datang. Setelah berjaya
mengesan, kedua-duanya saling tergamam dan berpandangan sesama sendiri.
“Eh,
Encik Adib. Err... sa... saya...” ujar Nor terketar-ketar. Lebih-lebih lagi apabila
melihat mata Adib begitu tajam merenungnya. Habislah dia kali ini. Mesti Adib
sudah mendengar segala-galanya tadi. Sekarang mahu buat apa? Malu? Usah
cakaplah!
Nor
menggigit bibir menahan perasaan. Hari ini, tidak habis-habis dia dirundung
malang. Semuanya berkait dengan Adib. Lidahnya seperti sudah kelu untuk
berkata-kata. Dalam debaran yang melanda, dia cuba mengasak fikirannya supaya
melakukan sesuatu agar dia dapat keluar daripada
situasi tersebut.
“Ha... saya baru teringat.
Sebenarnya saya ada dokumen yang nak kena
fotostat. Saya nak pergi buat kerja dulu,” ucap Nor lantas mencapai fail hitam yang berada di
atas mejanya dan pergi dari situ.
Entah
fail apa yang dia ambil, dia sendiri pun tidak tahu. Ah, redah sahajalah. Kalau
dia tidak membuat alasan begitu, mati kutulah dia nanti kalau Adib bersoal
jawab dengan dia. Saleha pula, pandai-pandai sendirilah buat alasan. Otak dia
sudah tepu mahu tolong berfikir.
Adib
sekadar berpeluk tubuh memerhati gelagat Nor yang kelihatan kelam-kabut cuba mengelakkan diri daripadanya.
Sesudah Nor menghilang, matanya melirik pula ke arah Saleha yang sedang
tersengih-sengih memandangnya.
“Awak
pulak, tak ada apa-apa dokumen yang nak kena
fotostat ke?” perli Adib sambil mendongak kepala tinggi.
“Err... sa... saya ada nak print kerja saya,” jawab Saleha teragak-agak. Jari telunjuk
dihalakan ke arah mesin pencetak komputer
yang terletak di atas mejanya.
Ah,
logik ataupun tidak alasan itu, dia tidak peduli lagi. Yang penting dia harus
menyelamatkan dirinya juga. Tanpa menunggu
reaksi Adib, perlahan-lahan dia mengatur langkah,
kembali semula ke mejanya.
Adib
mengetap bibir rapat. Bagus! Dua-dua ada bakat menjadi pelakon yang terkenal.
Adib berpatah semula masuk ke dalam biliknya. Niatnya mahu meminta Nor
membuatkan dia secawan kopi terus terbantut.
© Reeani Annur 2013 –
Benci Tanda Sayang
Nak lagi....
ReplyDeleteSelamat menyambut Ramadhan, bulan yg mulia!
Esok saya update bab 5. (bab last di blog)
ReplyDeleteSelamat berpuasa. :)