HUSNA memanjangkan leher ke jalan raya, mencari kelibat
teksi. Sejak dia sampai di perhentian teksi itu kira-kira 10 minit yang lalu,
tidak ada sebuah teksi pun yang melintas. Akhirnya, setelah penat berdiri,
Husna kembali duduk di atas bangku. Sesekali, kucing yang berada di dalam bakul
tertutup berwarna merah jambu itu digosok-gosok manja. Sekadar menghilangkan
kebosanan yang dihadapinya.
Bunyi hon kereta yang kuat akhirnya meragut kelekaan Husna.
Tersentak dia dibuatnya. Terus sahaja Husna mengangkat muka. Hisy! Apa hal pula
mamat ni berhenti kereta di sini? Husna tertanya-tanya dalam hati.
“Kau belum balik lagi ke?” soal Naim setelah cermin kereta
diturunkan. Kebetulan pula dia terserempak dengan Husna di situ. Agaknya,
inilah yang orang selalu katakan ada jodoh tidak ke mana kut. Pergi ke mana-mana,
selalu sahaja bertembung. Padahal, dia tidak pernah minta pun.
“Nak baliklah ni. Saya tengah tunggu teksi,” jawab Husna.
“Nak aku hantarkan kau balik?” Naim mempelawa.
“Eh, tak payahlah. Saya boleh balik sendiri. Terima kasih.”
Husna menolak lembut.
Takkanlah dia hendak menyusahkan orang lain pula. Kalau hari
itu, dia menumpang kereta Naim disebabkan hari sudah hampir malam. Sekarang,
matahari masih tegak di atas kepala. Kalau tidak ada teksi, mungkin dia boleh
balik dengan bas. Dia masih belum tersepit lagi.
Naim mengangguk. Kemudian, dialih pula matanya ke arah bakul
yang berada di sebelah Husna.
“Kat sebelah kau tu, bakul apa? Kau jual kuih ke?” tanyanya
sambil memandang Husna dan bakul tersebut silih berganti. Niatnya hanya sekadar
hendak mengusik Husna.
Husna mengerling sekilas. Hisy! Ada ke patut Naim cakap dia
jual kuih. Ini bakul kucinglah. Sempat dia menggerutu Naim.
“Ini bakul kucing saya,” jawabnya.
“Hah?! Kucing?” Mata Naim membuntang.
Husna mengangguk sambil tersenyum. Dia yakin, selepas ini
Naim tidak akan berani mempelawa dia buat kali kedua disebabkan takut dengan
kucing. Bukannya dia tidak kenal dengan sikap Naim. Walaupun baru sahaja
berkenalan, tetapi dia boleh mengagak bagaimana penerimaan Naim terhadap haiwan
tersebut. Mustahil pembuli kucing ada hati dan perasaan pula kut.
Naim mula cuak. Niat dia mahu menumpangkan Husna pulang mula
terbantut. Di hatinya tertanya-tanya dari mana Husna mengutip kucing itu? Tadi
semasa datang temu duga di pejabatnya, dia tidak nampak pula Husna membibit
bakul tersebut.
“Kalau macam tu, tak apalah. Kau balik dengan teksi ajelah,”
kata Naim. Dia memang tidak akan benar sewenang-wenangnya mana-mana kucing
menumpang kereta dia. Kalau sebelum ini, dia lakukan sebab terpaksa. Tetapi
sekarang, dia ada pilihan untuk mengatakan tidak.
Naim terus memecut laju keretanya, meninggalkan Husna dan
kucingnya. Kejamkah dia? Ah! Peduli apa dia kalau Husna hendak tuduh dia
begitu. Kucing memang dilarang menaiki kereta dia. Itu peraturan yang telah
termaktub di dalam keretanya dan ia wajib dipatuhi.
Husna hanya mengeluh. Memang betul sangkaan dia. Namun, dia
sedikit pun tidak mengharapkan pertolongan Naim. Daripada dia menyusahkan orang
lain, lebih baik dia menyusahkan dirinya sendiri. Husna bangun semula dan
kembali menjengah teksi ke jalan raya. Hatinya berdoa agar muncul sebuah teksi
yang akan membawanya pulang ke rumah.
NAIM memberhentikan keretanya di pinggir jalan setelah
berada agak jauh dari perhentian teksi tersebut. Dia mengintai-intai ke
belakang melalui cermin tengah. Kecil sahaja bayangan Husna yang dilihat sedang
menunggu teksi. Dia mengeluh perlahan.
Kenapa dia berasa seperti berat mahu membiarkan Husna berada
di situ keseorangan? Kenapa dia perlu berasa kasihan? Naim menyoal dirinya
sendiri. Ingat, Naim. Husna tu bawa kucing. Bukan ke kau tu tidak suka ada
kucing masuk ke dalam kereta kau? Suara hatinya pantas mengingatkan dia semula.
Memanglah aku tak suka kucing. Tapi, aku suka tuan dia, akui
suara hatinya tiba-tiba. Kemudian, Naim tersedar. Cepat-cepat dia menggeleng.
Tak boleh! Dia sudah ada Bella. Dia tidak mahu membuat kerja gila, menyukai dua
orang gadis dalam masa yang sama. Naim meraup muka rapat-rapat.
Apabila fikirannya kembali tenang, Naim terus memecut laju
keretanya, meninggalkan kawasan tersebut.
HATI Husna melonjak kegembiraan apabila dari jauh dia
ternampak kereta berwarna hitam kuning menghala ke arahnya. Harap-harap
berhentilah teksi itu. Hatinya tidak putus-putus berdoa. Sudah penat dia
berdiri di situ. Cuaca pula terasa membahang sekali pada tengah hari itu.
Apabila teksi itu hampir dekat, Husna segera menahannya.
Namun, tanpa diduga, ada sebuah kereta lain terlebih dahulu memintas teksi itu
dari belakang dan berhenti betul-betul di hadapannya. Husna tergamam.
“Jom naik. Aku tumpangkan kau balik,” kata Naim.
“Ta… tapi….” Husna memandang Naim dengan perasaan berbelah
bagi. Teksi yang ditahannya tadi turut sama berhenti. Namun, kedudukannya
terlajak sedikit ke hadapan disebabkan kereta Naim memintasnya secara
tiba-tiba.
“Mana kau nak, naik kereta percuma atau kena bayar tambang?”
soal Naim. Dia ikut sama memandang ke arah teksi di hadapannya. Heh, siapa
cepat dia dapat.
Husna terdiam lama. Akhirnya, dia melihat teksi itu berlalu
pergi dari situ. Mungkin juga kerana sudah dapat menebak dia tidak mahu naik.
Ah, bukannya dia sengaja mempermainkan pemandu teksi itu. Naim yang tiba-tiba
sahaja muncul tanpa diduga. Tadi Naim menyuruh dia naik teksi. Alih-alih
sekarang, muncul di depan dia semula.
“Tapi, saya bawa kucing. Bukan ke encik ni tak suka orang
bawa masuk kucing ke dalam kereta encik.” Husna mengingatkan Naim semula.
Bimbang seandainya Naim terlupa dengan peraturan itu.
Naim mendengus. Memanglah dia tidak suka. Tetapi, sebab
Husna, dia jadi rela. Entah apa yang tidak kena dengan perasaannya tika ini.
“Kau pesan dekat kucing kau tu, jaga perangai baik-baik
sikit. Jangan buat dajal kat dalam kereta aku macam kucing kekasih aku buat
hari tu,” pesan Naim. Terpaksalah dia pejamkan sahaja matanya berhadapan dengan
semua itu.
“Encik dah tak kisah ke?” soal Husna lagi. Dia masih
ragu-ragu dengan sikap Naim yang berubah secara mendadak. Bolehlah pula Naim
berlembut hati. Tetapi, tidak tahulah sejauh mana keikhlasannya.
“Sebelum aku kisah, lebih baik kau naik kereta aku
cepat-cepat!” Naim menekan tinggi suaranya. Dia sudah mula berasa geram. Kalau
diikutkan memanglah dia kisah. Tetapi… Ah, dia tidak ada jawapan ya ng tepat
untuk mengisi ayat selepasnya.
Husna menggelabah. Dia cepat-cepat mengambil bakul kucingnya
kemudian masuk ke dalam kereta Naim.
NAIM memandu kereta dengan tenang. Sesekali matanya
mengerling ke arah Husna yang duduk di sebelah sambil melepaskan pandangan ke
luar cermin. Diam sahaja dia. Takkan sudah jadi bisu kut?
“Mana kau kutip kucing kat belakang tu? Tadi masa kau datang
ke pejabat aku, aku tak nampak pun kau bawa bakul tu,” tanya Naim, cuba memecah
kesunyian yang melanda antara mereka. Duduk sebelah-menyebelah takkanlah hendak
duduk diam sahaja.
Husna mengerling ke belakang. Bibirnya melorek senyum. “Saya
ambil kat klinik haiwan. Encik tak nak tanya ke kucing tu kucing siapa?”
“Manalah aku nak tahu tu kucing siapa. Aku bukannya hantu
kucing macam kau!” Naim memberi ayat pedas kepada Husna. Dia mendengus
perlahan. Soalan Husna tanya itu macam tidak berapa nak betul sangat.
“Itu kucing yang encik langgar tempoh hari,” beritahu Husna.
“Ha?” Naim tersentak. Tinggal dia tidak menekan brek kereta
secara mengejut sahaja. Wajah Husna cepat-cepat ditoleh. Husna masih tersenyum
memandangnya. Tidak tahu sama ada senyuman itu senyuman yang ikhlas ataupun
sebaliknya.
“Buat apa kau bawa balik dia?” soal Naim lagi.
“Saya nak belalah. Nak buat apa lagi?” jawab Husna.
“Kucing yang dah nazak macam tu pun kau nak bela juga ke?
Dah tak ada benda lain ke yang kau nak bela? Aku tak faham betullah kenapa kau
sayang sangat dekat kucing tu. Kalau kucing tu manusia dan handsome macam aku
ni, memang patutlah jugak kalau kau nak sayang macam tu. Ini kucing aje pun!”
Naim melepas keluhan lemah. Memang dia tidak faham dengan
sikap orang yang tergila-gilakan kucing. Kalau dibandingkan Bella dengan Husna,
kedua-duanya memang tidak ada beza apa-apa. Kecuali satu perkara. Bella suka
menyusahkan dia dengan hal kucing-kucingnya. Manakala Husna pula menyenangkan
dia dalam menguruskannya.
“Kucing tu dah sihatlah. Doktor kat klinik tu dah rawat dia.
Lepas ni, saya akan jaga dia baik-baik dan akan pastikan dia jadi gemuk.
Mungkin lebih gemuk daripada kucing-kucing kekasih encik tu,” balas Husna pula.
Teruja.
Orang yang berjiwa penyayang seperti dia memang sanggup
melakukan apa sahaja terhadap apa yang disayangi. Dia rasa bukan dia seorang
sahaja bersikap begitu. Malah, orang lain juga mungkin akan berbuat hal yang
sama. Lainlah kalau dalam diri seseorang itu memang tidak ada sifat belas
kasihan macam Naim.
“Apa-apa ajelah! Kalau kau nak bela kucing tu sampai jadi
obesiti pun ada aku kisah? Kucing tu kucing kau. Bukannya kucing aku. Nasib
baik kucing tu tak mati masa aku terlanggar hari tu. Kalau tak, tentu kau
histeria macam orang kena rasuk dengan hantu, kan?” Naim mentertawakan Husna.
Husna mengetap bibir. Eii… dia ni teruk betullah. Tidak
pernah lagi seumur hidupnya, dia berjumpa dengan lelaki yang berlagak bagus
macam Naim ni. Menyampah!
“Agaknya encik ni memang ada masalah dengan haiwan yang
bernama kucing tak? Facebook encik kena block dengan sanak saudara kucing ni
ke?” sindir Husna. Dia benci mendengar Naim mengejek sikap dia yang sayang
kucing. Apa binatang seperti kucing itu tidak ada hakkah untuk disayangi?
Bukankah kucing itu haiwan kesayangan Nabi juga?
Naim mendengus sambil menjeling tajam ke wajah Husna. Tak
guna betul minah ni. Perli dia pula!
Husna tersungging ketawa melihat reaksi Naim. Kan sudah
dapat bengang. Lain kali kalau nak bercakap tu, biarlah bertapis sedikit. Padan
muka Naim! ejeknya.
Suasana di dalam kereta Naim kembali sepi. Masing-masing
sibuk melayan perasaan sendiri. Namun, sesekali Naim juga turut mencuri pandang
ke arah Husna.
Husna terus mengeraskan perasaannya untuk tidak menoleh ke
wajah Naim. Dia tahu, Naim sedang memerhatinya. Apa pula yang tidak kena kali
ini? Hendak kata tudung dia senget, dia tengok melalui cermin sisi kereta,
tudung yang dipakainya elok-elok sahaja. Atau Naim berasa tidak puas hati
dengan dia sebab menyindirnya tadi? Bukan salah dia. Naim yang memulakan
dahulu.
“Encik Naim ni, tak ada kerja ke dekat pejabat tu sampai ada
banyak masa nak hantar saya balik sampai ke rumah?” soal Husna sambil
memberanikan dirinya menoleh sekilas ke wajah Naim. Namun, hatinya bergetar
hebat apabila terpandang renungan Naim yang ketika itu sedang leka merenungnya.
“Encik Naim!!!” Husna menjerit kuat apabila menyedari kereta
Naim mulai hilang kawalan dan hendak terbabas ke tepi parit di simpang jalan
yang menghala masuk ke rumahnya.
Naim tersentak dan cepat-cepat mengawal keadaan. Jeritan
Husna berjaya mengheret dia kembali ke alam nyata. Segala rasa hadir bercampur
baur dalam dirinya.
“Apa kau cakap tadi?” tanya Naim semula setelah situasi
cemas yang dialami sebentar tadi beransur hilang. Sebenarnya, cuba untuk
menutup perasaan malunya juga.
“Saya tanya, encik ni tak ada kerja ke dekat pejabat tu
sampai ada banyak masa nak hantar saya balik sampai ke rumah?” tukas Husna
sekali lagi. Timbul pertanyaan di hati. Lagipun sekarang belum masuk waktu
rehat lagi.
Naim bergumam. Kerja memanglah banyak. Tetapi, mana mungkin
dia betah mahu menghadap kerja sahaja setiap masa. Tujuan asal dia keluar tadi
sebab hendak pergi membeli rokok. Tetapi, setelah terserempak dengan Husna,
terus sahaja dia membatalkan niatnya. Rokok ada dijual di mana-mana. Namun,
peluang untuk berjumpa Husna tidak mungkin akan datang selalu.
“Aku ada hal kat luar. Tapi, kebetulan terserempak dengan
kau, aku tumpangkanlah kau sekali.” Tersengih bibir Naim mengenang alasan yang
diberikan.
“Maaflah kalau saya ni dah banyak curi masa encik.
Sepatutnya encik biarkan aje saya balik dengan teksi tu tadi. Jadi, tak
perlulah encik bersusah payah sampai macam ni sekali,” ungkap Husna. Dia pun
sepatutnya mengeraskan perasaan untuk tidak menerima pelawaan Naim tadi.
Kenapa dia perlu akur dengan setiap arahan Naim selama ini?
“Kau rasa bersalah?” Naim menebak pantas.
Husna hanya menjongket kening.
“Kalau kau nak tebus rasa bersalah kau dekat aku, kau terima
ajelah tawaran kerja yang aku tawarkan tu,” kata Naim sambil tersengih.
Husna tersenyum tawar. Dia menggantung lama jawapan yang
didamba oleh Naim. Adakah Naim cuba untuk membuat dirinya berasa serba salah
dengan harapan dia akan bersetuju dengan tawaran tersebut?
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment