06 July 2015

Benci Tanda Sayang 12

NOR menyanyi-nyanyi kecil sambil mengacau air Nescafe panas di dalam muk yang dipegangnya. Sesudah itu, dia menghirup perlahan sambil bersandar di sisi almari yang terdapat di dalam pantri itu. Hmm... nikmatnya. Terasa segar kembali matanya yang layu. Tengah hari itu, dia tidak keluar makan. Malas pula rasanya mahu turun ke kedai. Lagipun, pagi tadi dia sudah menjamah nasi goreng kampung yang dibawa dari rumahnya. Perutnya masih terasa kenyang. Kalau makan lagi, alamatnya naik mendadaklah berat badan dia nanti.
Ini pun, dia rasa beratnya sudah kian bertambah dari sehari ke sehari. Niat di hati mahu berpantang makan, tetapi tidak menjadi-jadi juga. Godaan makanan sememangnya tidak mampu ditepis. Mana dia boleh tahan apabila melihat makanan yang sedap-sedap di depan mata. Dia dan makanan memang tidak boleh dipisahkan. Bagaikan irama dan lagu.
Bak kata Adib hari itu, dia sudah comel berbadan begini. Walaupun sedikit berisi, namun masih mampu menarik perhatian orang. Jadi, tidaklah dia berasa runsing sangat memikirkannya. Kalau gemuk itu tidak cantik, takkanlah lelaki sekacak Adib berusaha untuk mendekati dia. Maknanya dia masih cantiklah tu. Ah, perasan pula dia. Nor tersengih sendirian.
Tiba-tiba, fikirannya teringatkan Adib. Bukan dia tidak menyedari hakikat bahawa lelaki itu sedang memburu cintanya. Dia memang nampak kesungguhan Adib itu, tetapi dia sendiri tidak tahu mengapa hati dan perasaannya seperti membeku. Perasaan untuk mencintai dan dicintai bagaikan tiada lagi hadir dalam diri. Mungkin kerana dia masih terkesan dengan pengalaman cintanya yang lalu. Yang membuatkan dirinya tidak lagi percaya pada bait-bait kata yang bernama cinta. Pengkhianatan yang diterimanya membuatkan dia berasa benci dengan mana-mana lelaki yang cuba mendapatkan cintanya.
Kalau diikutkan, Adib memang tiada cacat celanya. Adib lelaki yang sempurna. Ada rupa, ada nama, ada harta dan ada segala-galanya yang diinginkan oleh seorang perempuan untuk dijadikan pasangan hidup. Namun, hati dia tetap tidak terbuka untuk menerima kehadirannya. Maafkan aku, Adib.
Setelah hampir suku gelas Nescafe itu diteguk, Nor memutuskan untuk beredar dari situ. Tetapi langkahnya menjadi kaku sebaik sahaja dia terpandang kelibat Adib yang sedang bersenggeng di muka pintu bilik pantri sambil enak berpeluk tubuh. Mata Adib merenung tajam ke arahnya sambil menguntum senyum. Ah, tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang. Malapetaka apa pula yang dia akan dapat kali ini?
“Orang tua-tua cakap, kalau anak dara duduk kat dapur sambil menyanyi, kemungkinan besar dapat jodoh dengan lelaki tua,” tegur Adib berseloroh nakal. Dia tidak dapat menahan rasa lucu mengenangkan gelagat Nor yang dilihatnya tadi.
Nor mendeham beberapa kali untuk menutup kekagetan yang menyelubungi dirinya. Malu pun ada. Isy, Adib ni... perlilah tu, gerutu Nor dalam hati. Dia tidak mengendahkan kata-kata Adib itu.
“Tapi sedap suara awak nyanyi lagu Kisah Hati tu,” puji Adib. Terbuai juga perasaan dia seketika.
“Encik Adib nak buat kopi ke? Saya dah selesai buat yang saya punya. Kalau Encik Adib nak buat, silakanlah,” ucap Nor lantas segera keluar dan meninggalkan Adib sendirian di situ.
Aduhai, malu besar dia apabila mendengar pujian yang Adib berikan tadi. Adib jahat! Suka curi-curi tengok gelagat dia. Mujur dia tidak menyanyi lagu dangdut tadi. Kalau tidak, mana mahu letak muka dia?

NOR kembali semula ke tempat duduknya usai kembali dari pantri. Sesekali air Nescafe yang berada di sisinya itu dihirup perlahan. Terasa tenang perasaan dia apabila dapat bersenang-lenang begitu. Tambahan pula dengan suasana di pejabat yang sunyi sepi begini, di kala semua orang keluar menjamu selera. Barulah berasa selesa mahu merehatkan diri.
“Awak tak suka ya dengan bunga yang saya beri tu?”
Pertanyaan itu sekali lagi membuatkan Nor tersentak. Nor mengurut dada perlahan. Tadi di bilik pantri, sekarang di tempat duduknya pula. Tidak pernahkah Adib berasa penat? Boleh mati sakit jantung dia kalau selalu begini. Kemudian, Nor menoleh sekilas ke arah jambangan bunga pemberian Adib yang kini terhias cantik di atas meja Saleha. Barangkali Adib sendiri sudah tahu bahawa bunga itu tidak mendapat perhatian daripadanya.
“Encik Adib, lain kali Encik Adib tak payahlah susah-susahkan diri, bazirkan duit belikan saya bunga. Saya bukannya suka sangat dengan bunga-bunga ni,” ujar Nor acuh tidak acuh. Kalau dia suka, sudah lama bunga itu berada di atas mejanya.
“Ooo... ya ke? Jadi, kalau awak tak suka bunga, awak suka apa?” soal Adib ingin tahu. Dia menongkat dagunya di atas meja kaunter sambil merenung Nor. Cuba menutup perasaan terkedunya apabila mendengar pengakuan Nor itu.
Menarik. Pertama kali dia berjumpa dengan perempuan yang tidak sukakan bunga. Patutlah dia tengok bunga pemberiannya itu jadi perhiasan di atas meja Saleha. Tetapi itu lebih baik daripada bunga tersebut dibuang ke dalam tong sampah.
“Encik Adib, sebenarnya apa yang Encik Adib nak daripada saya ni?” soal Nor penuh lantang dan berani.
Entah dari mana dia mendapat keberanian itu, dia sendiri pun tidak tahu. Tetapi dia sudah tidak mampu mengawal perasaan geramnya terhadap Adib. Sikap Adib dari sehari ke sehari semakin menjadi-jadi. Dia menjadi seperti meluat pula dengan perhatian yang Adib berikan.
“Saya nak awak!” ungkap Adib pantas.
Hah? Nor menelan air liur. Dia ingatkan dia sudah cukup berani. Tetapi rupa-rupanya Adib lebih berani daripada dia. Terang-terang pula tu jawapan yang Adib berikan. Nor menarik nafas panjang. Dia tidak mahu Adib mengesan kekagetannya itu.
“Maaflah, mungkin Encik Adib ni dah salah orang kut. Saya bukannya macam perempuan-perempuan yang Encik Adib kenal tu,” balas Nor.
“Sebab awak bukan macam dia oranglah, saya sukakan awak,” terang Adib. Dia tidak mahu berselindung lagi. Memang itulah kenyataan yang sebenarnya. Dia memang sudah jatuh hati kepada gadis yang berada di depan matanya itu. Dia rasa, Nor juga menyedari hakikat itu. Tetapi mungkin sengaja buat-buat tidak mengerti.
Adib menyambung lagi dengan perasaan jujur. “Awak tahu tak, sepanjang saya kenal dengan mana-mana perempuan, saya tak pernah jumpa dengan perempuan yang keras hati dan tak ada perasaan macam awak ni.”
Keras hati? Nor ketawa mendengar kata-kata Adib.
“Kalau lembut hati, takut pulak jatuh ke tangan lelaki yang salah. Bukan ke satu kerugian, kalau perempuan yang baik jatuh ke tangan lelaki yang salah? Saya cuma tak nak jadi mangsa kerugian tu. Takut nanti, gelap masa depan,” ujar Nor berbaur sindiran.
Ya, memang dia sengaja menyindir Adib. Biar Adib sedar diri sedikit. Alah, kalau keras hati pun, apa salahnya. Pergilah cari perempuan lain. Bukan dia seorang sahaja perempuan yang ada di dalam dunia ini.
Adib senyum kelat. “Saya tahu, apa yang awak fikirkan tentang diri saya. Tapi tak apalah, saya maafkan semua kata-kata awak tu. Mungkin awak belum kenal lagi siapa saya yang sebenarnya.”
Eh, Adib ni. Sebab aku kenallah aku cakap begitu. Benda terang lagi disuluh. Takkanlah aku nak menidakkannya pula. Aku rasa, aku belum buta lagi mahu menilai sikap Adib, rungut Nor dalam hati.
“Hmm... saya nak berehat ni. Masa rehat saya cuma tinggal setengah jam aje lagi. Boleh Encik Adib tinggalkan saya sendirian sekejap?” pinta Nor memandang Adib. Dia memilih untuk mematikan sahaja perbualannya di situ. Mahu berehat pun tidak senang. Asyik diganggu sahaja.
Adib menghela nafas. Dia dapat mengesan kedinginan Nor terhadapnya. Dia berasa tercabar, namun dikeraskan perasaannya.
“Okey... Tapi sebelum tu, saya nak ingatkan awak tentang satu perkara,” ujar Adib.
“Apa dia?” soal Nor semula.
“Sekali awak tolak saya, seribu kali saya akan berusaha. Saya bukan lelaki yang cepat berputus asa tau. Lambat-laun, awak pasti akan jatuh cinta kepada saya jugak,” balas Adib dengan tekad. Dia tersenyum nakal sambil membetulkan tali lehernya. Sempat juga dia mengenyitkan mata kepada Nor sebelum dia berlalu pergi dari situ.
Dia akur dengan kata-kata Nor. Memang dia bukan seorang lelaki yang baik kerana gemar berpelesiran dengan ramai perempuan. Tetapi dia seorang pencinta yang setia. Itu hakikat. Gadis yang bernama Nor Qaseh Umairah itu akan dia pastikan menjadi miliknya. Adib memasang tekad.
Nor menggigit bibir. Kata-kata Adib tadi terngiang-ngiang di telinganya. Jatuh cinta kepada Adib? Jangan harap! Kau hanya buat kerja sia-sia, Adib.

Reeani Annur 2015

 

No comments:

Post a Comment