06 July 2015

Cinta Sama Cinta 11

“MACAM mana dengan persiapan kahwin Izam? Semua okey ke?” Dato’ Dahlan bertanya kepada Izam usai makan malam. Sambil menanti jawapan Izam, surat khabar di atas meja dicapai dan dibaca sepintas lalu tajuk hadapannya.
Izam mengeluh halus. Kahwin, kahwin, kahwin. Dia bosan dengar pertanyaan itu. Kalau ikutkan rasa hati, hendak sahaja dia beritahu papanya yang dia tidak mahu berkahwin dengan Rehan.
“Hmm... Okey kut,” jawab Izam tidak berminat. Tangannya ligat menekan punat alat kawalan jauh, menukar-nukar siaran televisyen. Tidak ada satu rancangan pun yang berjaya menarik perhatiannya.
Dato’ Dahlan mengangkat muka.
“Kut?” tukasnya sambil menoleh.
“Semuanya okey. Tak ada apa-apa masalah.” Izam buat-buat senyum, cuba menyembunyi rasa gundahnya.
“Baguslah kalau macam tu.” Dato’ Dahlan angguk sambil menyelak pula halaman seterusnya.
Izam memerhati Dato’ Dahlan membaca dengan penuh khusyuk. Dia ingin buka mulut berkata sesuatu tetapi lidah terasa kelu.
“Sebenarnya, tak okey.” Akhirnya Izam bulatkan hati untuk berterus terang. Berdebar-debar dia menanti reaksi papanya.
Dato’ Dahlan mengangkat muka kembali. Wajah Izam direnung lama, meminta penjelasan. Tadi kata okey. Sekarang tak okey pula. Mana satu yang betul ni?
“Apa yang tak okey?” tanya Dato’ Dahlan.
“Izam rasa, Izam nak batalkan perkahwinan tu.”
Dato’ Dahlan tersentak. Surat khabar di tangan terus ditutup. Wajah Izam diamati dengan penuh tanda tanya.
“Apa Izam merepek ni? Izam sendiri tahu kan perkahwinan Izam dengan Rehan tinggal kurang daripada enam bulan aje lagi nak berlangsung? Jangan nak buat kerja gila.”
“Izam tak merepek, papa. Izam serius. Izam memang tak boleh nak teruskan perkahwinan tu”
“Jangan mengarut!” Dato’ Dahlan hempas surat khabar ke meja seraya bangkit menghadap Izam. Rahangnya bergerak-gerak menahan marah. Dia memang tidak suka mendengar semua itu.
“Papa nak ingatkan Izam satu perkara. Tolong jangan sesekali cuba buat perkara yang boleh menjatuhkan air muka papa, faham!” sambung Dato’ Dahlan lagi penuh serius.
Izam bangun perlahan-lahan. Dia sudah mengagak papanya akan membantah hasrat itu. Kenapa papa tidak mahu mengerti perasaannya? Dia penat menghadapi semua ini. “Izam tak pernah cintakan Rehan. Izam rasa dia pun tak cintakan Izam jugak. Jadi, apa gunanya kalau perkahwinan ni diteruskan?”
Dia kenal Rehan atas dasar anak kepada kawan papanya sahaja, Tan Sri Zafar. Hubungan mereka juga tidaklah begitu rapat. Malah, dia sendiri tidak berkenan dengan sikap kasar Rehan yang suka mengarah macam bos besar. Tetapi, dia tidak tahu mengapa papanya begitu berkenan dengan gadis itu sampai sanggup membuat pakatan dengan Tan Sri Zafar untuk menyatukan mereka berdua.
Pertunangan dia dan Rehan juga berlangsung tanpa kerelaannya. Dia dipaksa dan terpaksa demi menjaga hati kedua-dua belah pihak.
“Izam, cinta tu boleh dipupuk selepas Izam kahwin. Papa percaya, Rehan pun sedang belajar untuk terima keadaan ni. Cubalah beri peluang kepada diri Izam untuk lakukan hal yang sama.”
“Papa tak faham...”
“Kalau Izam melutut dekat kaki papa sekalipun, papa tetap tak setuju Izam batalkan perkahwinan tu.”
“Papa, tolonglah jangan paksa Izam macam ni. Berilah Izam tentukan sendiri hala tuju hidup Izam.” Suara Izam lirih memujuk Dato’ Dahlan. Dia bukanlah budak kecil lagi yang hidupnya perlu diatur oleh orang tua.
Dato’ Dahlan merenung Izam tajam. Tidak mungkin dia akan memalukan diri sendiri dan bakal besannya. Segalanya sudah diatur baik-baik dan dia akan pastikan semua itu tidak terbengkalai di separuh jalan.
“Keputusan papa muktamad. Izam tetap kena kahwin dengan Rehan!” putus Dato’ Dahlan lantas beredar meninggalkan Izam.
Izam terduduk di atas sofa sambil meraup muka. Keputusan itu ternyata merobek hati dan perasaannya. Ya Allah, apa lagi yang perlu aku lakukan untuk menghalang semua ini daripada terjadi?
Tidak semena-mena dia terkenangkan arwah mamanya, Datin Suraya. Kalaulah mama masih ada, pasti mama akan menyebelahi dia dan memujuk papa agar tidak meneruskan perkahwinan itu. Sayangnya, sekarang dia keseorangan dan tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu.

IZAM duduk di balkoni bilik tidur sambil termenung jauh. Dia masih terkenangkan perbualannya dengan Dato’ Dahlan sebentar tadi. Sungguh, dia rasa begitu tertekan sekali memikirkan semua itu. Bagaimana hendak keluar daripada masalah itu?
Kotak rokok yang berada di atas meja bulat dikerling. Sudah lama dia meninggalkan tabiat buruk itu. Kini, apabila fikirannya berasa kusut, hati mula memberontak mahu menghisap rokok kembali.
Zaman sekolah dahulu, hisap rokok sebatang dua perasaan akan kembali tenang. Mungkin cara itu dapat membantu meredakan rasa serabut yang dia alami sekarang.
Izam menarik keluar sebatang rokok lalu dikepit ke bibir. Di saat tangannya mula memetik picu pemetik api dan api menyala, dia tidak jadi berbuat demikian.

“BOLEH aku tahu, apa ciri-ciri lelaki idaman kau?” Segenap inci wajah Hanis dinodai penuh asyik. Cantik. Terbuai sejenak perasaannya.
“Aku suka lelaki yang tak merokok.”
Erk! Maknanya dia tidak tergolong dalam kategori lelaki idaman Hanislah ni. Teruk sangat ke orang yang hisap rokok?
“Sebab?” soal Izam lagi teruja ingin tahu.
“Sebab... lelaki yang tak merokok ni nampak lebih maco berbanding lelaki yang hisap rokok,” jawab Hanis tersenyum manis.
Izam bergumam sambil mengangguk perlahan. Jadi, dia tak macolah? Teori Hanis tu macam berat sebelah sahaja.
“Ia ke? Tapi, kalau kau ditakdirkan jatuh cinta dengan lelaki yang suka hisap rokok, apa yang kau akan buat? Kau akan tinggalkan dia?” Sengaja Izam bertanya soalan itu demi mahu mencungkil isi hati Hanis terhadap kaki rokok sepertinya. Jawapan Hanis penting untuk dia tahu.
“Aku tak akan tinggalkan dia. Cuma, aku akan cuba nasihatkan dia supaya tinggalkan tabiat buruk tu. Bukan apa, merokok ni bukannya bagus sangat untuk kesihatan. Macam-macam penyakit boleh dapat nanti.”
Izam hembus nafas lega. Terselamat dia daripada kena reject.
“Kau hisap rokok tak?”
“Hisy! Taklah. Kalau aku merokok dah tentulah aku nampak tak maco pada pandangan mata kau, kan?” bohong Izam sambil mengulang semula ayat Hanis tadi.
Padahal, di luar pengetahuan Hanis, rokok merupakan makanan utamanya bersama kawan-kawan. Tetapi mana boleh dia mengaku tabiat buruknya itu di depan buah hati? Gelap masa depan hubungan mereka nanti.
“Kau sentiasa nampak maco pada pandangan mata aku,” jawab Hanis malu-malu. Namun, ditutup dengan gelak tawanya.
Tangan Izam terus naik ke atas kepala, membetulkan rambutnya yang terpacak macam duri landak. Dah Hanis cakap dia maco. Haruslah dia buat begitu untuk menyerlahkan lagi kemacoannya.
“Terima kasih sebab puji aku,” ucapnya tersengih lebar. “Kalau macam tu bolehlah aku hisap rokok, kan?”
“Siapa cakap?”
“Yalah, kau cakap aku sentiasa nampak maco pada pandangan mata kau. Maksudnya kalau aku merokok atau tak semuanya sama aje. Aku tetap maco. Tak gitu?”
Hisy! Pandai sahaja Izam putar belit ayat, omel Hanis dalam hati. Kalau Izam ada keinginan itu, jangan harap dia benarkan.
“Merokok tak baguslah, Izam. Nanti bila dah terjebak, kau akan jadi ketagih. Lama-lama nanti susah pulak nak berhenti. Lagipun aku tak suka bau rokok.” Hanis menggesek jari telunjuknya ke hidung bersama mimik muka kurang senang.
Fuh! Makan dalam sungguh nasihat Hanis itu. Namun, memang dia tidak menyangkal kebenarannya. “Okey, aku ingat nasihat kau tu sampai bila-bila.”
Tanpa sedar, pemetik api yang dipegangnya terlepas dari tangan dan jatuh ke atas lantai. Izam kembali tersedar daripada lamunan yang terkenangkan perbualannya dengan Hanis kira-kira 10 tahun lepas. Dia tersenyum tawar.
Hanis Aqilah. Sesungguhnya, nama itu tidak pernah luput daripada ingatannya. Di manakah Hanis sekarang? Adakah masih ada pertemuan antara mereka? Aku rindukan kau, Hanis. Izam menghela nafas panjang. Perlahan-lahan dia menarik semula rokok di mulutnya lalu patahkan dua sebelum direnyukkan ke dalam bekas abu rokok sehingga hancur.

SETELAH mencuci muka dan menggosok gigi, Izam rebahkan badan di atas katil. Di saat mata hampir terpejam, telefon pintarnya berdering kuat. Rehan? Muka Izam berkerut melihat nama pemanggil yang tertera pada skrin.
“Hmm... Ada apa ni telefon saya tengah malam macam ni?” jawab Izam acuh tak acuh.
“Hai, telefon tunang sendiri pun tak boleh ke?” perli Rehan dalam nada jengkel.
Mata Izam yang terasa layu kembali segar. Sakit hati betul dengar sindiran Rehan itu.
“Awak jangan cuba nak mulakan. Saya tak ada mood nak bergaduh dengan awak. Cakaplah cepat kenapa awak telefon saya?” Izam pantas mematikan keinginan Rehan yang dilihat seperti sudah bersedia ingin berperang mulut dengannya.
Terdengar suara Rehan merengus kuat. Barangkali, melepas rasa bengang terhadapnya. Ah! Peduli apa dia.
“Malam Sabtu nanti temankan saya pergi majlis hari jadi kawan saya, boleh?” kata Rehan mengenai jemputan yang diterimanya semalam.
“Maaflah, hari Sabtu ni saya tak free. Awak ajak ajelah kawan awak yang lain pergi,” balas Izam tidak berminat.
“Awak nak pergi mana?”
“Jumpa klien dekat Penang.”
“Hujung minggu pun awak kena kerja jugak ke? Tak boleh tukar ke hari lain?” Rehan kurang senang mendengar alasan Izam.
“Mana boleh. Saya dah janji dengan klien tu nak jumpa dia hari Sabtu nanti.”
“Mana lebih penting? Kerja ke tunang awak?”
Izam segera bangkit daripada perbaringan. Dia jadi berang apabila Rehan mempertikai urusan kerjanya.
“Apa kena dengan awak ni? Selama ni, saya kerja tujuh hari seminggu tanpa cuti pun awak tak pernah ambil peduli, kan? Tapi kenapa malam ni tiba-tiba pulak awak sibuk persoal semua tu?” tanya Izam musykil. Mengigau ke apa Rehan ni? Pelik benar sikapnya pada malam itu.
“Saya perlukan awak hari Sabtu ni. Sebab tu saya suruh awak tukar temu janji awak dengan klien ke hari lain. Tak susah kan nak buat semua tu?” nyata Rehan.
“Penting sangat ke majlis tu? Apa kaitannya dengan saya? Awak kan ramai kawan. Ajaklah kawan-kawan awak yang lain temankan awak. Kerja saya tu, mana boleh diganggu.” Izam bertegas. Huh! Tak kuasalah dia nak turutkan kehendak Rehan itu.
“Jadi, awak lebih pentingkan kerja awaklah berbanding saya? Awak ni tunang jenis apa ni?” tengking Rehan tidak puas hati sambil mendengus kasar.
“Kerja saya memanglah jadi keutamaan saya. Awak tak berhak nak pertikai semua tu!” Izam turut berasa marah dengan Rehan. Namun dia berusaha mengawal perasaan itu agar tidak keterlaluan.
Waktu senggangnya tidak menentu. Kadang-kadang dia mempunyai banyak masa untuk diri sendiri. Ada kalanya tidak. Dia cuma mengharapkan Rehan faham dengan situasi kerjanya.
“Ah, saya tak kira! Saya nak jugak awak temankan saya pergi ke majlis tu. Temu janji awak dengan klien tu, tolong ubah ke hari lain.” Rehan tetap berkeras dan tidak mahu mengalah.
“Jangan nak mengada-ada boleh tak?” Suhu kemarahan Izam sudah mencacak tinggi. Yang dia bengang adalah sikap Rehan yang suka mengarahnya. Sesuka hati Rehan sahaja suruh dia batalkan temu janjinya dengan klien. Mustahil semudah itu.
“Saya mengada-ada dengan tunang sendiri aje, bukannya dengan jantan lain. Kenapa susah sangat awak nak ikut kehendak saya? Kena bayar ke semua tu?”
“Hei! Cakap tu boleh tak jangan biadab sangat? Mama dan papa awak tak ajar ke cara-cara nak hormat orang?” jerkah Izam pula. Dia merasakan Rehan sudah melampaui batas dengannya.
“Siapa yang biadab? Awak ke saya? Kalau macam ni, lebih baik tak payah ada tunang. Ada tunang pun tunang tak berguna!” tempelak Rehan sebelum memutuskan panggilan.
Izam beristighfar beberapa kali. Cuba menahan kata-kata tidak elok terlepas keluar dari mulutnya. Sesungguhnya, sikap Rehan benar-benar menguji tahap kesabarannya.

“LELAKI tak boleh diharap! Dengan tunang sendiri pun tak nak berlembut hati. Dasar tak ada hati perut. Aku benci kau!” Rehan memaki hamun Izam dengan melemparkan bantal ke dinding.
Kemudian dia dail nombor telefon Hisyam untuk mengadu-domba. Dia perlukan seseorang untuk memujuk rawan di hatinya.
“Sayang... I nak you,” rengek Rehan sesudah panggilannya dijawab oleh Hisyam.
“Kenapa ni, sayang? Macam sedih aje bunyinya?” soal Hisyam hairan.
“Sedihlah sebab tunang I yang bengap tu tak nak temankan I pergi ke majlis hari jadi kawan I. Eii... bencinya I ada tunang macam dia tu!” Rehan mengadu sambil ketap bibir. Dia rasa nak menangis namun air matanya tidak mahu keluar.
Hisyam menghela nafas panjang. “Kesian dekat you. I minta maaf sebab tak dapat temankan you. Tapi, you cubalah pujuk Izam lagi sampai dia setuju.”
“Huh! Membazir air liur I aje pujuk dia. Dia tu memang hati batulah. Geram I dibuatnya.” Rehan mendengus. Terasa hina pula dirinya apabila Izam memperlaku dia begitu. Macamlah dia terhegeh-hegeh sangat. Jika bukan sebab Hisyam tidak dapat menemaninya, tak ada maknanya dia nak ajak Izam.
Terlepas ketawa kecil dari mulut Hisyam. Lucu pula dia rasa apabila Rehan tidak habis-habis mengutuk tunang sendiri. “Kenapa dia berkeras tak nak temankan you?”
“Dia kata kena pergi Penang. Jumpa klien. Betul ke, sayang? Ofis you tu, hujung minggu pun kena kerja jugak ke?” soal Rehan inginkan kepastian. Hisyam pun kerja di syarikat yang sama juga. Tetapi, kenapa Hisyam tidak sibuk macam Izam?
“Bergantung pada keadaan jugak. Mungkin dia tengah kejar projek sekarang. Tak pun mungkin itu aje masa yang klien free,” jelas Hisyam.
“Habis tu sekarang, macam mana? Siapa yang nak temankan I pergi ke majlis tu nanti?” Rehan susah hati memikirkan masalahnya yang masih belum menemui jalan penyelesaian.
“You cubalah pujuk Izam sekali lagi.”
“Kalau dia tetap tak nak temankan I?”
“Sayang... you nak dia, kan? Jadi, you kenalah usaha lebih sikit. Kalau dia masih berkeras tak nak temankan you, you ugut-ugutlah sikit biar sampai dia jadi serba salah. Nanti dia setujulah tu.”
Rehan bergumam panjang. Entah cara apa yang dia hendak guna untuk melembutkan hati Izam. Bencinya apabila terpaksa merayu begini. Tetapi, suka ataupun tidak, dia terpaksa melakukannya juga. “Hmm... Yalah, esok I cuba pujuk dia lagi. You tengah buat apa, sayang?”
“Baru aje sampai rumah. Tadi I keluar jumpa kawan sekejap. Dahlah, you pergi tidur dulu. Dah lewat ni...”
“Tak ada kiss ke untuk I malam ni sebelum I masuk tidur?” Rehan menyoal manja. Bibirnya tersenyum nakal. Dia pasti Hisyam turut senyum seperti dia juga.
“Muah! Kiss kat bibir you yang seksi tu,” balas Hisyam sekali gus membuatkan hati Rehan terus pulih daripada rasa sakit hati yang ditanggungnya tadi.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment