MAK ETON memerhati Nor yang sedang asyik menonton
televisyen. Dalam hatinya mahu bertanyakan sesuatu sejak dari tadi, namun
terasa serba salah pula. Bimbang jika apa yang bermain di fikirannya tidak sama
seperti hakikat yang sebenarnya. Tetapi kalau tidak ditanya semakin menimbulkan
tanda tanya pula.
“Nor, mak nak tanya kau sikit, boleh?” soal Mak Eton di kala
tangannya ligat melipat kain di atas permaidani di ruang tamu itu.
“Tanya apa, mak? Tanya ajelah,” jawab Nor tanpa menoleh.
Matanya terus melekat ke skrin televisyen.
“Kau dengan Adib tu, ada apa-apa ke?” soal Mak Eton.
Pertanyaan itu segera mengalihkan perhatian Nor ke wajah tua
ibunya. Sejenak hatinya mengeluh. Adib lagi. Bosan betul dia mendengar nama
lelaki itu. Sudah tidak ada nama lainkah yang mahu disebut selain nama itu?
Terus hilang mood dia hendak menonton televisyen.
“Mak ni, nak jadi macam Saleha jugak ke? Sibuk duk tanya
fasal Encik Adib tu. Nor mana ada apa-apa hubungan dengan dia. Kan Nor dah
cakap dekat mak, dia tu hanya bos kat tempat Nor kerja aje. Selain daripada tu,
memang tak ada apa-apa hubungan,” terang Nor panjang lebar.
Penat betul mahu menjawab pertanyaan mengenai hal itu.
Dahulu Saleha, sekarang ibu dia pula. Luar biasa sangatkah kelihatannya
perhubungan dia dan Adib sehingga menimbulkan banyak tanda tanya pada mata-mata
orang?
“Tapi... mak tengok cara dia tu macam dia suka dekat kau
aje. Tak begitu?”
“Isy, mak ni... Ada pulak macam tu. Dah mulalah tu,” cebir
Nor sambil menggigit bibir. Tumpuannya pada rancangan televisyen yang sedang
ditonton sudah mula lari.
“Mak tengok dia tu budak baik. Berbudi bahasa, hormat pada
orang tua. Dia pun pandai menyesuaikan diri dengan orang yang baru dia kenal.
Sampaikan angah pun boleh cepat mesra dengan dia,” puji Mak Eton penuh makna.
Dia tersengih apabila teringat kembali gelagat mesra Adib dan Naim yang
bagaikan sudah kenal lama. Padahal mereka baru kali pertama bertemu muka.
Nor bingkas dari sofa, tempat dia sedang berbaring. Kali
ini, matanya beralih sepenuhnya ke wajah Mak Eton. “Apa, mak? Baik? Mak, mak
belum kenal lagi siapa Encik Adib tu. Dia tu, kaki perempuan yang paling
tersohor sekali kat dalam Kuala Lumpur ni. Girlfriend dia, penuh keliling
pinggang, mak tahu tak?”
“Isy... Tak baik kau
cakap macam tu dekat dia,” tegur Mak Eton sambil menggeleng kepala.
“Alah, mak... Satu pejabat Nor tu memang dah tahu perangai
dia macam mana. Depan orang tua aje dia tunjuk sikap baik. Tapi, kat
belakang... hmm, Tuhan ajelah yang tahu. Kalau mak sendiri yang tengok perangai
sebenar dia tu, mesti mak akan tarik semula kata-kata mak tadi tu,” terang Nor
bersungguh-sungguh. Pandai betul Adib ni berlakon sampai dianggap oleh semua
orang sebagai seorang lelaki yang budiman. Dengan ibu dia sekali turut sama
terperdaya.
Mak Eton mengeluh. Kain yang dipegangnya tidak jadi dilipat.
“Kau ni pun... Kalau tak suka dengan dia sekalipun,
janganlah sampai cakap macam tu. Tak baik tau cakap hal-hal yang buruk fasal
diri orang lain,” kata Mak Eton menegur anak gadisnya itu.
“Dah memang Nor cakap benda yang betul pun. Bukannya Nor
saja-saja nak mereka-reka cerita tipu, mak. Ha... yang mak ni duk sibuk bela
dia sangat, kenapa? Mak berkenan ke nak buat dia jadi menantu mak?” soal Nor
seperti menyindir. Dia geram apabila melihat ibunya asyik sahaja menyebelahi
Adib sejak tadi. Rasa menyampah pula dia mendengar pujian yang dihamburkan
kepada lelaki itu. Padahal bukan baik sangat pun.
“Nor, kita ni kadang-kadang tak boleh nak menilai orang
hanya berdasarkan luaran aje. Kena ambil kira yang dalaman jugak. Apa yang kita
lihat tu, tak semestinya menggambarkan hati budi dan keperibadian dia pun macam
tu. Kau kena betulkan tanggapan kau tu,” sambung Mak Eton lagi.
Nor tercengang. Aik, nak salahkan dia pula ke? Sabar
sahajalah.
“Kalau setakat Encik Adib tu, tak perlu nak tengok dalaman
untuk menilai dia. Kalau di luar pun sudah buruk, dalaman apatah lagi. Pokok
pangkalnya, dia tu memang bukan lelaki yang baik. Ha... mak suka ke kalau
tengok Nor berkawan dengan orang yang tak baik? Luka kena main dengan lelaki
tak baik dulu pun belum hilang lagi, mak...” keluh Nor bersama helaan nafas
yang panjang. Terbit sedikit rasa kesal di situ.
“Benda yang dah lepas tu, lupakan ajelah. Mak faham, semua
tu banyak mempengaruhi fikiran kau lepas apa yang terjadi. Tapi, bukan semua
lelaki tu sama perangainya. Kalau kau fikir macam tu, tak adillah pulak untuk
lelaki yang betul-betul ikhlas nak berkawan dengan kau,” nasihat Mak Eton
lembut.
Dia nampak kedinginan Nor apabila berbicara tentang hal
lelaki. Yang jenis baik pun dikatakan jahat juga. Tanggapannya terhadap kaum
lelaki masih juga sama seperti dahulu. Susah betul mahu membetulkannya.
“Lelaki ni, memang tak boleh percayalah, mak. Sebelum dapat,
semuanya nampak baik, bermulut manis. Tapi bila dah dapat, bukannya reti nak
jaga. Buat sakitkan hati lagi adalah...”
“Tapi nanti kalau nak kahwin, kau kahwin dengan lelaki
jugak, kan?”
Nor tersentap. Ah, sekali dia pula yang dikenakan oleh
ibunya. Pandai betul ibunya mencari peluang memerangkap dia.
“Dahlah, mak. Nor malaslah nak cakap fasal hal ni lagi. Nak
tengok TV pun tak senang,” rungut Nor sambil merebahkan semula badannya di atas
sofa. Dia kembali memberi tumpuan ke skrin televisyen. Namun kata-kata ibunya
terus mengganggu fokusnya.
Mungkin benar masih ada sisi-sisi baik sikap Adib seperti
yang dikatakan oleh ibunya tadi. Tetapi hatinya sudah tidak dapat dipulihkan
lagi. Sesungguhnya, tidak ada tempat untuk lelaki yang gemar mempermainkan
perasaan perempuan untuk bertakhta di hatinya.
HADI membeliakkan matanya memandang Adib. Air liur yang
diteguknya seperti tersekat.
“Lima pinangan? Kau biar betul, Adib,” soal Hadi seakan-akan
tidak percaya.
Adib mengangguk, mengiakan pertanyaan Hadi. Kalau Hadi
sendiri yang terperanjat apabila mengetahui hal tersebut, dia sendiri apatah
lagi. Sampaikan tersedak dia minum kopi semalam. Tidak sangka pula rupa-rupanya
ramai juga lelaki yang berhajat dengan Nor.
“Hadi, agak-agak kaulah kan, kalau aku yang masuk meminang
dia, kau rasa aku kena reject tak?” soal Adib sambil mengangkat kening.
Tiba-tiba sahaja dia berfikir macam orang gila. Manalah tahu kalau-kalau dialah
lelaki bertuah yang mampu membuka hati dan perasaan Nor.
Hadi mengamati wajah Adib. Lama. “Kau? Hmm... aku rasa,
kalau kau yang masuk meminang dia, memang sah kena reject terus!”
Ketawa Hadi terhambur kuat sebaik sahaja menuturkan
kata-kata itu. Geli hati betul dia mendengar hasrat Adib. Nak tackle pun tidak
lepas, usahkan pula hendak masuk meminang. Mimpi di siang hari sahajalah Adib
ni.
Adib mendengus kasar mendengar jawapan Hadi. Ceh! Hadi
perlekehkan dia pula! Haram betul si Hadi ni. Bukannya ada hati hendak beri
kata-kata semangat kepada dia.
“Kau ni, aku tengok kebelakangan ni asyik bercerita fasal
hal dia aje. Kau memang serius ke nak rapat dengan dia ni?” soal Hadi, musykil.
Dia masih lagi berasa seperti tidak percaya dengan apa yang sedang Adib cuba
lakukan biarpun Adib berkali-kali menyatakan kesungguhannya.
“Kenapa? Kau ingat aku ni main-main ke? Hei, aku betul-betul
seriuslah!” tegas Adib.
Memang dia serius. Dia rasa, hatinya sudah terpaut kepada
Nor. Dia tidak pernah merasakan perasaan yang sebegini kuat terhadap mana-mana
gadis yang pernah dia cuba dampingi sebelum ini. Tetapi dengan Nor, dia rasa
berlainan sekali perasaannya. Ia bukan hanya setakat suka sahaja. Malah,
perasaan itu telah bercambah menjadi sayang. Dan lagi nyata, sudah bertukar
menjadi cinta.
Hadi mengerutkan wajah.
“Habis, awek-awek keliling pinggang kau tu, kau nak campak
mana pulak? Jenny, Rina, Aurora, Melissa...” soal Hadi lagi. Dia menyebut
nama-nama teman wanita Adib satu per satu.
Sebenarnya, bukan setakat empat orang itu sahaja. Kalau
diikutkan, ada ramai lagi. Tetapi dia sendiri pun ingat tidak ingat disebabkan
terlalu ramai kenalan perempuan yang menjadi peneman hidup Adib. Biasalah,
kasanova terhebatlah katakan. Mana pernah cukup dengan seorang perempuan
sahaja. Kalau hari ini dengan orang lain, esok dengan orang lain pula. Yang
pasti, semuanya seksi-seksi belaka. Cerah mata dia kalau memandang mereka
semua. Dosa pun turut bertambah.
Adib tersengih.
“Alah, itu stok main-main ajelah. Bukannya aku serius sangat
pun. Kau pun bukannya tak tahu dia orang tu rapat dengan aku fasal apa,” balas
Adib sambil menyandarkan badan pada kerusi.
Ah, tidak ada maknanya dia mahu serius dengan mereka semua.
Setakat buat teman sosial tu bolehlah. Biasalah, perempuan kalau nampak
kelebihan lelaki seperti dia, memang ramai yang mahu ambil kesempatan. Dia tahu
semua itu. Namun dilayankan sahaja permainan mereka untuk keseronokannya juga.
Namun bukan salah dia kalau ada yang benar-benar jatuh cinta kepadanya. Dia
sekadar ingin bergembira sahaja. Malah, kalau diikutkan, tidak ada seorang pun
dalam kalangan mereka yang mampu membuat dia mandi tidak basah dan tidur tidak
lena.
“Jadi, kalau dia orang semua tu stok main-main, si Nor ni
stok apa pulak?” Hadi mengangkat keningnya tinggi.
“Stok apa lagi, stok binilah...”
Adib dan Hadi kemudiannya sama-sama ketawa serentak.
“Tahu pulak kau ni nak cari gadis yang baik untuk jadi calon
isteri. Tengok daripada gaya pasang skandal, bukan main lagi. Semuanya yang
jenis-jenis tak cukup pakai kain baju,” sindir Hadi sambil menggeleng-geleng
kepala. Lucu pula apabila mendengar Adib berseloroh sedemikian.
“Kalau kau pun, takkanlah kau nak cari calon isteri yang
murah-murah, kan?” balas Adib.
“Tapi aku tengok dia tu macam tak ada perasaan aje dekat
kau. Kau tak perasan ke cara dia layan kau? Dingin semacam,” ujar Hadi lagi.
Adib senyum. Ya, memang dia tidak menafikan kata-kata Hadi
itu. Sikap Nor terhadap dia sangat dingin. Kadangkala boleh buat dia rasa
tercabar. Tetapi dia tidak mahu cepat berputus asa. Qusyairy Adib mana pernah
tewas!
“Sebab itulah aku sukakan dia. Selama ni, mana-mana
perempuan yang aku nak senang-senang aje aku dapat. Tapi dengan dia ni,
langsung tak pandang aku. Mana ada perempuan yang pernah reject aku. Dia sorang
aje yang berani reject,” akui Adib terus terang. Sesungguhnya, itulah yang
membezakan sikap Nor dengan gadis-gadis lain.
“Dia reject kau, sebab dia tahu kau tu kaki perempuan.
Bukannya dia tak pernah nampak kau berkepit dengan ramai perempuan ke hulu ke
hilir sebelum ni. Entah-entah, sebab itulah dia rasa jijik nak pandang kau,”
kata Hadi lantas tertawa memandang Adib. Sepatutnya, Adib kena berpegang dengan
kata-kata ini. Lelaki yang baik hanya untuk perempuan yang baik. Barulah Adib
sedar hakikat yang sebenarnya.
Adib diam sejenak. Terkena lagi dia dengan mulut longkang
Hadi itu. Tak apa... Kau tengoklah nanti, Hadi. Aku akan buktikan semua tu
sampai mulut kau melopong, ikrar Adib dalam hati.
“Sentap?” soal Hadi, sinis.
“Tak apa. Lagi susah nak dapat, lagi aku suka,” balas Adib
dengan yakin. Memang dia berasa teruja dengan cabaran yang dia sedang lalui
kini. Dia tidak akan cepat mengalah. Gadis itu akan tetap menjadi miliknya.
Adib meyakininya.
“Sayang!”
Tiba-tiba pintu bilik Adib dikuak dari luar. Muncul pula
seorang gadis tinggi lampai persis model dan berkaca mata hitam berdiri di
depan pintu tersebut sambil melambaikan tangan ke arah Adib.
Adib dan Hadi tersentak. Mereka berdua saling berpandangan.
“Aurora?” ucap Adib perlahan di depan Hadi.
Hadi sekadar menjongketkan bahu dan mula bangun
perlahan-lahan dari kerusi. Dia sengih memandang Adib.
“Tu dia, bala kau sudah sampai. Habislah kau kali ni, Dib.
Jangan sampai orang yang kau nak pinang tu, makan hati bila tengok buah hati
kau ni bergedik-gedik dengan kau. Kalau tak nanti, pinangan kau ditolak.
Melepas!” bisik Hadi ke telinga Adib sambil menepuk-nepuk bahunya sebelum
berlalu keluar dari bilik Adib.
Adib mengerti maksud di sebalik kata-kata Hadi itu. Setelah
bayangan Hadi menghilang, mata Adib melirik pula ke arah gadis seksi yang
mengenakan gaun hitam singkat separas paha itu. Ah, sakit mata lagi.
“Aurora, you buat apa kat sini?” soal Adib terkejut.
Tanpa diundang, tiba-tiba sahaja Aurora menjelma di pejabatnya
pada pagi itu. Mimpi apa pulalah gadis gedik itu datang berjumpa dengannya?
Aduh! Masalah, masalah. Hatinya berasa seperti tidak senang dengan kehadiran
gadis tersebut.
Aurora menutup rapat pintu dan berjalan masuk mendekati
Adib. Kemudian, dia terus melentok manja duduk di atas riba Adib. Kedua-dua
tangannya pula merangkul kemas leher Adib.
“I dah tak boleh datang jumpa you lagi ke, sayang?” soal
Aurora manja sambil memandang tepat ke wajah Adib.
Adib senyum. Cuba mengawal perasaannya dengan tindakan
Aurora yang berkelakuan di luar jangkaan itu.
“Eh, tak adalah. Bukan tu maksud I. You dari mana ni?” soal
Adib berbasa-basi.
“Dari rumahlah, sayang. I cuti hari ni. Sebab tulah I datang
jumpa you. Jom, temankan I. Kita keluar pergi makan, tengok wayang, pergi
shopping. Nak tak?” ajak Aurora.
Adib sedikit terpempan mendengar ajakan itu. Aurora ni tidak
ada kerja lainkah? Datang jumpa dia semata-mata nak suruh dia jadi peneman
untuk semua itu? Buang masa betul. Waktu-waktu bekerja begini takkanlah dia mahu
keluar berjoli pula. Dia pun ada banyak kerja mahu dibuat.
“Tak bolehlah, Aurora. I ada banyak kerja. Lain kali ajelah
ek...” balas Adib menolak ajakan Aurora dengan baik.
Aurora mencebikkan bibir. Hampa dia mendengar jawapan Adib.
“Alah, sayang, jomlah... I dah lama tak jumpa you tau. Rindu
dekat you sangat-sangat. I telefon you, you tak jawab. Mesej pun you tak balas.
Sampai hati you tau. Jomlah, sayang… temankan I,” pujuk Aurora lagi sambil
memintal-mintal tali leher Adib.
“Aurora, I ada banyak kerjalah nak buat. Sekejap lagi I nak
kena pergi meeting. Lain kali, okey,” ujar Adib masih menolak baik pelawaan
tersebut.
“Alah, meeting tu suruhlah pembantu you aje yang pergi.
Please... You ni, dah tak sayang I lagi ke?” soal Aurora. Matanya menusuk dalam
ke mata Adib. Memandang dengan pandangan yang penuh menggoda.
“Sayang, tapi I...” Kata-kata Adib terputus di separuh jalan
apabila pintu biliknya sekali lagi terbuka luas dan melihat kelibat Nor masuk
ke dalam biliknya.
“Encik Adib...” Mata Nor membuntang. Langkah kakinya terus
mati apabila melihat Aurora sedang duduk mesra di atas riba Adib.
Aduh, drama apa pula yang dibikin oleh Adib di dalam bilik
itu? Buat malu dia sahajalah. Isy! Nor mengomel dalam hati. Apa yang harus dia
lakukan? Terus melangkah atau keluar semula dari bilik itu?
“Err... saya mengganggu ke? Saya minta maaf,” ujar Nor serba
salah lantas terus berpaling dan berjalan ke arah pintu. Dia tidak sanggup
melihat aksi terlarang Adib dan Aurora yang ternyata menyakitkan matanya itu.
Adib pantas menolak Aurora dan cepat-cepat bangun dari
kerusi. Aiseh! Kantoilah pula dia dengan Nor. Kenapalah hari ini nasib dia
malang sangat? Dalam masa yang sama, sempat dia mengerling Aurora yang sedang
mencebik geram ke arahnya disebabkan tindakannya tadi. Ah, perasaan Aurora
tidak penting buat dia. Yang penting perasaan Nor.
“Ada apa, Nor?” soal Adib, sekali gus mematikan langkah yang
diatur oleh Nor.
Nor menoleh semula ke arah Adib. “Saya nak suruh Encik Adib tengok minit
mesyuarat yang saya buat ni. Tapi kalau Encik Adib sibuk, tak apalah. Nanti
saya datang jumpa Encik Adib semula.”
“Hmm... tak apa. Tinggalkan aje atas meja saya ni. Nanti
saya semak,” ujar Adib.
Nor akur dan berpatah semula ke arah meja Adib. Fail
berwarna biru itu diletak di atas meja tersebut kemudian dia segera berlalu
dari situ.
Adib hanya mengekori kepergian Nor dengan ekor matanya. Dia
hilang kata-kata. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menahan gadis itu
daripada pergi dan menjelaskan keadaan yang sebenar. Dia tahu, insiden tadi
telah menimbulkan tanggapan buruk Nor terhadapnya. Adib diselubungi perasaan
kesal.
Selepas Nor keluar, Aurora mendekati Adib semula.
“Jadi, takkanlah you nak hampakan I macam ni. Jomlah,
sayang... temankan I keluar,” pujuk Aurora yang ternyata masih belum berputus
asa memujuk Adib. Dia tidak mahu kedatangannya ke sini menjadi sia-sia. Dia tetap
mahu memastikan Adib akan menuruti kehendaknya.
Adib mengeluh panjang. Ah, rimas betul dia dengan perempuan
ini seorang. Memang betul kata Hadi tadi. Hari ini, memang dia dapat banyak
bala. Mengenangkan kejadian tadi, lagilah hatinya rasa mahu menyumpah-nyumpah.
“Okey, I temankan you. Tapi sekejap saja ya. I ada banyak
kerja ni,” ujar Adib lemah. Terpaksa dia turutkan kemahuan Aurora itu walaupun
tidak rela.
Aurora melompat-lompat kegirangan dan tersenyum puas.
“I tahu, you memang sayangkan I dan tak akan hampakan I. Ini
yang buat I sayang sangat-sangat dekat you ni. Thanks, sayang,” ucap Aurora
lantas lengan Adib dipaut mesra dan mengheretnya keluar dari situ.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment