23 May 2014

Meow! Kau Curi Hatiku 10 [Akhir]

BARU sahaja Husna mahu mendaki anak tangga untuk naik ke atas rumah, terdengar pula deruman enjin motosikal masuk ke halaman rumah. Husna segera berpaling. Seorang lelaki tua berbadan sedikit gempal menghulurkan salam selepas mematikan enjin motosikalnya. Salamnya segera disambut.
               
“Haji Ripin datang cari ayah ke? Ayah ada kat kebun,” beritahu Husna tanpa dipinta.
               
Dia memang sedia maklum dengan tujuan kedatangan Haji Ripin setiap kali menjejakkan kaki ke rumahnya. Mahu cari siapa lagi kalau bukan ayahnya. Haji Ripin dengan ayahnya sememangnya bersahabat baik sejak dari dahulu. Dia pun sudah anggap Haji Ripin seperti ayahnya sendiri.
               
“Taklah, abang datang nak jumpa dengan Unalah,” jawab Haji Ripin sambil membuka topi keledar. Kemudian, rambutnya disisir rapi melalui cermin sisi motosikal EX5 miliknya.
               
Abang? Air liur Husna terasa tersekat di anak tekak. Abang apanya kalau sudah tua macam tu? Pak ciklah! Husna mengutuk dalam hati. Kalau umur muda dalam lingkungan 30-an, bolehlah Haji Ripin hendak membahasakan dirinya abang. Ini, sudah sama baya ayah dia. Buang tabiat agaknya orang tua ni.
               
“Ke… kenapa Haji nak jumpa Una?” tanya Husna dalam rasa cuak yang menggila. Ada debar yang berkampung dalam hati.
               
“Saja nak bertanya khabar. Dah lama abang tak nampak Una. Dulu, selalu jugak jumpa kat kedai Mak Piah. Sekarang ni, nak temu bayang pun susah. Una sihat?” soal Haji Ripin sambil meratah wajah Husna penuh minat. Cantik sungguh gadis di hadapan matanya itu. Hati dia rasa berkenan.
               
“Una sihat. Tak apalah, Haji. Una nak naik atas dulu. Belum solat zuhur lagi ni. Kalau Haji nak jumpa ayah, pergilah ke kebun belakang sana.” Husna menjuihkan mulutnya ke belakang rumah.
               
Haji Ripin hanya mengintai-intai. Ah, dia datang ke mari bukan sebab mahu berjumpa dengan Pak Hashim. Tetapi, sebab mahu berjumpa dengan gadis idamannya. Mahu lepas rindulah katakan. Matanya terus galak mencumbui wajah Husna.
               
Husna sudah mula berasa semacam apabila melihat cara Haji Ripin memandangnya. Apa hal pula orang tua ni? Tiba-tiba sahaja bersikap lain macam.
               
“Una, tadi abang nampak ada kereta keluar dari kawasan rumah ni. Kereta siapa tu?” Haji Ripin cuba mendapat kepastian. Hatinya tertanya-tanya siapakah pemilik kereta Honda Sport berwarna putih tadi.
               
“Oh, itu kawan Una. Dia tolong hantarkan Una balik,” jawab Husna. Dia sudah dapat menebak gerangan orang yang dimaksudkan oleh Haji Ripin. Siapa lagi kalau bukan si pembuli kucing, Naim Naqiuddin.
               
“Ya ke? Kawan ke kekasih?” Haji Ripin cuba serkap jarang. Ada rasa cemburu bertamu di hatinya.
               
“Kawan biasa aje. Haji, Una naik atas dululah ya.” Husna terus menaiki tangga. Tidak mahulah dia berlama-lama lagi di situ melayan Haji Ripin. Macam ada yang tidak kena sahaja.
               
“Una, tunggu!” jerit Haji Ripin sekali gus mematikan langkah Husna.
               
Husna menoleh semula.Dia sudah mula berasa kurang senang. Haji Ripin seolah-olah cuba melengah-lengahkan kepergian dia.
               
“Ada apa lagi, Haji?” Sedaya upaya dia cuba memaniskan senyumannya walaupun dalam hati, dia sudah mula berasa jengkel dengan sikap Haji Ripin.
               
“Nanti dah selesai solat, Una turunlah semula ke bawah ya. Boleh kita sembang-sembang kat bawah pokok tu.” Mulut Haji Ripin dimuncungkan ke arah sebuah pangkin kayu yang terletak di bawah pokok rambutan rendang di hadapan rumah kayu tersebut.
               
Ha? Husna terlopong. Sah! Haji Ripin sewel. Apa hal pula hendak duduk berbual di bawah pokok? Hendak ajak dia berdating ke? Mengarutlah orang tua ni.
               
 “Err… Tak bolehlah, Haji. Una ada banyak kerja yang nak kena buat. Tak apalah, Haji. Husna masuk dalam dulu ya. Assalamualaikum.”
               
Husna melajukan langkahnya tanpa berpaling lagi. Yang dia tahu, dia hanya ingin cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan lari daripada Haji Ripin. Dalam hatinya tertanya-tanya mengapa Haji Ripin bersikap seperti lelaki miang. Selama ini tidak pernah Haji Ripin bersikap begitu.           
               
Haji Ripin mengeluh mengenangkan usahanya mahu bersembang dengan Husna tidak kesampaian. Dia termangu sejenak di atas motosikal. Adakah cara dia hendak memikat itu sudah lapuk ditelan zaman? Kalau tidak, mustahil Husna bersikap acuh tidak acuh sahaja dengannya. Tetapi, kalau hendak dibandingkan dengan cara dia memikat bekas-bekas isterinya dahulu, sama sahaja caranya. Atau mungkinkah Husna lebih sukakan gaya bahasa berbunga-bunga?
               
Haji Ripin mengurut-urut misainya yang sudah dikerumuni oleh uban putih sambil fikirannya ligat memikirkan sesuatu. 

*****

KETIKA Haji Ripin mahu menghidupkan enjin motosikal, terdengar pula satu sapaan dari belakang. Segera dia berpaling. Hasratnya mahu beredar dibatalkan sejenak.
               
“Hashim. Ada kau rupanya. Aku ingatkan kau tak ada tadi.” Haji Ripin berbasa-basi. Padahal, dari tadi lagi dia sudah tahu Pak Hashim tidak ada di rumah. Huluran salam daripada Pak Hashim disambut kemas.
               
“Ada. Aku kat belakang tadi. Bersihkan kebun sikit. Kau ni dari mana? Kacak semacam aje,” puji Pak Hashim sambil memandang Haji Ripin atas bawah. Mana tidak kacaknya, hujung baju-T berkolarnya siap dimasukkan ke dalam seluar slek lagi. Rambut pula dibelah tepi. Di kakinya pula tersarung kasut kulit. Orang muda pun boleh kalah.
               
“Kalau datang jumpa buah hati, kenalah pakai kemas-kemas, Hashim. Nanti barulah orang sudi nak pandang.” Haji Ripin berkias sambil menyulam ketawa.
               
Pak Hashim ikut ketawa sama.
               
“Ya tak ya jugak tu. Dari mata turun ke hati. Tak gitu, Ripin?” seloroh Pak Hashim. Dia faham maksud Haji Ripin itu. Jadi, dia buat kesimpulan bahawa Haji Ripin bukannya datang sebab mahu berjumpa dengannya semata-mata, tetapi mahu berjumpa dengan Husna juga.
               
“Eh, jemputlah naik ke atas rumah dulu. Nanti boleh sembang-sembang sambil minum kopi kat serambi,” pelawa Pak Hashim kemudiannya.
               
“Tak apalah, Hashim. Aku tak boleh berlama-lama kat sini. Nak pergi kutip hutang rumah sewa sekejap. Lain kali sajalah ya,” tolak Haji Ripin.
               
“Ya ke? Kalau macam tu, tak apalah. Senang-senang, kau datanglah lagi. Nanti boleh tengok pujaan hati kau,” usik Pak Hashim lagi.
               
Haji Ripin tergelak. Dia mengangguk perlahan. Memang dia memasang hajat mahu datang semula ke rumah Pak Hashim untuk mengambil peluang mendekati Husna. Selagi dia tidak dapat memiliki Husna, selagi itulah dia akan berusaha. Sementelah Pak Hashim juga seperti sudah merestui niatnya. Ini peluang yang dia tidak patut lepaskan.
               
“Insya-Allah, Hashim. Aku minta diri dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Haji Ripin sebelum beredar dari situ.
               
“Ada apa orang tua gatal tu datang ke rumah kita ni, bang?” tanya Mak Milah pula setelah bayang Haji Ripin lenyap.
               
Sejak dari tadi lagi dia memerhatikan Haji Ripin dan suaminya bersembang. Tetapi, dia malas mahu datang dekat. Menyampah hendak tengok muka Haji Ripin.
               
“Datang tengok bakal isteri dialah agaknya,” jawab Pak Hashim sambil menyeka peluh di dahinya menggunakan tuala lusuh yang tersangkut di bahu.
               
Wajah Mak Milah berkerut. Dia berasa tidak sedap hati mendengar jawapan Pak Hashim.
               
“Siapa bakal isteri dia? Saya takkan izinkan dia peristerikan Una. Kalau dia nakkan si Una tu, hadapi saya dulu!” tegas Mak Milah lantang. Rasa benci dan meluat terhadap Haji Ripin semakin tidak tertahan lagi.
               
Pak Hashim menjeling Mak Milah.“Yang awak nak bantah sangat ni, kenapa? Anak awak tu, bukannya laku sangat pun. Dah ada orang yang nakkan dia, itu dah kira bersyukur tau.”
               
“Saya lebih rela anak saya tu tak berkahwin daripada tengok dia kahwin dengan lelaki miang macam Haji Ripin tu!” Mak Milah tergopoh-gapah mendaki anak tangga rumah. Bunyi hentakan yang kuat di setiap langkahnya menggambarkan betapa dia benar-benar marah dengan hasrat suaminya.
               
Pak Hashim mendengus. Bengang perasaannya apabila Mak Milah mengutuk kawan baiknya sendiri. Teruk sangatkah calon pilihan menantunya itu?

*****

“NAH, kucing you. Lepas ni, cukup-cukuplah suruh I uruskan pasal kucing you tu. I dah tak laratlah nak layan kerenah dia orang.” Naim menghulur bakul berwarna biru kepada Bella yang berdiri di muka pintu apartmennya. Sengaja dia memilih untuk berdiri di luar pintu sahaja kerana tidak mahu melengah-lengahkan masa.              
               
Bella segera menyambut dan membuka bakul tersebut. Kemudian, dikeluarkan Chicky lalu didukung erat. Tidak ubah seperti orang yang sedang mendukung bayi.
               
“Doktor cakap apa pasal Chicky?” soal Bella sambil mencium pipi Chicky berkali-kali.
               
Naim yang melihat keadaan itu hanya menggeleng. Apa lagi yang dia hendak kata. Kalau dia, baik cium bunga daripada cium kucing.
               
“Demam biasa aje. Doktor dah suntik dia tadi. Okeylah, I nak kena balik ke pejabat dulu. Dah lewat ni. Nanti papa I mengamuk pulak.” Naim tidak berlengah lagi. Lagi lama dia berasa di situ, lagi cerahlah harapan dia kena bebel dengan Bella.
               
“Eh, sayang. Nantilah dulu. I ada sesuatu nak cakap dengan you ni.” Bella berteriak memanggil Naim.
               
Langkah Naim kembali mati. Dia menoleh semula ke arah Bella. Apa lagilah si Bella ni nak? Nak suruh dia basuh bakul Chikcy pula ke? Kalau itulah permintaan Bella, dia memang sudah berkira-kira mahu lari pecut 100 meter.“Apa dia? Kalau cakap lain kali tak boleh ke? I betul-betul dah lambat ni.”
               
“Tak boleh. Ini hal penting. I kena beritahu you sekarang jugak,” balas Bella, tidak bersetuju.
               
“Ha, cakaplah cepat. Apa dia?” gesa Naim setelah mendekati Bella kembali. Sambil-sambil itu matanya tidak henti-henti melirik jam di tangan. Bukan jarum jam yang dia nampak, tetapi muka papanya yang sedang naik seh.
               
“Minggu depan I kena pergi ke Australia,” nyata Bella mengenai berita yang baru sahaja diterima daripada bosnya sebentar tadi.
               
“Berapa lama?”
               
“Tiga bulan.”
               
Mata Naim terbeliak. Tiga bulan? Lamanya!
               
“Kenapa lama sangat? You nak buat apa pergi ke sana lama-lama?” soal Naim. Sebelum ini memanglah Bella selalu pergi ke luar negara. Tetapi, tidaklah selama itu. Sebab itu apabila Bella beritahu mahu pergi selama tiga bulan dia berasa terkejut.
               
“Butik I kerja tu ada buka cawangan baru kat sana. Tapi, buat masa sekarang, cawangan tu belum ada pengurus lagi. Jadi, bos I suruh I pergi ke sana dulu untuk selesaikan beberapa perkara,” terang Bella lagi. Hatinya berasa sedih kerana tiga bulan itu bukanlah satu jangka masa yang singkat. Teruklah dia menanggung rindu terhadap Naim dan kucing-kucingnya. Kalau tiga hari dia masih boleh pejam mata lagi. Mungkin inilah pengorbanan yang harus dia pikul sebagai seorang pengurus di butik yang terkenal.
               
Naim bergumam. Dia tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.
               
“Kalau macam tu, tak apalah. Nak buat macam mana lagi,” katanya.
               
“Tapi, you kena tolong I satu perkara.” Bella merenung Naim sambil menghulur senyum manja.
               
“Kalau you nak suruh I tengok-tengokkan apartmen you ni, you jangan risaulah. I boleh jagakan untuk you. Bukannya I tak biasa jaga sebelum ni.” Naim cuba meredakan kerisauan Bella. Biasanya itulah pertolongan yang Bella selalu damba daripadanya sekiranya hendak pergi berjalan jauh.
               
Bella menggeleng laju.
               
“Yang itu memanglah. Tapi, yang paling utama, Anchu dan Chicky. I nak minta tolong you jagakan dia orang sepanjang I tak ada kat sini, boleh?” Mata Bella terkelip-kelip menanti persetujuan Naim.
               
Di saat itu juga Naim ternampak pancaran kilat di depan matanya. Lututnya serta-merta menjadi longlai. Sekali lagi? Ah, sudah!
               
“Kalau you nak minta tolong I jagakan apartmen you ni, I boleh tolong. Tapi, kalau you nak suruh I tolong jagakan kucing-kucing you tu, I memang tak dapat tolong.” Naim menegaskan.
               
Apa Bella ni… Nak suruh dia jaga kucing pula. Dia bukannya tukang jaga kucing. Eii, tolonglah! Baru sebentar tadi dia beritahu Bella supaya berhenti menyuruh dia uruskan pasal hal kucingnya. Alih-alih sekarang, terkena lagi. Naim menggerutu dalam hati.
               
“Habis tu, kalau bukan you yang boleh tolong I, siapa lagi? Hanya you sorang aje harapan I sekarang. I tak boleh nak bawa dia orang pergi ke sana,” kata Bella. Dia cuba membuat muka yang paling sedih untuk memancing persetujuan Naim. Harap-harap Naim akan bersimpati.
               
“You dah tahu I ni tak suka kucing dan takut kucing, tapi you masih nak suruh I jugak buat semua tu? I gelilah, Bella. You suruh ajelah orang lain yang jaga.” Naim tetap bertegas dengan keputusannya. Hih, tidak habis-habis dia terperangkap dengan masalah kucing. Kenapalah dia sahaja yang selalu terpilih. Adakah ini suratan takdir dia?
               
“Siapa yang you maksudkan?” tanya Bella.
               
“Kawan baik youlah, Awin. You suruh ajelah dia yang jaga. Dia tu pun hantu kucing macam you jugak. Lebih baik you suruh dia aje yang jaga,” cadang Naim.
               
Serta-merta muka Awin terbayang dalam kotak fikirannya. Awin dengan Bella memang tidak ada bezanya. Kedua-duanya peminat kucing yang tegar.
               
“I dah tanya Awin. Tapi, dia tak dapat jaga Anchu dan Chicky untuk I. Dia pun nak kena pergi travel jugak. Sayang, hanya tinggal you seorang aje harapan I sekarang. Tolonglah I, sayang…” Bella memujuk dalam nada manja. Dia masih tidak berputus asa mahu membuat Naim bersetuju dengan permintaannya.
               
Setakat jaga kucing, apalah yang susah sangat. Kucingnya merupakan kucing yang paling baik dan mendengar kata. Tidak susah hendak menjaga mereka.
               
Naim menggeleng. Kali ini jangan harap dia akan tunduk dengan permintaan Bella yang mengarut itu. Sama ada Bella nak memujuk dia guna suara manja, suara menggoda atau suara kucing sekalipun, dia tetap dengan keputusannya. Dia tidak mahu jaga kucing Bella!
               
“Maaf, sayang. I tak dapat tolong you,” tegas Naim.
               
“You ni tak kesiankan I ke? Sampai hati you buat I macam ni. You cakap you sayangkan I dan sanggup buat apa saja untuk I. Tapi, bila I minta tolong, you tak sudi pulak nak tolong I. Sayang apa macam tu?” Bella menarik muncung panjang. Tergores perasaannya apabila Naim menolak permintaannya. Entah-entah, sayang Naim itu hanya ungkapan di bibir semata-mata.
               
“I boleh tolong apa saja yang you minta. Tapi, kalau pasal kucing, awal-awal lagi I minta maaf. Tak cukup lagi ke selama ni kucing-kucing you tu menyusahkan I? You sendiri tahu kan yang I ni tak suka kucing? Kenapa you beria-ia sangat nak suruh I jaga dia orang?”
               
“Kalau I ada pilihan lain, takkanlah I minta tolong dengan you pulak. Sudahlah kalau you tak mahu tolong pun. Lepas ni, jangan cari I lagi!” Bella terus masuk ke dalam rumah dan menghempas pintu kuat.
               
“Bella!” Naim mengetuk pintu beberapa kali. Namun, panggilannya tidak bersahut. Merajuklah tu. Hih, susah betullah ada kekasih mengada-ada macam ini. Naim sempat mengeluh dalam hati. Tangannya tergaru-garu kepala yang tidak gatal.
               
Setelah usahanya memujuk Bella tidak berhasil, Naim berlalu pergi meninggalkan apartmen itu. Satu masalah besar menimpa dia lagi.

© Reeani Annur 2014

P/s: Done! Harap-harap 10 bab pertama ni dapat beri gambaran sedikit sebanyak mengenai novel Meow! Kau Curi Hatiku.  Novel Meow dah ada di MPH, Popular dan kedai-kedai buku yang lain. Jika masih sukar nak dapatkan, boleh order dengan pihak Fajar Pakeer secara online. Terima kasih semua. Love.

22 May 2014

Meow! Kau Curi Hatiku 9

BELLA terus berusaha menghubungi Naim tanpa henti. Namun, setiap kali panggilan berdering, setiap kali itulah dia berasa hampa. Dia semakin geram. Sudah hampir dua jam Naim pergi. Tetapi, sampai sekarang masih belum pulang lagi. Dia bukan risau keadaan Naim, tetapi dia lebih risaukan keadaan kucingnya, Chicky.
               
Bella terus mundar-mandir di depan televisyen sambil menekapkan telefonnya di telinga. Hatinya berdoa agar panggilan yang dibuat pada kali ini akan dijawab oleh Naim. Namun, jawapannya tetap sama seperti tadi. Akhirnya, telefon kesayangannya itu dicampak ke atas sofa.
               
“Eii! Mana dia pergi ni? Kenapa tak jawab telefon? Argh, bencinya!”
               
Bella mencekak rambutnya yang melepasi paras bahu sambil mengetap gigi. Geram. Mustahil pergi berjumpa doktor sampai memakan masa hampir dua jam? Setahu dia, kalau sakit yang tidak terlalu teruk seperti demam, tempoh rawatannya hanya mengambil masa sekitar 10 atau 15 minit sahaja.
               
Naim ni, pergi klinik haiwan ke klinik sakit puan? Hatinya semakin gundah memikirkan tentang Chicky. Harap-harap tidak ada kejadian buruk yang menimpa Chicky. Bella tidak henti-henti berdoa dalam hati.

*****

“KAU tinggal berapa orang kat rumah ni? tanya Naim ketika mendaki anak tangga dapur rumah Husna untuk naik ke atas rumah. Penuh berhati-hati dia melangkah.
               
Husna pula membuntuti dari belakang.
               
“Dengan mak dan ayah saya,” jawab Husna ringkas.
               
Sejak abang dan kakaknya berhijrah ke Kuala Lumpur, hanya dia seorang sahaja yang menjadi peneman ibu dan ayahnya di rumah ini. Abang Taufik dan Kak Lela hanya sekali-sekala pulang ke kampung.
               
Naim bergumam. Patutlah sunyi sepi sahaja rumah Husna, getusnya. “Mak dan ayah kau, mana? Aku tak nampak pun dia orang dari tadi.”
               
Mata Naim melilau-lilau mencari kelibat orang tua Husna. Nasi sudah jatuh ke dalam perut, tetapi tuan rumah belum berjumpa lagi. Tidak patut betul.
               
“Mungkin dia orang dah pergi ke kebun kut. Keluarga saya ada usahakan kebun sayur. Biasanya, dia orang selalu habiskan masa dekat sana,”jelas Husna tanpa disuruh. Dia memang sedia maklum, jika rumahnya sunyi sepi begini, ke mana lagi ibu dan ayahnya pergi melainkan ke kebun sayur yang terletak di belakang rumahnya. Kebanyakan masa mereka banyak dihabiskan di situ sahaja.
               
“Ya ke? Habis, kalau dia orang pergi ke kebun, kau pulak buat apa kat rumah? Jaga kucing kau?” perli Naim sambil mengerising. Disusuli pula selepas itu gelak tawa kecil.
               
Husna berdengus halus. Mahu sahaja dia bidas semula kata-kata Naim itu. Namun, belum sempat dia membuka mulut, terdengar Naim melatah kuat sambil mengangkat tinggi kaki kanannya.
               
“Oh, kucing kau merempit!” Naim terkejut melihat dua ekor kucing Husna masuk ke dalam rumah secara tiba-tiba sambil berlari berkejaran sebaik sahaja dia sampai di muka pintu. Tangannya mengurut dada perlahan. Hih, kucing ni… Nak bagi aku mati terkejut ke? gerutunya geram.
               
Ketawa Husna terhambur kuat. Naim melatah? Lucunya!
               
“Yang kau sakan sangat duk gelakkan aku ni, kenapa? Apa yang lucu sangat?” tanya Naim sambil menjeling Husna. Bengang sungguh dia apabila diketawakan sedemikian. Tak guna punya kucing. Buat malu dia sahaja.
               
Ketawa di bibir Husna terus lenyap. Namun, dalam hati, dia masih galak mentertawakan Naim. Siapa yang tidak berasa lucu kalau mendengar lelaki melatah? Lebih-lebih lagi lelaki seperti Naim. Tengok dari luaran, bukan main lagi nampak gagah. Tetapi, apabila berhadapan dengan kucing, tiba-tiba jadi pengecut macam tikus.
               
“Lain kali, kucing kau tu patut letak tali dekat leher dia. Lepas tu, tambat dekat bawah pokok. Barulah tak menyusahkan orang.” Naim mengusul cadangan itu kepada Husna.Rasa bengangnya terhadap kucing Husna masih juga belum reda.
               
Diintai-intai semula kelibat dua ekor kucing tadi. Kalau jumpa, mahunya dia jentik-jentik hidung kucing itu sampai berdarah. Seketika kemudian, Naim tersedar. Ah! Macamlah dia berani sangat hendak buat semua itu. Padahal, kucing datang dekat kaki pun rasa seram sejuk macam ternampak hantu.
               
“Kenapa pulak nak buat kucing saya macam tu? Tak baiklah. Mana boleh seksa kucing macam tu,” bantah Husna. Dia bukannya macam Naim yang selalu bersikap kejam terhadap binatang. Kucing-kucingnya memang sudah biasa dibiarkan bebas begitu sejak dari dahulu supaya senang mereka mahu ke mana-mana. Kucing kampung mana betah kena cucuk hidung dan duduk diam-diam.
               
“Kucing kau tu, menakutkan aku. Kau tahu tak!” ujar Naim lagi.
               
Husna mencebir. Bukan kucing dia yang menakutkan Naim, tetapi Naim sendiri yang takut dengan kucing. Pandai-pandai sahaja Naim putar belit ayat.
               
“Encik...” panggil Husna tiba-tiba.
               
“Apa?” Naim memandang Husna kehairanan bersama keningnya yang terangkat sebelah.
               
“Err… Tak apa ke encik tinggal Chicky lama-lama kat dalam kereta tu? Dia tak kotorkan kereta encik ke?” Husna menyoal. Dia mengharapkan agar Naim boleh memahami maksudnya itu.
               
“Hah?” Naim terlopong. Barulah dia teringat tentang kucing Bella itu.
               
Hisy! Macam mana dia boleh terlupa mahu keluarkan Chicky dari kereta tadi? Dibuatnya Chicky membuang najis, habislah berbau kereta dia nanti. Tanpa berlengah, Naim cepat-cepat turun tangga dan berlari ke arah keretanya.

*****

“ADOI!” Naim menepuk dahi beberapa kali dan bersandar di badan keretanya.Benar sekali sangkaannya. Sebaik sahaja dia membuka pintu kereta, ada bau yang kurang menyenangkan menusuk ke rongga hidungnya.
               
Sah! Kucing Bella buat tahi di dalam kereta dia. Tak guna punya kucing! Hatinya tidak henti-henti menggerutu Chicky. Naim berpaut di belakang but kereta sambil menahan rasa mual. Tekaknya terasa kembang. Kenapalah nasib dia malang sangat hari ini? Rasa seperti mahu pengsan sahaja apabila tercium bau najis kucing. Kalau bau macam minyak wangi boleh tahan lagi. Ini…
               
“Kenapa ni, encik?” soal Husna, terkocoh-kocoh mendekati Naim apabila melihat seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia berasa sedikit cemas melihat keadaan itu.
               
“Kucing tu buat dajal kat dalam kereta aku pulak. Habis satu kereta aku bau busuk. Bodoh punya kucing! Kalau nak berak, beraklah kat tempat lain. Janganlah berak dalam kereta aku!” Naim mengomel tidak puas hati.
               
Husna memanjangkan lehernya mengintai-intai ke dalam kereta. Hidungnya juga dapat mengesan bau kurang sedap seperti yang dikatakan oleh Naim.
               
“Salah encik jugak. Kenapa dari tadi encik tak keluarkan dia?” balas Husna. Tidak pula dia bersimpati dengan nasib malang Naim itu.
               
Naim mencekak pinggang. Wajah Husna dipandang tajam seperti mahu menelannya hidup-hidup. Semakin bengang dia rasa apabila Husna menyalahkan dia. Perempuan ni memang tidak sayang mulut agaknya.
               
“Kau jangan banyak cakap boleh tak? Hah, sekarang aku nak kau keluarkan kucing tu dari kereta aku dan bersihkan bakul dia cepat! Aku tak nak hidu bau busuk ni lagi.”
               
“Apa hal pulak saya yang kena bersihkan semua tu?” Husna berasa tidak puas hati.
               
“Sebab kau tu hantu kucing. Mesti kau dah biasa main dengan benda kotor macam tu kan. Cepatlah keluarkan dia!” desak Naim lagi sambil menolak tubuh Husna ke arah pintu kereta belakang yang sudah terkuak luas.
               
Mahu tidak mahu, Husna terpaksa akur dengan permintaan Naim. Kasihankan Chicky. Dia kemudiannya membongkokkan badan, masuk ke dalam kereta dan menarik keluar bakul Chicky. Setelah itu diletakkan ia di atas tanah. Penutup bakul dibuka dan bau yang kurang menyenangkan itu semakin kuat menyengat ke hidung. Namun baginya, semua itu sudah biasa dihadapi. Dia tidak ada apa-apa masalah berhadapan dengan dengan situasi tersebut.
               
“Uwek!” Naim hampir sahaja termuntah di situ. Air matanya sudah bertakung. Kepalanya juga sudah berdenyut-denyut pening. Sumpah! Dia tidak tahan dengan bau busuk itu. Dia tidak tahu bagaimana Husna boleh hadapi semua itu dalam keadaan yang sangat tenang.
               
Husna sempat mengerling ke arah Naim. Huh! Lebih-lebihlah pula. Mengalahkan perempuan yang mengandung sahaja. Menyampah betul! Sempat dia mencemuh Naim dalam hati.
               
“Encik tolong pegangkan kucing ni sekejap, boleh? Saya nak bersihkan najis dia ni,” pinta Husna sambil menghulurkan kucing tersebut kepada Naim.
               
“Apa? Kau gila? Aku mana boleh pegang kucing!” Naim mengundur beberapa langkah. Permintaan Husna itu membuatkan nafasnya semakin tidak cukup oksigen.
               
“Habis tu, siapa yang nak tolong pegang? Nanti kalau kucing ni lari jenuh pulak nak mengejarnya.”
               
“Kau kelek ajelah kucing tu. Aku tak mahu masuk campur. Gelilah!” Naim terus beredar dari situ dan membiarkan Husna menguruskannya sendirian.
               
Husna berdengus. Apa punya oranglah macam ni. Hendak tidak hendak, dia terpaksa mendukung Chicky sambil membersihkan najisnya. Mujurlah najis itu jenis kering. Kalau tidak, jenuhlah dia hendak mencuci.Bagi menghilangkan kesan bau, Husna menyembur tempat terkena najis tadi dengan penyembur Febreze sebelum mengalas dengan beberapa helai surat khabar di atas kain alas asalnya. Setelah selesai kesemuanya, barulah dia meletak semula Chicky di dalam bakul.               
               
“Encik!” Husna memanggil Naim yang sedang leka meninjau-ninjau persekitaran rumahnya. Macam senang hati sangat.
               
“Hah, dah ke? Dah tak ada bau dah?” soal Naim sebaik sahaja menghampiri keretanya semula. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Bimbang sekiranya terhidu lagi aroma bau yang tidak menyenangkan itu.
               
“Dah. Nanti encik suruhlah kekasih encik bersihkan semula kain alas tu. Saya lapik dengan kertas surat khabar aje. Saya rasa, lebih baik encik hantar Chicky balik cepat-cepat. Kesian dia. Mesti rasa tak selesa.”
               
“Apa kau cakap? Kesian dia? Kucing tu yang kau lebih kesiankan? Habis, aku ni kau tak kesian ke? Boleh kena kanser hidung aku macam ni duk hidu bau busuk najis dia.” Naim menempelak Husna penuh geram. Dia berasa tidak puas hati kerana Chicky sentiasa berjaya menarik simpati orang lain berbanding dia. Tadi Bella. Sekarang Husna pula. Sungguh tidak adil sekali!
               
“Biasalah tu. Encik pun takkanlah tak pernah membuang? Mana ada bahan kumuh berbau wangi,” bidas Husna pula.
               
“Yang kau duk sebelahkan kucing tu sangat, kenapa? Memang hantu kucing macam kau ni tugas dia kena bela kucing ek? Hih, tak faham betul aku. Sudahlah, sekarang kau pergi letak kucing tu kat dalam but kereta aku. Aku tak nak kereta aku berbau busuk,” arah Naim seraya membuka but kereta.
               
Husna terlopong. Wajah Naim dicerlung tajam.
               
“Eh, encik ni memang dilahirkan tanpa ada perasaan ke? Lemaslah dia nanti kalau duduk kat dalam but. Biarlah dia duduk kat tempat duduk belakang tu aje,” bantah Husna pula. Naim ni, nak bunuh kucing ke? Mustahil itu pun Naim tidak boleh nak berfikir? Kejamlah dia ni!
               
“Sekarang ni kereta ni kereta siapa? Kereta kucing tu ke kereta aku?”
               
“Tak kisahlah kereta siapa-siapa pun. Tapi, encik mana boleh buat dia macam tu. Saya nak encik letak kucing tu kat tempat duduk belakang. Kalau encik cuba nak buat jahat dekat kucing tu, saya akan laporkan kepada pihak polis,” ugut Husna penuh tegas.
               
Naim mengetap bibir. Tak guna! Main ugut-ugut dialah pula. Pasal kucing pun sampai nak libatkan pihak polis juga? Tidak faham sungguh.
               
“Kau ni, memanglah. Mengada-ada macam kucing tu jugak. Huh!” Naim berdengus sambil mengacah mahu menolak kepala Husna, namun sempat gadis itu mengelak. Mujur sahaja Husna seorang perempuan. Kalau lelaki, memang sudah lama kena sekeh kepala.
               
Tanpa berlengah, Husna segera meletak bakul Chicky di tempat duduk belakang.
               
“Chicky, duduk diam-diam ya. Kalau pembuli kucing tu cuba nak buat jahat dekat kau, kau beritahu aje dekat aku. Biar aku ajar dia nanti,” pesan Husna. Harap-harap Chicky faham maksud dia.
               
“Kau fikir, dia fahamlah tu apa yang kau cakap?” Naim bertanya sinis sebelum masuk ke dalam keretanya. Pintu dihempas kuat, tanda dia bengang dengan gadis itu. Termasuk dengan Chicky sekali.
               
Husna hanya mencemik. Kau mana nak faham. Kau bukannya ada hati dan perasaan!

*****

SEPANJANG perjalanan pulang, Naim membuka kesemua cermin kereta untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan. Bau itu sudah beransur pergi. Tetapi, rasa panas hatinya masih belum surut lagi. Jangan haraplah selepas ini dia hendak bazirkan masa dia buat perkara bodoh seperti ini lagi.
               
Bunyi telefon membuatkan Naim tersentak. Diraba-raba poket seluarnya, namun tidak ada. Ke mana pula perginya? Mata Naim meliar-liar mencari. Akhirnya, dia terjumpa telefon bimbitnya di celah kerusi yang didudukinya. Entah bila masa ia terjatuh, dia sendiri tidak sedar.
               
“Hah, Wani, apa hal ni? Saya tengah memandu ni,” jawab Naim tanpa bertanya siapa gerangan orang yang menelefonnya. Kalau nombor pejabat dia yang naik pada skrin, siapa lagi kalau bukan Wani.
               
“Encik Naim, Dato’ nak bercakap. Sebentar ya, saya sambungkan talian,” kata Wani.
               
“Eh, nanti! Nanti!” bantah Naim laju. Dia mula berasa cuak. Dia tahu, papanya pasti mahu membebel kerana dia masih belum masuk ke pejabat walaupun waktu rehat sudah lama tamat.
               
“Dato’ dah lama tunggu saya sambungkan panggilan dekat Encik Naim. Dia nak bercakap dengan encik,” ulang Wani lagi.
               
“Saya tak nak bercakap dengan dia. Kalau dia tanya, awak cakap aje awak tak dapat telefon saya. Okeylah, saya tengah memandu ni. Tunggu ajelah saya balik ke pejabat nanti.” Naim tetap bertegas tidak mahu bercakap dengan Dato’ Mazlan. Sekarang bukan masa yang sesuai dia hendak dengar ceramah yang panjang berjela.
               
“Encik Naim!” Wani berteriak sebelum Naim memutuskan panggilan.
               
“Apa lagi ni, Wani? Awak nak suruh kereta saya ni terbabas ke masuk ke dalam longkang ke?” Naim mengetap bibir geram.
               
“Err… Tadi Cik Bella ada telefon pejabat. Dia suruh encik hantar Chicky ke rumah dia cepat-cepat,” beritahu Wani tentang pesanan yang Bella tinggalkan tadi.
               
“Yalah, saya nak pergilah ni. Kalau duk sembang macam ni, macam mana nak sampai cepat?” Panggilan itu terus dimatikan oleh Naim. Apalah Bella ni. Kalau hendak cepat-cepat, lain kali pergilah hantar kucing tu ke klinik sendiri. Senang. Habis cerita. Tidak perlulah sampai sibuk menelefon dia sehingga ke pejabat.
               
Telefon Naim berbunyi lagi. Naim mengeluh buat ke sekian kalinya. Wani ni, memang sengaja hendak cari pasal dengan dia agaknya. Terasa darahnya sudah mula menyirap dan naik ke atas kepala.
               
“Awak nak apa lagi ni? Kan saya cakap saya tengah memandu sekarang. Apa-apa hal, tunggu ajelah sampai saya balik ke pejabat nanti!” tengking Naim. Sungguh, dia berasa sangat bengang. Rasa seperti mahu campak sahaja telefonnya ke luar tingkap.
               
“Sayang, I ni!” teriak Bella.
               
Naim meneguk air liur. Alamak! Salah orang. Ah, ini tidak lain tidak bukan mesti hendak tanya pasal kucing dia. Naim sempat menoleh ke belakang. Bakul ada, tetapi kucing di dalamnya tidak tahulah hidup ataupun mati. Kalau mati lagi bagus kut. Barulah rasa aman sedikit.
               
“Maaf, maaf… I ingatkan Wani tadi.” Naim menepuk dahinya perlahan.
               
“Huh! Cakap tu tak boleh perlahan-lahan sikit ke? Asyik nak menengking aje. You kat mana ni? Kenapa tak balik lagi?” Bertimpa-timpa soalan daripada Bella ditujukan kepada Naim. Ada nada marah dan geram yang dilepaskan bersama.
               
Apa tidaknya, dari tadi dia cuba menghubungi Naim. Tetapi, baru sekarang Naim sudi menjawab panggilannya. Kalau Naim ada di depan matanya sekarang, memang lengan lelaki itu sudah menjadi mangsa tamparan dan cubitan tangannya.
               
“I dalam perjalanan nak pergi rumah youlah ni. Maaflah, I lambat sikit. Ramai orang kat klinik tadi,” bohong Naim. Ramailah sangat. Yang sebetulnya bukan ramai orang, tetapi singgah makan di rumah orang!
               
“Kalau ya pun ramai orang, takkanlah sampai tak boleh jawab telefon langsung. Banyak kali I telefon you tadi. You ni, buat I tak senang duduk ajelah.”
               
Naim mengerut muka apabila mulut Bella semakin riuh dengan bebelan. Semakin serabut fikirannya.
               
“Telefon I tertinggal kat dalam kereta tadi,” nyata Naim. Kali ini dia tidak berbohong lagi. Namun, dia yakin, sebentar lagi gegendang telinga dia akan pecah dek jeritan nyaring Bella. Habislah dia.
               
“Apa?!” Suara Bella memetir kuat.
               
“Helo! Helo! Apa dia? I tak dengarlah apa yang you cakap. Cakap kuat sikit boleh tak? Ha? Tak dengarlah!” Naim terus mematikan telefon. Terpaksalah dia buat taktik kotor begitu untuk mengelakkan diri daripada terus dibebel oleh Bella. Telinga dia rasa sakit kalau mendengar mulut Bella membebel. Perempuan, memanglah!

© Reeani Annur 2014