06 July 2015

Cinta Sama Cinta 12

“APA yang kau menungkan tu, Izam? Dari tadi aku tengok asyik mengelamun aje. Fikir pasal hal kahwin ke?” tegur Hisyam. Perlahan-lahan dia menarik kerusi duduk menghadap Izam.
Izam hanya tersenyum tawar. Dibiarkan sahaja pertanyaan Hisyam tanpa jawapan.
“Kau ni kan, peliklah. Setahu aku, orang yang nak kahwin ni dia gembira dan bertenaga. Tapi, kau... monyok macam orang tak cukup tidur. Kau tak rasa gembira ke nak kahwin?” soal Hisyam lagi. Wajah Izam direnung lama. Tidak ditemui sebarang kekurangan di sebalik raut wajah itu. Sempurna.
Izam meraup muka sambil mengeluh panjang. Dia bangun dari kerusi lantas berjalan ke arah tingkap berhampiran. Badannya disenggeng di tepi tingkap sambil melempar pandangan kosong ke arah pemandangan bandar raya Kuala Lumpur yang kelihatan begitu pesat membangun dari tempat dia berdiri.
“Entahlah, Syam. Aku pun tak reti nak cakap macam mana. Kalau ikutkan hati aku ni, aku memang tak nak teruskan perkahwinan ni. Tapi, kau faham-faham ajelah papa aku tu. Kalau dia kata A, Alah jawapannya.”
“Mungkin sebab papa kau fikir Rehan tu gadis terbaik untuk kau. Cakap orang tua, Zam. Takkan kita nak bantah?”
Izam terus berpaling menghadap Hisyam. Dia mengerising. Lucu sungguh kata-kata itu baginya. Cakap biadab macam orang tidak ada adab, itu yang dikatakan oleh Hisyam sebagai gadis terbaik? Nak sahaja dia suruh Hisyam gantikan tempatnya jadi tunang Rehan. Biar Hisyam sendiri rasa apa yang dia rasa.
“Kau belum kenal lagi perangai gila Rehan tu. Kalau kena dekat batang hidung kau sendiri, tentu kau akan tarik balik kata-kata kau tadi,” kata Izam.
Hisyam bangun menghampiri Izam. Bahu lelaki itu diraih dan ditepuk beberapa kali. Muka Izam dilihat keruh semacam walaupun bersih daripada bulu-bulu misai dan jambang.
“Yalah, aku faham. Rehan bukan gadis pilihan kau. Sebab tu kau tak rasa bahagia bersama dengan dia. Tapi, Zam...” Hisyam memandang wajah Izam lama sebelum menyambung semula kata-katanya. “Orang kata, pilihan keluarga ni berkat. Bahagia dia sampai ke anak cucu.”
“Orang mana yang cakap macam tu? Kau?” Kepala Izam tergeleng-geleng. Dia anggap kata-kata Hisyam itu hanya sekadar hendak menyedapkan hati dan perasaannya sahaja. Pendapatnya banyak yang tidak senada dengan pendapat Hisyam.
Hisyam hanya tersengih-sengih.
“Kalau pilihan keluarga tu berkat, kenapa aku dengan dia tak boleh berbaik-baik macam pasangan lain? Padahal dah setahun lebih kami bertunang. Kau tahu tak, semalam aku dengan dia bergaduh besar.”
Mata Hisyam membulat. Dia buka tangan sambil menjongket kening.
“Sebab aku tak boleh temankan dia pergi ke majlis hari jadi kawan dia,” beritahu Izam tanpa berselindung.
Sungguh bodoh rasanya bertengkar disebabkan hal kecil begitu. Tetapi dengan Rehan, hal kecil akan sentiasa menjadi besar disebabkan sikapnya yang tidak memahami dan sukar bertoleransi. Tidak cukup hatinya disakiti semalam. Celik mata pagi ini, Rehan bakar lagi hatinya dengan mesej ugutan yang dia tetap kena pergi ke majlis hari jadi kawannya itu. Bengang sungguh dia rasa.
Ketawa Hisyam terhambur.
“Pasal tu pun nak bergaduh jugak ke? Yang kau tolak permintaan dia tu, kenapa?” soalnya bersahaja. Terpaksalah dia berpura-pura walaupun sudah tahu apa alasan Izam.
“Majlis tu malam Sabtu. Tapi, sebelah petang tu aku ada temu janji dengan Mister Chan dekat Penang. Mana sempat aku nak berkejar balik pergi ke majlis kawan dia tu. Dia pulak sibuk duk suruh aku tukar temu janji ke hari lain. Dia ingat semudah tu aje ke aku boleh batalkan temu janji aku dengan Mister Chan? Dahlah nak cari masa free dia bukan main susah lagi,” terang Izam satu per satu.
Urusan kerjanya jauh lebih penting berbanding pergi ke majlis hari jadi kawan Rehan. Kalau dia tak hadir sekalipun, bukannya majlis itu ada kekurangan apa-apa. Rehan sahaja mengada-ada lebih.
Hisyam bergumam seketika seolah-olah memikirkan sesuatu.
“Macam nilah... Kalau kau tak kisah, aku boleh tolong gantikan tempat kau jumpa dengan Mister Chan. Nanti kau beritahulah dia, kau ada hal penting yang perlu diselesaikan. Lepas tu kau petiklah nama aku untuk cover kau. Aku dah biasa deal dengan dia. Setahu aku Mister Chan tu jenis tak banyak songeh. Dia tentu boleh faham semua tu.” Hisyam mengusul cadangan.
“Kau sanggup pergi ke Penang?” Mata Izam tidak berkelip merenung Hisyam. Dia terkejut dengar tawaran Hisyam itu.
“Alah, Penang dengan KL bukannya jauh sangat pun. Lainlah kalau aku tak kenal jalan pergi dan balik. Kau temanlah Rehan pergi ke majlis hari jadi kawan dia tu. Pasal kerja kau, serahkan aje kepada aku. Tak ada masalah aku nak settle sebab aku pun tahu jugak serba sedikit pasal projek rumah dia tu.”
“Tapi tak menyusahkan kau ke, Syam? Lagipun hari tu hari minggu. Aku tak nak ganggu cuti hujung minggu kau.”
“Jangan risaulah. Siang tu aku free. Malam aje ada hal sikit. Tapi, tak ganggu pun aktiviti hujung minggu aku. Nanti kau bagilah semua dokumen yang nak kena bawa tu pada aku. Serius ni, aku nak tolong kau,” ujar Hisyam bersungguh-sungguh meyakinkan Izam.
Izam memandang Hisyam dengan perasaan berbelah bahagi. Dia tidak tahu sama ada dia patut menerima pertolongan Hisyam itu ataupun sebaliknya.

Okeylah. Saya setuju temankan awak pergi ke majlis tu.
“YES!” Rehan menjerit gembira setelah membaca SMS kiriman Izam. Menjadi juga ugutannya pagi tadi. Usai menghabiskan sesi fotografinya bersama sebuah majalah pada petang itu, dia terus bergegas ke pejabat Izam.
“Izam, jom temankan saya pergi shopping sekejap,” ajak Rehan sambil menghempas tas tangannya di atas meja Izam.
Izam tersentak. Daripada memandang skrin komputer, matanya berkalih ke wajah Rehan yang terkelip-kelip memandangnya tanpa senyuman. Terkejut dia melihat Rehan meredah masuk ke dalam biliknya begitu sahaja tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. “Awak tak nampak ke saya tengah buat kerja ni?”
Rehan jeling meja Izam yang berselerak dengan fail dan pelan yang bergulung-gulung. Dia mencebik.
“Alah, tinggallah sekejap. Bukannya lama sangat pun,” jawabnya enggan peduli dengan kesibukan Izam.
Izam mendengus bengang. “Senangnya awak cakap. Awak ingat saya ni bekerja dengan syarikat sendiri ke? Boleh keluar ikut suka macam tu aje?”
“Okey, kalau macam tu biar saya sendiri pergi minta izin dengan papa awak.” Rehan terus berpaling hendak keluar dari situ. Namun, Izam cepat-cepat bangun menghalangnya.
“Tunggu dulu!”
“Apa lagi?” Rehan mendecit kurang senang.
“Apa kena dengan awak ni? Tiba-tiba aje datang ofis saya paksa saya temankan awak pergi shopping. Selama ni awak shopping tanpa saya okey aje. Sekarang, apa masalahnya?”
“Masalahnya sekarang... saya nak awak yang temankan saya pergi shopping. Faham?” Rehan mencerlung Izam sambil kacip gigi. Nak ajak keluar pun susah. Leceh betul bertunang dengan lelaki beku macam Izam ni.
“Awak tu yang tak faham! Kan saya tengah kerja sekarang. Kalau ya pun nak ajak saya keluar, tak boleh ke tunggu saya habis kerja dulu?” tempelak Izam pula. Tak habis-habis Rehan nak naikkan darahnya.
“Ah! Banyak alasanlah awak ni. Tepilah!” Rehan menolak kasar tubuh Izam yang menghalangnya daripada buka pintu. Sebaik pintu dikuak, dia terkejut melihat kelibat Dato’ Dahlan berdiri di luar bilik tersebut.
Enggan Dato’ Dahlan mengesyaki sesuatu, Rehan terus menghulur tangan bersalaman dengan bakal ayah mentuanya. Senyum di bibir diukir sehabis manis.
“Uncle, apa khabar? Rehan baru aje nak pergi jumpa uncle dekat bilik,” tutur Rehan penuh sopan.
Izam yang berdiri di belakang Rehan menjeling dengan penuh meluat. Dengan dia bukan main lagi Rehan bercakap kasar macam orang tidak ada adab. Dengan papanya pula mengalahkan perempuan Melayu terakhir.
Dato’ Dahlan mengangguk sambil tersenyum. “Sihat, alhamdulillah. Dah lama ke Rehan sampai?”
“Baru aje tadi. Uncle, Rehan nak minta izin ajak Izam keluar sekejap, boleh tak?”
“Pergi ke mana?”
“Cari barang hantaran kahwin. Kebetulan hari ni Rehan ada masa free. Hari lain nanti nak keluar, sibuk dengan kerja pulak. Boleh ya, uncle? Sekejap aje. Tak lama pun.” Lunak sekali suara Rehan memujuk Dato’ Dahlan. Dia akan pastikan pujuk rayunya itu berjaya. Jika gagal, sia-sia sahajalah kedatangannya ke sini.
Mata Dato’ Dahlan naik ke wajah Izam sebelum jatuh semula ke wajah Rehan. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Hmm... Pergilah. Uncle izinkan,” ujar Dato’ Dahlan tanpa banyak bicara.
Izam tergamam.
“Tapi, papa...” kata Izam ingin menolak, namun Rehan terlebih dahulu memotong percakapannya.
“Papa awak dah beri kebenaran. Jomlah kita keluar, sayang.” Lengan Izam dipaut erat demi ingin mempamerkan kemesraannya dengan Izam. Biar Dato’ Dahlan terperdaya dan fikir hubungan mereka tidak ada apa-apa masalah.
“Izam pergilah temankan Rehan. Kalau ada apa-apa nanti papa akan uruskan.” Dato’ Dahlan menyokong kata-kata Rehan membuatkan Rehan tersenyum lebar.
Terlepas keluhan hampa dari mulut Izam. Kali ini dia sedar, dia sudah tidak mampu mengelak lagi.

“IZAM, cantik tak baju saya ni?” Rehan cekak pinggang sambil memusingkan badannya di depan Izam. Persis gaya yang selalu dia buat ketika membuat pertunjukan pentas dan sesi fotografi.
Izam terkesima. Dia hilang kata-kata sejenak apabila melihat baju gaun yang tersarung pada badan Rehan. Bahagian belakangnya terdedah sehingga ke pinggang.
“Pilihlah baju yang tertutup sikit. Awak tak rasa segan ke pakai baju macam tu?” komen Izam kurang senang. Sakit mata pula melihatnya.
“Butik ni bukannya butik Muslimah. Semua baju yang dijual memang macam ni. Saya tanya cantik ke tak? Bukannya suruh awak beri komen bajet bagus macam tu!” bidas Rehan sambil mencemik. Panas telinganya mendengar kata-kata Izam tadi.
“Suka hati awaklah.” Izam mengalah kerana malas hendak bergaduh dengan Rehan. Dalam hati, dia menjawab pertanyaan Rehan tadi. Tak cantik langsung!
Izam memerhati Rehan mencuba satu demi satu pakaian yang dipilihnya. Yang pasti, semuanya dia tidak berkenan. Namun, jika itu yang menjadi pilihan Rehan, apa lagi yang dia hendak cakap?
Jemu menunggu Rehan, Izam keluar dari butik dan berdiri di penghadang aras tiga itu. Dia memerhati suasana sekeliling dan gelagat orang ramai. Secara tidak sengaja, pandangannya tertancap pada kelibat dua orang gadis yang baru keluar dari sebuah kedai di aras dua. Hanis? Tanpa membuang masa, dia terus bergegas ke arah eskalator dan turun ke tingkat bawah. Setelah sampai di situ, bayangan Hanis bersama rakannya sudah hilang.
Argh! Ke mana Hanis pergi? Dia yakin matanya tidak tersilap pandang tadi. Izam enggan berputus asa. Dia masuk ke setiap premis perniagaan dan bertanya kepada setiap orang yang dijumpainya. Semua jawapan yang dia terima menghampakan. Dia berasa semakin tidak keruan. Hanis, muncullah di depan aku walaupun sekejap, desis hati Izam.
Pencariannya terbantut apabila Rehan menelefon suruh datang semula ke butik tadi. Dengan berat hati, dia naik semula ke aras tiga.
“Awak dah habis shopping ke?” Izam mendekati Rehan yang berdiri di depan kaunter.
“Dah. Tunggu nak bayar aje. Minta kad kredit awak,” pinta Rehan sambil menadah tangan selamba.
Izam terpinga-pinga. Berkerut mukanya memandang Rehan. Tetapi Rehan buat tidak tahu sahaja.
“Kenapa pulak minta kad kredit saya?” soalnya hairan.
“Sebab saya nak suruh awak belanja saya beli baju tu.” Rehan menjuih mulut ke arah baju gaun berwarna ungu yang berada di atas kaunter.
“Berapa harganya?”
“1200.”
Izam telan air liur. Biar betul Rehan ni. Nak sahaja dia jerkah Rehan di situ. Namun tidak jadi apabila mengenangkan juruwang di kaunter sedang memerhati dia dan Rehan. Dengan rasa sebal, Izam keluarkan kad kreditnya dari dompet. Belum sempat dia hulur kepada Rehan, Rehan terlebih dahulu menyambar dari tangannya lalu diberikan kepada juruwang yang telah lama menanti.
“Terima kasih sebab belanja saya,” ucap Rehan sewaktu dia beri semula kad kredit kepada Izam. Dia tersenyum puas kerana dapat kikis duit Izam. Seronoknya beli baju tanpa keluarkan duit sendiri satu sen pun. Sememangnya itulah niat sebenar dia mengajak Izam keluar membeli-belah.
Izam melajukan langkah, menyaingi Rehan yang menonong laju keluar dari butik.
“Habiskan duit beribu-beribu sebab nak beli baju yang tak cukup kain macam tu semata-mata? Awak ni dah hilang akal ke apa?” sungut Izam tidak puas hati. Hangus macam tu sahaja duitnya.
“Kalau tak suka, diam. Tak payah nak kutuk-kutuk baju saya!” Rehan menjeling Izam tajam. Bengang sungguh dia dengar sindiran Izam yang menyakitkan hati itu.
“Masalahnya duit siapa?”
Rehan mendengus. “Jadi, awak berkiralah ni? Kesiannya dekat saya sebab dapat tunang yang kedekut macam awak ni.”
“Bukan masalah berkira. Tapi, awak tak rasa membazir ke beli baju tak senonoh macam tu?”
“Hei! Mulut awak tu jangan nak kurang ajar sangat ya? Itu bukan baju tak senonoh. Tapi, fesyen! Kalau untuk diri sendiri awak boleh berhabis duit beli barang mahal-mahal, kenapa dengan tunang sendiri awak rasa sayang duit?” Rehan menempelak Izam kasar.
Dia bukannya tidak tahu berapa harga baju kemeja yang Izam pakai. Itu belum lagi dikira kasut dan jam tangannya. Jadi, apalah sangat dengan jumlah 1200 yang Izam keluarkan tadi.
“Sebab awak beli barang yang tak boleh dipakai lama untuk jangka masa panjang.”
Rehan berhenti berjalan dan bercekak pinggang mencerlung Izam. Kali ini, dia sudah tidak dapat menahan sabar lagi. “Cukup! Saya dah tak tahan nak dengar awak kutuk baju saya tu. Kalau awak rasa saya ni membazirkan duit awak, awak anggap ajelah awak guna duit tu untuk buat amal jariah. Bersedekah untuk tambahkan pahala, boleh?”
Izam tersentap. Lama-lama nanti rosak juga hatinya akibat selalu disakiti.
               
“INI ke baju yang akak beli masa pergi shopping dengan Kak Ifa tadi?” tanya Sarah sambil memandang Hanis atas bawah.
Hanis mengangguk. “Macam mana? Cantik tak?”
“Mestilah cantik. Apa saja baju yang akak pakai semuanya cantik-cantik belaka. Sarah rasa kalau akak pergi ke majlis tu nanti, mesti semua orang terpegun tengok akak tau,” puji Sarah sambil membetulkan baju gaun lengan panjang yang dipakai oleh Hanis. Sungguh elok sekali baju itu terletak pada tubuh kakaknya.
Bibir Hanis tersenyum lebar mendengar pujian Sarah.
“Tapi tak nampak seksi ke?” soal Hanis lagi sambil melihat penampilannya di depan cermin.
“Mana ada seksi. Kan tertutup semuanya ni. Hmm... Nanti ramailah peminat akak yang beratur nak minta tandatangan. Abang Heris mesti cemburu habis,” komen Sarah tergelak-gelak.
Hanis menjeling Sarah. “Buat apa dia nak cemburu? Akak dengan dia bukannya ada apa-apa pun. Kawan biasa aje, kan?”
“Akak aje yang cakap kawan biasa. Tapi Abang Heris anggap akak lebih daripada tu. Takkanlah akak tak perasan cara layanan dia dekat akak? Perhatian yang dia berikan tu dah lebih daripada kawan biasa tau.”
Laju Hanis cubit lengan Sarah. Kalau kaitkan dia dengan orang lelaki, nama Heris memang tak pernah si Sarah ni lupa nak selit. Tak kuasa dia dengar.
“Sarah ni suka sangat tau melalut yang bukan-bukan. Akak tanya pendapat Sarah pasal baju ni aje. Yang Sarah pergi merepek pasal hal lain yang tak ada kaitan tu, kenapa?” rungut Hanis. Kemudian dia menukar semula ke baju tidurnya.
“Akak, Sarah rasa akak tak payahlah nak fikir panjang-panjang. Terima aje Abang Heris tu. Bagi Sarah, dia dah cukup sempurna buat akak.”
“Sarah tak faham. Kalau sesuatu tu sempurna pada mata Sarah, tak semestinya ia pun sempurna pada mata akak,” balas Hanis sambil menutup pintu almari sesudah menyimpan baju gaun tadi di dalamnya. Selepas itu dia duduk bersila di atas katil.
Sarah juga ikut duduk sekali.
“Sarah tak fahamlah dengan akak ni. Kenapa akak macam susah sangat nak terima dia? Apa lagi yang kurang pasal Abang Heris tu?” Sarah mengeluh hampa mendengar jawapan Hanis.
Hanis merenung Sarah seketika sebelum membalas pertanyaannya.
“Sarah, Abang Heris tu boleh cari perempuan lain yang lebih baik daripada akak. Jadi, biarlah dia dengan orang lain aje. Akak akui dia seorang lelaki yang sempurna serba-serbi. Tapi, hati akak memang tak ada untuk dia,” ujar Hanis berterus terang.
“Siapa lagi perempuan lain yang lebih baik kalau bukan diri akak? Akak tak kesian ke dekat dia? Dah lama dia tunggu akak. Tapi akak asyik kecewakan dia aje.”
“Okey, cukup! Kita tutup topik ni kat sini sebab akak ada kerja nak kena buat. Sarah balik ke bilik Sarah dulu ya?” Hanis pantas bangkit dan mengheret Sarah ke muka pintu.
“Alah, akak ni... Halau Sarah pulak,” omel Sarah sambil menghentak kakinya.
Walaupun dia belum bersedia hendak pergi dari situ, terpaksa diturutkan juga permintaan Hanis. Entah betul ataupun tidak Hanis nak buat kerja. Entah-entah sengaja cari alasan mahu mengelak daripada jawab soalannya tadi.
“Ini dah cukup baik tau akak halau dengan cara baik. Kalau akak halau guna cara kasar tentu Sarah dah tak nak bertegur sapa dengan akak lagi dah,” balas Hanis.
“Yalah, yalah... Selamat malam. Mimpi Abang Heris tau nanti,” usik Sarah sebelum berlari menyelamatkan diri apabila Hanis mengacah hendak mengetuk kepalanya.
Namun, hatinya masih belum mahu berhenti bertanya mengapa Hanis sentiasa mengelak apabila bercakap tentang Heris. Apa yang membuatkan Hanis begitu tegar menutup pintu hatinya buat lelaki itu?
Hanis kunci pintu dan duduk di birai katil. Kata-kata Sarah tadi buat dia termangu. Kejamkah dia kerana menghampakan harapan Heris?
Perlahan-lahan dia kalih mata ke laci meja lampu tidur. Sekeping gambar lama di alam persekolahan dahulu ditarik keluar. Air matanya bergenang menatap satu-satunya gambar kenangan dia bersama Izam. Setiap kali merindui Izam, hanya gambar itu yang menjadi penawarnya.
“Bukan akak tak kasihankan Abang Heris, Sarah. Tapi... ini semua soal hati,” ungkap Hanis perlahan.
Soalnya sekarang, dalam hati dia hanya terukir nama Mohd Shahrul Aizam.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment