IZAM melangkah longlai masuk ke dalam rumah. Briefcase diletak di atas sofa sebelum pergi ke dapur.
“Mak Yam...” tegur Izam setelah terlihat wanita itu.
Dihulurkan seukir senyuman kepadanya.
Pintu peti sejuk dikuak lalu dikeluarkan sebotol air jus
oren yang sudah tersedia di dalamnya. Air itu dituang ke dalam gelas sebelum
meneguk perlahan. Selepas itu barulah dia duduk makan char kuetiau yang
dibelinya tadi.
Mak Yam yang sedang menyediakan bahan-bahan untuk makan
malam berhenti membuat kerja. Dia berasa pelik melihat kelakuan Izam pada lewat
petang itu. Tidak pernah pula sebelum ini dia melihat Izam balik kerja terus
makan tanpa salin baju kerjanya terlebih dahulu.
“Lapar benar Mak Yam tengok Izam ni. Tengah hari tadi Izam
tak makan ke?” soal Mak Yam cuba merungkai persoalan yang ligat bermain dalam
kepalanya.
Izam menelan char kuetiau sambil membalas pandangan mata
Mak Yam yang tertancap ke arahnya. “Izam makan kuih aje.”
“Kenapa tak makan nasi?”
“Tak ada selera.” Izam sambung makan semula.
“Kena bebel dengan papa ke sebab masuk pejabat lambat?”
duga Mak Yam.
Izam teguk air lagi. “Kena marah dengan papa tu memang dah
kalis dah telinga Izam ni, Mak Yam.”
“Habis tu sebab apa? Hmm... Mak Yam tahu. Ini mesti pasal...”
“Jangan sebut nama dia!” Cepat-cepat Izam potong cakap Mak
Yam. Kemudian dia sambung semula perlahan, “Nanti hilang selera Izam nak
makan.”
Mak Yam menggeleng lemah.
“Asyik bergaduh aje. Bila nak berbaiknya? Tak lama lagi dah
nak kahwin,” katanya seakan-akan bersungut.
Bukan dia tidak tahu hubungan dingin Izam dengan Rehan. Kadang-kadang
selalu juga dia terdengar Izam bergaduh dengan gadis itu di telefon. Bukan
bergaduh biasa, malah siap bertempik lagi. Gerun mendengarnya.
“Mak Yam, Izam nak kahwin dengan orang lain boleh tak?”
tanya Izam secara tiba-tiba lantas membuatkan Mak Yam terlopong dan
terpinga-pinga memandangnya.
“Nak kahwin dengan siapa pulak ni? Izam ada calon isteri
lain ke selain Rehan?”
Izam angguk mengiakan sebelum berkata, “Nama dia Mariam
binti Hamid.”
Sekali lagi Mak Yam ternganga.
“Eh, itu nama Mak Yam. Isy, budak ni... mainkan aku pulak!” Mak Yam
cubit manja belakang bahu Izam.
Izam ketawa mengekek. Lucu melihat muka terkejut Mak Yam
sebentar tadi.
“Mak Yam yang dah tua kerepot ni Izam nak ajak kahwin?
Mengamuk papa Izam tu nanti kalau dapat tahu. Nak ke dia bermenantukan Mak Yam
ni?” seloroh Mak Yam, akhirnya ikut ketawa sama. Dia langsung tidak ambil peduli
dengan gurauan Izam tadi. Jika angin gila-gilanya datang, mulalah Izam merepek
yang bukan-bukan.
Izam tolak polisterina putih itu ke tepi. Perutnya sudah
kenyang walaupun masih ada saki-baki kuetiau di dalamnya.
“Mak Yam, Mak Yam tahu tak? Dulu masa Izam sekolah dekat
Kristal Bayu, Izam ada kekasih tau. Nama dia Hanis Aqilah. Izam sayang dia
sangat-sangat,” luah Izam tanpa berselindung.
Dalam masa yang sama, dia turut mengimbau kenangan cinta
lamanya bersama Hanis. Walaupun semua itu sudah menjadi memori, dia masih tidak
mampu melupakannya.
“Kecil-kecil lagi dah pandai berkasih? Orang suruh belajar,
dia pergi bercinta pulak,” omel Mak Yam.
Izam tersengih tayang gigi. Gaya percakapan Mak Yam
mengingatkannya kepada Farid yang selalu menegah dia dan rakan-rakan bermain
perasaan dengan perempuan. Apa nak buat? Budak sekolah pun ada perasaan nak
berkasih juga.
“Dah tu, apa jadi dengan hubungan Izam dengan dia?” tanya
Mak Yam lebih lanjut.
“Hubungan tu tak berjaya. Kami putus cinta lepas Hanis
pindah sekolah,” jelas Izam.
Perpisahannya dengan Hanis merupakan saat yang paling getir
perlu dia lalui. Prestasi pelajaran dan sukannya merosot teruk. Tetapi, mujur dia
mampu bangkit semula dengan bantuan guru kaunseling dan kawan-kawan.
“Hmm... Kalau dah putus tu lupakan ajelah. Buat apa
diingatkan lagi?” komen Mak Yam seraya menyambung kembali kerja-kerjanya yang
tergendala sebentar tadi.
Lupa? Mana mungkin dia dapat melupakan Hanis begitu sahaja.
Izam bangkit dari kerusi, membuang bekas makanan ke dalam tong sampah
berhampiran singki.
“Mak Yam, Izam nak minta tolong satu perkara boleh?”
“Apa dia?”
“Tolong doakan Izam dan Hanis dapat berjumpa semula.”
Mak Yam merenung Izam lama. Cuba mentafsirkan kata-kata
yang diungkapkan oleh Izam itu. Ada sesuatu yang dia masih tidak faham
mengenainya.
“Kalau dapat jumpa semula pun, apa yang Izam boleh buat?
Tak lama lagi Izam dah nak kahwin, kan?” kata Mak Yam.
“Izam nak cakap dekat dia yang Izam tetap cinta dan
sayangkan dia,” ungkap Izam tersenyum.
“Selama-lamanya...” sambungnya lagi sebelum keluar dari
dapur.
Mak Yam terkedu.
KELUAR dari kereta, Hanis berjalan ke arah kotak peti surat yang
terletak bersebelahan dengan pintu pagar. Sudah menjadi rutin hariannya
memeriksa peti surat tersebut setiap kali pulang daripada kerja.
Beberapa keping surat ditarik keluar dan dibelek satu per
satu. Namun, matanya lebih tertarik kepada surat berwarna merah jambu yang mana
tertera namanya dengan dakwat hitam tulisan tangan. Lekas-lekas dikoyak sampul dan ditarik
keluar isi kandungannya. Bibirnya tersenyum lebar selepas itu.
“Banyak surat hari ni, Hanis?” tanya mak teh setelah
melihat Hanis masuk ke dalam rumah bersama surat di tangannya.
“Adalah empat, lima keping. Surat Hanis dan pak teh,” jawab
Hanis sambil meletak surat yang bukan kepunyaannya ke dalam kotak khas yang terletak di
atas almari kecil berhampiran dengan pintu masuk.
“Surat Hanis, surat apa? Surat cinta ke?” Mak teh mengusik
Hanis yang datang melabuh punggung di sebelahnya.
“Ha’ah. Surat cinta daripada bank dan syarikat telefon,” jawab
Hanis sambil tayang surat kepunyaannya kepada mak teh. Setiap bulan, itulah
surat cinta yang selalu dia dapat.
Mak teh ketawa kecil. Dia ingatkan surat cinta daripada
kekasih Hanis. “Yang sampul warna pink tu
surat apa? Berkenan mak teh tengok sampulnya.”
“Itu kad jemputan
daripada kawan Hanis. Dia jemput Hanis pergi
ke majlis hari jadi dia.”
“Amboi, siap berkad-kad lagi. Mengalahkan orang yang nak
kahwin pulak ya?” seloroh mak teh.
“Zaman sekarang ni macam-macam orang buat, mak teh. Kahwin
tak jemput guna kad pun ada jugak tau. Contohnya macam kat dalam Facebook tu.
Pakat jemput orang melalui event yang dia orang buat
dekat situ aje. Lagi senang. Jimat duit dan tenaga,” jelas Hanis mengenai
teknologi laman sosial sekarang yang semakin maju.
Mak teh terangguk-angguk walaupun tidak begitu faham apa
yang diterangkan oleh Hanis. Bab teknologi ni dia memang selalu ketinggalan.
Orang lain sudah ke hadapan. Dia pula masih jauh di belakang.
“Hanis nak masuk bilik bersihkan diri dululah. Dah
melekit-lekit dah badan Hanis ni.” Perlahan-lahan Hanis bangkit dari sofa.
Sekejap lagi sudah hendak masuk waktu maghrib. Eloklah dia bersiap sedia terus
untuk bersembahyang.
“Plastik hijau ni, plastik apa pulak? Kenapa tinggal dekat
sini?” soal mak teh sambil menjuih mulut ke atas meja. Terasa panas apabila
disentuh tetapi tidak pula diketahui isi kandungannya.
Hanis tidak jadi melangkah dan menoleh semula.
“Itu apam balik yang Hanis beli dekat pasar malam tadi. Mak
teh tolong tukar letak dalam bekas lain ya. Boleh makan masa makan malam
nanti.”
“Jagung lebih ke ni?”
“Macam biasalah, mak teh...” Hanis tersengih sebelum naik
ke biliknya yang terletak di tingkat dua.
SELEPAS makan malam, Hanis naik ke bilik semula. Hajat di hati
mahu tidur awal kerana badannya terasa begitu letih sekali. Sementelah, di
butik tadi banyak kerja yang dia lakukan.
Ketika berkira-kira hendak memetik suis lampu di sisi katil, Hanis terpandang kad jemputan
hari jadi Jasmin. Lalu perlahan-lahan dia capai dan diulang baca sekali lagi. Hanis mengeluh membaca tema
yang ditetapkan. Tetamu dikehendaki datang bersama pasangan lelaki.
Entah apa-apalah Jasmin ni. Dalam banyak-banyak tema, tema
ini juga yang dia nak buat. Kalau orang yang tidak ada pasangan macam dia ni,
nak ajak siapa temankan? Nak sahaja dia telefon Jasmin dan suruh batalkan
syarat merepek itu.
Mata Hanis berkalih pula ke arah telefon pintarnya apabila
terdengar ada panggilan masuk. Melihat nama pemanggil yang tertera pada skrin,
dia tersenyum. Dia rasa dia sudah jumpa orang yang akan jadi penemannya di
majlis itu nanti.
“Heris... nasib baik awak telefon saya. Saya perlukan
pertolongan daripada awak ni. Awak boleh tolong saya tak?” Hanis terus bertanya
setelah menjawab panggilan lelaki itu.
“Tolong apa?” soal Heris dalam nada terpinga-pinga.
“Tolong temankan saya pergi ke majlis hari jadi kawan saya,
boleh?”
Dalam hati, Hanis berdoa agar Heris akan beri jawapan
gembira kepadanya. Hanya Heris satu-satunya harapan yang dia ada sekarang.
Tetapi, andai kata Heris kata tak boleh, dia tetap akan pujuk Heris sampai
Heris kata boleh.
“Ha?!” jerit Heris terperanjat.
“Yang awak terkejut sangat ni, kenapa? Bukannya saya ajak
awak kahwin pun.”
Ketawa Heris terus terhambur kuat. “Kalau awak nak ajak
saya kahwin pun, apa salahnya? Bukan ke itu peluang yang saya selalu
tunggu-tunggu selama ni?”
“Awak ni dah mulalah tu.” Hanis tarik muka masam. Malas dia
nak layan cakap Heris yang sudah melencong jauh daripada topik asal.
“Bila majlis tu?” Heris cepat-cepat tukar topik asal semula
setelah menyedari Hanis seperti tidak selesa dengan gurauannya.
“Hari Sabtu nanti. Awak free tak malam tu?”
“Untuk gadis yang comel macam awak, saya sentiasa ada masa free.”
Tersenyum Hanis mendengar pujian Heris. Dalam masa yang
sama, dia turut berasa lega dengan persetujuan Heris. Selesai masalahnya. “Terima
kasih, Heris. Nanti saya belanja awak makan nasi kandar ya.”
“Hmm... Nasi kandar lagi. Tak ada makanan lain ke? Muaklah
asyik makan makanan mamak aje,” rungut Heris.
Dahi Hanis berkerut. Setahunya, Heris penggemar nasi kandar
yang tegar dan jarang menolak jika dia hendak belanja makan makanan itu. “Habis
tu, awak nak makan apa?”
“Saya nak makan nasi Arab. Tapi, awak yang kena masakkan
untuk saya, boleh?”
Permintaan Heris itu membuatkan Hanis terlopong. Masak nasi
Arab? Cakap Arab pun dia tidak pandai, usahkan nak masak nasi Arab pula.
Merepeklah Heris ni. “Saya mana pandai masak nasi Arab. Kalau makan tu, saya
pandailah. Awak ni janganlah suruh saya masak makanan yang pelik-pelik.”
Heris bergumam seketika. “Okey, saya tukar menu lain. Awak
masakkan saya kari kepala ikan. Pandai, kan?”
“Boleh. Tapi dengan satu syarat...” Hanis berjeda panjang.
Sengaja mahu buat Heris tertanya-tanya.
“Ada syarat jugak ke? Cakaplah, apa dia?”
“Awak kena temankan saya pergi ke majlis tu dulu. Lepas tu,
baru saya belanja awak makan semua tu. Setuju?”
“La... Itu aje ke syarat awak? Ingatkan saya kena kahwin dengan
awak dulu baru awak nak belanja saya makan semua tu,” gurau Heris sambil
melepaskan ketawa.
“Eii! Awak ni main-main tau. Cepatlah beri kata putus. Awak
setuju ke tak ni?” desak Hanis sambil menumbuk bantal di sebelahnya. Bibirnya
diketap rapat. Loyar buruk sangat Heris ni.
“Yalah, saya setuju. Tapi, janji tau... awak kena masak
semua tu untuk saya nanti.”
“Ya, saya janji. Kalau tak cukup kepala, dengan ekor ikan tu
sekali saya masakkan untuk awak.” Hanis bercanda.
Dia dan Heris sama-sama gelak selepas itu.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment