MELANGKAH masuk ke dalam rumah, Izam tidak terus masuk ke
dalam bilik. Sebaliknya, dia duduk di ruang tamu melayan perasaan. Televisyen
dipasang namun sekadar jadi pemecah kesunyian. Fikirannya jauh melayang ke arah
lain.
Dia tersenyum sendiri apabila teringatkan Hanis. Dia
berterima kasih pada takdir kerana menemukan semula dirinya dengan gadis itu.
Ternyata jodoh mereka begitu kuat sekali. Tanpa sedar, kelakuannya itu
diperhati oleh Mak Yam yang terjaga daripada tidur akibat terdengar bunyi suara
televisyen dipasang kuat.
“Izam, baru balik ke? Pergi ke mana tadi?” tegur Mak Yam.
Izam terperanjat lalu menoleh. Tak tidur lagi rupanya Mak
Yam ni. “Ha’ah. Izam jumpa kawan.”
Selepas menghantar Rehan pulang, dia melepak di sebuah medan
selera bersama Dali, Bojan dan Farid. Kalau bertemu dengan tiga orang
sahabatnya itu, memang payah nak balik awal ke rumah.
Mak Yam tengok jam. Sudah pukul 3.10 pagi. Tak mengantuk
lagi ke Izam ni?
“Pergilah masuk tidur. Dah lewat pagi ni. Karang liat pulak
nak bangun sembahyang subuh.”
“Sekejap lagi Izam tidurlah, Mak Yam. Sekarang ni Izam
tengah berangan. Mak Yam janganlah kacau,” balas Izam bersahaja. Dia buat tidak
tahu sahaja melihat muka Mak Yam berkerut setelah mendengar jawapannya. Orang tengah
syok berangan dia suruh pergi tidur pula.
Mak Yam garu belakang kepala. Buang tabiat ke apa anak Dato’
Dahlan ni pagi-pagi buta duduk berangan di depan TV? getusnya. “Berangan pasal
apa?”
Izam sengih. “Mak Yam... Mak Yam ingat lagi tak pasal kisah cinta
Izam dekat Kristal Bayu?
“Dengan gadis bernama Hanis Aqilah tu?”
“Ha’ah. Mak Yam tahu tak tadi Izam jumpa dia?” beritahu Izam
penuh teruja.
“Ya ke? Kiranya tadi Izam keluar dengan dialah?” tebak Mak
Yam.
“Taklah. Tadi tu jumpa dengan kawan lama. Dengan Hanis, Izam
jumpa dekat majlis hari jadi kawan Rehan sebelum tu. Rupa-rupanya kawan Rehan
tu pun kawan dia jugak. Tak sangka betul Izam.”
“Hmm... Patutlah Mak Yam tengok Izam segar lain macam aje.
Suruh tidur pun tak nak. Padahal dah pukul 3.00 lebih ni.” Mak Yam mengusik.
Nampaknya, wajah Izam lebih ceria bercerita pasal kekasih lamanya berbanding
cerita pasal tunang sendiri.
Izam terus bangun berdiri di sebelah Mak Yam. Bahu wanita
itu dipeluk erat. “Mak Yam, Hanis cantik sangat tadi. Dia buat Izam jatuh cinta
lagi. Izam dapat rasa semua tu.”
“Hisy, tak baiklah Izam cakap macam tu. Izam kan dah jadi
tunang Rehan. Kalau Rehan dengar, kecil hati dia nanti,” tegur Mak Yam.
“Suka hati dialah kalau nak kecil hati dengan Izam pun. Izam
memang tak ada hati apa-apa dekat dia. Izam rasa Izam nak putuskan pertunangan
kami. Mungkin itu aje cara nak elak daripada kena kahwin dengan dia.”
“Janganlah ikut perasaan sangat.”
“Ni Izam ikut kata hati. Kata hati tak pernah menipu.”
Mak Yam menggeleng. Pandai pula Izam menjawab. “Habis tu,
papa dah tahu ke?”
Izam angguk perlahan. “Dah. Tapi... papa tak setuju. Dia
suruh Izam kahwin jugak dengan Rehan.”
“Mak Yam pun tak setuju Izam putuskan pertunangan tu,” sahut
Mak Yam laju.
Terlepas keluhan panjang dari mulut Izam. “Mak Yam tak tahu
perangai sebenar Rehan macam mana. Hati Izam ni dah banyak kali dah kena toreh
dengan dia.”
“Biasalah tu. Gaduh-gaduh sayang...”
“Tak ada maknanya nak gaduh-gaduh sayang. Dengan dia kalau
bergaduh rasa benci gila.”
Tangan Mak Yam segera menggosok-gosok bahu Izam. “Sabar...
benci macam mana sekalipun dia tu tunang Izam jugak. Cubalah bawa berbaik
dengan dia. Tak lama lagi dah nak jadi suami isteri pun.”
Izam sudah menarik muka. Kenapa Mak Yam sentiasa memihak
kepada Rehan?
“Kalau dia layan Izam dengan buruk tak apalah pulak, kan?
Mak Yam dengan papa sama aje. Tak faham isi hati Izam langsung,” kata Izam
lantas meninggalkan Mak Yam keseorangan di situ.
Mak Yam mengeluh. “Tengoklah tu... Orang nasihat bukannya
dia nak dengar. Degil betul.”
IFA menyambut senang kedatangan Hanis yang datang berkunjung
ke tempat kerjanya pada pagi Isnin itu. Jika ada masa senggang, Hanis memang
rajin datang menjenguk dan bertanya khabar dia. Waktu bekerja Hanis lebih
fleksibel berbanding dengannya yang kerja makan gaji sebagai peguam. Nak jumpa
kawan kena tunggu habis kerja dahulu. Lainlah Hanis, bekerja sendiri. Boleh
curi masa hendak singgah ke mana-mana.
“Aku ganggu kau ke tak ni?” soal Hanis ketika melabuh
punggung di depan Ifa.
“Macamlah kau tu tak biasa ganggu aku,” balas Ifa berseloroh
sambil ketawa. “Dari mana ni?”
“Bank,” jawab Hanis ringkas. Surat khabar di atas meja
diselak-selak sepintas lalu.
Ifa merenung Hanis lama. Lain macam sahaja sikap Hanis hari
ini. Apa yang tak kena? soalnya dalam hati. “Kau okey?”
Hanis panggung muka. Dahinya berkerut memandang Ifa.
“Kenapa pulak kau tanya aku macam tu? Aku nampak tak okey
ke?” tanya Hanis kembali.
“Kau tak cakap banyak macam selalu,” ujar Ifa.
Dia yakin memang ada sesuatu yang Hanis sembunyikan daripadanya.
Namun dia tidak mahu mendesak. Biarlah Hanis membuka mulut sendiri. Dia pun
tahu Hanis tidak akan memendam rasa seorang diri jika ada apa-apa masalah.
Hanis menutup surat khabar dan bersandar pada kerusi. Dia
termangu seketika sebelum meneruskan bicara.
“Aku jumpa Izam malam kelmarin.”
Mata Ifa membulat. “Ha? Betul ke ni? Kau jumpa dekat mana?”
“Rumah Jasmin,” balas Hanis.
Tidak semena-mena bibirnya mengoles senyum apabila mengimbau
semula pertemuannya dengan Izam. Takdir Allah. Dia sendiri tidak menyangka akan
bertemu Izam di situ.
“Izam pun ada pergi jugak ke? Wah, kuat betul jodoh kau
dengan dia. Lepas berpisah 10 tahun pun masih boleh jumpa lagi. Mesti dia
semakin kacak kan sekarang. Kau ada ambil gambar dia tak?”
“Kami tak bergambar pun. Tapi... memang ya, dia semakin
kacak dan bergaya. Kalah pelakon kesayangan kau si Adi Putra tu.” Hanis
tergelak. Sudah tentulah kekacakan itu masih menjadi milik Izam. Malah, tidak
terluntur sedikit pun.
Ifa tongkat dagu sambil menjongket kening. “Bunyinya macam
kau jatuh hati aje. Apa lagi, cubalah pikat dia semula. Nanti boleh sambung
balik cinta lama yang tak kesampaian tu.”
“Merepeklah kau ni. Izam dah bertunanglah.”
“Ha? Betul ke ni? Siapa tunang dia?” soal Ifa tidak percaya.
“Rehan. Tunang dia tu kawan Jasmin jugak. Dia pergi ke
majlis tu sebab temankan Rehan. Kau mesti terkejut kalau aku beritahu pasal
satu perkara ni.”
“Apa dia?”
“Aku jadi designer baju pengantin dia orang.”
“Apa?!” Mata Ifa terjegil seperti hendak keluar. Apabila
Hanis mengangguk, rahangnya terus jatuh. Terkedu.
Hanis mengangguk.
“Tak lama lagi dia orang dah nak kahwin dah. Mungkin aku
dengan Izam tak ada jodoh nak bersama.” Nada suara Hanis kini bertukar lirih.
Tersiat hatinya saat Izam memperkenalkan Rehan sebagai tunangnya. Apalah
ertinya pertemuan itu jika duka yang menghambat diri?
Ifa mengamati wajah Hanis. Jari-jemari Hanis kemudiannya
dicapai lalu digenggam erat. Dingin terasa. “Hanis...”
“Jangan risau. Aku okey.” Hanis menepuk lembut tangan Ifa
sambil tunduk tersenyum.
“Aku tahu kau sedih. Sebab kau dah tunggu dia selama 10
tahun. Tapi mungkin ada hikmahnya semua ni berlaku. Kau sabarlah ya,” pujuk
Ifa. Entah mengapa dia rasa senyuman itu bukanlah senyuman ikhlas seperti yang
selalu Hanis berikan kepadanya. Hanis, kuatlah...
Hanis cuba menampakkan dirinya kuat menghadapi kenyataan
itu. Namun, ternyata dia gagal. Bibirnya yang terketar-ketar digigit rapat.
Rasa sebak yang bertandang tidak dapat ditepis lagi.
Menyedari situasi itu, Ifa cepat-cepat menghulur tisu kepada
Hanis. Selepas Hanis menyambut, telinganya terus menangkap bunyi tangisan hiba
gadis itu. Ifa hanya membiarkan sahaja Hanis menangis. Dalam masa yang sama,
hatinya turut dihambat sayu. Di saat itu juga dia mula teringat kata-kata
pujangga yang selalu diungkapkan oleh kebanyakan orang.
Cinta boleh datang dan pergi dalam pelbagai cara. Mencintai
seseorang tidak semestinya harus bersama dengan orang itu. Benarlah, kisah
cinta Hanis dan Izam jadi buktinya.
Setelah beberapa ketika, Hanis mengangkat semula mukanya memandang
Ifa. Dia tergelak kecil. Tiba-tiba dia jadi segan dengan Ifa sebab menangis di
hadapannya sebentar tadi.
“Dah lega?” tanya Ifa lembut.
“Maaflah. Hari ni aku terlebih emosi sikit.” Hanis menyeka
pipinya yang masih ada sisa-sisa air mata.
“Pipi kau dah merah. Itu mesti sebab kau malu dengan aku,
kan?” Ifa sengaja menyakat Hanis.
“Taklah. Terlebih pakai blusher,” seloroh Hanis sekali gus
membuatkan dia dan Ifa tergelak bersama.
Suasana muram sebentar tadi kembali bertukar ceria. Ifa
menarik nafas lega melihat Hanis kembali tenang.
“Aku tahu kau boleh lalui semua ni sebab kau seorang gadis
yang tabah. Kalau kau boleh sabar tunggu Izam selama 10 tahun, tentu sekarang
pun kau boleh bersabar jugak kan terima semua ketentuan ni?”
“Harap-harap macam tulah. Terima kasih, Ifa.” Hanis
tersentuh mendengar kata-kata Ifa. Ifa memang seorang sahabat yang memahami.
Dia bersyukur kerana Ifa sentiasa berada di sisinya setiap kali dia rebah
berdepan dengan ujian hidup.
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment