Showing posts with label Teaser. Show all posts
Showing posts with label Teaser. Show all posts

10 November 2014

Teaser 2 - Kahwin Dengan Aku Ajelah!

"Oh… kes kahwin paksalah ni ya? Kesiannya. Dah macam cerita dalam novel pulak." Encik Peon menggeleng sambil mendecit beberapa kali. Namun, decitan itu serta merta hilang apabila Muslim menjelingnya tajam. Amboi! Jeling maut gitu. Terkesot hati aku.

Muslim mengepal tangan. Baru jumpa beberapa minit sudah berani sindir dia? Tarik rambut baru tahu, hatinya menggerutu geram. 

"Itulah, Encik Peon. Tak sangka pulak dalam realiti, kawan saya yang terjebak dengan kes macam tu. Saya harap sangat Encik Peon tolong dia. Kesian dia. Sampai gugur rambut sebab asyik duk fikir pasal semua tu. Tinggal tak pergi buat rawatan rambut dekat Yun Nam Hair Care aje." Sudin menokok nambah cerita agar Encik Peon akan berasa lebih simpati terhadap nasib Muslim." 

Bulat mata Encik Peon pandang muka Sudin. "Sampai macam tu sekali?"

Sudin angguk laju.

"Tak apa, lepas guna khidmat syarikat saya nanti insya-Allah masalah rambut gugur tu dapat diatasi. Syarikat saya memang ada banyak pengalaman menguruskan kes-kes macam ni. Saya jamin semua tu boleh diselesaikan dengan baik," kata Encik Peon yakin.

*****

“Encik Muslim...” panggil Encik Peon sambil menyentuh lembut tangan Muslim.

Muslim tersentak dan terus berkata, “Okey, saya setuju kahwin dengan dia.” 


“Hah?!” Encik Peon dan Zara terlopong.

“Eh! Tak, tak... Maksud saya, saya setuju dengan pilihan Encik Peon ni.” Muslim membetulkan semula kata-katanya setelah tersedar. Hei, mulut ni... Pantang nampak perempuan cantik sikit. Mulalah tersasul cakap, gerutu Muslim seraya memalingkan muka dan menampar mulutnya perlahan. 


“Kalau Encik Muslim setuju, bolehlah tandatangan surat perjanjian ni.” Encik Peon keluarkan surat perjanjian dari laci meja dan letak di hadapan Muslim.
 
*****

"Sedap kan cendol kat gerai mak cik tu. Lain kali bolehlah singgah lagi. Kenyang tak awak makan tadi?" Muslim tanya Zara setelah masuk ke dalam kereta.

Zara tunduk pandang perutnya. Dah buncit sedikit. Muslim punya pasallah ni. Dah cakap tak boleh nak telan pun kena paksa habiskan juga semua makanan.

"Sebab awaklah perut saya jadi buncit tau. Kalau berat saya bertambah, awak kena bertanggungjawab," omel Zara sambil menjeling Muslim.

Muslim tengok perut Zara. Kemudian gelak sakan. "Alah, buncit sikit aje tu. Bukannya sampai jadi macam belon pun.Yang penting senang hati."

"Senang hati?"

"Yalah… bila perut dah kenyang mestilah hati rasa senang. Dada pun terasa lapang. Awak tak rasa macam tu ke?"

"Rasa serabut adalah…" jawab Zara selamba.

Muslim hanya sengih. Enjin kereta dihidupkan dan dia pandu perlahan. Biar lambat sedikit sampai ke rumah Zara. Dia belum puas lagi nak bersembang dengan Zara.

Zara toleh Muslim. "Kereta awak ni nak habis minyak ke? Apasal perlahan sangat awak bawa? Musang pun boleh pintas kalau macam ni," sungutnya apabila merasakan kereta Muslim bergerak terlalu perlahan di atas jalan raya. 

Kalau ya pun berpegang dengan kata-kata biar lambat asalkan selamat, agak-agaklah sikit. Ada juga yang kena hempuk kepala dengan stereng nanti. 


"Zara, kita pergi jalan-jalan dulu nak tak?" pelawa Muslim. Manalah tahu Zara setuju. Bertambah kenangan manisnya bersama gadis itu. 

Zara kerut muka. "Pergi jalan-jalan ke mana pulak ni? Awak tak rasa letih ke?"
Muslim geleng. "Kalau keluar dengan awak, rasa segar macam baru lepas mandi. Tak letih langsung."

Huh! Penangan gula Melaka dalam cendol mak cik tu tadilah kut. Manisnya melekat sampai ke kata-kata.

Reeani Annur 2014

31 October 2014

Teaser 1 - Kahwin Dengan Aku Ajelah!

Hari ni Internet manja betul dengan saya. Dapatlah saya online menggunakan laptop dan masukkan sedikit teaser KDAA di blog tercinta ni. Tapi saya copy paste daripada Facebook Penerbitan Fajar Pakeer sahaja. Harap-harap terhiburlah hendaknya. Jom baca-baca sikit. Kalau berkenan, cepat-cepat order dengan PFP ya. Order sudah dibuka dan ada harga pakej istimewa lagi.

*****
 
“Sudin, nenek aku tu memang dah gila agaknya. Tadi dia cari pasal dengan aku. Dia cakap, dia dah carikan calon isteri untuk aku. Dia nak suruh aku kahwin!” Muslim menekankan perkataan kahwin dengan kuat. Gerun rasanya apabila kena ugut kahwin dengan perempuan yang dia tidak kenal. Macam terlibat dalam nahas ngeri. Dia tidak sanggup menjadi mangsa korbannya.
 
“Apa? Nenek kau carikan calon isteri untuk kau? Kau biar betul, Mus. Takkanlah dia dah tak sabar-sabar nak timang cicit kut?”
 
“Bukan pasal cicit. Tapi pasal nak ubah sikap aku.”
 
“Habis tu, kau dah jumpa ke gadis tu? Cantik tak orangnya? Kalau cantik, kau setuju ajelah. Nanti tak payah dah kau susah-susah fikir pasal calon isteri,” kata Sudin seakan-akan memihak kepada nenek Muslim.
 
“Aku belum bersedia lagi nak kahwin. Jadi, aku peduli apa kalau calon isteri yang dia cari tu cantik ataupun tak. Yang aku tahu, aku tak nak kahwin. Dan, kau kena tolong aku selesaikan masalah ni,”.
 
“Habis, kau nak aku tolong kau macam mana?”
 
“Kau tolonglah buat apa-apa yang patut, asalkan aku dapat keluar daripada masalah ni.”
 
“Senang-senang, kau cari ajelah mana-mana kawan perempuan kau. Minta tolong dia orang menyamar jadi kekasih kau sekejap. Lepas tu, kau beritahulah dekat nenek kau yang kau dah ada calon pilihan sendiri. Mesti dia tak jadi nak jodohkan kau dengan calon pilihan dia tu,” cadang Sudin.
 
“Menyamar?”
 
 *****
 
“Ha... aku ada nak beritahu kau pasal satu iklan kat dalam surat khabar ni. Kau dengar aku baca, ya...” Sudin berdeham beberapa kali, membetulkan suara.
 
Muslim pula menanti penuh sabar dan berdebar-debar.
 
“Syarikat Peon Sdn Bhd. Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan hal remeh-temeh dan hal serius. Menjadi ejen penyiasat untuk membongkar skandal pasangan bercinta atau yang telah berkahwin. Memberi khidmat nasihat kepada pasangan yang baru pertama kali nak pergi dating. Menjadi orang tengah kepada pasangan yang bergaduh besar. Menjadi...” 
 
“Sekejap! Sekejap! Syarikat Peon ni syarikat apa? Semuanya dia nak jadi. Ada ke syarikat macam ni yang wujud dalam dunia yang serba canggih macam zaman sekarang ni?” 
 
“La... mestilah ada. Kalau tak, takkanlah surat khabar ni iklankan perkhidmatan syarikat dia pulak,” ujar Sudin.. “Aku tak nak dengar kau baca iklan merepek tu. Aku nak dengar macam mana cara nak selesaikan masalah aku..” 
 
“Ni aku tengah ceritalah ni macam mana nak selesaikan semua tu. Hah, cuba kau baca ayat terakhir dalam iklan ni. Syarikat kami juga menawarkan perkhidmatan penyamaran dalam kes-kes tertentu. Menyamar jadi kekasih, tunang, isteri dan suami orang untuk menyelesaikan masalah kahwin paksa, rela dan sebagainya. Nah! Inilah jawapan kepada masalah kau tu, Mus!” 
 
“Huh! Aku tak percayalah dengan syarikat ni. Iklan yang dia buat tu nampak macam tak berapa nak betul aje. Nama syarikat pun tak profesional tau. Peon? Dah tak ada nama lain ke yang dia nak guna? Tak sedap langsung aku dengar. Entah-entah, Syarikat Peon ni syarikat palsu yang ada unsur-unsur penipuan. Kau jangan, Sudin... Karang bertambah besar pulak masalah aku nanti,” komen Muslim menolak cadangan Sudin mentah-mentah. 
 
 
 
Reeani Annur 2014