09 June 2011

Mahadewi Tercipta Untukku 5

“NOR, mak nak tanya sikit boleh?”

“Tanya apa pula ni mak? Tanya jelah.”

“Kau dengan Adib tu ada apa-apa ke?” soal Mak Eton cuba mendapatkan kepastian.

Tertanya-tanya juga dia dengan status perhubungan mereka berdua. Nor memberitahunya, Adib merupakan pemilik syarikat tempat dia bekerja. Tapi dia lihat layanan Adib terhadap Nor tidak pula menggambarkan perhubungan itu seperti ketua dan pekerja.

Nor mengeluh. Adib lagi. Hurmm, bosan betul dia mendengar nama lelaki itu. Tak ada nama lain ke yang nak disebut? Hilang mood dia nak tengok televisyen.

“Mak ni, nak jadi macam Saleha juga ke? Sibuk duk tanya pasal Encik Adib tu. Mana ada Nor ada apa-apa hubungan dengan dia. Kan Nor dah cakap dekat mak, dia tu bos kat tempat Nor kerja. Lain daripada tu tak ada apa-apa,” terang Nor panjang lebar.

Aduh, semua orang sudah mula fikir yang bukan-bukan tentang hal dia dan Adib. Parah dia macam ni. Getusnya.

“Tapi mak tengok cara dia tu macam suka je dekat kau. Mak tengok dia tu budak baik,” puji Mak Eton.

Nor bangkit dari sofa tempat dia berbaring. Mengalihkan pandangannya ke arah ibunya yang sedang melipat kain di atas permaidani berhampiran.

“Apa mak? Baik mak cakap? Mak, mak belum kenal lagi siapa Encik Adib tu. Dia tu kaki perempuan tersohor dalam Kuala Lumpur ni. Girlfriend dia penuh keliling pinggang, mak tahu tak?”

Eee, lelaki macam tu dikatakan baik? Sah, ibu dia sudah terpedaya dengan kepura-puraan sikap Adib. Baiklah sangat. Depan orang tua, memanglah tunjuk sikap baik. Tapi kat belakang... umm, Tuhan sajalah yang tahu. Setan pun boleh kalah kot.

Kalaulah ibu dia tengok gelagat Adib yang selalu berkepit dengan ramai perempuan lain di pejabat dia, pasti kata-katanya itu akan ditarik balik.

“Ish... tak baik kau cakap macam tu dekat dia.”

Mak Eton menggeleng kepala dengan sikap Nor. Entah kenapa dia tengok Nor seperti kurang senang dengan Adib. Dingin semacam saja. Daripada pemerhatian dia, Adib bukanlah sebagaimana yang dikhabarkan oleh Nor.

Malah dia cukup menyenangi keperibadian lelaki muda itu. Berbudi bahasa, hormat pada orang tua, dan penuh dengan sikap merendah diri. Walaupun baru pertama kali bersua tapi Adib pandai menyesuaikan diri dan mengambil hatinya. Kalau buat menantu pun sesuai juga.

Nor mencebikkan bibirnya. Tak sangka pula dia ada orang lain yang sukakan Adib.

“Satu pejabat tu dah tahu perangai dia mak. Depan mak je dia berlakon jadi baik. Belakang mak, mak tak tengok lagi dia tu macam mana. Mak janganlah berbaik-baik sangat dengan dia tu. Nantikan hari-hari pula datang ke rumah kita ni.”

Mak Eton mengeluh.

“Kau ni pun, kalau tak suka dengan dia sekalipun, janganlah sampai cakap macam tu. Tak baik cakap hal-hal yang buruk pasal diri orang lain.”

“Dah benda memang betul pun. Bukannya Nor saja-saja nak reka cerita. Mak ni... yang mak duk bela sangat dia tu, kenapa? Berkenan sangat ke tengok dia tu?” soal Nor geram.

Dari tadi lagi dia lihat ibunya seperti menyebelahi Adib. Menyampah pula dia dengar pujian yang dihamburkan kepada lelaki itu. Padahal bukan baik sangat pun.

Mak Eton memandang Nor.

“Kita ni, kadang-kadang tak boleh menilai orang hanya berdasarkan luaran je.”

Aik, salahkan dia pula ke? Ibu dia ni, ish! Sabar jelah. Ah, kalau setakat Adib tu, tengok daripada luaran saja dah boleh buat penilaian. Tak perlu tengok dalaman. Kalau di luar pun sudah buruk, dalaman apatah lagi.

“Ala, mak... pokok pangkalnya dia tu memang bukan lelaki yang baik. Mak suka ke kalau tengok Nor berkawan dengan orang yang tak baik? Hurmm, luka hari tu pun tak hilang lagi mak...”

Nor melepaskan keluhan panjang.

Mak Eton merenung Nor lama. Dia tahu anaknya itu masih mempunyai persepsi yang buruk terhadap lelaki selepas menempuh kekecewaan terdahulu. Semua itu banyak mempengaruhi pemikirannya.

“Benda dah lepas, lupakan sajalah. Jangan disamakan semua lelaki tu sama dengan pengalaman kau dulu,” Mak Eton menasihati Nor lembut.

“Lelaki memang tak boleh percayalah mak. Sebelum dapat semuanya nampak baik, bermulut manis. Tapi bila dah dapat bukannya nak jaga. Buat sakitkan hati ada. Dahlah mak, janganlah cakap pasal dia lagi. Tak penting pun...”

Nor menamatkan perbualannya. Dia tak mahu bercakap tentang lelaki itu lagi. Nanti tak semena-mena pula telinga dia bernanah. Sejak dari awal dia bekerja dengan Adib, dia memang anti dengan majikannya itu.

Walaupun kacak namun tiada gunanya juga seandainya kurniaan Tuhan itu digunakan ke jalan yang salah. Kekacakan Adib itu sedikit pun tidak mampu mencairkan perasaannya. Dia harus akui betapa dia amat tidak menyukai sikap buruk Adib yang gemar mempermainkan perasaan perempuan. Sesungguhnya tiada tempat untuk lelaki seperti itu bertakhta di hatinya. 

© Noraini MohaMad 2011


No comments:

Post a Comment