06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 15 [Akhir]

10 Cara-Cara Memikat Perempuan:

1. Tanya si dia ada Facebook atau tidak. Kalau ada, add cepat-cepat. Lepas tu hantar mesej dekat inbox ucap terima kasih dan buat-buat tanya khabar pasal kucing untuk pancing perhatian. Kalau dia cakap tak bela, skip soalan lain. Pasal teka-teki ke, pantun ke.

2. Nombor telefon si dia ada? Kalau ada lagilah senang. Boleh telefon ajak keluar pergi karaoke. Kalau segan nak telefon, tengok cara ketiga.

3. Sila kenal pasti si dia suka lelaki jenis macam mana? Romantis, kelakar atau kaki pukul? Kalau si dia suka lelaki romantis, tulis puisi jiwang dan hantar ke semua akaun laman sosial yang si dia ada. Nak hantar guna surat pun boleh jugak. Tapi takut lambat sampai pulak nanti. Kalau dia suka lelaki jenis kelakar, tengok cerita Mr. Bean dan belajar tiru lawak dia. Kaki pukul? Takkanlah perempuan suka kena pukul kut.

4. Perempuan selalu ingat tarikh penting. Jadi, wajib untuk lelaki tahu semua tarikh pentingnya. Tarikh lahir si dia, mak dan ayahnya (boleh ambil hati bakal mentua sekali nanti). Kalau dia ada bela kucing, lagi bagus ingat semua tarikh lahir kucing-kucing kesayangannya. Ha, jangan lupa hadiahkan Frieskis.

5. Ini pun penting! Perempuan sukakan perhatian. Atau dalam bahasa yang paling mudah, orang cakap ambil berat. Bukan angkat berat tau. Jadi, tunggu apa lagi? Silalah dail nombor si dia sekarang. Tips penting, pastikan kredit telefon belum expired atau line telefon tak kena bar.

6. Janji mesti ditepati. Bukan dicapati. Kalau perempuan ajak keluar dating pukul 2.00, datanglah pukul 2.00 tepat-tepat. Jangan datang pukul 3.00 atau pukul 4.00. Nanti tak pasal-pasal kena pukul pulak. Tapi kalau dia ajak jumpa pukul 2.00 pagi, sila pergi jumpa dia pukul 2.00 petang. Mana ada orang dating pagi-pagi buta macam tu. Belum kahwin lagi kan. Nafsu kena jaga. Eh, tetiba!

7. Ha... lelaki kena jadi pendengar yang baik kalau nak suruh perempuan suka dekat dia. Maklumlah, kadang-kadang perempuan ni suka nak bermanja. Walaupun cerita tu cuma kisah dia jumpa lipas kat dalam jamban aje pun. Ingat, dengar aje.

8. Janganlah nak cemburu buta sangat. Baru nak usyar-usyar aje kut. Takkanlah dah nak kawal dia macam dia tu bini hang! Percaya tu penting. Kalau nampak dia keluar dengan mana-mana lelaki, fikir positif. Katakan pada diri sendiri, Oh... itu mungkin ayah dia. Walaupun lelaki tu lebih muda daripada ayah dia. Positiflah katakan.

9. Jadi diri sendiri. Tak payah sibuk nak jadi orang lain semata-mata nak tunjuk diri tu sempurna sangat. Perempuan menyampah tau dengan lelaki yang berlagak bagus macam tu. Lagi satu, mulut kena jaga. Jangan cakap lepas sangat. Karang tak pasal-pasal kena reject. Siapa yang rugi? Kaulah yang rugi.

10. Kalau dah suka sangat-sangat tu, pergi ajelah jumpa mak dan ayah si dia di kampong. Minta izin nak kahwin. Nampaklah sikit kesungguhan dan niat nak berkomitmen. Barulah perempuan rasa macam... Oh, my hero! Lelaki tak rasa apa-apa ke bila perempuan kelip-kelip mata sambil buat muka comel macam tu? Apa lagi, cepat bertindak!



Muslim merenung Sudin yang tersengih-sengih memandangnya.

“Ini semua kau cekau dari mana? Internet ke?” soal Muslim inginkan kepastian.

Muka Sudin terus bertukar jadi masam. Dia mendengus bengang.

“Huh! Penat-penat aku taip untuk kau, kau cakap aku copy paste semua ni daripada Internet? Tak reti nak hargai penat lelah aku langsung. Apa? Kau ingat aku ni tak ada pengalaman mengurat perempuan ke?” bidas Sudin. Kalau setakat cedok maklumat daripada Internet lebih baik dia suruh Muslim Google sendiri semua itu. Tidak perlu dia bersusah payah mengolah ayat untuk memahamkan Muslim.

“Aku tanya aje. Bukannya aku tuduh kau pun. Tapi betul ke ni, Sudin? Kau yakin semua cara ni menjadi? Kau tak tipu aku?” Muslim menggosok-gosok dagu. Dia masih lagi berasa sangsi sebab ada beberapa tips dirasakan seperti merepek dan entah apa-apa.

“Betullah... Buat apa aku nak tipu kau pulak. Aku yakin seratus peratus yang cara tu memang berkesan untuk pikat perempuan. Semua cara yang aku tulis tu aku dah praktis dan guna pakai tau. Kecuali cara nombor 10. Sebab aku belum sedia lagi nak kahwin.” Sudin tayang gigi bak model iklan ubat gigi.

“Kalau tak menjadi?”

Sudin mendecit. “Pernah ke kau tengok aku kena reject dengan mana-mana perempuan sebelum ni?”

Muslim menggeleng.

“Kau tahu apa rahsia kejayaan aku?”

Menggeleng lagi.

“Ha... itulah rahsianya. Jadi, kalau kau nak pikat Zara, kau guna semua cara tu. Aku jamin kau pasti akan berjaya dengan cemerlang. Percayalah cakap aku,” kata Sudin bersungguh-sungguh.

Muslim termangu-mangu. Masih ada sesuatu membelenggu fikiran yang membuatkan dia teragak-agak hendak bertindak. “Tapi, aku bukan macam kau yang ada banyak pengalaman pikat orang perempuan.”

“Apa yang kau nak susah hati sangat? Rupa bukannya tak ada. Harta apatah lagi. Kau cuma kena berani aje, Mus. Tengok macam aku ni. Walaupun rupa aku tak berapa kacak, tapi ramai perempuan terpikat tau. Kau tahu sebab apa? Sebab aku berani hadapi risiko. Kau dengar sini baik-baik. Perempuan, dia tak suka dekat lelaki yang pengecut dan tak yakin dengan diri sendiri. Sebab lelaki macam tu tak mampu nak buat diri dia berasa selamat. Cuba jadi berani sikit. Barulah maco dan gagah macam aku.” Ayat terakhir itu Sudin lafazkan secara berbisik sambil mengekek.

“Aku ni tak cukup gagah ke kau tengok?” soal Muslim, tunduk memandang lengan dan dadanya. Dia rasa badannya jauh lebih tegap berbanding Sudin yang melidi itu.

Sudin pandang Muslim atas bawah sambil mencebir.

“Apa guna gagah kalau pengecut? Perempuan pun tak ada selera nak pandang,” bidasnya tanpa belas.

“Itu sebab kat mata dia orang ada selaput mata putih yang menghalang pandangan. Kalau tak ada, mesti dia orang tak nak lepas pandang punyalah,” kata Muslim yang enggan kalah dengan Sudin.

“Jadi, Zara kau tu ada masalah matalah ya?”

“Yang tu memang ada masalah mata tahap kronik. Sebab tu aku minta petua nak pikat perempuan dengan kau.”

“Kau ikut aje apa yang aku tulis kat dalam kertas tu. Gerenti masalah kau akan selesai cepat dan pintu hati Zara akan terbuka seluas-luasnya untuk terima kau jadi suami dia,” ujar Sudin lagi dengan optimis.

“Okey, aku akan ikut semua tips yang kau beri ni. Harap-harap Zara terpikatlah dekat aku. Senang sikit aku nak ajak dia kahwin nanti.” Muslim tunduk baca kertas itu sekali lagi sambil tersenyum penuh makna. Jaga-jaga, Zara. Saya nak datang ketuk pintu hati awak ni...

“Mesti punyalah. Silap hari bulan, hati Zara tu jatuh tergolek-golek bila kena bius dengan cinta kau. Lagi parah, kau belum lagi buka mulut nak melamar, tapi dia dulu yang ajak kau kahwin. Uih... untunglah kau, Mus.” Sudin ketawa panjang.

Muslim paut bahu Sudin seraya menepuknya beberapa kali. “Sekarang baru aku faham kenapa mak dan ayah kau namakan kau, Sudin Otai. Sebab kau memang otai dalam serba-serbi.”

Kembang kempis hidung Sudin mendengar pujian daripada Muslim. Dia menaikkan kolar baju T-shirtnya sambil mengangkat kening. Tengok oranglah!

           

ZARA melopong. Beberapa kali dia menggaru kepala membaca mesej yang baru diterima daripada Muslim.



Awak ada Facebook? Kalau ada, addlah FB saya. HarithMuslim.

                       

Tak tunggu lama, Zara terus mendapatkan Sheila yang sedang kusyuk membaca surat khabar di dalam biliknya.

“Sheila, kau guna laptop tak malam ni? Aku nak pinjam sekejap, boleh? Sekali dengan broadband.”

“Tak. Ambillah kat dalam beg tu,” jawab Sheila tanpa mengangkat muka.

Zara keluarkan komputer riba Sheila lalu bawa masuk ke dalam biliknya. Dia duduk bersila di atas katil dan cepat-cepat sambungkan talian Internet menerusi broadband sebaik sahaja butang on dihidupkan. Tetingkap laman sosial Facebook dilayari. Nama HarithMuslim tadi pantas dicari. Hah, ada pun. Zara terangguk-angguk sambil mengulum senyum. Setelah jari telunjuknya menekan tetikus sekali, terus terpapar dinding Facebook Muslim.

Mata Zara tidak berkelip merenung profile picture Muslim yang berdiri menyandar pada badan kereta Vios sambil memandang ke arah lain. Kenapa kacak sangat ni? Butang add friend terus ditekan tanpa ragu.

Pop! Satu notifikasi diterima beberapa saat selepas itu.



HarithMuslim accepted your friend request.



Bibir merah Zara semakin lebar mengukir senyum. Daripada bersila, kini dia berbaring pula. Seketika kemudian, muncul nama Muslim dari kotak mesej di sebelah kanan.



HarithMuslim: Hai!

Zara_Zafi: Assalamualaikum.              

HarithMuslim: Isy! Pelik betul keypad telefon saya ni. Taip assalamualaikum keluar hai pulak.

HarithMuslim: Waalaikumussalam WBT.

HarithMuslim: Terima kasih sudi add saya. Awak buat apa tu?

Zara_Zafi: Tengah chattinglah. Takkan buat bodoh pulak.

HarithMuslim: Manalah tahu kut-kut tengah skodeng album gambar saya yang handsome gila tu.

Zara_Zafi: Tak ada makna!

HarithMuslim: Kucing awak sihat?

Zara_Zafi: Kucing?

HarithMuslim: Aik... kucing pun awak tak kenal ke? Yang ada empat kaki dan bunyi meow-meow tu. Macam dalam gambar ni.




Zara mencemik. Eleh Muslim ni... ingat aku tak kenal kucing ke? Padahal kau tu yang tak faham soalan aku tadi.



Zara_Zafi: Tak payah nak perli-perli saya. Saya bukannya duduk kat planet Pluto pun sampai tak kenal rupa kucing macam mana.

Zara_Zafi: Saya tak tahu kucing apa yang awak maksudkan. Tapi untuk pengetahuan awak, saya tak bela kucing.

HarithMuslim: Oh, tak bela kucing... Habis tu awak bela apa?

Zara_Zafi: Rambut dengan kuku.

HarithMuslim: Hahaha!

HarithMuslim: Awak ni pandai jugak ya buat lawak.

HarithMuslim: Awak suka main teka-teki?

Zara_Zafi: Tak.

HarithMuslim: Balas pantun?

Zara_Zafi: Tak.

HarithMuslim: Awak suka saya?

Zara_Zafi: Suka!

Zara_Zafi: Eh, typo. Jangan percaya.

Zara_Zafi: Sebenarnya saya tak suka awak. Saya benci awak!

Zara_Zafi: Sangat-sangat.

           

Zara tekup muka yang dirasakan berbahang. Ya Allah, malunya! Jari ni pun satu... Kenapalah laju sangat pergi taip perkataan suka tadi. Jujur tak kena tempat. Jantungnya berdebar-debar menanti balasan mesej daripada Muslim.

           

HarithMuslim: Encik Peon kata, awak ni suka cakap terbalik. Kalau kat mulut awak cakap tak suka, tapi kat dalam hati mesti awak suka saya,kan?

HarithMuslim: Eh, diam pulak.

HarithMuslim: Tengah sorok muka dalam almari ke?

HarithMuslim: Hahaha!

           

Zara ketap gigi. Terus dipangkahnya kotak mesej itu. Malas dia hendak melayan Muslim lagi. Itu sahajalah modal yang Muslim ada untuk kenakan dia. Sikit-sikit kaitkan nama Encik Peon. Percaya sangat Muslim ni dengan cakap Encik Peon yang karut lagi mengarut tu. Tiba-tiba Zara ketawa seorang diri. Terasa lucu pula apabila mengingatkan kembali perbualannya dengan Muslim tadi.

Entah apalah yang tidak kena dengan Muslim pada malam ini. Semua pertanyaannya seperti tidak masuk akal. Pasal kucing, teka-teki, balas pantun. Takkanlah kena sampuk dengan hantu kut? Profil Facebook Muslim digerakkan ke bawah. Beberapa status Muslim dibaca sepintas lalu sebelum berhenti pada satu status yang ditulis oleh Muslim kira-kira dua hari lepas.



HarithMuslim

Yesterday

Melihat senyumnya, hatiku tertawan. Tak tahu sejak bila cinta itu ada.

Like.Comment.Share

78 likes 13 comments

Gadis Comel: Siapa? Saya ke?

HarithMuslim: Err... awak ni siapa ek?

Lisa Surirumah: Saya tahu senyum saya menawan. Terima kasih.

HarithMuslim: Err... kalau tak silap, awak pakai gigi palsu, kan?

Lisa Surirumah: @%&^!

Julajuli Bukit Besi: Wah! Untunglah.

HarithMuslim: Alhamdulillah, lepas dah banyak kali tanggung rugi.

Melinda Lee: So sweet!

HarithMuslim: Ya, memang ramai cakap saya sweet. Tq!

Sudin Otai: Macamlah dia tahu kau post dekat Fb ni. Pergilah cakap depan dia sendiri.

HarithMuslim: Belum ada kekuatan, bro!

MyaZara: Awak ni dahlah handsome. Romantik pulak tu. Saya nak kenal awak dengan lebih rapat, boleh? Pm saya ya.

HarithMuslim: Pm tu apa? Perdana Menteri ke?



Zara ketawa tergolek-golek membaca komen terakhir Muslim. Sakit perut dia dibuatnya. Sengal punya lelaki!

Selepas puas melayari Facebook, Zara tutup komputer riba. Dia berbaring terlentang sambil merenung kipas yang ligat berputar di siling. Fikirannya melantun kepada status yang dia baca sebentar tadi.

“Melihat senyumnya, hatiku tertawan. Tak tahu sejak bila cinta itu ada.” Zara menyebut kata-kata itu perlahan. Untuk siapa agaknya status itu ditujukan?

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment