06 July 2015

Meow! Kau Curi Hatiku 12

HUSNA duduk memerhati kucing-kucingnya makan di dapur. Tergelak dia melihat telatah kucing-kucing sebanyak lapan ekor itu. Habis makan makanan sendiri, pergi menyibuk dekat yang lain pula. Selepas itu, mulalah saling tampar-menampar muka.
“Hei, janganlah bergaduh. Kan dah dapat bahagian masing-masing. Makan ajelah yang sendiri punya,” bebel Husna sambil melerai percakaran kucing-kucingnya yang sedang berebut makanan.
Setiap kali makan, begitulah yang selalu terjadi. Kadang-kadang terhibur juga hati dia. Husna jamah belakang badan kucing-kucingnya seekor demi seekor.
“Una, marilah sarapan dulu. Biarlah kucing-kucing tu makan,” panggil Mak Milah yang baru sahaja selesai memasak sambal ikan bilis nasi lemak. Semerbak bau sambal ikan bilis itu menusuk ke rongga hidungnya.
Husna bangun dari tempat makan kucing dan membersihkan tangan sebelum berjalan ke meja makan berhampiran. Dia turut membantu ibunya mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Hari ni Una tak pergi bandar ke?” tanya Mak Milah sambil tangannya menarik kerusi untuk duduk.
Sudah dua hari dia melihat Husna duduk terperap sahaja di rumah. Tidak seperti sebelum ini, awal-awal pagi sudah bersiap-siap mahu pergi ke bandar.
Husna menggeleng.
“Malaslah pulak Una nak ke sana. Semua tempat Una dah pergi minta kerja. Una dah tak tahu dah ke mana lagi nak pergi, mak. Una tunggu ajelah orang panggil kerja nanti,” jawab Husna. Tangannya menyudu sambal ikan bilis ke dalam pinggan. Berkepul-kepul asap naik ke udara dek panas yang belum hilang.
Mak Milah bergumam perlahan.
“Sekejap lagi Una ingat nak pergi ke kedai Mak Piah. Mak ada nak kirim apa-apa tak?” tanya Husna.
“Ayah Una dah beli barang-barang dapur semalam. Tak ada apa-apa dah yang mak nak beli. Una nak beli apa kat sana?” tanya Mak Milah sambil memandang Husna.
 “Nak beli surat khabar. Una nak tengok iklan jawatan kosong kat dalam tu.” Kalau cara turun naik ke pejabat orang tidak berkesan, dia cuba intai-intai kerja melalui surat khabar pulalah. Kalau ada majikan yang memerlukan pekerja, bolehlah dia telefon terus untuk bertanyakan hal tersebut.
“Kalau tak ada kerja, Una tolong mak ajelah kat kebun tu dulu. Nanti mak upahlah Una,” cadang Mak Milah.
“Buat apa mak nak bagi Una upah? Itu kan kebun keluarga kita sendiri. Una tolong mak ajelah. Tak payahlah mak nak bagi upah pulak,” jawab Husna. Nasi lemak di dalam pinggannya sudah hampir licin. Sedap. Air tangan ibunya tidak pernah mengecewakan dia.
“Yalah… Dah buat kerja, mak bagilah upah. Takkanlah buat kerja saja-saja.”
“Alah, mak ni… Tak payahlah nak berkira sangat. Nanti duit tu Una bagi dekat mak jugak buat belanja. Kan lebih kurang sama aje tu.” Husna tetap tidak bersetuju.
“Mak tak kisah pun Una kerja apa. Una janganlah ambil hati sangat dengan cakap ayah Una tu. Ayah Una tu, mulut dia memang macam tu,” pujuk Mak Milah pula.
Husna tersenyum tawar. Memang dia tidak menafikan, kadang-kadang dia tidak dapat menerima perbandingan yang dibuat oleh ayahnya dengan abang dan kakaknya. Tetapi, dia bertekad, walaupun dia tidak berjaya menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan, dia juga mampu senangkan dirinya sendiri dan keluarga. Harap-harap rezekinya sentiasa murah.
“Una faham, mak. Ayah mana? Tak makan sekali ke?” Mata Husna meliar mencari kelibat ayahnya. Nasi sudah nak habis baru dia perasan ayahnya tidak ada di dalam rumah.
“Ayah kamu tu, pagi-pagi lagi dah pergi ke kebun. Hari ni Ah Seng datang nak ambil sayur. Nanti lepas makan ni, mak pergilah hantar nasi lemak ni dekat dia.” Mak Milah memberitahu Husna.
Husna hanya mengangguk. Ah Seng merupakan penjual sayur di Pasar Borong Gong Pauh yang selalu datang membeli sayur dengan ayahnya secara borong. Selain Ah Seng, ada juga peniaga lain yang berbuat demikian. Pendek kata, kebun yang diusahakan oleh ayah dan ibunya itu memang menjadi sumber pendapatan terbesar keluarganya.
“Sikitnya makan?” tegur Mak Milah apabila melihat Husna mula angkat punggung dari kerusi. Wajah Husna dan pinggan yang telah kosong itu dipandang silih berganti.
“Una dah kenyanglah, mak. Lagipun Una nak ke kedai Mak Piah pulak ni. Nanti lambat-lambat, habis pulak surat khabar kat kedai dia tu,” balas Husna seraya berjalan ke singki berhampiran.

JARAK rumah Husna dengan kedai Mak Piah tidaklah terlalu jauh. Kalau berjalan kaki, hanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. Dari kejauhan, sudah nampak kedai Mak Piah yang sibuk dikunjungi oleh ramai pelanggan.
Kedai Mak Piah memang selalu menjadi tumpuan sebab macam-macam barang ada dijual di situ. Bukan setakat barang-barang runcit. Barang-barang basah seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran juga turut dijual sama. Ibaratnya, kedai Mak Piah itu seperti pasar raya kecil. Apa sahaja keperluan harian boleh didapati di situ tanpa perlu pergi jauh.
“Una, lamanya tak datang ke kedai Mak Piah ni. Ke mana menghilang?” tegur Mak Piah apabila Husna datang ke kaunter mahu membuat bayaran.
“Tak hilang ke mana pun, Mak Piah. Duk terperap kat rumah aje,” balas Husna tersenyum. Dihulur duit secukupnya bagi membayar surat khabar yang dibelinya.
“Una tak dapat kerja lagi ke?” soal Mak Piah mendapat kepastian.
“Belum lagi, Mak Piah. Tengah mencari-cari jugak ni, tapi tak ada rezeki lagi.” Itulah ayat penyedap yang Husna selalu pakai sekiranya ada sesiapa bertanya tentang hal tersebut. Hendak berbohong memang tidak dapatlah. Nanti kalau terbongkar hal sebenar, diri sendiri juga yang menanggung malu.
“Tak apalah, Una. Ada rezeki nanti tu, adalah. Janganlah putus asa. Anak Mak Piah, si Tina tu pun masa lepas habis belajar, menganggur dekat setahun jugak sebelum dapat kerja sekarang. Yang penting jangan pilih kerja sangat. Dapat mana-mana kerja, kerja ajelah dulu. Sambil-sambil tu, cubalah minta kerja lain jugak.” Panjang lebar nasihat yang diberikan oleh Mak Piah kepada Husna.
Husna mengangguk. Memang ada benarnya kata-kata Mak Piah itu. Kalau ada orang yang memahami keadaan dia macam Mak Piah ini kan senang. Dia pun tidak rasa serabut dan rendah diri sangat.
“Insya-Allah, Mak Piah. Una ingat pesan Mak Piah tu. Okeylah, Mak Piah, Una balik dulu. Una beli ya surat khabar ni.”
“Yalah. Mak Piah jual.” Duit bayaran surat khabar itu dimasuk ke dalam mesin duit.
Husna mengatur langkah keluar dari kedai. Sambil berjalan, dia membelek surat khabar di tangannya. Halaman pertama yang dicari adalah ruangan iklan jawatan kosong. Berkobar-kobar dia mahu tengok iklan yang disiarkan di ruangan itu. Namun, ketika dia leka membaca, terdengar bunyi hon yang kuat dari belakang. Husna tersentak dan segera berpaling.
Haji Ripin tersengih meleret ke arahnya setelah membuka penutup topi keledarnya. Terserlah giginya yang rumpang beberapa batang. Disebabkan hormat kepada orang tua, Husna memaniskan senyumannya.
“Kebetulan pulak ya jumpa Una kat sini. Una dari mana ni?” tegur Haji Ripin. Pucuk dicita ulam mendatang. Inilah peluang yang dia nanti-nantikan. Bolehlah dia cuba mengayat Husna lagi. Manalah tahu kali ini Husna tersangkut dengan dia. Dialah orang yang paling bahagia.
“Dari kedai Mak Piah,” balas Husna. Hisy! Macam mana pula dia boleh terserempak dengan Haji Ripin ni? Husna berasa kurang senang dengan pertemuan tersebut.
“Una nak balik ke? Marilah abang hantarkan.” Haji Ripin mengajak Husna menumpangnya.
Ha? Husna terlopong beberapa saat. Naik motosikal dengan Haji Ripin? Mahunya kecoh satu kampung nanti. Tidak inginlah dia terima pelawaan lelaki tua itu. Satu perkara lagi, kenapa pula Haji Ripin suka sangat membahasa dirinya sebagai abang? Gelilah pula dia mendengar.
“Tak apalah, Haji. Una balik jalan kaki aje. Lagipun dah dekat dah ni. Una balik dulu ya.” Husna tidak berlengah lagi.
Diatur laju langkah kakinya agar dia dapat menghindarkan dirinya daripada Haji Ripin. Entah kenapa dia berasa seperti ada yang tidak kena sahaja dengan Haji Ripin itu. Mustahil Haji Ripin berkenan dekat dia pula kut. Hisy! Tak sanggupnya. Minta dijauhkan daripada semua itu.
Haji Ripin enggan berputus asa. Dipulas minyak motosikalnya agar dapat menyaingi Husna semula. Kali ini dia bertindak memintas Husna dari hadapan.
Husna terkaku. Hatinya mula berdebar-debar dengan tindakan Haji Ripin. Dipandang ke sekeliling arah, mahu memastikan keadaannya. Memang tidak ada sesiapa di sekitar tempat itu. Sekiranya berlaku apa-apa terhadap dia, semuanya bergantung kepada dirinya sendiri sahaja.
“Janganlah jual mahal sangat, Una. Abang ikhlas ni nak tolong Una. Naiklah kat belakang motor abang ni. Nanti cepat sikit sampai ke rumah.” Haji Ripin masih juga tidak mahu berputus asa.
“Tak apalah, Haji. Nanti kalau orang lain tengok tak manis pulak.” Husna sedaya upaya cuba mengawal perasaannya.
“Kenapa pulak Una tak sudi? Hari tu, naik kereta dengan lelaki lain Una sudi aje. Ke sebab abang ni naik motor aje? Jadi, Una tak sudilah nak pandang abang. Begitu?”
Eh, apa hal pula Haji Ripin tiba-tiba sahaja membangkit perihal dia menumpang kereta Naim? Apa motifnya? Cemburu? Siapa Haji Ripin nak cemburu dengan dia? Dia bukannya saja-saja menumpang kereta Naim hari itu. Naim yang beria-ia mengajak. Lagipun, jarak dari bandar ke rumahnya jauh. Bukannya macam jarak dari rumah dia ke kedai Mak Piah.
“Kalau macam tu, lain kali kalau abang pergi ke mana-mana, abang akan bawa kereta Persona abang kat rumah tu. Kalau abang pelawa Una naik kereta abang, Una jangan tolak tau,” sambung Haji Ripin lagi. Awal-awal lagi dia sudah berpesan kepada Husna.
Dia bukannya tidak ada kereta. Namun, dia lebih senang pergi ke mana-mana dengan menunggang motosikal sahaja. Cepat sikit sampai ke destinasi. Lagipun, kalau setakat berlegar-legar di dalam kampung, lebih baik tunggang motosikal sahaja. Tetapi, kalau itu yang akan membuat Husna sudi menerima pelawaannya, dia akan menggunakan kereta pula selepas ini. Bagus juga kalau begitu. Nanti dapatlah dia duduk berdua-duaan di dalam kereta bersama gadis idaman. Haji Ripin mula berangan-angan jauh.  
“Una ada kerja kat rumah ni. Una minta diri dulu.” Husna tidak memberi jawapan di atas kata-kata Haji Ripin tadi. Sebaliknya, dia terus meninggalkan Haji Ripin keseorangan di tepi jalan itu.
Husna berlari-lari anak agar cepat sampai ke rumah. Dia tidak tahu apa niat Haji Ripin. Tetapi, melihat tingkah lakunya, dia dapat mengagak Haji Ripin berharap sesuatu daripadanya. Oh, katakanlah ia hanya sebuah mimpi ngeri.

“UNA, kenapa lari lintang-pukang macam kena kejar dengan hantu ni?” tegur Mak Milah sebaik sahaja kelibat anaknya itu berlari memecah masuk ke dalam rumah.
Sekarang waktu pagi. Mana ada hantu siang-siang hari begini. Mak Milah bercakap sendirian dalam hati.
“Ada lembu gila kejar Una kat tepi jalan tadi, mak,” jawab Husna setelah duduk di atas kusyen. Tudungnya ditanggalkan. Sementara nafasnya pula ditarik dalam-dalam sambil cuba memujuk diri agar bertenang. Peluh yang bertempek di dahi dikeringkan dengan belakang tapak tangannya.
Mak Milah mengerut dahi.
“Lembu gila? Lembu Haji Ripin ke?” soal Mak Milah.
“Ha’ah. Yalah kut.” Cepat sahaja Husna mengiakan.
Sengaja dia beri metafora kasar begitu. Haji Ripin memang ada bela banyak lembu pun. Tetapi, yang dia maksudkan bukanlah lembu Haji Ripin, tetapi Haji Ripin itu sendiri. Mana tidak gila kalau tiba-tiba sahaja menyakat dia di tepi jalan dan mengajaknya membonceng motosikal bersama. Eii… seriaunya. Mujur dia dapat selamatkan diri. Kalau tidak, tidak tahulah apa yang jadi.
“Una ni, buat mak risau ajelah. Lain kali, hati-hati sikit. Haji Ripin tu memang selalu biarkan lembu-lembu dia merata-rata tempat. Mujur tak kena sondol. Ni, mak nak pergi ke kebun sekejap. Hantarkan sarapan untuk ayah. Una duduk rumah baik-baik ya.”
“Yalah, mak.” Husna mengangguk sambil menyoroti kelibat ibunya yang berjalan menuju ke arah pintu.
Setelah ibunya turun, Husna cepat-cepat mengunci pintu. Bimbang sekiranya Haji Ripin muncul di depan rumahnya pula. Selepas itu, Husna duduk semula di atas kusyen. Surat khabar yang dibelinya tadi dicapai kembali dan dibelek ke ruangan iklan. Tekun matanya membaca iklan-iklan yang tersiar. Dalam banyak-banyak iklan, Husna tertarik dengan satu iklan jawatan kosong iaitu jawatan setiausaha di syarikat Mazlan Construction Sdn. Bhd. Kriteria-kriteria yang dikehendaki dibaca satu per satu.   
               
1) Memiliki pengalaman bekerja sekurang-kurangnya dua tahun. Graduan baru juga digalakkan memohon.
2) Mempunyai penampilan menarik.
3) Boleh bekerja di bawah tekanan.

Hah, lulus! Jadi, bolehlah dia minta kerja di situ. Pengalaman bekerja memang dia tidak ada. Tetapi, dia graduan baru. Penampilan dia? Hmm… boleh tahanlah. Menarik juga walaupun tidak pandai bergaya macam Rozita Che Wan. Asalkan sedap mata memandang, kira menariklah tu. Bekerja di bawah tekanan? Rasa-rasanya, telinga dia kebal lagi kut kalau kena bebel atau kena marah.
Kelayakan yang dia ada pun rasa-rasanya turut berkait juga sedikit sebanyak. Husna berkira-kira mahu mencuba nasib. Kemudian, dia teringat sesuatu. Nama syarikat itu diulang baca sekali lagi. Mazlan Construction Sdn. Bhd. Macam pernah dengar sahaja. Kalau tidak silapnya, syarikat itu tempat kerja si pembuli kucing!
Aduh, susahlah macam ni. Dia baru rasa bersemangat mahu memohon jawatan berkenaan. Alih-alih, syarikat itu tempat Naim bekerja pula. Sudahlah hari itu dia minta pulangkan semula resumenya. Sekarang mahu pergi minta kerja semula? Malulah dia nanti.
Husna mati kutu. Ah! Belum cuba belum tahu. Takkanlah dia mahu sekat keinginan dia semata-mata sebab Naim pula? Kalau ditakdirkan dia diterima bekerja dan duduk satu pejabat dengan Naim pun, buat-buat pejam mata sudahlah. Yang penting sekarang, dia kena dapatkan kerja untuk teruskan kelangsungan hidupnya.
Telefon rumah yang terletak di atas meja kecil berdekatan dengan televisyen segera didekati. Gagang dicapai dan nombor telefon syarikat Mazlan Construction Sdn. Bhd. didail perlahan-lahan bersama debaran yang kuat.
“Mazlan Construction Sdn. Bhd. Selamat pagi. Suri di sini. Boleh saya bantu?” Suara Suri menyapa lembut pendengaran Husna sebaik panggilan berjawab.
“Selamat pagi. Err… saya nak tanya pasal kekosongan jawatan yang syarikat cik iklankan dalam surat khabar tu. Macam mana ya kalau saya nak memohon?” soal Husna. Disebabkan intonasi suara staf tersebut lembut, sedikit sebanyak Husna berjaya menghapus rasa takutnya.
“Cik boleh datang temu duga ke syarikat kami dan bawa resume cik sekali,” jawab Suri.
“Bila saya boleh datang temu duga?”
“Cik boleh datang bila-bila masa sahaja pada waktu pejabat. Pejabat kami beroperasi dari pukul 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.”
“Kalau macam tu, sekejap lagi saya datang ke sana. Terima kasih ya,” ucap Husna penuh gembira. Dia senyum sendirian. Mungkin ini peluang yang bagus untuk dia rebut. Dia kena bertindak cepat. Apa-apa hal pun dia harus pergi menggosok baju dahulu. Penampilan itu penting.
Husna bergegas masuk ke dalam bilik menyiapkan diri.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment