06 July 2015

Meow! Kau Curi Hatiku 11

TANGAN Naim baru sahaja mahu memulas tombol pintu bilik apabila kelibat Dato’ Mazlan muncul di belakangnya sambil bercekak pinggang. Naim telan air liur. Dalam rasa debar yang menggetar, Naim sempat mengukir senyum, ingin menutup perasaan takutnya.
“Ikut papa masuk ke bilik sekejap,” arah Dato’ Mazlan tanpa berdiri lama di situ.
Naim menarik nafas dalam-dalam sebelum mengekori Dato’ Mazlan dari belakang. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar dia tidak kena hentam sampai terduduk.
“Im ke mana tadi?” tanya Dato’ Mazlan sebaik sahaja Naim duduk di hadapannya. Wajah Naim dipandang tidak berkelip. Sebelum dia mahu melepaskan kemarahannya, dia mahu mendengar alasan Naim terlebih dahulu.
“Im pergi klinik, papa. Ada kawan Im sakit dan minta tolong Im hantarkan dia pergi ke sana.” Naim berbohong. Janganlah papa dia tanya kawan mana sebab kawan yang dimaksudkan olehnya itu adalah kucing dan bukannya manusia.
“Siapa?” Dato’ Mazlan mengangkat kening.
Siapa? Tangan Naim spontan menggaru belakang kepala. Masin mulut dia tadi, betul-betul soalan itu ditanya. Perlukah dia beritahu?
“Bella,” jawabnya yakin. Ah! Terpaksa berbohong lagi. Lantaklah. Paling kurang, kalau sebut nama bakal menantu sendiri tidaklah kemarahan papanya memuncak sangat nanti.
Dato’ Mazlan bergumam perlahan. Disimpan semula kemarahannya sebaik sahaja nama Bella terpacul keluar dari mulut Naim.
“Bella sakit? Sakit apa?” tanyanya.
“Demam. Tapi, lepas balik dari klinik tadi, dia dah macam okey sikit.” Naim terus menokok tambah cerita.
“Lain kali kalau ada hal apa-apa, pastikan telefon tu sentiasa berada dalam tangan. Jangan biarkan orang lain tertanya-tanya ke mana Im pergi.” Dato’ Mazlan menegur. Perkara begitu kadang-kadang sentiasa dipandang remeh oleh Naim.
“Im minta maaf, papa. Im kalut sangat tadi,” jawab Naim sambil menarik nafas lega. Selamat. Mujurlah menjadi taktik yang digunakannya.
“Papa baru balik dari Rekabina Architect tadi. Ini pelan projek pembinaan shopping mall yang dia orang dah betulkan kesilapan reka bentuk. Im tengoklah.” Segulung pelan dihulurkan oleh Dato’ Mazlan kepada Naim.
Naim menyambut dan meneliti pelan tersebut. Setelah itu dia menggulungnya semula.
“Nanti Im tengok semula pelan ni. Ada apa-apa lagi ke, papa?” soal Naim yang sudah berkira-kira hendak bangun dari kerusi. Namun, hasratnya itu terbantut apabila tangan Dato’ Mazlan mengisyaratkannya supaya terus duduk.
“Im dengan Bella tak ada apa-apa perancangan lagi ke?” Dato’ Mazlan menukar topik sisi peribadi Naim pula. Apa salahnya mengambil tahu perihal anak sendiri? Di rumah pun kadang-kadang sahaja mereka boleh berbual-bual begini. Naim bukannya tinggal bersama dia.
“Maksud papa?” Naim bertanya teragak-agak.
“Yalah, Im dengan Bella kan dah lama berkawan. Tak ada ke perancangan nak bertunang atau berkahwin?” Dato’ Mazlan menjelaskan maksud pertanyaannya tadi.
“Oh… Setakat ni, kami belum bincang apa-apa lagi pasal hal tu, papa. Bella tu asyik sibuk dengan kerja aje,” balas Naim. Cuak juga dia apabila papanya bertanya tentang hal tersebut.
“Kerja tu kerja jugak. Tapi, sampai bila asyik nak hadap kerja aje tanpa fikir tentang hal lain? Lagipun, tak elok kalau berkawan lama-lama sangat.”
Naim tersengih. Memang ada benarnya cakap papanya itu. Hubungan dia dan Bella sudah berlangsung selama hampir tiga tahun. Sepatutnya dalam jangka masa tersebut sudah banyak perkara yang boleh direncana. Yang sebetulnya, bukannya dia tidak ada niat mahu memperisterikan Bella, tetapi Bella yang belum bersedia. Kalau diikutkan, sudah beberapa kali dia melamar. Namun, kalau orang yang dilamar tidak bersedia, takkanlah dia mahu memaksa pula.
“Papa dah tak sabar nak timang cucu ke?” Naim mengusik Dato’ Mazlan.
Dato’ Mazlan tergelak.
“Papa ni dah tua, Im. Takkanlah Im nak tunggu papa pergi dulu baru Im nak beri papa cucu?” seloroh Dato’ Mazlan. Tetapi, pantas ditegur oleh Naim.
“Hisy, tak baik papa cakap macam tu. Bukannya Im tak nak kahwin. Tapi, papa faham-faham ajelah dengan bakal menantu papa tu. Dia tu jenis gila kerja sikit,” jelas Naim. Bukan setakat gila kerja. Gila kucing pun ya juga.
“Gila kerja macam mana sekalipun, ke dapur jugak dia nanti. Im pesanlah dekat dia, janganlah kerja kuat sangat.” Dato’ Mazlan sempat menitipkan pesanan.
Naim hanya tersengih. Kalau Bella masuk ke dapur pun, bukannya dia tahu memasak apa-apa. Masak nasi pun lembik macam bubur, macam mana? Bella memang tidak ada bakat memasak. Namun, tak tahulah pula kenapa hatinya berkenan dengan Bella. Mungkin sebab Bella cantik kut. Pandai jaga penampilan. Bukankah lelaki suka melihat perempuan yang cantik-cantik? Samalah macam dia juga.
“Yalah, papa. Nanti Im bincang semula dengan dia pasal hal ni. Kalau tak ada apa-apa, Im masuk bilik dulu.” Naim bingkas bangun dan beredar dari situ.
Dato’ Mazlan hanya memerhati. Itulah satu-satunya waris Mazlan Construction  Sdn. Bhd. Dia memang sudah berhajat mahu menyerahkan syarikatnya kepada Naim setelah Naim mendirikan rumah tangga nanti. Paling kurang, dapatlah dia berehat dengan tenang. Naim memang ada ciri-ciri menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya seperti dia. Cuma, kadang-kadang Naim masih perlu dibimbing. Tetapi, itu bukanlah satu masalah yang besar sebab Naim juga seorang yang cepat belajar orangnya.

PELAN bersaiz AO itu diletakkan di atas meja tanpa ada perasaan ingin sentuh. Tidak ada keinginan mahu membuat sebarang kerja. Naim menghenyak punggungnya di atas kerusi sambil bersandar malas. Satu keluhan berat dilepaskan panjang. Tali leher yang terikat ketat di lehernya dilonggarkan. Terasa penat sungguh hari ini.
Semuanya gara-gara kucing Bella. Tetapi, seperti biasa, Husna telah melegakan hati dia. Hai, pelik betul. Apabila dia ada masalah pasal kucing sahaja, pasti gadis itu akan muncul menyelamatkan keadaan. Macam berjodoh pula. Orangnya pun boleh tahan juga. Ada lesung pipit lagi pada kedua-dua belah pipinya. Eh, kenapa pula aku puji Husna lebih-lebih sangat ni? Takkanlah hati aku dah berkenan kut. Gila! Bella nak campak ke mana?
Naim cepat-cepat menghilangkan bayangan Husna daripada ingatannya. Setelah itu fikirannya dilontarkan semula kepada Bella. Marah lagikah Bella dengan dia? Pasal kucing pun nak merajuk beria-ia dengannya. Naim sempat mengomel sikap Bella. Kemudian dikeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar dan nombor Bella didail pantas. Hanya sekali deringan sahaja panggilannya terus berjawab.   
“Sayangku Bella, marahkan I lagi ke?” tanya Naim lembut. Sengaja dia menyebut perkataan sayangku bagi mencairkan hati Bella. Kalau kasar-kasar, takut semakin merajuk pula nanti. Lagi jenuh dia hendak memujuk.
Bella diam.
Naim mengeluh. Dia dapat mengagak Bella masih berjauh hati dengannya.
“Janganlah macam ni, sayang. I minta maaf, okey. Pasal kucing you tu…” Belum sempat Naim menghabiskan kata-katanya, Bella terlebih dahulu memintas.
“Kalau you telefon I sebab nak beritahu you tak dapat jaga dia orang, lebih baik you tak payah telefon. I tak nak dengar semua tu!”
“Eh, I belum habis cakap lagi you dah menyampuk. Dengarlah dulu apa yang I nak cakap ni,” kata Naim. Bella kalau sedang merajuk atau marah, bercakap suka mengikut emosi. Itu yang lecehnya.
“I dah tahu jawapan you,” balas Bella laju.
“Sayang, dengar dulu apa yang I nak cakap ni.” Naim memujuk lembut.
“You nak cakap apa lagi?” Bella meninggi suara.
“I akan jaga Anchu dan Chicky.”
“Betul ke ni, sayang?” Suara Bella terus berubah nada. Kalau tadi macam orang yang hendak naik angin, tetapi kali ini tidak lagi. Intonasinya sudah bertukar ceria sekali. Seperti baru lepas mendapat bonus setahun gaji.
Naim mengeluh halus. Memang dia sudah menjangkakan reaksi Bella itu. Bukannya dia tidak biasa dengan sikap sebelum ini. Hih, berlakon sahaja lebih Bella ni. Sengaja hendak suruh dia mengalah.
“Betullah. I kan sayang you,” balas Naim lagi. Cuba untuk menyedapkan lagi ayatnya. Sebab sayang punya pasallah dia buat keputusan gila itu walaupun dia tidak tahu bagaimana mahu selesaikan masalah tersebut.
Ah, yang penting rajuk Bella itu dapat dipujuk terlebih dahulu. Lain-lain masalah, dia boleh fikirkan kemudian. Dia cuma tidak mahu Bella merajuk lama-lama dengannya. Lagipun dia memang tahu sangat, macam mana keadaan sekalipun, Bella tidak akan terhegeh-hegeh mencari dia. Bella merajuk dia yang pujuk. Dia merajuk, dia sendirilah yang memujuk!
“Terima kasih, sayang. I tahu, you memang sayangkan I. I love you. Muah!” Bella terus memutuskan panggilan.
Naim menghembus nafas sambil meraup muka. Lega sejenak setelah berjaya memujuk Bella. Satu masalah sudah selesai. Tetapi, ada masalah lain pula yang timbul. Bagaimana dia hendak selesaikan masalah hal kucing Bella? Kepalanya mula berdenyut-denyut.

NAIM bangun menuju ke arah sebuah meja kecil yang menempatkan water filter di atasnya. Anak tekaknya terasa haus. Gelas ditadahkan di bawah muncung water filter tersebut dan ditolak picunya ke belakang. Laju air keluar melaluinya. Kemudian diteguk air putih itu perlahan-lahan.
Sambil itu otak Naim ligat berfikir tentang masalah yang dihadapinya. Nak jaga kucing bukanlah satu kerja yang senang bagi orang yang anti kucing seperti dia. Nak pegang kucing pun takut, inikan pula nak jaga? Mati kataklah jawabnya kucing-kucing Bella itu nanti.
Sudahlah Anchu dan Chicky itu cerewet penjagaannya. Nak kena beri makan mesti tepat pada waktunya. Kemudian, masuk bab mandi pula nak kena gosok gigi dan pakai syampu yang wangi-wangi. Itu belum lagi masuk bab tidur. Kalau tidur, mesti nak kena dodoi dan dipakaikan selimut. Cerewet dia pun, tidaklah seteruk mereka. Itu mengada-ada namanya. Terlebih didikan manja. Begitulah jadinya.
Tiba-tiba Naim teringat sesuatu. Pasti cara itu dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Naim cepat-cepat kembali ke mejanya semula.

WANI pantas mengangkat gagang telefon sebaik sahaja bunyi interkom telefon berbunyi kuat.
“Ya, Encik Naim. Nak suruh saya buat kopi ke?” tanya Wani.
Biasanya, petang-petang begini Naim memang selalu menyuruh dia menyediakan minum petang bagi menyegarkan matanya yang layu. Maklumlah, waktu-waktu begini merupakan waktu yang kritikal. Kalau mulut tidak menelan makanan atau meneguk minuman, silap hari bulan boleh tertidur di atas meja sampai habis waktu bekerja.
“Buat iklan jawatan kosong?” Wani mengulangi semula arahan ketuanya yang baru didengar tadi.
Kenapa pula tiba-tiba sahaja mahu buat iklan jawatan kosong? Jabatan mana yang ada kekosongan? Setahu dia, semua tempat di dalam syarikat Mazlan Construction Sdn. Bhd. sudah dipenuhi.
“Baiklah, Encik Naim. Nanti saya buat advertisement. Jawatan apa yang Encik Naim nak suruh saya iklankan?” tanya Wani lagi. Kemudian, matanya membuntang.
“Setiausaha? Baiklah. Nanti saya uruskan semua tu.” Wani meletak semula gagang telefon ke kedudukan asal. Termenung dia sejenak.
Bukankah jawatan itu jawatan yang dia sandang sekarang? Sejak dia mula bertugas di Mazlan Construction Sdn. Bhd., dialah satu-satunya setiausaha di syarikat kontraktor itu. Adakah Naim tidak berpuas hati dengan prestasi kerjanya? Bertalu-talu andaian hadir dalam kotak fikiran Wani.

Reeani Annur 2015

No comments:

Post a Comment