21 July 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 9

BARU sahaja Husna mahu mendaki anak tangga untuk naik ke atas rumah, terdengar pula deruman enjin motosikal masuk ke halaman rumah. Husna segera berpaling. Seorang lelaki tua berbadan sedikit gempal menghulurkan salam selepas mematikan enjin motosikalnya. Salamnya segera disambut.

“Haji Ripin datang cari ayah ke? Ayah ada kat kebun,” beritahu Husna tanpa dipinta. Dia memang sedia maklum dengan tujuan kedatangan Haji Ripin setiap kali menjejakkan kaki ke rumahnya. Mahu cari siapa lagi kalau bukan ayahnya. Haji Ripin dengan ayahnya sememangnya bersahabat baik sejak dari dahulu. Dia pun sudah anggap Haji Ripin seperti ayahnya sendiri.
           
“Taklah, abang datang nak jumpa dengan Husnalah,” jawab Haji Ripin sambil membuka topi keledar. Kemudian, rambutnya disisir rapi melalui cermin sisi motosikal EX5 miliknya.
           
Abang? Air liur Husna terasa tersekat di anak tekak. Abang apanya kalau sudah tua macam tu? Pak ciklah! Husna mengutuk di dalam hati. Kalau umur muda dalam lingkungan 30-an, bolehlah Haji Ripin hendak membahasakan dirinya ‘abang’. Ini, sudah sama baya ayah dia. Buang tabiat agaknya orang tua ni.
           
“Ke… kenapa haji nak jumpa saya?” tanya Husna dalam rasa cuak yang menggila. Ada debar yang berkampung di dalam hati.
           
“Saja nak bertanya khabar. Dah lama abang tak nampak Husna. Dulu, selalu jugak jumpa kat kedai Mak Piah. Sekarang ni, nak temu bayang pun susah. Husna sihat?” soal Haji Ripin sambil meratah wajah Husna penuh minat. Cantik sungguh gadis di hadapan matanya itu. Hati dia rasa berkenan.
           
“Husna sihat. Err… tak apalah, Haji. Husna nak naik atas dulu. Belum solat zuhur lagi ni. Kalau haji nak jumpa ayah, pergilah ke kebun belakang sana.” Husna menjuihkan mulutnya ke belakang rumah.
           
Haji Ripin hanya mengintai-intai. Ah, dia datang ke sini bukan sebab mahu berjumpa dengan Pak Hashim, tetapi sebab mahu berjumpa dengan gadis idamannya. Mahu lepas rindulah katakan. Matanya terus galak mencumbui Husna.
           
Husna sudah mula berasa semacam apabila melihat cara Haji Ripin memandangnya. Apa hal pula orang tua ni? Tiba-tiba sahaja bersikap lain macam.
           
“Husna, tadi abang nampak ada kereta keluar dari kawasan rumah ni. Kereta siapa tu?” Haji Ripin cuba mendapat kepastian. Hatinya tertanya-tanya siapakah pemilik kereta yang memandu kereta Honda Sport berwarna putih tadi.
           
“Oh… itu kawan Husna. Dia tolong hantarkan Husna balik,” jawab Husna. Dia sudah dapat menebak gerangan orang yang dimaksudkan oleh Haji Ripin. Siapa lagi kalau bukan si pembuli kucing itu, Naim Naqiuddin.
           
“Iya ke? Kawan ke kekasih?” Haji Ripin cuba serkap jarang. Ada rasa cemburu bertamu di hatinya.
           
“Kawan biasa je. Haji, Husna naik atas dululah ya.”
           
Husna terus menaiki tangga. Tidak mahulah dia berlama-lama lagi di situ melayan Haji Ripin. Macam ada yang tidak kena sahaja.
           
“Husna, tunggu!” jerit Haji Ripin sekaligus mematikan langkah Husna.
           
Husna menoleh ke belakang semula. Dia sudah mula berasa kurang senang. Haji Ripin seolah-olah cuba melengah-lengahkan kepergian dia.
           
“Ada apa lagi, haji?” Sedaya upaya dia cuba memaniskan senyumannya walaupun di dalam hati, dia sudah mula berasa jengkel dengan sikap Haji Ripin.
           
“Nanti dah solat, Husna turunlah semula ke bawah ya. Boleh kita sembang-sembang kat bawah pokok tu.” Mulut Haji Ripin dimuncungkan ke arah sebuah pangkin kayu yang terletak di bawah pokok rambutan rendang di hadapan rumah kayu tersebut.
           
Ha? Husna terlopong. Sah! Haji Ripin sewel. Apa hal pula nak duduk berbual di bawah pokok?
           
“Err… tak bolehlah, haji. Husna ada banyak kerja yang nak kena buat. Tak apalah, haji. Husna masuk dalam dulu ya. Assalamualaikum.”
           
Husna melajukan langkahnya tanpa berpaling lagi. Yang dia tahu, dia hanya ingin cepat-cepat masuk ke dalam rumah dan lari daripada Haji Ripin. Di dalam hatinya tertanya-tanya mengapa Haji Ripin bersikap seperti lelaki miang. Selama ini mana pernah Haji Ripin bersikap begitu.
           
Haji Ripin mengeluh mengenangkan usahanya mahu bersembang dengan Husna tidak kesampaian. Dia termangu sejenak di atas motosikal. Adakah cara dia hendak memikat itu sudah lapuk ditelan zaman? Kalau tidak, takkanlah Husna bersikap acuh tidak acuh sahaja dengannya.
           
Tetapi kalau hendak dibandingkan dengan cara dia memikat bekas-bekas isterinya dahulu, sama sahaja caranya. Atau mungkinkah Husna lebih sukakan gaya bahasa berbunga-bunga? Haji Ripin mengurut-urut misainya yang sudah dikerumuni oleh uban putih sambil fikirannya ligat memikirkan sesuatu. 

*****

KETIKA Haji Ripin mahu menghidupkan enjin motosikal, terdengar pula satu sapaan dari belakang. Segera dia berpaling. Hasratnya mahu beredar dibatalkan sejenak.
           
“Hashim. Ada kau rupanya. Aku ingatkan kau tak ada tadi.” Haji Ripin berbasa-basi. Padahal, dari tadi lagi dia sudah tahu Pak Hashim tidak ada di rumah. Huluran salam daripada Pak Hashim disambut kemas.
           
“Ada. Aku kat belakang tadi. Bersihkan kebun sikit. Haji ni dari mana? Kacak semacam aje,” puji Pak Hashim sambil memandang Haji Ripin atas bawah. Mana tidak kacaknya, hujung baju t-shirt berkolarnya siap dimasukkan ke dalam seluar slek lagi. Rambut pula dibelah tepi. Di kakinya pula tersarung kasut kulit. Orang muda pun boleh kalah.
           
“Kalau datang jumpa buah hati, kenalah pakai kemas-kemas, Hashim. Nanti barulah orang sudi nak pandang.” Haji Ripin berkias sambil menyulam ketawa.
           
Pak Hashim ikut ketawa sama.
           
“Ya tak ya jugak tu. Dari mata turun ke hati. Tak gitu, haji?” seloroh Pak Hashim. Dia faham maksud Haji Ripin itu. Jadi, dia buat kesimpulan bahawa Haji Ripin bukannya datang sebab mahu berjumpa dengannya semata-mata, tetapi mahu berjumpa dengan Husna juga.
           
“Eh, jemputlah naik ke atas rumah dulu. Nanti boleh sembang-sembang sambil minum kopi kat serambi,” pelawa Pak Hashim kemudiannya.
           
“Tak apalah, Hashim. Aku tak boleh berlama-lama kat sini. Nak pergi kutip hutang rumah sewa sekejap. Lain kali sajalah ya.”
           
“Iya ke? Kalau macam tu tak apalah. Senang-senang haji datanglah lagi. Nanti boleh tengok pujaan hati haji,” usik Pak Hashim lagi.
           
Haji Ripin tergelak. Dia mengangguk perlahan. Memang dia memasang hajat mahu datang semula ke rumah Pak Hashim untuk mengambil peluang mendekati Husna. Selagi dia tidak dapat memiliki Husna, selagi itulah dia akan berusaha. Sementelah, Pak Hashim juga seperti sudah merestui niatnya. Ini peluang yang dia tidak patut lepaskan.
           
“InsyaAllah, Hashim. Aku minta diri dulu ya. Assalamualaikum,” ucap Haji Ripin sebelum beredar dari situ.
           
“Ada apa orang tua gatal tu datang ke rumah kita ni, bang?” tanya Mak Milah pula setelah bayang Haji Ripin lenyap. Sejak dari tadi lagi dia memerhatikan Haji Ripin dan suaminya bersembang tetapi dia malas mahu datang dekat.
           
“Datang tengok bakal isteri dialah agaknya,” jawab Pak Hashim sambil menyeka peluh di dahinya menggunakan tuala lusuh yang tersangkut di bahu.
           
Wajah Mak Milah berkerut. Dia berasa tidak sedap hati mendengar jawapan Pak Hashim.
           
“Siapa bakal isteri dia? Saya takkan izinkan dia peristerikan Husna. Kalau dia nakkan Husna tu, hadapi saya dulu!” tegas Mak Milah lantang. Rasa benci dan meluat terhadap Haji Ripin semakin tidak tertahan lagi.
           
Pak Hashim menjeling Mak Milah.
           
“Yang awak nak bantah sangat ni, kenapa? Anak awak tu bukannya laku sangat pun. Dah ada orang yang nakkan dia, itu dah kira bersyukur tau.”
           
“Saya lebih rela anak saya tu tak berkahwin daripada tengok dia kahwin dengan lelaki miang macam Haji Ripin tu!”
           
Mak Milah tergopoh-gapah mendaki anak tangga rumah. Bunyi hentakkan yang kuat di setiap langkahnya menggambarkan betapa dia benar-benar marah dengan hasrat suaminya.

*****

“NAH, kucing you. Lepas ni, cukup-cukuplah suruh I uruskan fasal kucing you tu. I dah tak laratlah nak layan kerenah kucing you ni.”
           
Naim menghulurkan bakul berwarna biru kepada Bella yang berdiri di muka pintu apartmentnya. Sengaja dia memilih untuk berdiri di luar pintu sahaja kerana tidak mahu melengah-lengahkan masa.
           
Bella segera menyambut dan membuka bakul tersebut. Kemudian, dikeluarkan Chicky dan didukung erat. Tidak ubah seperti orang yang sedang mendukung bayi.
           
“Doktor cakap apa fasal Chicky?” soal Bella sambil mencium pipi Chicky berkali-kali.
           
Naim yang melihat keadaan itu hanya menggeleng. Apa lagi yang dia hendak kata. Kalau dia, baik cium bunga daripada cium kucing.
           
“Demam biasa je. Doktor dah suntik dia tadi. Okeylah, I nak kena balik ke pejabat dulu. Dah lewat ni. Nanti papa I mengamuk pulak.” Naim tidak berlengah lagi. Lagi lama dia berasa di situ, lagi cerahlah harapan dia kena bebel.
           
“Eh, sayang! Nantilah dulu. I ada sesuatu nak cakap dengan you ni.” Bella berteriak memanggil Naim.
           
Langkah Naim kembali mati. Dia menoleh semula ke belakang. Apa lagilah si Bella ni nak? Nak suruh dia basuh bakul Chikcy ke? Kalau itulah permintaan Bella, dia memang sudah berkira-kira mahu lari pecut 100 meter.
           
“Apa dia? Kalau cakap lain kali tak boleh ke? I betul-betul dah lambat ni.”
           
“Tak boleh. Ini hal penting. I kena beritahu you sekarang jugak.”
           
“Ha, cakaplah cepat. Apa dia?” gesa Naim setelah mendekati Bella kembali. Sambil-sambil itu, matanya tidak henti-henti melirik jam di tangan. Bukan jarum jam yang dia nampak tetapi muka papanya yang sedang menyinga.
           
“Minggu depan I kena pergi ke Australia,” nyata Bella mengenai berita yang baru sahaja diterima daripada bosnya sebentar tadi.
           
“Berapa lama?”
           
“Tiga bulan.”
           
Mata Naim terbeliak. Tiga bulan? Lamanya!
           
“Kenapa lama sangat? You nak buat apa pergi ke sana lama-lama?” soal Naim. Sebelum ini memanglah Bella selalu pergi ke luar negara, tetapi tidaklah selama itu. Sebab itu bila Bella beritahu mahu pergi selama tiga bulan dia berasa terkejut.
           
“Syarikat tempat I kerja tu ada buka cawangan baru kat sana. Jadi, bos I suruh I pergi untuk tengok keadaan. Ada beberapa hal yang nak kena diselesaikan jugak,” terang Bella lagi. Hatinya berasa sedih kerana tiga bulan itu bukanlah satu jangka masa yang singkat. Teruklah dia menanggung rindu terhadap Naim dan kucing-kucingnya. Kalau tiga hari dia masih boleh pejam mata lagi. Tidak tahulah pula mengapa dia yang dipilih oleh bosnya untuk menggalas tugas itu. 
           
Naim bergumam. Dia tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.
           
“Kalau macam tu, tak apalah. Nak buat macam mana lagi.”
           
“Tapi… you kena tolong I satu perkara.”
           
“Kalau you nak suruh I tengok-tengokkan apartment you ni, you jangan risaulah. I boleh jagakan untuk you. Bukannya I tak biasa jaga sebelum ni.”
           
Bella menggeleng laju.
           
“Yang itu memanglah. Tapi yang paling utama Anchu dan Chicky. I nak suruh you tolong jagakan dia orang sepanjang I tak ada kat sini.”
           
Hah? Di saat itu juga Naim ternampak pancaran kilat di depan matanya. Lututnya serta merta menjadi longlai. Sekali lagi? Ah, sudah!
           
“Kalau you nak minta tolong I jagakan apartment you ni, I boleh tolong. Tapi kalau you nak suruh I tolong jagakan kucing-kucing you tu, I memang tak dapat tolong.”
           
Apa Bella ni nak suruh dia jaga kucing pula. Dia bukannya tukang jaga kucing. Eii, tolonglah! Baru sebentar tadi dia cakap dekat Bella supaya berhenti suruh dia uruskan fasal hal kucingnya. Alih-alih sekarang, terkena lagi. Naim menggerutu di dalam hati.

           
“Habis tu, kalau bukan you yang boleh tolong I, siapa lagi? Hanya you sorang je harapan I sekarang. I tak boleh nak bawa dia orang ke sana,” kata Bella. Dia cuba membuat muka yang paling sedih untuk memancing persetujuan Naim. Harap-harap Naim akan bersimpati.
           
“You dah tahu I ni tak suka kucing dan takutkan kucing, tapi you masih nak suruh I jugak buat semua tu? I gelilah, Bella. You suruh ajelah orang lain yang jaga.”
           
Naim tetap bertegas dengan keputusannya. Hih, tak habis-habis dia terperangkap dengan masalah kucing. Kenapalah dia sahaja yang selalu terpilih. Takkanlah suratan takdir pula kut.
           
“Siapa yang you maksudkan?”
           
“Best friend youlah, Awin. You suruh ajelah dia yang jaga. Dia tu pun hantu kucing macam you jugak. Lebih baik you suruh dia je yang jaga,” cadang Naim. Serta-merta muka Awin terbayang dalam kotak fikirannya. Awin dengan Bella memang tidak ada bezanya. Kedua-duanya peminat kucing yang tegar.
           
“I dah tanya Awin. Tapi dia tak dapat jaga Anchu dan Chicky untuk I. Dia pun nak kena pergi travel jugak. Sayang, hanya tinggal you sorang je harapan I sekarang. Please, sayang….”
           
Suara Bella memujuk manja. Dia masih tidak berputus asa mahu menyuruh Naim bersetuju dengan permintaannya. Setakat jaga kucing apalah yang susah sangat. Kucing dia merupakan kucing yang paling baik dan mendengar kata.
           
Naim menggeleng. Ah, kali ini jangan harap dia akan tunduk dengan permintaan Bella yang mengarut itu. Sama ada Bella nak memujuk dia guna suara manja ke, suara menggoda ke, atau suara kucing sekalipun, dia tetap dengan keputusannya. Dia tidak mahu jaga kucing Bella!
           
“Sorry, sayang. I tak dapat tolong you.”
           
“You ni, tak kesiankan I ke? Sampai hati you buat I macam ni. You cakap you sayangkan I dan sanggup buat apa saja untuk I. Tapi bila I minta tolong, you tak sudi pulak nak tolong I. Sayang apa macam tu?” Bella menarik muncung panjang. Terguris perasaannya apabila Naim menolak permintaannya. Entah-entah, sayang itu hanya ungkapan di bibir semata-mata.
           
“I boleh tolong apa saja yang you minta. Tapi kalau fasal kucing, awal-awal lagi I minta maaf. Tak cukup lagi ke selama ni kucing-kucing you tu menyusahkan I? You sendiri tahu kan yang I ni tak suka kucing. Kenapa you beria-ia sangat nak suruh I jaga dia orang?”
           
“Kalau I ada pilihan lain, takkanlah I minta tolong dengan you pulak. Eii, sudahlah kalau tak mahu tolong pun. Lepas ni, jangan cari I lagi!” Bella terus masuk ke dalam rumah dan menghempas pintu kuat.
           
“Bella!”
           
Naim mengetuk pintu beberapa kali, namun panggilannya tidak bersahut. Merajuklah tu. Hih, susah betullah ada kekasih mengada-ada macam ni. Naim sempat mengeluh di dalam hati. Tangannya tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
           
Setelah usahanya memujuk Bella tidak berhasil, Naim berlalu pergi meninggalkan apartment itu. Satu masalah besar menimpa dia lagi.

© Noraini Mohamad 2012

5 comments:

  1. Best...
    Apa susah,upah jelah Husna untuk belakan kucing Bella...#^_^

    ReplyDelete
  2. haishh.. seriaunyaa nak kene kawin ngan orang tua nuh... abang kunun.. aisyyyy.. hahaha

    wahwahwah... memang husna lah jadi tuan kucing yang baru.. ihiks.

    ReplyDelete
  3. Abanglah sangat kan. Hik hik! Nanti kita tengok macam mana ya.. Tq Atiza & yadz. :)

    ReplyDelete
  4. ada konflik skit barulah ada thrill ye tak? kesian kat husna & naim.

    ReplyDelete
  5. Hehe... betul tu. Tapi cerita ni konfliknya taklah berat sangat.:)

    ReplyDelete