BELLA terus berusaha menghubungi Naim tanpa henti. Namun, setiap kali panggilan berdering, setiap kali itulah dia berasa hampa. Dia berasa geram. Sudah hampir dua jam Naim pergi tetapi masih belum pulang lagi. Dia bukan risau keadaan Naim, tetapi dia lebih risaukan keadaan kucingnya, Chicky.
Bella terus mundar-mandir di depan televisyen sambil menekapkan telefonnya di telinga. Hatinya berdoa agar panggilan yang dibuatnya pada kali ini akan dijawab oleh Naim. Namun, jawapannya tetap juga sama seperti tadi. Akhirnya, telefon kesayangannya itu dicampakkan ke atas sofa.
“Eii! Mana dia pergi ni? Kenapa tak jawab call? Argh… bencinya!”
Bella mencekak rambutnya yang melepasi paras bahu sambil mengetap gigi. Geram. Takkannlah pergi jumpa doktor sampai ambil masa hampir dua jam? Setahu dia, kalau sakit yang tidak terlalu teruk seperti demam, tempoh rawatannya hanya mengambil masa sekitar sepuluh atau lima belas minit sahaja.
Naim ni pergi klinik haiwan ke klinik sakit puan? Hatinya semakin gundah memikirkan tentang Chicky. Harap-harap tidak ada kejadian buruk yang menimpa Chicky. Bella tidak henti-henti berdoa dalam hati.
*****
“KAU tinggal berapa orang kat rumah ni? tanya Naim ketika mendaki anak tangga dapur rumah Husna untuk naik ke atas rumah. Penuh berhati-hati dia melangkah.
Husna pula membuntuti dari belakang.
“Dengan mak dan ayah saya,” jawab Husna ringkas. Sejak abang dan kakaknya berhijrah ke bandar, hanya dia seorang sahaja yang menjadi peneman ibu dan ayahnya di rumah ini. Abang Taufik dan Kak Lela hanya sekali sekala pulang ke kampung.
Naim bergumam.
“Mak dan ayah kau mana? Aku tak nampak pun dia orang dari tadi.”
Mata Naim melilau-lilau mencari orang tua Husna. Nasi sudah jatuh ke perut, tetapi tuan rumah belum berjumpa lagi. Tidak patut betul.
“Mungkin dia orang dah pergi ke kebun kut. Keluarga saya ada usahakan kebun sayur. Biasanya, dia orang selalu habiskan masa dekat sana,” jelas Husna tanpa disuruh. Dia memang sedia maklum, jika rumahnya sunyi sepi begini, ke mana lagi ibu dan ayahnya pergi melainkan ke kebun sayur yang terletak di belakang rumahnya. Kebanyakan masa mereka banyak dihabiskan di situ sahaja.
“Iya ke? Habis, kalau dia orang pergi ke kebun, kau pulak buat apa kat rumah? Jaga kucing kau?” perli Naim sambil mengerising. Disusuli pula selepas itu gelak tawa kecil.
Husna berdengus halus. Mahu sahaja dia bidas kata-kata Naim itu. Namun, belum sempat dia membuka mulut, terdengar pula Naim melatah kuat.
“Oh, kucing kau merempit!”
Naim terkejut melihat dua ekor kucing yang masuk ke dalam rumah secara tiba-tiba sambil berlari-lari berkejaran sebaik sahaj dia sampai di muka pintu. Tangannya mengurut dada perlahan. Hih, kucing ni… nak bagi dia mati terkejut ke? Gerutunya geram.
Ketawa Husna terhambur. Lelaki melatah? Lucunya!
“Yang kau sakan sangat duk gelakkan aku ni, kenapa? Apa yang lucu sangat?” tanya Naim sambil menjeling Husna. Bengang sungguh dia apabila diketawakan sedemikian. Tak guna punya kucing, buat malu dia sahaja.
Husna hanya menggeleng. Dia menghilangkan ketawa dari bibir walaupun di dalam hatinya masih tidak henti-henti mentertawakan Naim.
“Lain kali, kucing kau tu patut letak tali dekat leher dia. Lepas tu, tambat dekat bawah pokok. Barulah tak menyusahkan orang.”
Rasa bengang Naim terhadap kucing Husna masih juga belum reda. Diintai-intai kelibat dua ekor kucing tadi. Kalau ada, mahunya dia jentik-jentik hidung kucing itu. Ah, macamlah dia berani sangat hendak buat semua itu. Padahal, kucing datang dekat kaki pun rasa seram sejuk macam ternampak hantu.
“Kenapa pulak nak buat kucing saya macam tu? Tak baiklah. Mana boleh seksa kucing macam tu,” bantah Husna. Dia bukannya macam Naim yang selalu bersikap kejam terhadap binatang. Kucing-kucing dia memang sudah biasa dibiarkan bebas begitu sejak dari dahulu supaya senang mereka mahu ke mana-mana. Kucing kampung mana betah kena cucuk hidung dan duduk diam-diam.
“Kucing kau tu menakutkan aku, kau tahu tak,” ujar Naim lagi.
Husna mencebir. Bukan kucing dia yang menakutkan Naim, tetapi Naim sendiri yang takutkan kucing. Pandai-pandai sahaja Naim putar belit ayat.
“Encik...,” panggil Husna tiba-tiba.
“Apa?” Naim memandang Husna kehairanan dengan keningnya yang terangkat sebelah.
“Err… tak apa ke encik tinggal Chicky lama-lama kat dalam kereta tu? Dia tak kotorkan kereta encik ke?”
“Hah?”
Naim terlopong. Barulah dia teringat tentang kucing Bella itu. Hisy! Macam mana dia boleh lupa mahu keluarkan Chicky dari kereta tadi. Dibuatnya Chicky membuang najis, habislah berbau kereta dia nanti. Tanpa berlengah, Naim cepat-cepat turun tangga dan berlari ke arah keretanya.
*****
“ADOI!!”
Naim tepuk dahi beberapa kali dan menyandar di badan keretanya. Benar sekali sangkaannya. Sebaik sahaja dia membuka pintu kereta, ada bau yang kurang menyenangkan menusuk ke rongga hidungnya. Sah! Kucing Bella buat tahi di dalam kereta dia. Tak guna punya kucing! Hatinya tidak henti-henti menggerutu Chicky.
Naim berpaut di belakang bonet kereta sambil menahan rasa mual. Tekaknya terasa kembang. Kenapalah nasib dia malang sangat hari ini? Rasa seperti mahu pengsan sahaja apabila tercium bau najis kucing. Kalau bau macam perfume boleh tahan lagi. Ini….
“Kenapa ni, encik?”
Husna terkocoh-kocoh mendekati Naim apabila melihat seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia berasa sedikit cemas melihat keadaan itu.
“Kucing tu buat dajal kat dalam kereta aku pulak. Habis satu kereta aku bau busuk. Bodoh punya kucing! Kalau nak berak, beraklah kat tempat lain. Janganlah berak dalam kereta aku!” Naim mengomel tidak puas hati.
Husna memanjangkan lehernya mengintai-intai ke dalam kereta. Hidungnya juga dapat mengesan bau kurang sedap seperti yang dikatakan oleh Naim.
“Salah encik jugak. Kenapa dari tadi encik tak keluarkan dia?”
Naim mencekak pinggang. Wajah Husna dipandang tajam seperti mahu menelannya hidup-hidup. Semakin bengang dia rasa apabila Husna menyalahkan dia. Perempuan ni memang tak sayang mulut agaknya.
“Kau jangan banyak cakap boleh tak? Hah, sekarang aku nak kau keluarkan kucing tu dari kereta aku dan bersihkan bakul dia cepat! Aku tak nak hidu bau busuk ni lagi.”
“Apa hal pulak saya yang kena bersihkan semua tu?”
“Sebab kau tu hantu kucing. Mesti kau dah biasa main dengan benda kotor macam tu, kan. Cepatlah keluarkan dia!” desak Naim lagi sambil menolak tubuh Husna ke arah pintu kereta belakang yang sudah terkuak luas.
Mahu tidak mahu Husna terpaksa akur dengan permintaan Naim. Dia kemudiannya membongkokkan badan masuk ke dalam kereta dan menarik keluar bakul Chicky. Setelah itu, diletakkan ia di atas tanah. Penutup bakul dibuka dan bau yang kurang menyenangkan itu semakin kuat menyengat ke hidung. Namun baginya, semua itu sudah biasa dihadapi. Dia tidak ada apa-apa masalah berhadapan dengan dengan situasi tersebut.
“Uwek!”
Naim hampir sahaja termuntah di situ. Air matanya sudah bertakung. Kepalanya juga sudah berdenyut-denyut pening. Sumpah! Dia tidak tahan dengan bau itu. Dia tidak tahu bagaimana Husna boleh hadapi semua itu dalam keadaan yang sangat tenang.
Husna sempat mengerling ke arah Naim. Huh! Lebih-lebihlah pula. Mengalahkan perempuan yang mengandung sahaja. Menyampah betul! Sempat dia mencemuh Naim di dalam hati.
“Encik tolong pegangkan kucing ni sekejap, boleh? Saya nak bersihkan najis dia ni,” pinta Husna sambil menghulurkan kucing tersebut kepada Naim.
“Apa? Kau gila? Aku mana boleh pegang kucing!” Naim mengundur beberapa langkah. Permintaan Husna itu membuatkan nafasnya semakin tidak cukup oksigen.
“Habis tu, siapa yang nak tolong pegang? Nanti kalau kucing ni lari jenuh pulak nak mengejarnya.”
“Kau kelek ajelah kucing tu. Aku tak mahu masuk campur. Gelilah!” Naim terus beredar dari situ dan membiarkan Husna menguruskannya sendirian.
Husna berdengus. Apa punya oranglah macam ni. Hendak tidak hendak, dia terpaksa mendukung Chicky sambil membersihkan najisnya. Mujurlah najis itu jenis kering. Kalau tidak, jenuhlah dia hendak mencuci. Alas kain yang kotor itu kemudiannya direnjiskan dengan sedikit air bagi menghilangkan kesan bau di tempat yang terkena najis tadi. Kemudian, dilapikkan pula beberapa helai surat khabar yang diambil dari dapur rumah di atas kain alas tersebut. Setelah selesai kesemuanya, barulah dia meletakkan semula Chicky di dalam bakul.
“Encik!”
Husna memanggil Naim yang sedang leka meninjau-ninjau persekitaran rumahnya. Macam senang hati sangat.
“Hah, dah ke? Dah tak ada bau dah?” soal Naim sebaik sahaja menghampiri keretanya semula. Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Bimbang kalau-kalau terbau lagi aroma yang tidak menyenangkan itu.
“Dah. Nanti encik suruhlah girlfriend encik bersihkan semula alas kain tu. Saya lapik dengan kertas surat khabar je. Saya rasa lebih baik encik hantar dia balik cepat-cepat. Kesian dia. Mesti rasa tak selesa.”
“Apa kau cakap? Kesian dia? Kucing tu yang kau lebih kesiankan? Habis aku ni kau tak kesian ke? Boleh kena kanser hidung aku macam ni duk hidu bau busuk najis dia.”
“Biasalah tu. Encik pun takkanlah tak pernah membuang? Mana ada bahan kumuh berbau wangi,” bidas Husna pula.
“Yang kau duk sebelahkan kucing tu sangat, kenapa? Memang hantu kucing macam kau ni tugas dia kena bela kucing ek? Hih, tak faham betul aku. Sudahlah, sekarang kau pergi letak kucing tu kat dalam bonet belakang kereta aku. Aku tak nak kereta aku berbau busuk,” arah Naim seraya membuka pintu bonet.
Husna terlopong.
“Eh, encik ni memang dilahirkan tanpa ada perasaan ke? Lemaslah dia nanti kalau duduk kat dalam bonet. Biarlah dia duduk kat tempat duduk belakang tu aje,” bantah Husna pula. Nak bunuh kucing ke? Takkanlah itu pun Naim tidak boleh nak berfikir.
“Sekarang ni, kereta ni kereta siapa? Kereta kucing tu ke atau kereta aku?”
“Tak kisahlah kereta siapa-siapa pun. Tapi encik mana boleh buat dia macam tu. Saya nak encik letak kucing tu kat tempat duduk belakang. Kalau encik cuba nak buat jahat dekat kucing tu, saya akan laporkan kepada pihak polis.”
Naim mengetap bibir. Eh, main ugut-ugut dialah pula. Fasal kucing pun sampai nak libatkan pihak polis juga? Tidak faham sungguh.
“Kau ni, memanglah. Mengada-ada macam kucing tu jugak, huh!”
Naim berdengus sambil mengacah mahu menolak kepala Husna, namun sempat gadis itu mengelak. Mujur sahaja Husna seorang perempuan. Kalau lelaki, memang sudah lama kena sekeh kepala.
Tanpa berlengah, Husna segera meletakkan bakul Chicky ke tempat duduk belakang.
“Chicky, duduk diam-diam ya. Kalau pembuli kucing tu cuba nak buat jahat dekat kau, kau beritahu je dekat aku. Biar aku ajar dia nanti,” pesan Husna. Harap-harap Chicky faham maksud dia.
“Huh! Kau fikir, dia fahamlah tu apa yang kau cakap?” Naim bertanya sinis sebelum masuk ke dalam keretanya. Pintu keretanya dihempas kuat, tanda dia bengang dengan gadis itu. Termasuk dengan Chicky sekali.
Husna hanya mencemik. Kau mana nak faham. Kau bukannya ada hati dan perasaan!
*****
SEPANJANG perjalanan pulang, Naim membuka tingkap kereta untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan. Bau itu sudah beransur pergi. Tetapi rasa panas hati dia masih belum surut-surut lagi. Jangan haraplah selepas ini dia hendak bazirkan masa dia buat perkara bodoh seperti ini lagi.
Bunyi telefon membuatkan Naim tersentak. Diraba-raba poket seluarnya namun tidak ada. Mana pula perginya? Mata Naim meliar-liar mencari. Akhirnya, dia terjumpa telefon itu di celah kerusi yang didudukinya. Bila masa terjatuh dia sendiri tidak sedar.
“Hah, Wani… apa hal ni? Saya tengah drive ni,” jawab Naim tanpa bertanya siapa gerangan orang yang menelefonnya. Ah, kalau nombor pejabat dia yang naik di skrin telefon, siapa lagi kalau bukan Wani.
“Encik Naim, Dato’ nak bercakap. Sebentar ya, saya sambungkan talian.”
“Eh, nanti! Nanti!” bantah Naim laju. Dia mula berasa cuak. Dia tahu, papanya pasti mahu membebel kerana masih belum masuk ke pejabat walaupun waktu rehat sudah lama tamat.
“Dato’ dah lama tunggu saya sambungkan panggilan dekat Encik Naim. Dia nak bercakap dengan encik,” ulang Wani lagi.
“Saya tak nak bercakap dengan dia. Kalau dia tanya, awak cakap je awak tak dapat call saya. Okeylah, saya tengah drive ni. Tunggu jelah saya balik ke ofis nanti.”
“Encik Naim….”
“Apa lagi ni, Wani? Awak nak suruh kereta saya ni terbabas ke masuk ke dalam longkang ke?” Naim ketap bibir geram.
“Err, tadi Cik Bella telefon pejabat. Dia suruh encik hantar Chicky ke rumah dia cepat-cepat.”
“Yalah, saya nak pergilah ni. Kalau duk sembang lebat macam ni macam mana nak sampai cepat.”
Panggilan itu terus dimatikan oleh Naim. Apalah Bella ni. Nak cepat-cepat, lain kali pergilah hantar kucing tu ke klinik sendiri. Senang. Habis cerita. Tidak perlulah sampai sibuk menelefon dia sehingga ke pejabat.
Telefon Naim berbunyi lagi. Naim mengeluh buat kesekian kalinya. Terasa darahnya sudah mula menyirap dan naik ke atas kepala.
“Awak nak apa lagi ni? Kan saya cakap saya tengah drive sekarang. Apa-apa pun tunggu jelah sampai saya sampai ofis nanti!” tengking Naim. Sungguh, dia berasa sangat bengang. Rasa seperti mahu campak sahaja telefonnya ke luar tingkap.
“Sayang, I ni!” teriak Bella.
Naim meneguk air liur. Alamak! Salah orang. Ah, ini tidak lain tidak bukan mesti hendak tanya fasal kucing dia. Naim sempat menoleh ke belakang. Bakul ada, tetapi kucing di dalamnya tidak tahulah hidup atau mati. Kalau mati lagi bagus kut. Barulah rasa aman sedikit.
“Sorry, sorry. I ingatkan Wani tadi.” Naim menepuk dahinya perlahan.
“Huh! Cakap tu tak boleh perlahan-lahan sikit ke? Asyik nak menengking je. You kat mana ni? Kenapa tak balik lagi?”
Bertimpa-timpa soalan Bella ditujukan kepada Naim. Ada nada marah dan geram yang dilepaskan bersama. Apa tidaknya, dari tadi dia cuba hubungi Naim, sekarang baru Naim sudi menjawab panggilannya. Kalau Naim ada di depan mata dia sekarang, memang lengan lelaki itu sudah menjadi mangsa tamparan dan cubitan tangannya.
“I dah on the way nak pergi rumah youlah ni. Sorrylah, I lambat sikit. Ramai orang kat klinik tadi,” bohong Naim. Ramailah sangat. Yang sebetulnya bukan ramai orang tetapi singgah makan di rumah orang!
“Kalau ya pun ramai orang, takkanlah sampai tak boleh jawab call langsung. Banyak kali I call you tadi. You ni, buat I tak senang duduk jelah.”
Naim mengerutkan muka apabila mulut Bella semakin riuh dengan bebelan.
“Telefon I tertinggal kat dalam kereta tadi.”
Kali ini dia tidak berbohong lagi. Namun dia yakin sebentar lagi speaker telefon dia akan pecah dek jeritan nyaring Bella. Habislah dia.
“Apa?!”
“Helo! Helo! Apa dia? I tak dengarlah apa yang you cakap. Cakap kuat sikit boleh tak? Ha? Tak dengarlah!”
Naim terus mematikan telefonnya. Terpaksalah dia buat taktik kotor begitu untuk mengelakkan diri daripada terus dibebel oleh Bella. Telinga dia rasa sakit kalau mendengar mulut Bella membebel. Perempuan memanglah!
© Noraini Mohamad 2012
hai lahh naim ni.. betul2 anti dengan kucing.. ish3..
ReplyDeleteNaim ni ingatkan dah insaf lepas mimpi pasal kucing tu...-_-#
ReplyDeletewalaupun xberapa suka pegang kucing.. teringin juga nak baca cerita ni..
ReplyDeletebest lah :)
Yad'z: Anti kucing merangkap pembuli kucing. Ish! Ish!
ReplyDeleteAtiza: Mujur sangat dia insaf cpat-cepat. Hahaha!
Mulai Zullyaz: Sila-sila. Yang tak suka kucing/pegang kucing pun boleh baca jugak. Hehehe. Terima kasih sudi baca. :)