“NAMA aku, Naim Naqiuddin. Lepas ni, kau panggil aku Naim jelah. Tak payah panggil encik-encik. Kau bukannya pekerja aku pun nak panggil aku macam tu. Tapi kalau kau rasa lidah kau tu berbelit nak sebut nama aku, suka hati kaulah nak panggil apa-apa pun.”
Husna terkejut apabila lelaki itu secara sukarela memperkenalkan diri sebaik sahaja dia masuk ke dalam keretanya. Naim Naqiuddin. Husna menyebut nama itu di dalam hati. Nama boleh tahan sedap. Rupa pun boleh tahan kacak. Tetapi perangai… masya-Allah.
“Kau pulak tak ada nama ke?” tanya Naim yang masih lagi tidak lepas daripada memandang Husna yang sedang ralit memakai tali pinggang keledar.
Husna sekali lagi terkaku. Naim tanya nama dia? Ada rasa ingin tahu juga rupanya. Perlahan-lahan dia mendongak dan berpaling muka ke kanan. Naim tidak berkelip memandangnya, menantikan jawapan.
“Err… nama saya Husna. Nurul Husna.”
Tergagap-gagap dia menjawab. Ah, sudah jadi sesi suai kenallah pula. Kenapa dia rasa pertemuannya dengan Naim kali ini seperti lain macam sahaja.
Naim bergumam. Kemudian, dia menghidupkan enjin kereta dan meninggalkan kawasan klinik tersebut. Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya saling membisu. Naim fokus dengan pemanduannya manakala Husna pula jauh membuang pandangan ke luar cermin kereta.
“Kau datang ke pejabat aku tadi buat apa?”
Akhirnya Naim memecah kesunyian yang melanda di antara mereka. Bosanlah asyik diam sahaja. Lagipun, persoalan itu memang sejak dari pagi tadi lagi bermain-main di fikiran dia.
Husna menggelabah. Alamak! Kenapa Naim tanya soalan ini pula? Apa dia nak jawab ni? Dia tidak mahu Naim tahu yang dia pergi ke sana sebab nak minta kerja. Malulah dia nanti. Sudahlah semalam dia bergaduh bagai nak rak dengan lelaki itu fasal kucing. Alih-alih, hari ini datang nak minta kerja pula. Tetapi manalah dia tahu Naim bekerja di syarikat itu.
“Err… tak ada apa-apalah. Saja je jalan-jalan,” balas Husna. Dia memalingkan mukanya ke cermin dan menggigit bibir. Dia tahu jawapan itu bunyinya seperti tidak logik namun yang lebih penting, Naim tidak tahu hal yang sebenar.
Naim tergelak.
“Dalam banyak-banyak tempat kat KT ni, kat pejabat aku jugak yang kau nak pergi jalan-jalan ya? Dah tak ada tempat lain ke? Ada apa yang menarik kat pejabat aku tu?” tanya Naim lagi. Gila agaknya perempuan ini pergi berjalan-jalan tanpa tujuan di pejabat orang. Kalau pergi berjalan-jalan ke pantai tu boleh lagi masuk dek akal. Sempat dia mengutuk Husna di dalam hati.
Husna terdiam. Dia kehilangan kata-kata mahu menjawab pertanyaan Naim. Sudahnya, dia hanya membiarkan sahaja pertanyaan itu tanpa jawapan. Cakap fasal hal lain tidak boleh ke?
Naim mengerling sekilas sambil tersungging senyum. Agaknya Husna sedang fikir jawapan bodoh yang lain pula kut. Apabila teringatkan semula alasan Husna tadi, dia masih tidak boleh berhenti ketawa. Matanya sempat menyoroti fail hitam yang berada di atas riba gadis itu.
“Kau tengah cari kerja ke? Kenapa kau minta balik resume kau tadi?”
“Saya lupa nak letak gambar pasport.”
Laju sahaja Husna membalas. Ah, sekali lagi dia memberi alasan merepek. Bilalah Naim mahu berhenti bertanya? Dia sudah malas mahu membuka mulut mengenai hal itu.
Ketawa Naim semakin menggila bergema. Perutnya yang sedari tadi berasa lapar serta-merta berasa kenyang disumbat dengan lawak jenaka yang dibuat oleh gadis itu.
“Bukan lupa nak letak gambar pasport, tapi sebab kau dah tahu aku kerja kat situ, kan? Jadi kau pun terus tak jadi nak minta kerja kat situ, bukan begitu?” Naim membetulkan kata-kata Husna. Dia seakan-akan sudah dapat membaca tindakan Husna itu. Husna ingat, dia ini budak kecil lagikah mahu kelentong dia begitu? Agak-agaklah sikit kalau mahu menipu pun.
Husna menelan air liur. Hah, betullah tu. Dia memang tidak mahu kerja satu bumbung dengan lelaki itu. Nanti mesti selalu kena buli. Kalau kucing pun Naim sanggup buli, takkan manusia dia tidak berani buli.
“Baguslah kalau kau tak jadi minta kerja kat pejabat aku tu. Kat sana memang tak ada jawatan sebagai penjaga kucing atau pengasuh kucing. Kau kena pergi minta kerja tu kat tempat lain,” sindir Naim lagi sambil tersenyum sinis.
Husna ketap bibir rapat-rapat. Agaknya, mamat ni sudah puas hidup kut.
*****
SETELAH hampir dua puluh minit perjalanan, akhirnya kereta Naim berhenti di hadapan rumah Husna. Husna siap-siap membuka tali pinggang keledar. Lega hatinya apabila dapat menjejakkan kaki ke kawasan rumah sendiri.
Naim yang duduk di sebelah hanya memerhati Husna yang sudah pun menguak pintu keretanya.
“Kau agak-agak, esok kita jumpa kat mana pulak?” tanya Naim sebelum Husna keluar dari keretanya. Eh, dia tidak bermaksud apa-apa dengan pertanyaan itu. Lagipun sudah dua hari berturut-turut mereka berjumpa. Mungkin esok mereka akan bertemu lagi. Rasa-rasanyalah!
Sebelah kaki Husna yang sudah terjulur keluar diangkat naik semula. Dahinya berkerut memandang Naim.
“Kalau encik langgar kucing lagi, mungkin kita akan berjumpa lagi kut,” perli Husna lantas terus keluar dan menghempaskan pintu kereta. Sengaja dia menyindir. Ah, tidak inginlah dia mahu berjumpa dengan Naim setiap hari. Anggap sahajalah hari ini merupakan hari terakhir mereka berjumpa.
Naim hanya menjongketkan bahunya. Dia tidak terkesan dengan sindirian halus Husna itu. Perlahan-lahan dia mengundurkan keretanya untuk keluar dari kawasan rumah Husna. Ketika dia siap-siap mahu memusingkan stereng kereta, terdengar pula bunyi ketukan yang bertalu-talu di pintu cermin kereta di bahagian pemandu. Tangannya segera menekan butang cermin automatik.
“Hah, apa hal lagi ni? Berat hati nak lepaskan aku pergi ke?” Kening Naim terjongket sebelah.
“Err… encik belum makan lagi, kan? Kalau nak singgah makan dulu, jemputlah naik ke rumah.”
Naim terkedu. Tanpa sedar, tangannya sudah pun mematikan enjin kereta. Rezeki jangan ditolak!
*****
“WANI, Encik Naim mana? Tak masuk ke pejabat lagi ke?” tanya Dato’ Mazlan kepada setiausaha Naim. Dia masuk ke dalam bilik anaknya tadi, kosong. Tidak ada sesiapa yang berada di dalamnya.
“Encik Naim belum masuk ke pejabat lagi, Dato’,” jawab Wani.
“Cuba telefon dia, tanya dia berada dekat mana? Lepas tu, suruh dia balik ke ofis cepat sikit. Pukul tiga nanti saya nak ajak dia pergi ke Reka Bina Architect.”
“Baik, Dato’.”
Wani segera mencapai gagang telefon dan mendail nombor telefon bimbit Naim. Berkali-kali dia mendail, namun hanya bunyi deringan sahaja yang kedengaran. Panggilan itu langsung tidak berjawab.
“Dapat tak?” tanya Dato’ Mazlan lagi yang masih tidak berganjak dari di situ.
“Tak dapat, Dato’. Dia tak jawab panggilan tu.” Wani meletakkan semula gagang ke tempat asalnya.
Dato’ Mazlan bergumam. Ke mana pula anak dia ini pergi? Hatinya tertanya-tanya sendirian.
“Tak apalah, Wani. Nanti awak cuba call dia semula. Kalau dia jawab, sambungkan ke bilik saya.”
“Baik, Dato’.” Wani mengangguk perlahan. Setelah Dato’ Mazlan beredar, telefon di atas meja Wani berdering kuat. Sangkanya mungkin Naim yang menelefon. Wani cepat-cepat menjawab.
“Boleh sambungkan panggilan ni pada Encik Naim?” pinta suara perempuan di hujung talian.
Sangkaan Wani jauh meleset sama sekali. Bukan Naim yang menelefon tetapi Bella, buah hati kesayangan Naim. Dia memang kenal dengan suara Bella. Dia juga sudah boleh menebak tujuan panggilan itu dibuat.
“Maaf, Cik Bella. Encik Naim masih belum masuk ke pejabat lagi.” Lembut Wani menyusun kata-kata.
“Bos awak tu pergi ke mana? Kenapa saya call dia banyak kali dia tak jawab?” suara Bella kedengaran seperti menahan geram. Marah pun ada juga.
“Saya tak pastilah, Cik Bella. Saya pun dah banyak kali cuba hubungi dia tapi semuanya tak dijawab. Cik Bella ada apa-apa pesanan ke?”
Bella terdiam sejenak, seolah-olah memikirkan sesuatu.
“Kalau dia ada telefon awak, beritahu dia suruh hantarkan Chicky ke rumah saya cepat-cepat. Saya dah naik risau ni kenapa dia belum balik-balik lagi. Dahlah saya telefon dia tak dapat.”
Muka Wani berkerut mendengar bebelan Bella. Setiap kali gadis itu membuat panggilan, memang ada sahaja bebelan yang keluar dari mulutnya. Kadang-kadang dia faham, kadang-kadang dia tidak faham. Pening juga kepala dia melayan kerenah Bella. Entah bagaimana Naim boleh tahan dengan sikap perempuan seperti itu.
“Err… Chicky tu apa, Cik Bella?”
“Kucing sayalah!” jawab Bella dengan laju sebelum mematikan panggilan.
Wani terkulat-kulat merenung gagang telefon. Kucing? Hih, manalah dia tahu Chicky itu seekor kucing.
*****
HUSNA hanya memerhati gelagat Naim yang makan nasi seperti orang yang sudah setahun tidak berjumpa makanan. Biar betul dia ni. Lapar sangat ke sampai makan tidak tengok kiri dan kanan langsung? Kuah gulai lemak nangka di dalam mangkuk sudah hampir kering ditimba masuk ke dalam pinggan nasi. Begitu juga dengan isi nangka. Sementara ikan cencaru goreng pula sudah nampak tulang. Sambal belacan di dalam piring kecil itu pula sudah habis licin!
“Kenapa kau tengok aku macam tu? Kau tak pernah tengok orang makan ke?” soal Naim setelah menyedari mata Husna asyik sekali tertancap ke arahnya. Suapan nasi ke mulut menjadi perlahan semula.
Husna menggeleng.
“Tak adalah. Cara encik makan tu, macam orang yang dah lama tak jumpa nasi. Lapar sangat ke?”
Naim susah payah menelan nasi masuk ke dalam kerongkong. Kemudian, dihentakkan tangannya beberapa kali bagi menjatuhkan nasi yang melekat di celah-celah jarinya. Lalu nasi yang jatuh itu dikumpul dan disuap masuk ke dalam mulut.
“Kan aku dah beritahu kau tadi. Aku lapar. Dari pagi aku tak makan apa-apa. Jumpa nasi dan lauk sedap macam ni, memang aku tak peduli lagi dah,” jawab Naim sambil menjilat-jilat jarinya sehingga licin. Dia bersendawa perlahan sejurus selepas itu. Ah, kalau Husna nak kata dia tidak senonoh ke, pelahap ke, lantaklah. Yang penting perut dia kenyang.
Husna hanya tersenyum nipis. Sedikit lega dia apabila mendengar kata-kata Naim. Mula-mula tadi, dia ingatkan Naim tidak makan lauk kampung seperti itu. Tetapi ternyata tanggapannya meleset sama sekali.
“Lauk kampung macam ni pun, encik cakap sedap ke?” tanya Husna lagi. Yalah, biasanya orang kaya hanya makan makanan yang mahal-mahal dan ada standard sahaja.
“Sedaplah. Kalau tak sedap, takkanlah aku makan sampai habis pulak. Maaflah sebab aku dah habiskan semua lauk-lauk ni.”
Naim tersengih-sengih dan mempamerkan riak muka tidak bersalah. Memang sedap sungguh lauk yang dia makan tadi. Tambah-tambah makan dengan sambal belacan. Lagilah membuatkan dia berasa lupa diri.
“Encik anggaplah semua ni sebagai ucapan terima kasih saya terhadap encik sebab sudi hantarkan saya balik ke rumah,” kata Husna.
Sebetulnya, memang itulah tujuan utama dia mempelawa Naim makan. Sebab dia tidak tahu bagaimana mahu membalas budi baik Naim yang telah bersusah payah menghantarnya pulang semalam dan hari ini. Kalau dalam bab ini, memang dia akui Naim tidak kejam.
“Aku sudi je terima. Tapi kasih kau tu, memang awal-awal lagi aku terpaksa tolak. Aku ni dah ada yang punya.”
Naim berseloroh seraya bangun dari kerusi dan berlalu menuju ke singki berhampiran.
Husna menjeling sambil mencebikkan bibirnya. Eleh, aku pun tak inginlah!
© Noraini Mohamad 2012
mmg menarik la.selamba j naim nie
ReplyDeleteHarap sambung cepat2 yer kisah cinta kucing jadian ni...
ReplyDelete~w.t~
Terima kasih, Nzlyna'im. Eh, nama pun dekat-dekat sama dengan Naim. Hehehe :)
ReplyDeleteAnonymous: Kucing jadian? Meow! Hehe. InsyaAllah. Tunggu sambungannya selepas ni. :)
Amboi Naim tu makan ke melantak???heheheheXD
ReplyDeletehehehe. sila sambung lagi ya. apa naim ni, malu lelaki je. eh, naim makan di rumah husna kan? mak ayah dia mana? ekekeke.
ReplyDeleteAtiza: Dua-dua. Muka tak malu memang macam tu. Hehehe.
ReplyDeleteKak Mardihah: Jeng-jeng.. Next chapter baru tahu. Amboi.. makan masa mak ayah tak ada ye.. Tak islamik you. Kikiki.InsyaAllah, kak... akan menyusul bab lain nanti. Tq singgah baca. Lebiu!