30 July 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 10

TANGAN Naim baru sahaja mahu memulas tombol pintu bilik apabila kelibat Dato’ Mazlan muncul di belakangnya sambil bercekak pinggang. Naim telan air liur. Itu bukan sebab nak tunjuk pinggang tidak ada shape, tetapi itu adalah prolog emosi marah. Dalam rasa debar yang menggetar, Naim sempat senyum untuk menutup perasaannya.
           
“Ikut papa masuk ke bilik sekejap,” arah Dato’ Mazlan tanpa berdiri lama di situ.
           
Naim tarik nafas dalam-dalam sebelum mengekori Dato’ Mazlan dari belakang. Di dalam hatinya tidak putus-putus berdoa.
           
“Im ke mana tadi?” tanya Dato’ Mazlan sebaik sahaja Naim duduk di hadapannya. Wajah Naim dipandang tidak berkelip. Sebelum dia mahu melepaskan kemarahannya, dia mahu mendengar alasan Naim terlebih dahulu.
           
“Im ke klinik, papa. Ada kawan Im sakit dan minta tolong Im hantarkan dia ke klinik.” Naim berbohong. Janganlah papa dia tanya kawan mana sebab kawan yang dimaksudkan olehnya itu adalah kucing dan bukannya manusia.
           
“Siapa?”
           
Siapa? Tangan Naim spontan menggaru belakang kepalanya. Masin mulut dia tadi, betul-betul soalan itu ditanya. Perlukah dia beritahu?
           
“Err, Bella.”
           
Ah! Terpaksa berbohong lagi. Lantaklah. Paling kurang kalau sebut nama bakal menantu sendiri tidaklah kemarahan papanya memuncak sangat nanti.
           
Dato’ Mazlan bergumam perlahan. Disimpan semula kemarahannya sebaik sahaja nama Bella terpacul keluar dari mulut Naim.
           
“Bella sakit? Sakit apa?” tanyanya.
           
“Demam. Tapi lepas balik klinik tadi dah macam okey sikit.” Naim terus menokok tambah cerita.
           
“Lain kali kalau ada hal apa-apa, pastikan telefon tu sentiasa berada dalam tangan. Jangan biarkan orang lain tertanya-tanya ke mana Im pergi.”
           
“Im minta maaf, papa. Im kalut sangat tadi,” jawab Naim sambil menarik nafas lega. Selamat. Mujurlah menjadi taktik yang digunakannya.
           
“Papa baru balik dari Rekabina Architect tadi. Ini pelan projek pembinaan shopping mall yang dia orang dah betulkan kesilapan rekabentuk. Im tengoklah.” Dato’ Mazlan menghulurkan segulung pelan kepada Naim.
           
Naim menyambut dan meneliti pelan tersebut. Setelah itu dia menggulung semula.
           
“Nanti Im tengok semula pelan ni. Ada apa-apa lagi ke papa?” soal Naim yang sudah berkira-kira mahu bangun dari kerusi. Namun hasratnya itu terbantut apabila tangan Dato’ Mazlan mengisyaratkannya supaya terus duduk.
           
“Im dengan Bella tak ada apa-apa perancangan lagi ke?” Dato’ Mazlan menukar topik sisi peribadi Naim pula. Apa salahnya mengambil tahu perihal anak sendiri. Di rumah pun kadang-kadang sahaja mereka boleh berbual-bual begini. Naim bukannya tinggal bersama dia.
           
“Maksud papa?” Naim bertanya teragak-agak.
           
“Yalah, Im dengan Bella kan dah lama berkawan. Tak ada ke perancangan nak bertunang atau berkahwin?”
           
“Oh, setakat ni kami belum bincang apa-apa lagi fasal hal tu, papa. Bella tu asyik sibuk dengan kerja je,” balas Naim. Cuak juga dia apabila papanya bertanyakan tentang hal itu.
           
“Kerja tu kerja jugak. Tapi sampai bila asyik nak hadap kerja je tanpa fikir tentang hal lain? Lagipun tak elok kalau berkawan lama-lama sangat.”
           
Naim tersengih. Memang ada benarnya cakap papanya itu. Hubungan dia dan Bella sudah berlangsung selama hampir tiga tahun. Sepatutnya jangka masa tersebut mereka sudah merencanakan sesuatu. Yang sebetulnya, bukannya dia tidak ada niat mahu memperisterikan Bella tetapi Bella yang belum bersedia. Kalau diikutkan, sudah beberapa kali dia melamar. Namun kalau orang yang dilamar tidak bersedia, takkanlah dia mahu memaksa pula.
           
“Papa dah tak sabar nak timang cucu ke?” Naim mengusik Dato’ Mazlan.
           
Dato’ Mazlan tergelak.
           
“Papa ni dah tua, Im. Takkanlah Im nak tunggu papa pergi dulu baru Im nak beri papa cucu?”
           
“Hisy, tak baik papa cakap macam tu. Bukannya Im tak nak kahwin. Tapi papa faham-faham jelah dengan bakal menantu papa tu. Dia tu jenis gila kerja sikit,” jelas Naim. Gila kucing pun ya juga.
           
“Gila kerja macam mana sekalipun, nanti last-last masuk dapur jugak. Im pesanlah dekat dia, janganlah kerja kuat-kuat sangat.” Dato’ Mazlan sempat menitipkan pesanan.
           
Naim hanya tersengih. Kalau Bella masuk ke dapur pun bukannya dia tahu memasak apa-apa. Masak nasi pun lembik macam bubur, macam mana? Bella memang tidak ada bakat memasak. Namun tak tahulah pula kenapa hatinya berkenan dengan Bella. Mungkin sebab Bella cantik kut. Pandai jaga penampilan. Bukankah lelaki suka melihat perempuan yang cantik-cantik? Samalah macam dia juga.
           
“Yalah, papa. Nanti Im bincang semula dengan dia fasal hal ni. Kalau tak ada apa-apa, Im masuk bilik dulu.” Naim bingkas bangun dan beredar dari situ.
           
Dato’ Mazlan hanya memerhati. Itulah satu-satunya waris Mazlan Properties Sdn. Bhd. Dia memang sudah berhajat mahu serahkan syarikatnya kepada Naim setelah Naim mendirikan rumah tangga nanti. Paling kurang, dapatlah dia berehat dengan tenang.
           
Naim memang ada ciri-ciri menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya seperti dia. Cuma kadang-kadang dia masih perlu dibimbing. Tetapi itu bukanlah satu masalah yang besar sebab Naim juga seorang yang cepat belajar orangnya.

*****

PELAN bersaiz AO itu diletakkan di atas meja tanpa ada perasaan ingin sentuh. Dia tidak ada keinginan mahu membuat sebarang kerja. Naim menghenyakkan punggungnya di atas kerusi sambil menyandar malas. Satu keluhan berat dilepaskan panjang. Tali leher yang terikat ketat dilehernya dilonggarkan. Terasa penat sungguh hari ini.
           
Semuanya gara-gara kucing Bella. Tetapi seperti biasa, Husna telah melegakan hati dia. Hai, pelik betul. Bila dia ada masalah fasal kucing sahaja pasti gadis itu akan muncul menyelamatkan keadaan. Macam berjodoh pula. Orangnya pun boleh tahan juga. Ada lesung pipit lagi di kedua-dua belah pipinya. Eh, kenapa pula dia puji Husna lebih-lebih sangat ni? Takkanlah hati dia sudah berkenan kut. Gila! Bella nak campak ke mana?
           
Naim cepat-cepat menghilangkan bayangan Husna dari ingatannya. Setelah itu, fikirannya dilontarkan semula kepada Bella. Marah lagikah Bella dengan dia? Fasal kucing pun nak merajuk beria-ia dengan dia. Naim sempat mengomel sikap Bella.
           
Kemudian, dikeluarkan telefon bimbit dari kocek seluarnya dan nombor Bella didail pantas. Hanya sekali deringan sahaja panggilannya terus berjawab.
           
“Sayangku Bella, marahkan I lagi ke?” tanya Naim lembut. Sengaja dia sebut perkataan ‘sayangku’ untuk mencairkan hati Bella. Kalau kasar-kasar nanti makin merajuk pula nanti. Lagi jenuh dia nak memujuk.
           
Bella diam.
           
Naim mengeluh. Dia dapat mengagak Bella masih berjauh hati dengannya.
           
“Janganlah macam ni, sayang. I minta maaf, okey. Fasal kucing you tu….”
           
Belum sempat Naim menghabiskan kata-katanya, Bella terlebih dahulu memintas.
           
“Kalau you call I sebab nak beritahu tak dapat jaga dia orang, lebih baik you tak payah call. I tak nak dengar semua tu!”
           
“Eh, I belum habis cakap lagi you dah cakap menyampuk. Dengarlah dulu apa yang I nak cakap ni.”
           
“I dah tahu jawapan you.”
           
“I call you bukannya nak beritahu yang I tak dapat jaga dia orang, tapi I nak beritahu you yang I akan jaga dia orang. Suka?”
           
“Betul ke ni, sayang?” Suara Bella terus berubah serta-merta. Kalau tadi macam orang yang malas nak bercakap tetapi kali ini begitu ceria sekali. Seperti baru lepas dapat bonus setahun gaji.
           
Naim mengeluh halus. Memang dia sudah menjangkakan reaksi Bella itu. Bukannya dia tidak biasa dengan semua itu sebelum ini. Hih, berlakon je Bella ni. Saja nak suruh dia mengalah.
           
“Betullah. I kan sayang you,” balas Naim lagi. Cuba untuk menyedapkan lagi ayatnya. Sebab sayang punya fasallah dia buat keputusan gila itu walaupun dia tidak tahu bagaimana mahu selesaikan masalah tersebut.
           
Ah, yang penting rajuk Bella tu dapat dipujuk terlebih dahulu. Lain-lain masalah dia boleh fikirkan kemudian. Dia cuma tidak mahu Bella merajuk lama-lama dengannya. Lagipun dia memang tahu sangat, macam mana keadaan sekalipun Bella tidak akan terhegeh-hegeh mencari dia. Bella merajuk dia yang pujuk. Dia merajuk dia sendirilah yang memujuk!
           
“Thank you, sayang. I tahu, you memang sayangkan I. I love you. Muaah!” Bella terus memutuskan panggilan.
           
Naim menghembus nafas sambil meraup muka. Lega sejenak setelah berjaya memujuk Bella. Satu masalah sudah selesai. Tetapi ada masalah lain pula yang timbul. Macam mana dia nak selesaikan masalah hal kucing Bella? Kepala Naim mula berdenyut-denyut.

*****

NAIM bangun menuju ke sebuah meja kecil yang menempatkan water filter di atasnya. Anak tekaknya terasa haus. Gelas ditadahkan di bawah muncung water filter tersebut dan ditolak picunya ke belakang. Laju air keluar melaluinya. Kemudian, diteguk air putih itu perlahan-lahan.
           
Sambil-sambil itu, otaknya ligat berfikir tentang masalah yang dihadapinya. Nak jaga kucing bukanlah satu kerja yang senang bagi orang yang anti kucing seperti dia. Nak pegang kucing pun takut inikan pula nak jaga? Mati kataklah jawabnya kucing Bella dua ekor tu nanti.
           
Sudahlah kucing-kucing itu cerewet penjagaannya. Nak kena beri makan mesti tepat pada waktunya. Lepas tu, masuk bab mandi pula nak kena gosok gigi dan pakai shampoo yang wangi-wangi. Itu belum lagi masuk bab tidur. Kalau tidur, mesti nak kena dodoi dan pakaikan selimut. Secerewet dia pun tidaklah seteruk kucing Bella tu. Itu mengada-ada namanya. Terlebih didikan manja. Begitulah jadinya.
           
Tiba-tiba Naim teringatkan sesuatu. Pasti cara itu dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Naim cepat-cepat kembali ke arah mejanya semula.

© Noraini Mohamad 2012


No comments:

Post a Comment