ENCIK PEON tidak jadi masuk ke dalam bilik pejabatnya apabila terlihat Zara termenung sambil menopang dagu di mejanya. Lantas dia pergi menegur.
“Jauh termenung? Fikir pasal nak masak menu apa ke petang ni?”
Mata Zara naik ke wajah Encik Peon yang berdiri di depan meja. Dia mengeluh panjang.
“Saya ada masalah ni, Encik Peon,” luah Zara tidak berselindung.
Kening Encik Peon terangkat. “Masalah apa? Serius sangat ke?”
“Seriuslah kalau ada perempuan menggedik dengan suami saya.”
Mata Encik Peon pula terjegil. “Siapa?”
“Sepupu Muslim yang baru balik dari Dubai. Eii! Saya tak sukalah dengan perempuan tu. Dia dah tahu Muslim tu suami saya tapi tetap jugak nak menempel depan saya tanpa rasa bersalah.” Zara bersungut sambil tarik muka masam. Terbayang-bayang lagi kejadian malam tadi. Menyesal tidur di rumah keluarga Muslim sebab peluang Dilla nak berkepit dengan Muslim terbuka luas.
“Habis tu Muslim layan ke?”
“Lelaki. Sukalah kalau perempuan menempel. Macam Encik Peon jugak.”
Amboi… sempat lagi mengata aku, getus Encik Peon dalam hati.
“Pembetulan! Bukan saya. Tapi perempuan yang suka menempel dekat saya.”
“Tak kisahlah mana-mana pun. Sekarang ni yang saya kisah pasal masalah saya ni. Encik Peon tolonglah saya macam mana nak atasi masalah ni. Tak tenang saya nak berpuasa macam ni. Berterawih lagi…”
Encik Peon menggaru-garu dagu. Dia bergumam sebentar. “Cantik ke sepupu dia tu?”
“Bolehlah tapi saya rasa saya cantik lagi kut.” Zara tak segan silu memuji diri sendiri sehingga membuatkan Encik Peon tergelak.
“Kalau awak lebih cantik daripada dia, buat apa nak rasa tergugat? Buat bodoh dahlah.”
“Macam mana saya tak tergugat? Cara dia rapat tu macam nak goda Muslim aje. Dah macam tak ada lelaki lain dia nak menggedik. Suami orang jugak yang dipilihnya,” bebel Zara. Nak buat bodoh? Mana boleh!
Encik Peon menghela nafas. “Macam nilah. Nanti saya telefon Muslim. Marahkan dia bagi pihak awak.”
Tidak berkelip Zara pandang Encik Peon. “Apa? Encik Peon nak marah Muslim?”
“Yalah. Awak ingat saya tak berani ke?”
“Entah-entah nanti Encik Peon yang kena marah balik dengan dia.”
“Apa susahnya? Saya marahlah dia balik. Alah, setakat marah Muslim tu apalah sangat. Tak berkudis pun hati dan jantung saya ni. Sama jugak macam awak selalu marah saya.”
“Dah Encik Peon suka buat saya marah. Saya marahlah. Nanti masa Encik Peon marahkan Muslim, marah sungguh-sungguh tau. Selit sikit sekali dengan nasihat. Biar dia fikir panjang nak melayan sepupu dia tu lain kali.”
“Err… sepupu Muslim tu single lagi ke?”
Tidak semena-mena Zara tersenyum lalu memetik jari kuat. “Ha, apa kata Encik Peon cuba mengurat dia. Nanti bila dia terpikat dengan Encik Peon tak adalah dia kacau Muslim lagi.”
Cadangan Zara mengundang ketawa Encik Peon. Kelakar.
“Saya tak ada masalah. Cuma takut taste dia tu bukan jenis rambut maggi dan kulit gelap macam buah manggis macam saya ni.”
“Alah, Encik Peon ni. Kalau Muslim yang tempang tu pun dia terhegeh-hegeh, rambut macam Encik Peon apatah lagi,” balas Zara.
Tangan Encik Peon naik memegang rambut keritingnya. Dia tersengih memandang Zara. Betul juga.
“Nantilah saya istikarah dulu macam mana.”
“Lagi satu, Encik Peon… Kalau marah Muslim jangan cakap saya yang suruh pulak.”
“Yalah… saya cakap awak yang pesan.”
Zara mengetap bibir. Hampehlah Encik Peon ni!
DAHI Muslim berkerut melihat nombor telefon Syarikat Peon Sdn Bhd naik pada skrin. Zara ke yang telefon? Segera dia menjawab.
“Ya, sayang? Rindu abang ke?” tanya Muslim sambil tersengih.
“Ni Encik Peonlah! Bos sayang awak,” balas Encik Peon pula di hujung talian.
Cis! Muslim menggerutu. “Ha, Encik Peon… Apa hal ni tiba-tiba telefon saya? Nak ajak saya berbuka puasa sama-sama ke petang ni?”
“Tak adalah. Saja telefon. Nak marah awak sikit.”
Muslim menjauhkan iphonenya dari telinga. Motif nak marah aku?
“Nak marah pasal apa? Saya ada cari pasal ke dengan Encik Peon? Bulan puasa ni tak baik marah-marah, Encik Peon. Nanti hilang pahala puasa tu. Cuba cakap jujur, apa yang saya dah buat sampai Encik Peon marah?” Penuh toleransi Muslim berbicara. Dengan Encik Peon kena pandai main angin sedikit.
“Zara mengadu dekat saya, awak layan perempuan lain. Betul ke?”
“Perempuan mana pulak ni?”
“Sepupu awak tulah.”
“Oh, Dilla… Hah? Dia mengadu dekat Encik Peon ke pasal tu?” Mata Muslim terbeliak.
“Saya nampak dia termenung tadi. Jadi, saya tanyalah. Lepas tu dia pun cerita. Awak ni, Muslim… Hati isteri jagalah sikit. Dekat-dekat nak raya janganlah buat pasal sangat. Karang sorang beraya sini, sorang beraya sana baru tahu,” bebel Encik Peon.
Muslim terasa hendak ketawa. Zara, Zara… Kalau orangnya ada di depan mata dia sekarang, mahu dicubit-cubit sahaja pipinya.
“Encik Peon, mana ada saya layan lebih-lebih. Zara tu aje yang cemburu lebih. Maklumlah dia kan sayang dekat saya. Sama jugak macam kes dia rapat dengan Azam dulu. Saya cemburukan dia sebab saya sayang. Dia tengah buat apa tu?”
“Termenunglah tak sudah-sudah. Nanti pandai-pandailah awak pujuk. Nampak macam sedih lagi tu. Saya pujuk karang, tersalah cakap dia marah saya pulak.”
“Jadi, ini ajelah tujuan Encik Peon telefon saya? Terima kasih banyak-banyaklah. Buat susah-susah aje marah saya. Pasal Zara tu petang nanti saya pujuk dia belanja beli makanan dekat bazar,” kata Muslim.
Encik Peon bergumam. “Hmm… Eloklah tu. Lagi elok kalau awak belanja saya sekali.”
“Boleh. Tak ada masalah. Esok saya kirim kurma Yusuf Taiyoob dekat Encik Peon melalui Zara.”
“Kurma aje? Belanjalah ayam golek ke, kambing bakar ke? Barulah sedap sikit,” sungut Encik Peon.
“Kurma sedap apa? Kalau makan macam tu tak sedap, Encik Peon bolehlah cuba makan dengan bijirin. Letak susu sekali dengan badam dan strawberi. Bertenaga dari sahur sampai ke berbuka.”
“Terima kasihlah ya sudi berkongsi resipi sahur dekat saya,” balas Encik Peon seakan-akan memerli Muslim. Dia terus memutuskan talian.
Muslim menggeleng. Dia ketawa lucu seorang diri.
“PETANG ni kita berbuka dekat rumah famili abang lagi ke?” soal Zara ketika dia dan Muslim dalam perjalanan pulang dari kerja.
Muslim menoleh Zara sekilas. “Cara sayang tanya tu macam tak suka aje berbuka dekat sana? Tak seronok berbuka dengan dia orang?”
“Bukan itu maksud Zara. Zara cuma tak suka sepupu abang tu aje. Mesti dia terhegeh-hegeh dekat abang lagi macam semalam. Kalau nak berbuka dekat sana Zara okey aje. Tapi Zara tak nak bermalam dekat sana,” tegas Zara.
Kalau Dilla tidak ada dia tidak kisah nak tidur setiap malam. Sebab jika bukan bulan puasa pun dia dan Muslim selalu juga bermalam di sana.
Muslim tersenyum. Terus teringat pasal Encik Peon menelefonnya pagi tadi.
“Sayang tahu tak? Pagi tadi bos sayang ada telefon abang.”
“Ia? Dia tanya apa?” Zara berpura-pura tidak tahu. Dalam hati membuak-buak rasa ingin tahu hadir.
“Dia marah dan bebel abang pasal Dilla. Sayang mengadu dekat dia ya?”
Laju Zara menggeleng. “Mana ada. Zara luah aje. Tapi tak sangka pulak sampai dia nekad telefon abang. Teruk ke dia marahkan abang?”
“Taklah. Membebel aje lebih.”
“Dia bebel apa?” soal Zara lagi ingin tahu.
“Dia pesan suruh jaga hati sayang.”
Zara terkedu. Encik Peon cakap macam tu? Terharu pula dia mendengarnya.
“Jadi, abang tolonglah dengar pesanan dia tu. Jangan buat Zara selalu marah atau berkecil hati dengan abang.”
Muslim meraih tangan kanan Zara. Kemas digenggamnya.
“Kenapa sayang cemburu sangat ni dekat abang dengan Dilla? Abang tak anggap dia lebih pun daripada seorang sepupu. Kan abang dah ada sayang. Sayang tak yakin dengan perasaan abang dekat sayang?”
“Zara boleh rasa Dilla tu suka dekat abang. Abang tak perasan ke cara dia approach abang macam mana?” kata Zara. Memang nampak sangat. Mustahil Muslim tidak berasa apa-apa dengan tingkah laku gadis itu yang menggedik lebih-lebih dengannya.
“Abang tahu dia tu sukakan abang. Tapi abang suka dekat sayang sorang aje.” Muslim senggol lengan Zara sambil tersenyum.
Zara mencebik. Susah dia nak percaya walaupun pengakuan itu kedengaran manis pada halwa telinga.
“Kalau suka dekat Zara kenapa abang layan aje dia macam abang pun syok jugak dekat dia?”
“Bila masa abang syok dekat Dilla? Abang layan dia sama aje macam sebelum abang kahwin dengan sayang. Kalau sayang nak tahu, hubungan kami memang mesra. Tapi tak adalah sampai abang ni jatuh cinta dekat dia. Mungkin dia tersalah tafsir sikap mesra abang terhadap dia. Kalau betullah abang ni syok dekat Dilla, abang tak kahwin dengan sayang tau?”
Bibir Zara terus mengukir senyum. Segera hatinya terpujuk setelah mendengar penjelasan Muslim. Okey, sekarang dia percaya Muslim tidak ada perasaan terhadap Dilla.
Telefon pintar di dalam poket seluar berbunyi. Muslim melepaskan tangan Zara dan menarik keluar melihat nama si pemanggil. Dilla? Dia memandang Zara dengan rasa berbelah bahagi. Namun dia jawab juga.
Zara memerhati Muslim dan memasang telinga.
“Ada apa, Dilla?” tanya Muslim.
“Abang dah balik kerja ke belum? Nanti datang ambil Dilla bawa Dilla pergi ke bazar boleh? Dilla teringin nak pergi bazarlah,” jawab Dilla.
Muslim melirik Zara yang sudah menarik muka masam. Kalau setuju lagilah bertambah masam muka Zara.
“Hari ni abang berbuka dekat rumah. Zara masak. Jadi, abang tak pergi ke bazar.”
“Ha? Kenapa tak berbuka dekat rumah nenek? Dilla baru aje lepas masak sup tulang untuk abang. Abang suka makan, kan? Datanglah berbuka dekat sini. Penat tau Dilla masak.” Dilla memujuk. Hampa dia mendengar jawapan Muslim tadi.
“Dilla simpan ajelah dalam peti. Esok abang datang.”
“Abang ni sampai hati betul buat Dilla macam ni. Dahlah tak nak bawa Dilla pergi ke bazar. Lepas tu tak nak berbuka dekat sini pulak.”
“Manalah abang tahu Dilla ada masak lauk untuk abang. Lain kali beritahulah abang awal-awal.”
“Abang ni… Okey, Dilla tak kisah kalau abang tak nak bawa Dilla pergi ke bazar. Tapi datanglah buka puasa dekat rumah nenek. Please…” Manja Dilla memujuk rayu Muslim.
Muslim menarik nafas. Payah macam ni…
“Abang datang esok ajelah. Lagipun Zara ada masak untuk abang jugak.”
“Mana sama masakan Zara dengan Dilla. Dilla masak sedap lagilah, abang...”
Darah Zara menyirap mendengar kata-kata Dilla. Walaupun Muslim tidak membuat loudspeaker tetapi dia masih boleh mendengar dengan jelas kata-kata Dilla. Melampau betul minah ni. Sedap mulut sahaja memburukkan dia di depan Muslim.
“Hmm… tengok dululah macam mana,” balas Muslim.
“Abang datang tau. Dilla tunggu. Bye!” Panggilan terputus.
Muslim mengeluh kemudian memandang Zara. Daripada mimik mukanya dia tahu apa yang bergolak dalam hati Zara pada waktu itu.
Zara tersenyum sinis.
“Pergi ajelah, abang. Orang dah ajak. Nanti kempunan pulak nak makan sup tulang terbaik di dunia ni,” ujarnya mengejek.
Namun Muslim tidak mengambil serius soal itu. “Tak apalah. Isteri abang pun pandai jugak memasak sup tulang terbaik di dunia kan? Lagipun kalau pergi takut orang tu merajuk pulak. Kena tadah telinga lagi dengar bos dia membebel abang,” kata Muslim berseloroh.
Zara mengulum senyum. “Zara rasa nak makan bubur lambuklah. Jom kita singgah bazar sekejap.”
“Okey.” Muslim bersetuju. Kalau Zara yang ajak dia berat hendak menolak.
DILLA merajuk sampai berbuka minum air kosong sahaja. Terasa sungguh hatinya apabila Muslim tidak datang berbuka di rumah Hajah Rokiah. Nyaris-nyaris dia hendak buang semua sup tulang tadi. Namun mujurlah neneknya sempat menghalang.
“Apa Dilla ni? Sampai macam tu sekali merajuk dengan Muslim. Dia kan dah kahwin. Takkan nak datang berbuka dekat sini setiap hari.” Hajah Rokiah menegur kelakuan Dilla. Buat perangai sungguh cucu dia itu.
“Tapi, nek… Dilla balik Malaysia bukannya setiap tahun. Apa salahnya sepanjang Dilla berada dekat sini dia datang luangkan masa selalu dengan Dilla. Entah-entah Zara yang hasut suruh dia jangan datang sini tak?”
“Hisy! Ada pulak tuduh Zara macam tu. Zara tu baik tau. Jangan cakap bukan-bukan pasal dia depan nenek,” marah Hajah Rokiah. Jentik mulut baru tahu.
Dilla herot bibir sambil menjeling Hajah Rokiah sebal. Sampai sekarang dia makan hati apabila tahu neneknya mencari calon lain untuk menjodohkan Muslim. Padahal, Hajah Rokiah tahu perasaannya terhadap Muslim.
“Nenek tak sepatutnya jodohkan Abang Mus dengan Zara. Nenek tahu kan Dilla dah lama suka dia. Sampai hati nenek buat Dilla kecewa.”
“Adilla Syuhada, dengar sini apa nenek nak cakap. Walaupun sepupu boleh berkahwin, tapi dalam keluarga nenek, nenek tak suka keturunan nenek berkahwin sesama darah daging sendiri. Dilla cari ajelah lelaki lain. Pak Arab dekat Dubai takkan tak ada sorang pun yang Dilla berkenan?”
Dilla membuat muka geli. Badannya digigil-gigilkan. “Pak Arab? Eii! Bukan taste Dillalah, nek. Dilla lebih suka Abang Mus lagi,” tegasnya. Nak Muslim juga!
“Jangan nak terhegeh-hegeh sangatlah. Muslim tak pernah suka dekat Dilla pun. Dia cuma anggap Dilla sebagai sepupu aje. Tak lebih daripada tu. Macam dah tak ada lelaki lain aje sampai tergila-gilakan sepupu sendiri.” Hajah Rokiah membebel lagi.
“Apa yang bagus sangat pasal Zara tu sampai nenek sayang sangat dekat dia? Dilla tengok dia tu biasa aje orangnya. Tak sesuai langsung dengan Abang Mus.”
Hajah Rokiah tersenyum panjang. Terbayang-bayang wajah Zara di mata.
“Memang dia tu biasa-biasa aje orangnya. Tapi, kali pertama Muslim bawa dia jumpa nenek, dia buat nenek terpegun dan rasa sesuatu. Nenek yakin Zara tu pilihan terbaik untuk Muslim. Tengoklah, walaupun Muslim dah cacat tapi dia tetap sudi kahwin jugak.”
“Dilla pun tak kisah jugak dengan kaki Abang Mus yang tempang tu. Tapi kenapa nenek tak nak kahwinkan kami?” Dilla terus mempertikai.
Hajah Rokiah mengeluh. Memang penat melayan kerenah Dilla yang tidak reti bahasa ni. Nak kena bercakap dalam bahasa Arab dahulu kut baru boleh terima kenyataan. Tetapi dia tidak retilah pula.
“Dilla nak tahu kenapa nenek tak nak kahwinkan Dilla dengan Muslim? Sebab perangai Dilla nilah. Menjengkelkan nenek. Mengada-ada mengalahkan budak kecik! Ni, nenek nak pesan. Jangan nak bertempel sangat dengan Muslim tu. Tolong hormat dan jaga sikit perasaan Zara. Faham?”
Dilla mencemik. Tak puas hati betul dia dengan Hajah Rokiah. Asyik melebihkan Zara sahaja. Dia bertempel dengan Muslim pun salah ke? Huh!
Reeani Annur 2015
No comments:
Post a Comment