10 October 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! Edisi Puasa & Raya [Part 2]

KIRI dan kanan penuh dengan juadah yang menyelerakan. Rambang mata pergi ke bazar Ramadan tengok semua makanan sedap-sedap belaka. Padahal kiri dan tangan tangan sudah penuh membimbit plastik.
“Abang ada nak beli apa-apa lagi ke?” Zara menyoal Muslim.
“Abang rasa nak makan ikan bakarlah. Jom kita pergi beli dekat gerai Sudin,” kata Muslim di mana ajakannya dipersetujui oleh Zara. Sepanjang bulan puasa Sudin berniaga di sini bersama Nadia. Namun, inilah kunjungan pertamanya ke gerai mereka.
Dari jauh sudah terdengar suara Sudin terjerit-jerit menarik pelanggan datang singgah membeli di gerainya.
“Mari-mari! Pakat beli ikan bakar. Kerapu ada. Siakap ada. Bawal pun ada. Tudung bawal aje tak ada.”
“Bang, bawal tu jenis tu aje ke yang ada? Yang printed tak ada?”
Printed kepala hangguk kau!” balas Sudin sambil disahut ketawa Muslim.
“Amboi kau, Mus… Dekat hujung-hujung puasa baru kau nak datang jenguk gerai aku. Tak supportive betullah kau ni,” Sudin bersungut pula. Bukannya Muslim tak tahu dia berniaga di sini sepanjang bulan Ramadan dengan Nadia.
Muslim tersengih. Dah agak mesti Sudin bising pasal soal itu.
“Bulan puasa banyak memasak, Din. Makan apa yang ada dekat rumah tu ajelah. Tapi hari ni aku dengan Zara berbuka dekat rumah famili aku. Jadi keluarlah cari juadah sikit. Ni, bagi aku siakap seekor. Pilih yang besar-besar sikit. Sambal tu aku nak lebih.”
Sudin memilih ikan yang dikehendaki Muslim. Kemudian dia beri kepada Nadia di sebelah suruh tolong bungkus.
“Amacam business kau bulan puasa ni? Maju tak?” tanya Muslim.
“Alhamdulillah. Bolehlah buat modal pergi honeymoon ke luar negara lepas kahwin bulan depan.” Sudin mengerling Nadia yang tersenyum membungkus ikan bakar Muslim. Sebab Nadia teringin sangat nak pergi ke Bali, dia berusaha juga cari jalan kumpul duit. Mujurlah perniagaan yang baru dijalankan ini mendapat sambutan. Tak sangka berniaga ikan bakar di bazar Ramadan boleh mencecah angka sampai beribu-ribu ringgit.
“Syukurlah. Sampai seru jugak kau akhirnya ikut jejak aku.”
“Habis tu takkan kau aje yang boleh kahwin? Pakar cinta macam aku ni pun nak bahagia jugak. Mana boleh kau sorang aje bahagia.”
Riuh rendah gerai Sudin dengan hilai tawa. Usai membungkus, Nadia menghulur plastik ikan bakar kepada Sudin dan Sudin beri kepada Muslim pula.
“Nah, Mus… ikan bakar kau. Ha, rempah ikan ni spesial tau. Nadia buat sendiri. Resipi turun temurun daripada nenek moyang dia. Macam ni!” Ibu jari kanan dinaikkan tinggi.
Muslim mengambil bau. Semerbak menusuk ke rongga hidung.
“Wah, bau pun dah mengancam ni. Belum makan lagi. Power bakal isteri kau ni, Sudin,” pujinya sambil tersengih memandang Nadia. Tersipu-sipu gadis itu.
“Tengoklah bakal suami dia siapa? Kan, sayang?” Sudin menaikkan kolar bajunya seraya tengok Nadia.
“Yalah, kau memang hebat serba serbi.” Muslim malas hendak melayan Sudin lebih-lebih. Biarlah Sudin nak puji diri sendiri pun. Kemudian dia keluarkan duit 20 ringgit mahu membayar ikan bakar tersebut.
“Nah, duit ikan ni. Baki tu kau simpan ajelah.”
Sudin menggeleng. Menolak duit yang Muslim beri kepadanya. “Tak payah bayarlah, Mus. Aku kasi FOC aje. Sedekah sempena bulan Ramadan yang mulia ni.”
Terkaku sejenak Muslim. Dia terkebil-kebil memandang Sudin. “Betul ke ni? Kalau macam tu sedekah seekor lagi boleh?”
“Boleh. Tapi tak ikhlas dahlah,” balas Sudin selamba. Sempat dia melirik Zara sambil putar tangan tunjuk isyarat miring. Ketawa Zara dibuatnya dia kata otak Muslim tak center.
Bahu Sudin ditepuk beberapa kali. “Tak adalah… Aku gurau aje tadi. Terima kasih banyak-banyaklah, Din. Moga murah rezeki kau berniaga. Aku minta diri dululah. Sembang dengan kau sampai sahur esok pun tak habis.”
“Okey, Mus. Terima kasih sebab singgah. Jangan lupa pergi terawih malam ni.” Sudin hulur tangan berjabat dengan Muslim. Dia tersengih sendirian tengok Muslim dan Zara berlalu pergi.  

“ABANG MUS!” Dilla meluru ke muka pintu menyambut kedatangan Muslim.
“Ha, dah sampai dah orang jauh,” kata Muslim tersenyum senang memandang Dilla.
Dilla merupakan sepupunya sebelah abah. Emak Dilla, Puan Hawa, kakak kepada abahnya. Mereka sekeluarga menetap di Dubai kerana ayah Dilla bekerja di sana. Tetapi kepulangannya ke Malaysia hanya dua beranak sahaja. Ayah dan adik beradik lain akan menyusul dua hari selepas hari raya disebabkan terikat dengan komitmen kerja masing-masing.
“Baru aje sekejap tadi. Abang dari bazar Ramadan ke? Wah, banyaknya beli makanan,” tegur Dilla.
“Zaralah ni. Semua dia nak makan. Abang beli ajelah. Kalau tak nanti merajuk pulak,” seloroh Muslim sambil melirik Zara. Dia ketawa kecil apabila Zara menjelingnya manja.
Mata Dilla berkalih ke arah Zara. “Oh, inilah isteri abang tu ya? Hai, Zara…” Dia melambai tangan.
“Hai.” Zara senyum. Baru nak beramah mesra selanjutnya, niat itu terpaksa dilupakan apabila Dilla sambung bersembang dengan Muslim seolah-olah suaminya sahaja yang berada di situ.
“Abang, jom ikut Dilla sekejap. Dilla ada sesuatu nak tunjuk dekat abang.”
“Apa dia?”
“Jomlah ikut Dilla. Nanti abang tahulah.” Dila menggesa Muslim.
Muslim memberi semua plastik kepada Zara. “Sayang tolong bawa pergi ke dapur ya? Abang ikut Dilla sekejap.”
Zara mengangguk. Dia memerhati Muslim dan Dilla masuk ke dalam rumah bersama-sama. Rasa cemburu perlahan-lahan mengetuk pintu hati. Sepupu balik aje Muslim terus tidak mahu melayan dia lagi. Namun dia pujuk hatinya agar tidak cemburu lebih-lebih. Tak apa, beri peluang mereka bersembang. Lagipun lama tidak berjumpa sudah pasti banyak perkara yang hendak dikongsi.
Zara pergi ke dapur. Puan Mariam yang turut berada di situ menyambut kedatangannya dengan senyuman.
“Beli apa tu, Zara?”
“Macam-macam ada, ibu. Ayam golek, popiah basah, kuih ketayap, murtabak. Ikan bakar pun ada. Sudin yang kasi tadi,” jelas Nuha sambil membuka semua juadah tersebut lalu memindahkan ke dalam pinggan lain.
“Beli makanan banyak-banyak tu pastikan semuanya habis dimakan. Jangan membazir pulak nanti.”
“Mesti habis, ibu. Kan hari ni ramai orang ada kat rumah ni. Ibu tengah masak apa tu?” Zara merapati Puan Mariam. Dia panjangkan leher melihat isi di dalam periuk yang ibu mentuanya sedang kacau.
“Ibu masak stew daging rusa. Kawan abah yang baru balik dari Sabah beli. Abah kirim dekat dia. Zara makan tak daging rusa?” tanya Puan Mariam.
“Makan, ibu. Ada apa-apa yang nak suruh Zara tolong ke?”
“Dah nak masak dah pun. Ni, Zara dah jumpa ke dengan Dilla?”
“Dah tadi.”
“Itulah sepupu Muslim yang tinggal dekat Dubai. Jarang-jarang sekali balik Malaysia. Nanti Zara berbual-buallah dengan dia. Mesra orangnya.”
Zara mengangguk. Memaniskan mukanya. Memang orangnya mesra. Tetapi hanya dengan Muslim. Dengan dia setakat lambai tangan dan ucap hai sahaja.
“Ibu, Zara nak masuk bilik sekejap. Nanti Zara datang balik.”
“Yalah.”
Zara terus keluar. Sewaktu melintasi ruang tamu, dia terpandang Muslim dan Dilla bersembang dekat sofa. Namun, Muslim tidak perasan sebab membelakanginya. Dia tengok ada benda yang ditunjukkan oleh Dilla kepada Muslim tetapi tidak pasti apa. Sesekali mereka bergelak ketawa. Hai, sakit pula matanya melihat gelagat dua orang itu. Nak buat dia makan hati ke apa ni?

DI muka pintu, Zara memerhati secara jauh Muslim berbual mesra dengan Dilla sambil memasang pelita di halaman rumah. Cemburu usah cakaplah. Sejak Dilla sampai petang tadi, dia tengok gadis itu selalu nak bertempel dengan Muslim. Muslim pun satu hal jugak. Melayan sahaja. Isteri sendiri dia buat-buat lupa.
“Zara, Muslim mana?”
Kedua-dua bahu Zara terangkat. Terkejut dengan sapaan Puan Mariam yang bertanya mengenai anaknya. Dia segera menoleh.
“Dekat luar, ibu. Tengah pasang pelita dengan Dilla,” jawab Zara.
Puan Mariam memanjangkan leher mengintai ke luar. Dia senyum sebelum memandang Dilla semula.
“Habis, kenapa Zara tak pergi join sekali?”
“Tak apalah. Zara tak nak kacau Mus dengan Dilla bersembang.” Zara tersenyum. Ah, hakikatnya hati dia meronta-ronta hendak pergi ke sana dengar apa yang kedua-duanya bersembang. Tetapi sebab bimbang cemburu tidak boleh dikawal, dia memilih berdiri di muka pintu sahaja.
“Ibu nak pergi ke dapur buat kuih. Zara nak ikut?”
“Boleh jugak,” balas Zara tanpa berfikir panjang. Mungkin dia boleh lupakan pasal cemburunya tadi. Dia ayun kaki ke dapur mengikut Puan Mariam.
“Malam ni ibu nak buat biskut buah kana. Muslim suka tau makan biskut ni. Setiap kali raya memang wajib ibu buat biskut ni untuk dia,” beritahu Puan Mariam ketika tangan sibuk menyediakan bahan-bahan membuat biskut tersebut.
“Kalau macam tu Zara nak belajar buat dengan ibulah. Ibu ajarkan Zara ya?” Zara berasa teruja mahu menuntut ilmu. Kalau dia pandai buat mesti dapat menambat hati Muslim. Bertambah sayang Muslim kepadanya nanti. Dia tersenyum membayangkan perkara itu.
“Boleh. Nah ambil ni buat bahagian Zara.” Puan Mariam memberi tunjuk ajar kepada Zara mengadun semua bahan sehingga menjadi doh.
Tidak lama selepas itu, Muslim masuk ke dapur. Niat di hati mahu minum air terbantut sekejap apabila melihat Zara dan ibunya asyik membuat biskut raya. Dia terus datang merapati kedua-duanya.
“Wah, biskut favorite abang. Sayang buat ke ni?” tanya Muslim sambil tengok dulang biskut yang telah siap dibakar.
“Ibu cakap abang suka makan biskut ni. Jadi, Zara belajarlah buat. Cuba abang rasa. Sedap tak?”
Muslim mengambil sebiji dan suap ke dalam mulut. Dia kunyah perlahan sebelum tersenyum mengangguk.
“Hmm… Sedap! Pandai sayang abang buat. Tak sia-sia abang kahwin dengan sayang.” Pipi Zara dicubit manja. Dia makan lagi sebiji.
“Alah, Dilla pun pandai jugak buat biskut ni. Tak susah mana pun,” celah Dilla yang muncul di situ tiba-tiba. Dia mencebik tengok biskut yang Zara buat dimakan begitu berselera oleh Muslim.
Hati Zara sudah bengkek. Sibuk ajelah minah ni. Yalah, bab pandai bagi dekat kau sorang ajelah. Mengurat laki aku pun kau pandai jugak! Zara mengutuk Dilla dalam hati. Tanpa mempeduli Dila, dia sambung memasukkan doh ke dalam acuan. Ada sedikit lagi yang tinggal dan nak dibakar.
“Eh, bukan macam tulah, Zara. Macam ni…” Dilla mengambil selamba acuan dari tangan Zara dan membuang semula doh yang Zara masukkan tadi. Dia mencubit doh lain. Masukkan ke dalam acuan semula, tekan sedikit dan setelah mampat diketuk keluar doh yang terbentuk seakan buah kana. Selepas itu dia tunjuk kepada Zara.
“Ha, tengok… kan cantik bentuk dia. Yang awak buat tu bentuk dia tak cantik sangat. Mehlah saya buatkan semua sekali,” kata Dilla.
Ya Allah, sakitnya hati aku! Zara semakin bengang dengan sikap Dilla yang selamba tidak bertempat itu. Muka tembok betullah. Dia memandang Muslim dengan muka masam. Berharap Muslim faham yang dia betul-betul sakit hati sekarang.
Seakan-akan memahami maksud pandangan itu, Muslim terus menegur Dilla.
“Dilla, tak payahlah kacau Zara nak buat biskut untuk abang tu. Biarlah dia aje yang buat.”
“Alah, tak apalah. Dia dah buat kan tadi. Bagilah Dilla buat pulak. Lagipun bentuk Zara buat tak kemas sangat. Dilla buat lagi okey. Nanti dah siap bakar, abang makan tau biskut Dilla buat ni. Dilla buat khas untuk abang,” kata Dila sambil tersenyum sebelum berkalih menoleh Zara pula. “Zara, awak tak kisah kan?”
“Tak apa. Saya tak kisah. Abang janganlah marah Dilla. Biarlah dia buatkan semua. Zara pun dah rasa penat buat biskut ni. Jadi, Zara nak masuk bilik dululah. Ibu, terima kasih banyak-banyak sebab ajar Zara tadi,” ujar Zara beralasan. Sehabis daya dia memaniskan muka di depan Puam Mariam walaupun hati masih berasa dongkol dengan Dilla.
“Sama-sama. Nanti kita buat biskut lain pulak ya?” balas Puan Mariam tersenyum.
“Dilla pun nak join jugak!” sampuk Dilla.
Ah! Mengada betul. Buat ajelah biskut yang kau nak buat sangat tu. Zara menggerutu geram. Dia terus keluar tanpa menunggu lebih lama.
“Sayang…”
“Abang, tengoklah biskut Dilla buat ni… cantik tak?”
Muslim tidak jadi mengejar Zara.
Zara pun turut terhenti langkahnya. Perlahan-lahan dia berpaling. Kali ini dia jeling Muslim dan Dilla terang-terangan.

PINTU bilik dikuak. Muslim melangkah masuk menghampiri Zara yang duduk di atas katil. Masam mencuka wajahnya.
“Cepatnya masuk bilik? Dah puas ke bermesra dengan sepupu kesayangan abang tu?” perli Zara apabila Muslim hendak buka mulut menegurnya. Matanya menjeling Muslim sekilas.
Muslim tersenyum. Daripada nada pertanyaan Zara itu dia tahu Zara cemburu.
“Mana ada abang bermesra. Abang cuma bersembang aje. Kalau macam ni barulah sayang boleh cakap abang bermesra,” balas Muslim seraya memeluk pinggang Zara dan mencium pipinya.
Zara menolak tubuh Muslim.
“Pergilah berkepit dengan sepupu abang tu. Tak cukup pasang pelita berdua-duaan, lepas tu menyibuk dekat dapur pulak tunjuk pandai buat biskut. Konon dialah tahu serba-serbi pasal biskut tu. Siap buatkan khas untuk abang lagi. Eii! Dia tu memang menyakitkan hatilah!” Tangan Zara menumbuk bantal kuat melepaskan rasa geramnya. Tak sangka pula sepupu Muslim itu begitu menjengkelkan perangainya.
“Cemburulah tu.” Muslim mencuit hidung Zara tetapi ditepis laju oleh Zara sambil mendecit kuat.
“Maaflah kalau abang buat sayang marah,” katanya lagi.
“Memanglah Zara marah. Sepupu abang tu macam sengaja nak curi perhatian abang daripada Zara. Abang pun satu. Layan aje dia. Abang dah lupa ke Zara ni isteri abang?”
“Kalau lupa takkan abang masuk bilik ni pulak. Mestilah abang masuk bilik dia.”
Mata Zara terjegil. “Abang jangan berani cari pasal. Kalau tak…”
“Abang cium sayang,” sambung Muslim sambil mengekek. Tidak peduli langsung pasal kemarahan Zara yang sedang berapi itu.
Zara mendengus. Muslim ni memang tak pernah nak serius dari dahulu. Geramnya semakin menjadi-jadi. Dia terus rebahkan badan dan tarik selimut mengelubungi tubuh. Mata dipejam buat-buat tidur.
Muslim menghendap ke muka Zara dekat. “Sayang abang ni tidur betul-betul ke tipu? Apasal mata terkejip-kejip?”
Zara kembali celik. Terkejut dia tengok muka Muslim yang begitu dekat dengan mukanya. Tersengih-sengih seolah-olah mengejeknya. Dia pusing tubuh berbaring secara mengiring pula. Lari daripada wajah Muslim.
Ketawa Muslim terhambur. “Abang sukalah tengok sayang merajuk macam ni. Sweet. Macam gula-gula kapas.”
Huh! Muka dia masam macam mempelam putik Muslim cakap macam gula-gula kapas? Sumbat kapas dalam mulut baru tahu. Zara bangkit semula.
“Zara tak suka dia!” luahnya terus terang.
“Cukuplah suka dekat abang sorang aje.”
Wajah Muslim dijeling. “Tak! Zara pun benci abang jugak!”
“Bukan benci tanda sayang ke?”
“Itu tajuk novel!”
Muslim gelak besar. Pandai Zara membuat lawak semasa tengah marah. Lagilah dia tidak berasa gerun dengan kemarahan isterinya itu.
“Abang tahu abang salah. Abang minta maaf okey,” pujuk Muslim lembut. Rambut Zara disisir sambil merenung redup wajahnya.
Hati Zara sedikit demi sedikit terpujuk. “Berapa lama lagi dia tinggal dekat sini?”
“Sampai habis Syawal.”
Rahang Zara terasa hendak patah. Argh! Tiba-tiba terasa nak persoal kenapa bulan Syawal disambut sebulan.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment