06 July 2015

Kahwin Dengan Aku Ajelah! 11

“MACAM mana Zara kenal dengan kekasih Zara tu? Ceritalah sikit dekat mak dan ayah. Kami pun teringin jugak nak tahu.” Mak Leha cuba merisik kisah cinta Zara sewaktu mereka sekeluarga sedang makan malam.
Zara terbatuk tiba-tiba. Kekasih? Sejak bila pula dia ada kekasih? Ini tidak lain dan tidak bukan mesti emak dia maksudkan si Muslim tu. Mati hidup semula pun dia tidak mahu jadi kekasih Muslim.
“Makanlah elok-elok sikit. Habis tersembur nasi tu. Kalau bakal mak mentua tengok tentu dia tak berkenan nak buat jadi menantu nanti,” tegur Mak Leha apabila melihat beberapa butir nasi keluar dari mulut Zara dan jatuh di atas meja.
“Baguslah kalau tak berkenan pun. Selamat Zara daripada kena paksa kahwin.” Zara menjawab perlahan tanpa memandang Mak Leha.
“Hai, dah makan nasi pun masih tak ada tenaga nak bercakap ke?” perli Mak Leha. Entah apa yang Zara cakap. Mulut terkumat-kumit tetapi butir-butirnya tidak jelas kedengaran.
Zara terus panggung muka dan berkata spontan tanpa sedar. “Ya Allah, mak... Muslim tu cuma kawan Zara ajelah. Bukannya kekasih Zara. Berhentilah, mak, buat gosip tak betul ni.”
Mak Leha dan Pak Mutalib tercengang. Bulat mata kedua-duanya memandang Zara.
“Zara cakap apa ni?” soal Mak Leha sambil kerut muka.
“Hah?! Zara cakap apa? Apa yang mak dan ayah dengar Zara cakap tadi?” Zara menggelabah apabila melihat muka emak dan ayahnya serius semacam merenungnya.
“Zara cakap mak buat gosip tak betul. Apa pulak yang tak betulnya? Memang betul kan Muslim tu kekasih Zara?” tukas Mak Leha.
Mata Zara buntang. Dia cakap macam tu ke tadi? Erk... habislah kalau terkantoi. Dia tersengih tutup rasa gugup. Nak tak nak, dia terpaksa mengakui kata-kata emaknya tadi bagi mengelakkan rahsianya bocor.
“Yalah, memang betullah tu Muslim tu kekasih Zara. Kekasih awal dan akhir. Tak ada galang gantinya.”
Wajah Mak Leha dan Pak Mutalib kembali ceria setelah dengar pengakuan Zara itu.
“Alhamdulillah, lega hati ayah dengar Zara cakap macam tu. Insya-Allah, semoga jodoh Zara dan Muslim kekal sampai akhir hayat,” kata Pak Mutalib. Kemudian dia menyambung lagi. “Hah, cepatlah jawab soalan mak tadi. Dah lama ayah dan mak tunggu jawapan Zara.”
Zara pandang Mak Leha yang turut sama memandangnya. “Err... kalau tukar topik lain boleh tak, mak? Topik ni macam tak bestlah nak sembang.”
“Alah... mak cuma nak tahu aje. Lagipun selama ni Zara tak pernah cerita pasal Muslim tu kat depan mak dengan ayah.” Mak Leha terus berusaha memujuk Zara supaya membuka mulut.
“Muslim tu, macam mana orangnya? Macam mana Zara boleh jatuh cinta dekat dia?” Giliran Pak Mutalib pula menyampuk.
Zara telan air liur. Pertanyaan ayahnya itu bikin dadanya berombak. Namun, dia sedar dia sudah tidak ada pilihan lain selain terpaksa menceritakan kisah cinta palsunya dengan Muslim. Harap-harap Muslim tidak terbelahak sepanjang malam ini.
“Muslim tu orangnya... hitam manis dan tak sedap dipandang.”
Pak Mutalib kerut dahi. “Sebab apa pulak?”
“Sebab hidung dia kemek. Senyum dia pulak senget-benget. Gigi dia, masya-Allah... banyak rongak, ayah. Memang tak kacak langsung. Muka ayah lagi kacak daripada dia,” seloroh Zara tergelak-gelak menerangkan fizikal Muslim yang sengaja direka-reka kepada ayahnya.
“Eh, kacak apa? Mak tengok gambar dia hari tu macam ada iras-iras Beto Kusyairy sikit. Alah... pelakon kegemaran mak tu,” celah Mak Leha tersengih-sengih.
Masih terbayang-bayang lagi rupa Muslim yang Hajah Rokiah tunjukkan kepadanya. Pakai jean dan kemeja kotak-kotak. Lengan baju disingsing sehingga paras siku. Rambut pula terbelah dua dengan sebahagiannya menutupi dahi serta matanya. Macam itu pun masih tidak kacak lagi ke pada pandangan mata Zara?
Zara mengeluh panjang.
“Dah tu, kalau mak dah tengok gambar dia, buat apa mak tanya dekat Zara lagi? Buat lenguh rahang Zara aje cerita pasal hal dia,” balas Zara seraya menyuap semula nasi ke dalam mulut.
“Mak tanya bukannya apa. Kadang-kadang bila tengok kat dalam gambar, rupanya macam ni. Bila jumpa depan-depan, bertukar jadi macam tu pulak. Sebab itulah mak dan ayah nak tahu. Zara kan selalu jumpa dia. Mesti Zara banyak tahu pasal dia, kan? Ha, soalan kedua ayah tadi tu Zara belum jawab lagi.”
“Soalan kedua mana pulak ni, mak? Banyak sangat mak dan ayah tanya Zara tadi. Dah tak ingat dah Zara soalan yang mana satu.” Zara buat-buat tidak mengerti. Lauk sotong masak merah di depannya dicedok tanpa mempedulikan pandangan mata Mak Leha yang memanah tepat ke wajahnya.
Mak Leha senggol lengan Pak Mutalib di sebelah. “Abang, tengoklah anak abang tu... Sejak dilamun cinta ni cepat betul jadi pelupa. Maklumlah, dalam kepala tu asyik duk ingat dekat buah hati aje.”
Isy! Emak aku ni... Kut ya pun nak mengusik, janganlah masa aku tengah telan nasi macam ni. Karang ada pulak yang mati tercekik. Zara menggerutu tidak selesa. Mukanya sudah terasa hangat. Itulah tuduhan yang paling tidak berasas sekali yang pernah dia alami. Sesak nafas dia dibuatnya.
“Ayah tanya, macam mana Zara boleh jatuh cinta dekat Muslim tu?” Pak Mutalib mengulang semula soalannya tadi.
“Oh... Alah, tak naklah jawab soalan ayah tu. Nanti ayah tanya ajelah dekat Muslim sendiri.” Zara memberi jawapan selamat.
“Apa salahnya kalau ayah tanya dekat Zara sendiri?”
Aduhlah... Apa pulak aku nak kelentong kali ni? Zara mengomel dalam hati. Dah tak larat rasanya nak bercakap bohong. Bukannya dapat pahala pun.
“Err... Zara rasa Muslim kut yang jatuh cinta dekat Zara, bukannya Zara yang jatuh cinta dekat dia. Ha... betullah! Memang dia yang jatuh cinta dulu dekat Zara. Zara cakap tak nak, tapi dia nak jugak. Memang tak malu betul dia tu,” jelas Zara lantas mencapai gelas air kosong di sebelah kirinya lalu meneguk laju bagi meredakan rasa debar yang mengasak hebat.
Dadanya terasa lapang selepas itu apabila tiada lagi soalan pasal Muslim ditanya oleh emak dan ayahnya. Selamat!
“Ayah dengan mak rasa seronok sangat bila tahu Zara nak kahwin. Tak sabar rasanya nak tunggu hari perkahwinan Zara tu. Nanti ayah ingat nak tumbang dua ekor lembu. Suruh Pak Mubim masak gulai kawah dan panggil semua orang kampung raikan majlis Zara. Tentu meriah, kan?” Bersungguh-sungguh Pak Mutalib menyatakan hasratnya.
Mulut Zara ternganga. Apa? Nak tumbang dua ekor lembu? Minta-minta lembu tu terlepas dan cabut lari. Argh! Macam mana dia nak betulkan semua ni? Emak dan ayahnya nampak teruja lain macam sejak dia kena pinang.
“Ayah janganlah seronok sangat. Karang Zara tak jadi kahwin, ayah dengan mak sedih pulak.”
“Mestilah ayah rasa seronok. Zara sorang aje lagi anak ayah dan mak yang belum bertemu jodoh tau. Ayah ingatkan dah tak ada lelaki yang nakkan anak ayah ni. Mujurlah Muslim berkenan,” seloroh Pak Mutalib sambil menyulam tawa.
Zara tahan geram melihat ayahnya ketawa senang hati. Namun, dia malas hendak menjawab.
“Lepas ni Zara kenalah rajin duduk dapur. Belajar memasak sampai jadi pandai. Bila dah kahwin nanti senang nak pikat hati suami.” Mak Leha pula mencelah berserta dengan nasihat.
“Selama ni Zara tak pandai masak ke?” soal Zara. Tidak semena-mena dia berasa tercabar mendengar nasihat emaknya. Macam perlekeh dia sahaja.
“Bukan tak pandai. Cuma kena usaha lebih sikit lagi. Biar sampai suami tak nak keluar pergi makan kat kedai langsung. Macam ayah Zara ni.”
Zara memandang Pak Mutalib. Ayahnya menjongket kening, mengiakan kata-kata emaknya. Sotong masak merah yang baru masuk ke dalam mulut, tiba-tiba terasa tawar.

“ASTAGHFIRULLAH al-azim. Apa kena dengan kau ni, Mus? Tercekik roti canai ke?” tanya Sudin sambil menggosok-gosok belakang tubuh Muslim yang terbongkok-bongkok menahan batuk.
“Air... air...” pinta Muslim sambil tangannya menggagau-gagau atas meja, mencari gelas.
Sudin cepat-cepat capai gelas lalu beri kepada Muslim. “Nah, minum perlahan-lahan.”
Muslim minum beberapa teguk. Selepas beberapa minit barulah batuknya reda.
“Kau okey ke tak ni?” soal Sudin mendapatkan kepastian. Merah padam muka Muslim dia lihat.
Muslim angguk.
“Aku okey. Jangan risau,” kata Muslim kembali menjamah roti canai yang masih berbaki separuh. Fuh! Macam nak tercabut anak tekaknya tadi. Siapalah yang duk mengata dia malam-malam buta macam ni.
“Ni mesti kes kau makan baca bismillah kan tadi?” tebak Sudin.
“Baca. Tapi lepas roti canai masuk dalam mulut.” Muslim sengih tayang muka tidak bersalah.
Sudin mendengus. “Lain kali baca bismillah lepas dah habis makan. Baru berkat,” perlinya geram.
Muslim telan roti canai dengan susah payah. “Bukan kes tak baca bismillahlah. Aku rasa ada orang mengata pasal aku ni.”
“Ya ke? Takkanlah orang baik macam kau ni ada haters jugak kut?” Sudin gelak.
“Manalah tahu. Aku kan handsome. Kut-kutlah dia orang dengki dengan ketampanan aku ke?”
“Itu kalau lelaki. Kalau perempuan yang kutuk kau, takkanlah sebab muka kau kacak?”
Muslim toleh ke arah Sudin.
“Mustahillah ada perempuan yang tak suka aku,” balas Muslim menafikan telahan Sudin.
 Sudin ketawa lagi. Tak menahan betul dia dengar jawapan Muslim itu. “Kau jangan ingat semua perempuan suka dekat lelaki handsome. Ada jugak yang menyampah. Nak-nak kalau lelaki perasan jenis bajet bagus macam kau ni.”
“Kalau ada, hati perempuan tu yang bermasalah, bukannya aku.”
“Hah, cakap pasal masalah ni... Masalah kau sekarang macam mana? Dah selesai ke belum?” tanya Sudin. Selepas dia temankan Muslim pergi ke pejabat Syarikat Peon Sdn Bhd, dia sudah tidak dengar apa-apa cerita lagi pasal hal itu. Muslim juga sudah jarang mengadu domba dengannya.
Muslim letak sudu dan garpu dalam pinggan. Habis licin dua keping roti canai yang dipesannya tadi. Kenyang. Dia minum beberapa teguk air sebelum membalas pertanyaan Sudin. “Pasal calon pilihan nenek aku tu semuanya dah selesai. Tapi, ada masalah lain pulak. Nenek aku dah berkenan dekat Zara. Budak yang menyamar jadi kekasih aku tu. Beria-ia dia nak suruh aku kahwin.”
Sudin terkesima. “Pulak dah? Habis tu kau berkenan ke tak?”
Muslim tersenyum meleret. Wajah Zara bermain-main di ruang mata. “Zara tu boleh tahan jugak orangnya. Cantik. Memang untung kalau dapat buat bini.”
“Lain macam aje bunyinya tu...” kata Sudin. Daripada kata-kata Muslim itu, dia dapat membaca perasaan Muslim terhadap gadis yang dimaksudkannya tadi.
Muslim angkat kening. Bukan setakat bunyi sahaja yang lain. Malah, perasaannya juga terasa lain saat pertama kali terpandang Zara. Jantung jadi tidak stabil. Hati tiba-tiba berbunga walaupun tidak pernah tanam sebarang anak benih di dalamnya.
“Kalau dah suka, tunggu apa lagi? Angguk kepala ajelah depan nenek kau tanda setuju...”
“Masalahnya sekarang, Zara tu tak suka aku.”
Sudin petik jari kuat.
“Entah-entah, punca kau batuk tadi sebab dia yang mengata kau tak?” telah Sudin seraya melepaskan ketawa berdekah-dekah.
Muslim ikut ketawa sama. “Ya tak ya jugak kata kau tu. Dia memang pernah cakap dia benci aku.”
“Tapi, Mus... Semua tu bukan masalah besar kalau kau tahu cara macam mana nak tukar rasa benci tu kepada suka.”
“Sebab aku tak tahulah masalah tu sekarang jadi masalah besar. Sekarang aku tengah pening duk fikir macam mana nak hentikan rancangan nenek aku tu. Zara berkeras tak nak kahwin dengan aku walaupun nenek aku masuk meminang dia,” jelas Muslim. Dia hela nafas panjang sambil perhati gelagat para pelanggan yang ada di dalam kedai mamak itu.
Sudin tepuk bahu Muslim perlahan. “Tak payah pening-pening. Kalau aku jadi kau, aku setuju aje kahwin. Sama ada dia suka ataupun tak suka, itu belakang cerita. Dalam Google berlambak petua macam mana cara nak lembutkan hati perempuan.”
Muslim pandang Sudin lama. Kemudian tersengih nakal sambil menggerakkan jari telunjuk ke muka Sudin.

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment