06 July 2015

Benci Tanda Sayang 15 [Akhir]

“KAU dah makan ubat, Nor?” soal Mak Eton memandang Nor yang sedari tadi dia lihat begitu asyik menonton rancangan televisyen bersama Naim. Ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam.
“Dah, mak,” jawab Nor perlahan tanpa menoleh.
“Kalau macam tu, pergilah masuk tidur. Dah pukul berapa ni? Kan tadi Adib pesan suruh banyakkan berehat,” ujar Mak Eton.
Nor menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mendengar sahaja nama Adib, dia mula mengeluh.
“Yang mak pergi dengar pesan Encik Adib tu, kenapa? Dia bukannya doktor pun,” balas Nor dalam nada yang sedikit kurang senang.
“Kamu ni... Kalau doktor yang pesan pun, dia akan pesan perkara yang sama jugak,” balas Mak Eton.
“Dah tu, mak sebut ajelah doktor. Tak payahlah nak mengaitkan nama Encik Adib pulak,” rungut Nor terus merungut kurang senang. Eii... macam sudah tidak ada nama lain yang hendak disebut. Sikit-sikit Adib, sikit-sikit Adib. Berbulu telinga dia mendengar nama lelaki itu.
“Mak, Abang Adib tu suka dekat along ek?” soal Naim pula, tiba-tiba mencelah.
“Diamlah, angah!” marah Nor. Bantal kecil yang berada di dalam pelukannya itu singgah di belakang bahu Naim. Wajah Naim dikerling tajam.
“Bagus betul Abang Adib tu kan, mak. Selalu ambil berat fasal along. Tapi along ni jual mahal sangat. Kesian Abang Adib,” luah Naim menyatakan rasa simpatinya. Bukannya dia tidak boleh membaca perasaan Adib. Melihat cara lelaki itu memandang kakaknya sahaja pun, dia sudah tahu Adib memang menaruh perasaan terhadap Nor.
Naim juga seorang lelaki. Jadi, dia tahulah bagaimana reaksi seorang lelaki sekiranya sukakan perempuan. Sebab dia tahu, Nor memang susah didekati. Kalau tidak, mana mungkin dia boleh menolak mentah-mentah sahaja kesemua pinangan lelaki yang pernah datang meminangnya sebelum ini. Sekeras-keras batu, keras lagi perasaan kakaknya.
“Dengan orang macam dia tu, tak boleh nak jual murah sangat. Angah belum kenal lagi siapa dia tu. Bukannya boleh percaya sangat,” jawab Nor. Kalau dalam soal kerja, bolehlah dia percayakan Adib sebab Adib memang seorang yang sangat teliti dan fokus orangnya. Tetapi kalau soal hati dan perasaan, lebih baik jangan.
Naim memandang Nor kehairanan.
“Kenapa pulak along cakap macam tu? Angah tengok, dia tu okey aje. Dahlah handsome, baik, bertanggungjawab pulak tu. Kira dah boleh buat calon menantulah tu. Kan, mak?” luah Naim masih mempertahankan pendapatnya. Dia rasa, Adib bukanlah teruk sangat pun. Barangkali, Nor yang terlalu berfikiran negatif terhadapnya.
Nor mencebik bibir. Menantu? Jadi hantu bolehlah. Tidak ingin dia berkahwin dengan lelaki seperti Adib itu.
“Dah, tak payahlah nak puji dia melambung-lambung sangat. Tak ada maknanya nak buat calon suami okey. Eii, tak faham betullah kenapa semua orang kat dalam rumah ni asyik duk puji dia sangat,” rungut Nor sambil menumbuk-numbuk bantal yang dipegangnya berulang-ulang kali. Geram betul dia. Bila bercakap fasal Adib sahaja, sekarung pujian yang diberikan. Seolah-olah tiada cacat cela langsung.
“Dah kalau dia tu baik, takkanlah nak keji pulak,” sampuk Mak Eton pula. Dia turut sama mempertahankan Adib.
Aik, seperti berpakat pula kedua-duanya. Hati Nor bertambah geram.
“Dahlah, mak. Jangan cuba nak mulakan. Telinga ni, dah mula rasa panas bila asyik dengar fasal hal dia aje. Kaulah ni, angah, yang mulakan! Huh!” getus Nor dengan geram.
Bantal kecil itu singgah bertalu-talu di belakang tubuh kurus Naim sebelum dia bingkas dari sofa dan meninggalkan ibu dan adiknya yang galak menyulam ketawa. Dua lawan satu, memang dia kalah. Sebelum amarahnya meletus, lebih baik dia beredar sahaja dari situ.

NOR terus merebahkan badannya di atas katil sebaik sahaja masuk ke dalam bilik. Telefon bimbit yang diletak di tepi bantal dicapai dan diperiksa sekiranya ada mesej atau panggilan yang tidak dijawab. Terdapat satu mesej yang diterima dan dia segera membukanya.
               
Jangan lupa makan ubat.

Nor mencebik namun dia tetap membalas.

Dah makan. Terima kasih.

Sebaik sahaja menekan butang send, Nor terus memadamkan lampu. Tidur sahajalah. Mahu buat apa lagi. Matanya juga sudah berasa mengantuk. Namun tidak lama kemudian, telefon bimbitnya pula berbunyi. Nor menggaru-garu kepalanya apabila melihat nama Adib yang tertera pada skrin. Sudah balas mesej pun masih hendak telefon lagi?
“Kenapa lambat jawab telefon? Tak jumpa butang jawab panggilan ke?” soal Adib sebaik sahaja Nor menjawab panggilannya.
Nor mendengus. Belum sempat dia membuka mulut, sudah kena kata? Adib ni memang sengaja mahu cari fasal dengan dia.
“Encik Adib telefon saya semata-mata sebab nak tanya soalan tu aje ke?” perli Nor. Sakit hati juga dia mendengar pertanyaan Adib itu.
Adib ketawa. Terasa lucu pula apabila ditanya sedemikian. Elok-elok dia sindir Nor, alih-alih dia sendiri pula yang kena sindir.
“Awak dah makan ubat?” soal Adib lagi.
“Berapa kali nak tanya? Kan saya dah balas mesej Encik Adib tadi,” balas Nor.
“Bila masa pulak awak balas mesej saya? Saya tunggu dekat sejam tau, tapi awak tak ada bagi respons pun. Sebab tulah saya telefon awak,” ujar Adib.
Nor segera bangun. Isy, takkanlah tak sampai pula kut? Dia yakin dia telah membalas mesej Adib tadi. Atau Adib sengaja mahu mempermainkan dia?
“Tipulah. Saya baru aje lepas hantar tadi. Encik Adib buka peti mesej ke peti sejuk?” sindir Nor lagi. Mana boleh tidak ada. Mestilah ada. Nor berasa tidak puas hati mendengar pengakuan Adib.
Adib mengeluh.
“Buat apa saya nak tipu? Bukannya dapat pahala pun. Cuba awak tengok balik mesej awak tu dekat sent item telefon awak,” pinta Adib.
Nor segera menurut. Eh, tidak ada? Mana pergi mesej yang dia hantar tadi? Peliknya. Kemudian, dia membuka pula peti keluar mesej.
“Ada ke tak?” soal Adib yang mahukan kepastian. Suaranya sayup-sayup kedengaran bertanya.
Nor cepat-cepat meletakkan semula telefon bimbitnya di telinga.
“Err... sebenarnya, kredit telefon saya dah tamat tempoh semalam. Sebab tu mesej tu tak sampai,” jawab Nor serba salah. Aduh, malunya dia.
“Sekarang, awak pergi buka peti sejuk rumah awak dan masukkan kepala awak ke dalam tu,” perli Adib pula.
Nor menggigit bibir. Wajahnya terasa membahang. Lama dia terdiam sebab hilang kata-kata.
“Tak apalah, nanti saya masukkan top-up untuk awak,” kata Adib kemudiannya.
“Eh, tak payahlah, Encik Adib. Esok saya boleh top-up sendiri. Encik Adib ada apa-apa lagi ke? Saya dah nak tidur ni,” tukas Nor yang cuba menamatkan perbualan itu cepat-cepat. Rasa malunya masih belum surut lagi. Mujurlah Adib tidak berada di depan mata dia. Kalau tidak, memang dia rasa malu yang teramat.
“Saya cuma nak pastikan awak dah makan ubat ke belum?” tanya Adib lagi dengan penuh prihatin.
“Saya dah makan lepas makan malam tadi,” jawab Nor.
Adib bergumam. Dia harap Nor bercakap benar.
“Kalau macam tu, berehatlah. Tapi ingat, esok dan hari seterusnya jangan lupa makan ubat. Luka kat dahi tu sapu ubat sampai sembuh. Lagi satu, jangan buat kerja berat-berat sangat,” pesan Adib panjang lebar sebelum menamatkan perbualan mereka.
Nor kembali berbaring. Sayang juga Adib dekat dia. Dia senyum sendirian. Lima minit kemudian, kedengaran lagi bunyi mesej yang masuk ke peti mesej telefonnya. Mata Nor membuntang membaca mesej yang baru diterimanya. Baki kredit telefonnya bertambah daripada RM7.30 kepada RM67.30!

Reeani Annur 2015
 

No comments:

Post a Comment