31 October 2014

Teaser 1 - Kahwin Dengan Aku Ajelah!

Hari ni Internet manja betul dengan saya. Dapatlah saya online menggunakan laptop dan masukkan sedikit teaser KDAA di blog tercinta ni. Tapi saya copy paste daripada Facebook Penerbitan Fajar Pakeer sahaja. Harap-harap terhiburlah hendaknya. Jom baca-baca sikit. Kalau berkenan, cepat-cepat order dengan PFP ya. Order sudah dibuka dan ada harga pakej istimewa lagi.

*****
 
“Sudin, nenek aku tu memang dah gila agaknya. Tadi dia cari pasal dengan aku. Dia cakap, dia dah carikan calon isteri untuk aku. Dia nak suruh aku kahwin!” Muslim menekankan perkataan kahwin dengan kuat. Gerun rasanya apabila kena ugut kahwin dengan perempuan yang dia tidak kenal. Macam terlibat dalam nahas ngeri. Dia tidak sanggup menjadi mangsa korbannya.
 
“Apa? Nenek kau carikan calon isteri untuk kau? Kau biar betul, Mus. Takkanlah dia dah tak sabar-sabar nak timang cicit kut?”
 
“Bukan pasal cicit. Tapi pasal nak ubah sikap aku.”
 
“Habis tu, kau dah jumpa ke gadis tu? Cantik tak orangnya? Kalau cantik, kau setuju ajelah. Nanti tak payah dah kau susah-susah fikir pasal calon isteri,” kata Sudin seakan-akan memihak kepada nenek Muslim.
 
“Aku belum bersedia lagi nak kahwin. Jadi, aku peduli apa kalau calon isteri yang dia cari tu cantik ataupun tak. Yang aku tahu, aku tak nak kahwin. Dan, kau kena tolong aku selesaikan masalah ni,”.
 
“Habis, kau nak aku tolong kau macam mana?”
 
“Kau tolonglah buat apa-apa yang patut, asalkan aku dapat keluar daripada masalah ni.”
 
“Senang-senang, kau cari ajelah mana-mana kawan perempuan kau. Minta tolong dia orang menyamar jadi kekasih kau sekejap. Lepas tu, kau beritahulah dekat nenek kau yang kau dah ada calon pilihan sendiri. Mesti dia tak jadi nak jodohkan kau dengan calon pilihan dia tu,” cadang Sudin.
 
“Menyamar?”
 
 *****
 
“Ha... aku ada nak beritahu kau pasal satu iklan kat dalam surat khabar ni. Kau dengar aku baca, ya...” Sudin berdeham beberapa kali, membetulkan suara.
 
Muslim pula menanti penuh sabar dan berdebar-debar.
 
“Syarikat Peon Sdn Bhd. Kami menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan hal remeh-temeh dan hal serius. Menjadi ejen penyiasat untuk membongkar skandal pasangan bercinta atau yang telah berkahwin. Memberi khidmat nasihat kepada pasangan yang baru pertama kali nak pergi dating. Menjadi orang tengah kepada pasangan yang bergaduh besar. Menjadi...” 
 
“Sekejap! Sekejap! Syarikat Peon ni syarikat apa? Semuanya dia nak jadi. Ada ke syarikat macam ni yang wujud dalam dunia yang serba canggih macam zaman sekarang ni?” 
 
“La... mestilah ada. Kalau tak, takkanlah surat khabar ni iklankan perkhidmatan syarikat dia pulak,” ujar Sudin.. “Aku tak nak dengar kau baca iklan merepek tu. Aku nak dengar macam mana cara nak selesaikan masalah aku..” 
 
“Ni aku tengah ceritalah ni macam mana nak selesaikan semua tu. Hah, cuba kau baca ayat terakhir dalam iklan ni. Syarikat kami juga menawarkan perkhidmatan penyamaran dalam kes-kes tertentu. Menyamar jadi kekasih, tunang, isteri dan suami orang untuk menyelesaikan masalah kahwin paksa, rela dan sebagainya. Nah! Inilah jawapan kepada masalah kau tu, Mus!” 
 
“Huh! Aku tak percayalah dengan syarikat ni. Iklan yang dia buat tu nampak macam tak berapa nak betul aje. Nama syarikat pun tak profesional tau. Peon? Dah tak ada nama lain ke yang dia nak guna? Tak sedap langsung aku dengar. Entah-entah, Syarikat Peon ni syarikat palsu yang ada unsur-unsur penipuan. Kau jangan, Sudin... Karang bertambah besar pulak masalah aku nanti,” komen Muslim menolak cadangan Sudin mentah-mentah. 
 
 
 
Reeani Annur 2014
 

No comments:

Post a Comment