“Banyak mana lagi ni nak kena petik, ayah?” tanya Naim kepada
Pak Hashim yang petik daun getah di pokok belakangnya.
“Cukuplah tu, Im. Dah banyak dah ni,” ujar Pak Hashim.
Naim bawa hasil kutipannya dekat Pak Hashim. Apabila digabung
dengan hasil kutipan Pak Hashim, dapatlah seguni penuh. Guni yang dibawa taklah
begitu besar. Sederhana kecil sahaja.
“Mak memang selalu buat tapai pulut ke tiap kali hari raya?”
“Bukan selalu. Tapi wajib buat. Abang dan kakak ipar kamu tu
hantu tapai. Kalau dapat makan, memang tak tinggal kat orang lain dah.” Tangan
Pak Hashim ligat mengikat kepala guni setelah memasukkan kesemua daun getah di
dalamnya.
“Husna?”
“Bini kamu tu bukan hantu tapai. Tapi hantu kucing.”
Tergelak besar Naim mendengar gurauan ayah mentuanya. Hantu
kucing memang gelaran sinonim buat Husna. Dia seorang sahaja yang layak pegang
gelaran tersebut.
Pak Hashim mengelap mukanya dengan tuala sambil menarik nafas
seketika. “Husna pun suka makan jugak. Tapi taklah segila abang dan kakak dia.
Lagipun sekarang dia tengah mengandung. Orang mengandung tak boleh makan tapai
banyak-banyak. Ragi tu panas. Takut menjejaskan kandungan,” jelas Pak Hashim
panjang lebar.
“Ayah, betul ke petua orang dulu-dulu cakap, kalau buat tapai
jangan beritahu dekat orang. Nanti tapai tu tak jadi?” Naim cuba mendapatkan
kepastian daripada Pak Hashim mengenai pantang larang membuat tapai pulut. Dia
pernah terbaca perkara itu dalam Internet tetapi tak tahu sejauh mana
kebenarannya.
Pak Hashim tergelak panjang. “Orang lama ni memang banyak petua
dan pantang larang, Im. Tapi tak jadi masalah pun kalau langgar pantang larang
tu semua. Kalau pantang larang tu betul-betul terjadi, itu mungkin kebetulan
aje kut.”
Naim mengangguk faham. “Ada apa-apa lagi ke, ayah?”
“Tak ada dah. Marilah kita balik,” ajak Pak Hashim seraya
berjalan mendahului Naim.
*****
DARI jauh, Naim melihat Mat Topo duduk di
atas bumbung keretanya sambil menjilat bulu. Perasaan geramnya sudah tak
tertahan. Namun, mengenangkan Pak Hashim ada bersama, dia terpaksa buat-buat tak
kisah.
Setelah Pak Hashim masuk dalam rumah melalui pintu dapur, dia
terus meluru ke arah keretanya. Terkejut bukan kepalang apabila mendapati
bahagian depan dan cermin dipenuhi dengan tapak kaki kucing yang bersalut
selut.
Naim kacip gigi dan kepal kedua-dua tangannya. Argh!!
Stressnya aku dengan kucing ni!
“Hoi, Mat Topo! Apa kau dah buat dekat kereta aku ni ha? Ni
semua tapak kaki kau, kan?” Naim sergah Mat Topo dengan penuh rasa bengang.
Mat Topo berhenti jilat bulu dan pandang Naim sambil mengiau.
Bagaikan bertanya, “Apa?”
“Kau tahu tak aku baru aje basuh kereta ni semalam? Hari ni
kau dah kotorkan balik. Kau sengaja nak balas dendam dekat aku, kan? Kau turun
sekarang!” Rahang Naim bergetap memarahi Mat Topo. Sakit sungguh jiwanya
dipermainkan oleh si kucing jantan itu. Tambah menyakitkan hati, Mat Topo buat
endah tak endah sahaja dengan suruhannya tadi.
Naim berfikir sejenak bagaimana nak halau Mat Topo turun dari
bumbung keretanya. Secara tak sengaja, dia terpandang satu baldi berdekatan
paip di tepi tangga. Tak tunggu lama, dia terus ambil baldi itu lalu menjirus
air di dalamnya ke badan Mat Topo.
Mat Topo terperanjat sehingga melompat tinggi. Seperti lipas
kudung dia menyelamatkan diri daripada Naim.
Naim mengeluh melihat kekotoran keretanya. Nak tak nak, dia
terpaksa basuh keretanya sekali lagi. Berganda-ganda dia dapat penat hari itu.
Husna muncul di muka pintu memerhati Naim basuh kereta dengan
rasa hairan. “Kenapa dengan kereta abang tu? Bukan ke semalam baru hantar pergi
car wash?”
Naim toleh Husna selayang pandang. “Kucing sayanglah ni punya
kerja. Habis kotor kereta abang dia pergi tampal selut,” sungut Naim. Bukan
bahagian depan sahaja yang kotor. Atas bumbung pun penuh dengan tapak kaki Mat
Topo!
Husna tergelak. Marah benar Naim dengan Mat Topo. “Bulan
puasa tak baik marah-marah, abang. Kucing tu bukannya tahu apa pun.”
Ya Allah, sakitnya hati dia dengar jawapan Husna yang berat
sebelah tu.
“Kereta abang kena sabotaj takkanlah abang nak steady aje. Sayang ni, agak-agaklah
sikit kalau nak menangkan kucing kesayangan sayang tu pun.” Naim jeling Husna
bersama rasa geram yang tak tertahan.
Husna tak dapat tahan rasa lucu melihat muka cemberut Naim.
“Alah, abang ni… janganlah serius sangat. Mat Topo main-main aje tu.”
“Ini bukan main-mainlah, sayang. Ini kes balas dendam. Abang
tak tahu apa masalah kucing sayang tu. Dari malam tadi lagi dia macam tak puas
hati dengan abang.”
“Mungkin dia rasa terancam kut?”
Naim pandang Husna dengan muka berkerut. “Terancam sebab apa?
Bukannya abang ada ugut nak bunuh dia pun. Merepeklah sayang ni.”
“Tapi abang pernah langgar dia, kan?”
Terlepas keluhan dari bibir Naim. Penatnya berbalah dengan
Husna pasal kucing. “Okay, fine! Sayang menang,” ujar Naim malas memanjangkan
pertelingkahan. Mat Topo ni pun satu hal jugak. Yang dah lepas tu, kira
lepaslah… Buat apa nak kenang perkara lama?
Husna tersenyum lebar. Kemudian dia tunduk ke bawah apabila
terasa kakinya basah. Matanya terbuntang melihat keadaan Mat Topo yang basah
kuyup macam baru lepas kena hujan.
“Mat… kenapa badan kamu ni?” soal Husna terkejut.
Mat Topo mengiau sayu menyahut pertanyaan Husna sambil
menggeselkan badannya ke kaki Husna.
Ah, ini mesti Naim yang punya angkara. Husna terus bercekak
pinggang mencerlung Naim.
“Abang! Apa yang abang dah buat dekat Mat Topo ni?
Habis basah badan dia kena air. Abang aniaya kucing Una ya?”
Tangan Naim berhenti menggonyoh cermin kereta. Tersenyum
senget bibirnya tatkala melihat keadaan Mat Topo.
“Itu upah sebab kotorkan kereta abang,” jawab Naim selamba.
“Eii… abang ni teruk tau. Sampai hati buat dia macam tu.
Patutlah Mat Topo rasa tak puas hati dengan abang.” Husna menggerutu Naim. Kata
takut kucing. Tetapi, bab buli kucing nombor satu!
Naim buat-buat tak dengar dan bersiul-siul riang menyambung
kerja-kerja membasuh.
*****
NAIM berbaring di atas katil selepas
menunaikan solat zuhur. Nikmatnya apabila dapat merehatkan badan selepas buat
macam-macam kerja. Dia berkira-kira hendak pejam mata. Namun tak jadi apabila
melihat Husna masuk ke dalam bilik.
“Sayang, abang nak tidur sekejap. Nanti sayang kejutkan abang
sebelum asar, boleh?”
“Okey.”
“Sayang tak nak join sekali ke? Katil ni luas…” Naim tepuk
tilam sambil tersenyum nakal.
“Una banyak kerjalah, abang. Sekejap lagi nak tolong mak buat
agar-agar. Una masuk bilik ni pun sebab nak solat aje. Abang tidurlah ya,” ujar
Husna seraya mara ke almari lalu menarik keluar kain sembahyang.
Semasa bersiap-siap nak mengangkat takbir, Husna berpaling
memandang Naim. “Yang abang duk renung Una macam tu pasal apa? Cakap tadi nak
tidur…”
“Abang nak lepas rindu sekejap sebelum tidur.” Naim tersengih
sambil kenyit mata.
Husna tergelak. Salah masa ni Naim nak mengurat dia. “Abang
ni ada-ada ajelah. Dahlah, jangan kacau Una nak solat. Tak kusyuk Una dibuatnya
nanti.”
“Okey, abang tidur dulu. Nak keluar karang jangan lupa tutup
pintu tau,” pesan Naim mengingatkan.
“Yalah.” Husna mengangguk sebelum menunaikan solat.
*****
HUSNA membantu Mak Milah menyediakan
bahan-bahan nak memasak agar-agar. Kata ibunya tadi nak buat agar-agar pandan.
Di rumah pun dia selalu buat juga. Tetapi, air tangan ibu sendiri lebih sedap.
Seronoklah perutnya dapat makan makanan sedap-sedap sepanjang duduk di sini.
“Naim mana? Dari tadi lagi mak tak nampak dia,” tanya Mak
Milah tercari-cari kelibat menantunya.
“Tidur kat dalam bilik. Penat sangat kut tadi ikut ayah pergi
cari daun getah. Basuh kereta lagi,” jawab Husna tersenyum. Tangannya ligat
menarik keluar agar-agar daripada plastik untuk dibasuh.
“Kat rumah sana Naim selalu tolong Una buat kerja tak?”
“Kalau mak nak tahu, menantu mak tu rajin orangnya. Suruh
buat apa-apa tak pernah kata tidak. Kecuali pegang kucing.” Husna ketawa kecil.
Memang jauh berbeza kalau nak dibandingkan sikap Naim sebelum
dan selepas kahwin. Sikap kereknya dah hilang entah ke mana. Sekarang jadi
romantis ala-ala hero novel pula. Hari-hari dia jatuh cinta dengan suami
sendiri.
Bibir Mak Milah melebar mendengar cerita Husna. “Bagusnya
menantu mak tu. Untunglah Una dapat suami macam Naim. Mak doakan perkahwinan
Una dengan Naim kekal sampai bila-bila.”
“Insya-Allah. Kebahagiaan kami berkat daripada restu mak dan
ayah jugak,” ungkap Husna tersenyum penuh makna sebelum teringat sesuatu.
Alamak! Pintu bilik lupa nak tutup! Husna terus bergegas naik
ke atas rumah pergi ke bilik. Sampai di muka pintu, dia tergamam melihat Naim
duduk di kepala katil sambil berkelubung dengan selimut.
“Abang, kenapa ni? Apa yang dah berlaku?” Husna menyoal cuak.
Semasa meninggalkan Naim tadi, suaminya itu sedang tidur nyenyak. Sekarang
macam hantu bungkus pula.
Tangan Naim terketar-ketar mengacu ke balik pintu. “Mat… Mat
Topo…” sebutnya tergagap- gagap.
Husna memanjangkan leher, mengintai belakang pintu. Mat Topo
terkebil-kebil memandangnya sambil mengiau manja.
“Mat, apa yang kamu buat ni? Tak baik tau kacau orang tidur.
Dah, pergi main kat luar.”
Mat Topo bagaikan faham kata-kata Husna lantas terus keluar
dari bilik.
Husna menghampiri Naim dan duduk di birai katil. Dahi Naim
yang berpeluh itu dijamah dan diseka lembut. “Abang, abang okey ke tak ni?
Maaflah, tadi Una lupa nak tutup pintu.”
Naim hela nafas perlahan-lahan. Mujurlah Husna datang tepat
pada waktunya.
“Kucing sayang tu buruk betul perangainya. Sampai ke dalam
bilik dia cari abang sebab nak balas dendam,” ujar Naim mendengus.
Tidurnya terganggu apabila terdengar suara kucing mengiau di
tepi telinga. Celik mata sahaja, terkejut bukan kepalang melihat Mat Topo
berada di depan muka. Sampai tercungap-cungap nak bernafas.
Husna mengekek. “Dia bosan agaknya. Nak ajak abang main
dengan dialah kut. Abang tu aje yang tak faham maksud dia.”
Spontan Naim cubit pipi Husna. “Suka tau sakat abang!”
Husna meraih tangan Naim lalu menggenggam erat. “Sampai
bilalah abang nak terus macam ni? Una betul-betul teringin nak tengok abang
berbaik dengan kucing. Pegang kucing, dukung kucing… Tak boleh ke kalau abang
buang sikap takut abang tu dan belajar sukakan kucing demi Una?”
Mata Naim terjegil memandang Husna. Apa Husna melalut ni?
“Sayang, abang lebih sanggup terjun tingkap lagi tau daripada buat apa yang
sayang suruh tu. Cukuplah abang sukakan sayang sorang. Dunia dan akhirat.”
“Abang nak beli hati Una ke ni?” tanya Husna
tersenyum-senyum.
“Bukan dah lama ke sayang jual dekat abang?”
Ketawa Husna terlepas lagi. Kalau dilayan cakap-cakap manis Naim ni memang
tergendala habislah semua kerjanya. “Dahlah, abang. Una nak pergi sambung buat
kerja kat dapur. Abang tidurlah balik.”
“Sayang temankan abang?” Mata Naim merenung Husna redup.
Alahai Naim… janganlah romantis sangat. Jiwa ni cepat goyah
tau! “Kerja Una banyak lagi yang belum beres. Malam nanti Una temankan abang
ya?” Husna memujuk Naim.
“Kalau macam tu, abang ikut sayanglah,” ujar Naim seraya
mencampak gebar ke tepi dan mengajak Husna bangun dari katil.
Hmm… takut Mat Topo datang cari semulalah tu. Husna mengeluh.
Hilang semua kemacoan Naim gara-gara seekor kucing.
*****
1 Syawal…
DI atas meja ada nasi minyak, rendang
daging, serunding, lemang dan beraneka jenis kuih raya. Riuh rendah seisi
keluarga Pak Hashim menjamu selera kecuali Naim.
“Una, Naim mana? Tak makan sekali ke?” Lela tertanya-tanya ke
mana adik iparnya menghilang. Dari tadi tak nampak muka.
“Dia tak sihat. Ada kat dalam bilik,” balas Husna sambil
mencicah lemang dengan serunding. Kedua-duanya dibeli oleh Lela dalam
perjalanan pulang ke kampung malam tadi. Sedap.
“Tak sihat? Malam tadi sembang dengan dia nampak sihat aje.
Bila masa pulak jatuh sakit?” sampuk Taufik pula memandang Husna dengan muka
berkerut.
“Malam tadi badan dia dah mula panas dah. Bangun nak solat
subuh, semakin teruk keadaannya. Lepas telan ubat terus tidur.”
“Agaknya terkejut kena sergah dengan Mat Topo tak petang
semalam?” tebak Mak Milah.
Lela berhenti mengunyah. Dia pandang Husna sekilas. “Biar
betul laki kau ni, Una… takkanlah kena sergah dengan kucing sampai boleh demam
macam tu sekali kut?”
“Kamu jangan tak tahu. Naim tu pernah pengsan tau sebab ayah
suruh dia pegang kucing.” Giliran Pak Hashim mencelah sekali gus membuatkan
suasana di meja makan itu riuh dengan gelak ketawa.
Taufik garu kepala mendengar cerita ayahnya. Lucunya adik
ipar dia tu. “Nampaknya, lepas ni ayah kenalah buat rumah kucing untuk
kucing-kucing kat rumah ni. Kalau Naim balik ke sini, kurung semuanya kat dalam
tu. Barulah dia rasa selamat sikit.”
“Dah banyak kali dah mak suruh ayah buat. Tapi ayah kamu tu
buat tak tahu aje.” Mak Milah menjeling Pak Hashim.
“Nanti lepas raya, abang buatlah…” ujar Pak Hashim.
Husna hanya tersenyum mendengar semua orang bercakap pasal
Naim. Kalau Naim ada tentu merah mukanya menahan malu.
Mak Milah memandang Husna. “Una, nanti bawa nasi minyak ke
bilik ya. Beri Naim makan. Kesian dia tak makan apa-apa lagi dari tadi.”
“Baik, mak…” Husna mengangguk perlahan.
*****
HUSNA melangkah mendekati Naim yang
terbaring lesu di atas katil. Dulang berisi nasi minyak dan air suam diletakkan
di atas meja bersebelahan katil.
“Abang… bangun, bang… kita makan sikit. Una ada bawa nasi
minyak untuk abang.” Bahu Naim ditepuk lembut.
Naim terjaga dan buka mata perlahan-lahan.
“Sayang…” Serak suara Naim menyeru Husna. Dengan bantuan
Husna, dia bangkit bersandar di kepala katil.
Pelipis dipicit berulang-ulang kali menghilangkan rasa
pening. Badan masih terasa lemah walaupun sudah mandi selepas subuh tadi.
Apalah malang nasibnya ditimpa demam di hari raya begini.
“Senyumlah sikit. Kan hari ni hari raya.” Pipi Naim dijamah
mesra. Masih lagi terasa panas. Kesian Naim.
Naim jatuhkan tangan Husna lalu meramasnya kejap. Dipaksa
bibirnya senyum walaupun payah. Matanya tertancap pada dress chiffon muslimah
berwarna merah jambu yang tersarung pada tubuh Husna.
“Cantik sayang abang hari ni. Baju abang beli hari tu, kan?”
Husna angguk mengiakan. Tangannya membetul-betulkan baju
Melayu Naim. “Abang pun handsome jugak walaupun tak sihat.”
“Sayang perli abang ke ni?” Kening Naim terjongket sebelah.
“Mana ada. Una puji ikhlas tau.”
“Yalah… manalah tahu kut-kut sayang sengaja perli abang ke?
Pakai baju Melayu siap-siap tapi hanya mampu terbaring kat atas katil aje.”
“Tak baik tau abang bersangka buruk macam tu dekat Una. Sama
ada abang sihat ataupun sakit, abang selalu nampak handsome kat mata Una.” Husna
tergamam apabila Naim tiba-tiba mengucup dahinya selepas itu. Belum sempat dia
buka mulut bertanya, Naim terlebih dahulu memotong.
“Upah sebab buat hati abang berbunga-bunga,” kata Naim. Sempat
juga bermain mata dengan Husna seketika sebelum Husna tunduk menyalami
tangannya.
“Abang, sempena hari raya ni… Una nak minta ampun kalau Una
ada buat salah dekat abang. Halalkan semua makan minum Una ya,” ujar Husna seraya
mendekatkan bibir ke belakang tapak tangan Naim.
Naim sentuh kepala Husna lembut. Hatinya disapa rasa terharu.
“Abang dah maafkan dan halalkan semuanya. Abang pun sama. Terima kasih sebab
sanggup bersabar dengan kerenah abang sepanjang sayang kenal abang sampailah
kita hidup bersama macam sekarang.”
Perlahan-lahan Husna mengangkat muka. Senyum di bibir terukir
indah buat Naim.
“Una tak pernah ambil hati. Una terima abang seadanya. Terima
kasih jugak sebab bahagiakan Una. Semoga hidup kita berdua akan selalu
dilimpahi kebahagiaan.”
Mata Naim kemudian jatuh ke perut Husna pula. Sambil mengusap,
dia berkata, “Sayang papa… cepat –cepat lahir ya. Nanti boleh tambah
kebahagiaan papa dan mama.”
“Baby duduk diam-diam dulu tau. Mama nak suapkan papa makan.
Kesian papa belum makan lagi,” kata Husna seraya mengambil pinggan lalu menyuap
Naim makan.
“Sayang dah makan?”
“Dah.”
“Makan sekali lagi dengan abang ya. Abang suapkan sayang.”
Sudu di tangan Husna diambil dan dia lakukan perkara sama macam Husna buat
kepadanya tadi.
Naim tersenyum memandang Husna yang tersipu-sipu malu.
Bahagia yang dirasa tak dapat dilafazkan dengan kata-kata. Alhamdulillah.
© Reeani Annur 2014
-TAMAT-
P/S : Tamat sudah Meow edisi puasa dan raya. Semoga terubat
rindu dekat Naim dan Husna. Ke ada yang nak baca lagi? Hehehe… Apapun terima
kasih sebab sudi baca entri khas ini. Maafkan semua kekurangannya. Kalau rindu
dekat mereka, jenguk-jenguklah ke sini. Yang dah memiliki novel Meow, muah
banyak-banyak. Ingat Meow ingatlah RA ya. :)
Selepas ni saya akan update semula cerita Kahwin Dengan Aku
Ajelah! dan Esok Masih Ada Cinta versi yang dah edit. Harap-harap masih ada
sokongan daripada anda semua. Terima kasih! Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf
Zahir & Batin.
wah bhgia sguh husna dpt naim yg pyayang..
ReplyDeleteSi mamat kerek dah jadi lelaki romantis. Hehe..
DeleteTerima kasih... buatlah sambungan Naim tu hilang fobia dengan kucing. Dan dia jadi lebih mesra dengan kucing daripada Una. Lepas itu jadi kamcing dgn. Mat Topo..
ReplyDeleteSama-sama. Insya-Allah... kalau masa mengizinkan, saya tulis kisah Naim dan Husna ni versi lain pulak.
DeleteKesian naim.. smp demam2 tu.. hihi..
ReplyDeleteKalo rajin, buat la sambunga lagi.. 😊😊😊
Antibodi lemah...hahaha... Insya-Allah, kak. Kalau pasal Naim ni memang terlebih rajin kuasa 2. Hihihi...
DeleteThis comment has been removed by the author.
Deleteterima kasih bagi bonus entri raya..mmg trubatlah rindu pd naim n husna..best
ReplyDeleteSama-sama, Syazwani. Kalau rindu dekat dia orang datanglah jenguk lagi ke sini. ;)
DeleteAssalam...slmt brkenalan,sy dh beli novel awk ni ,bila tgk blog ade plk smbgn edisi raya seronok plk mcm nk bc lg,sy ni dulu mcm Naim jgk pnakut kucing tp sjk kahwin dh bljr mcm mana nk syng kucing sbb suami hantu kucing Husna...hihi...
ReplyDeleteWaalaikumussalam, Ummi Mala. Wah!! Seronoknya baca kisah awak tu. Memang wujud rupanya kisah meow dalam realiti walaupun tertukar watak. Harap-harap happy baca kisah yang saya tulis tu. Terima kasih juga sebab sudi dapatkan novel MKCH. :)
Deletesalam nor. ni nani. nani macam berminat nak hantar cerpen ke js adiwarna. cuma nak tanya nor pasal surat muka (surat iringan). macam mana ye? boleh bagi contoh surat yang nor punya? boleh emel ke nani di
ReplyDeletetihani5506@yahoo.com
thanks nor... moga terus sukses!
best.
ReplyDelete