02 June 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 4

NAIM mempercepatkan langkahnya apabila menyedari ada seekor kucing berwarna hitam mengekorinya dari belakang sebaik sahaja dia keluar dari sebuah kedai makan. Semakin laju dia berjalan, semakin laju juga kucing itu mengejarnya. Apa hal pula kucing itu mengikut dia? Hatinya tertanya-tanya.         
           
Naim memberhentikan langkahnya dan berpaling ke belakang. Dia benar-benar kecut perut melihat kucing itu berada begitu hampir dengan kakinya. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang dan kucing itu juga ikut menapak sama.
           
“Hei, kucing! Yang kau ikut aku ni, kenapa? Aku ni bukannya tuan kau. Shioh!” halau Naim sambil menggerak-gerakkan tangannya. Sambil-sambil itu, dikerling juga matanya ke kiri dan kanan mencari sesuatu yang boleh dijadikan perisai untuk mempertahankan diri. Sayangnya, tidak ada.
           
Kucing itu memandang Naim dengan pandangan yang cukup tajam sekali. Seolah-olah ada menyimpan perasaan marah terhadap Naim. Mulutnya menyeringai sehinggakan misainya yang panjang itu bergerak-gerak beberapa kali. Manakala suaranya pula mengeluarkan bunyi garau.
           
“Aku kata pergi, pergilah!” Naim menghentakkan kakinya pula, cuba mengacah kucing itu dengan harapan ia akan berasa takut dengannya. Namun kucing itu tetap statik. Malah, ia terus mengeong dalam bahasa yang Naim sendiri tidak faham. Semakin lama semakin garang bunyinya.
           
Sekarang, keadaan sudah bertukar menjadi sebaliknya pula. Bukan kucing itu yang berasa takut dengan Naim, tetapi Naim pula yang berasa semakin takut dengan kucing itu. Tanpa berlengah, Naim terus memecut sekuat hati untuk menyelamatkan diri.
           
Kucing itu mengejar Naim dan menerkam Naim dari belakang.
           
“Argh! Tolong! Tolong! Jangan cakar aku!” 

Naim menjerit kuat sambil menepis serangan kucing hitam itu yang datang bertalu-talu. Dek kegelian bercampur takut, dia jatuh tergolek di atas lantai di kaki lima bangunan. Sementara orang ramai yang lalu-lalang di sekitar kawasan itu pula hanya memerhati sahaja kejadian kucing menyerang manusia tanpa menghulurkan sebarang pertolongan.
           
“Tolong, kucing… lepaskan aku! Aku tak bersalah!” 

Suara Naim merayu-rayu. Ketakutan yang dirasakannya begitu hebat sekali. Namun, rayuannya seakan-akan tidak diendahkan oleh kucing itu. Seperti berdendam dengan Naim, kucing itu terus mencakar muka Naim tanpa belas. Membuak-buak darah keluar dari bekas cakaran tersebut.
           
“Argh! Sakit! Sakit! Mama… tolong Naim, ma….” 

Naim menggelupur sambil menekup mukanya. Nama mamanya dijerit berulang-ulang kali meminta bantuan. Terasa sungguh pedih sekali apabila kuku kucing yang tajam itu menoreh mukanya. Kulitnya terasa seperti disiat-siat.
           
“Im… kenapa ni?” soal Datin Hanim sambil menepuk bahu Naim. Dia cemas apabila melihat keadaan Naim yang tiba-tiba sahaja meracau seperti orang yang sedang dirasuk. Tangan Naim bergerak ke kiri dan ke kanan seolah-olah sedang menepis sesuatu. Sementara kakinya pula menunjal-nunjal hujung tilam sehingga selimut yang menutupi tubuhnya itu melurut ke bawah.
           
“Im, bangun sayang….” Kali ini goncangan tangan Datin Hanim semakin kuat menggegarkan tubuh Naim.
           
 Naim terus terjaga. Tercungap-cungap nafasnya. Peluh sudah membasahi seluruh muka dan badannya.
           
“Im, kenapa terjerit-jerit ni?” soal Datin Hanim lagi.
           
“Ada kucing kejar Im tadi, mama. Dia cakar muka Im. Mama ada nampak tak  kucing tu? Warna hitam dan badan gemuk. Besar kucing tu, mama….”
           
Mata Naim meliar ke segenap ruang biliknya mencari kelibat kucing yang menyerangnya tadi. Air liurnya ditelan dengan susah payah.
           
“Kucing mana pulak Im cakap ni. Rumah kita mana ada bela kucing. Im ni mengigau fasal kucing agaknya,” jawab Datin Hanim yang akhirnya dapat menebak punca mengapa Naim meracau-racau yang bukan-bukan sebentar tadi.
           
“Hah?” 

Naim terkebil-kebil. Dia memandang lama wajah Datin Hanim yang duduk di birai katilnya. Ketika itu, barulah Naim sedar bahawa itu semua hanyalah mimpi semata-mata. Naim meraup muka sambil menarik nafas lega. Dia ingatkan betul-betul tadi. Ah, apa kejadahnya tiba-tiba sahaja dia mengigau fasal kucing? Yang paling dia benci itulah yang selalu mendatangi dia. Bukankah bagus kalau Lisa Surihani yang muncul dalam igau dia tadi. Hati Naim sempat menggerutu.
           
“Im tidur tak salin baju ke? Tak mandi lepas balik semalam?” Datin Hanim memandang Naim dari hujung rambut sampailah ke hujung kaki. Semuanya masih lengkap dengan pakaian kerjanya.
           
Naim tunduk. Dia hanya tersenyum nipis. Dia ingatkan nak tidur sekejap sahaja, tetapi tidak sangka pula terlajak sampai pagi. Isyak ke mana, subuh pun tidak tahu ke mana. Bertambah-tambah dosanya kepada Tuhan.
           
Datin Hanim menggeleng lemah.
           
“Itulah… siapa suruh tak bersihkan diri dulu sebelum tidur. Kan dah dapat mimpi pelik-pelik. Dahlah, bangun cepat. Dah pukul berapa ni. Nanti lewat pulak nak ke pejabat.” Datin Hanim menepuk lembut bahu Naim sebelum bangun dan keluar dari bilik anaknya.
           
Naim hanya memerhati. Selepas Datin Hanim keluar, dipandang sekali lagi ke sekeliling biliknya dengan perasaan cuak. Kelibat kucing hitam gemuk yang menyerangnya masih terbayang-bayang di mata. Ngeri sungguh.
           
Kemudian, Naim bangun dari katil dan mendekati cermin berbentuk empat segi  panjang yang tergantung di dinding bilik. Dia menilik mukanya beberapa kali untuk memastikan wajahnya bukanlah seperti di dalam igauan buruknya tadi. Bibirnya melakar senyum. Mujurlah masih kacak lagi. Hati Naim menghamburkan pujian sebelum tangannya mencapai tuala mandi yang tersidai di rak penyidai berhampiran. Lalu dia  berjalan masuk ke dalam bilik air.

*****

“MANA Naim? Tak bangun lagi ke?” soal Dato’ Mazlan ketika sampai di meja makan untuk bersarapan. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Datin Hanim.
           
“Dah bangun. Tengah mandi agaknya. Tadi masa kejutkan dia, dia meracau-racau jerit minta tolong,” kata Datin Hanim sambil menyenduk nasi lemak ke dalam pinggan. Aroma nasi lemak itu merebak ke segenap ruang makan. Wangi.
           
“Kenapa pulak dia jerit minta tolong? Apa yang dah berlaku?” Dahi Dato’ Mazlan berkerut hairan.
           
“Mengigau kucing cakar muka dia,” jawab Datin Hanim sambil meletakkan pinggan yang sudah berisi nasi lemak di hadapan suaminya. Kemudian, dituangkan pula kopi ke dalam cawan dan diletakkan di sebelah kiri pinggan tersebut. Selepas itu, barulah disendukkan untuk dirinya sendiri pula.
           
Dato’ Mazlan ketawa kecil. Terasa lucu pula mendengar cerita itu. Dia memang sedia maklum dengan sikap anak lelakinya yang takut dengan binatang berkaki empat itu.
           
“Anak awak tu, nampaknya ke bawa pergi berubat jumpa dengan tok bomoh minta air penawar untuk hilangkan perasaan takut dia kepada kucing,” seloroh Dato’ Mazlan seraya menyuapkan nasi lemak ke dalam mulutnya.
           
Datin Hanim ikut ketawa sama.
           
“Tak tahulah saya nak kata apa lagi, abang. Kalau dah memang jenis tak suka kucing tu, buatlah apa-apa pun tetap tak jadi apa-apa jugak.”
           
“Selamat pagi, mama, papa. Ha, pagi-pagi ni dah sebut nama Im, kenapa? Mengata Im ya?” sapa Naim sebaik sahaja datang menyertai Datin Hanim dan Dato’ Mazlan di meja makan itu. Dari jauh, lagi dia sudah mendengar mama dan papanya menyebut nama dia. Pasti ada sesuatu yang diperkatakan oleh mereka.
           
“Ha, im… duduklah. Ni ha, papa duk dengar mama cerita fasal Im mengigau ada kucing cakar muka Im, betul ke?” tanya Dato’ Mazlan sambil memandang Naim yang kelihatan segak mengenakan kemeja ungu polos dan seluar slek hitam.
           
Naim yang baru sahaja duduk di atas kerusi berhadapan dengan Dato’ Mazlan tercengang. Ah, wajahnya terasa membahang. Lebih-lebih lagi apabila melihat ada senyuman terukir di bibir lelaki tua itu. Apabila dia memandang ke arah mamanya, bibir merahnya juga turut ikut tersenyum sama. Apa ni, pakat-pakat mengusik dia pula. Malulah!
           
“Mimpi aje, pa… tak ada apa-apalah,” jawab Naim. Dia mencapai sekeping roti di hadapannya lalu menyapukan mentega kacang di atasnya. Roti itu kemudiannya dikunyah perlahan-lahan.
           
“Tidur dalam keadaan tak bersih macam tu, memanglah dapat mimpi yang buruk-buruk,” sampuk Datin Hanim pula sambil menjeling manja ke arah Naim.
           
“Im letih sangat semalam, mama. Tak sedar bila masa Im terlelap.” Naim tersengih-sengih. Tangannya menjengkau cawan kopi pula. Air di dalamnya dihirup perlahan-lahan.
           
“Jangan amalkan macam tu selalu, Im. Kalau boleh, setiap kali sebelum tidur tu ambillah wuduk. Baca selawat dan ayat Kursi. Barulah terhindar dari mimpi yang bukan-bukan,” nasihat Dato’ Mazlan kemudiannya.
           
Naim hanya mengangguk. Pagi-pagi lagi dia sudah kena dengar ceramah. Beginilah keadaannya kalau dia balik ke rumah mama dan papanya. Selalu sahaja disumbat dengan kata-kata nasihat. Hendak tak hendak, terpaksalah dia menadahkan telinga mendengar semua itu.
           
Oh, patutlah dia selalu mengigau dan mimpi yang bukan-bukan. Selama ini dia tidur bertemankan lagu-lagu jiwang rock kapak zaman 80-an dan 90-an. Bukannya ayat suci Al-Quran. Teruknya dia.

*****

HUSNA berlegar-legar di bawah Wisma Dato’ Mazlan setinggi lima tingkat itu sambil berkira-kira sama ada mahu masuk ke dalam bangunan itu ataupun tidak. Betul ke keputusan yang dia buat ini? Minta kerja dengan syarikat terkenal macam ni, boleh ke diterima bekerja? Tetapi kalau dia tidak cuba, macam mana dia hendak tahu nasibnya baik atau buruk.
           
Akhirnya, setelah berjaya memujuk diri supaya berfikiran positif, Husna melangkah yakin ke arah lif dan pergi ke tempat yang ingin ditujunya. Perasaan takut dan tidak yakin dibuang jauh-jauh.
           
“Selamat datang ke Mazlan Properties Sdn Bhd. Ada apa-apa yang boleh saya bantu cik?” Penyambut tetamu di kaunter hadapan syarikat itu menyapa Husna sebaik sahaja dia mendekati kaunter tersebut. Senyuman manis yang terukir di bibirnya membuatkan hati Husna berasa sedikit lega.
           
“Cik, saya datang nak tanya ada kerja kosong tak dekat sini?” nyata Husna terus terang.
           
“Maaf, cik. Buat masa sekarang belum ada sebarang kekosongan lagi. Biasanya kalau ada, kami akan iklankan dalam surat khabar. Tapi kalau cik tak keberatan, cik boleh tinggalkan dulu resume cik kepada kami.”
           
Begitu ramah sekali penerangan yang diberikan oleh perkerja yang bernama Suri itu. Nama yang tertera di atas tag nama yang tersemat di dadanya.
           
Husna mengangguk tanda faham. Dikeluarkan resume daripada fail yang dipegangnya, lalu dihulurkan kepada Suri.
           
“Nanti kalau ada kekosongan, pihak kami akan hubungi cik semula ya,” kata Suri lagi setelah menyambut resume yang dihulurkan Husna.
           
“Terima kasih,” ucap Husna sambil tersenyum. Kemudian, dia pun berjalan keluar dari pejabat itu dan menuju ke arah lif. Sedang elok sahaja apabila dia sampai di depan pintu lif, lif pun terbuka.
           
Seorang lelaki keluar dari lif ketika dia ingin masuk. Husna bergerak ke sebelah kiri untuk mengelakkan perlanggaran berlaku. Tetapi lelaki itu juga ikut mengelak ke arah yang sama. Langkahnya terhalang. Lalu Husna beralih pula ke sebelah kanan. Dan sekali lagi hal yang sama berulang. Kenapa dengan lelaki ni? Sudah beri laluan pun masih tidak mahu lalu juga. Husna mengomel geram.
           
“Eh, yang kau halang laluan aku ni, kenapa? Ketepilah sikit!” tengking lelaki itu dengan nada keras kepada Husna.
           
Hati Husna berdebar-debar sebaik sahaja dia mendengar suara tersebut. Mindanya cepat sahaja dapat menebak. Takkanlah dia pula kut. Husna pantas mendongak. Dan saat itu juga dia terlopong.
           
“Kau?” Lelaki itu menujahkan jari telunjuknya ke muka Husna setelah pandangan mereka saling bertembung. Wajahnya kelihatan benar-benar terkejut.
           
Husna menggigit bibir. Ah, kenapa dia boleh bertembung dengan pembuli kucing ini dekat sini pula? Mana-mana dia pergi asyik pandang muka yang sama sahaja. Tak ada muka lain ke? Kalau muka Fahrin Ahmad tu sedaplah juga matanya nak memandang.
           
“Kau buat apa dekat sini?” soal lelaki itu sambil menjongketkan keningnya.
           
“Err… encik pulak buat apa dekat sini?” Soalan lelaki itu dibalas dengan soalan. Husna semakin kaget.
           
Lelaki itu pula mendengus kuat.
           
“Aku tanya kau, kau tanya aku balik? Dah kat sini tempat kerja aku, buat apa lagi… datang kerjalah. Kau tu, buat apa dekat sini?”
           
“En… encik kerja kat sini ke?”
           
Husna menelan air liur. Biar betul. Dia salah dengar ke apa ni? Kalau benar lelaki itu bekerja di sini, bermakna tadi dia minta kerja di pejabat lelaki inilah! Oh, tidak! Tanpa berlengah, Husna berpatah masuk ke dalam pejabat itu semula.
           
“Cik, boleh pulangkan semula resume saya tadi?” pinta Husna sebaik sahaja dia menghampiri kaunter hadapan itu semula. Ah, kalau buruk siku pun tak apalah. Yang penting dia mahu dapatkan semula resume dia tadi. Dia tidak mahu lelaki itu tahu yang dia datang ke sini sebab nak minta kerja.
           
“Kenapa, cik?” soal Suri terpinga-pinga.
           
“Err… saya tak jadilah nak minta kerja dekat syarikat ni. Tolong ya, cik.” Husna memandang Suri penuh pengharapan.
           
Akhirnya, resume itu kembali semula ke tangannya. Setelah mengucapkan terima kasih, Husna terus pergi. Sampai sahaja di pintu pejabat itu, sekali lagi dia bertembung dengan lelaki tadi. Namun, dia tidak berhenti dan terus berlari menuju ke arah lif.
           
“Hei, tunggu!” Lelaki itu berteriak dan cuba mengejar Husna. Tetapi sayangnya, ketika itu Husna telah masuk ke dalam lif dan serta merta pintu lif tertutup.
           
Di dalam lif pula, Husna menarik nafas lega. Mujurlah dia sempat menyelamatkan diri. Hisy, nasib malang betul dia jumpa lelaki itu dekat sini. Kalaulah dia tahu lelaki itu bekerja di sini, tidak ingin dia jejakkan kakinya ke situ. Rasa kesal bertimpa-timpa datang menjengah di hati Husna.

*****

NAIM masuk ke pejabat penuh dengan tanda tanya. Apa pula hantu kucing itu buat di sini? Kalau nak kata pergi ke pejabat orang lain, mustahillah pula. Hanya pejabat dia sahaja yang ada di aras empat ini. Sudahlah begitu, apabila nampak muka dia, dipandang seperti orang yang nampak hantu sahaja. Buruk sangat ke rupa dia? Hati Naim diselubungi tanda tanya.
           
“Suri, siapa perempuan yang pakai baju kurung warna ungu tu tadi? Apa dia buat dekat pejabat kita ni?” tanya Naim kepada Suri, petugas yang duduk di kaunter hadapan sebaik sahaja dia melintas lalu di situ. Ah, pakai baju pun sama warna dengan dia juga. Macam sehati sejiwa pula.
           
“Oh, dia datang nak minta kerja dekat sini, Encik Naim. Tapi saya beritahu dia buat masa sekarang, tak ada kerja kosong lagi. Saya suruh dia tinggalkan resume, tapi lepas tu dia datang balik minta pulangkan semula pada dia,” jawab Suri.
           
Naim bergumam. Dikerling sekali lagi ke arah pintu pejabat seolah-olah bayangan perempuan tadi masih berada di situ. Ada juga ke macam tu? Sudah beri sesuatu dekat orang, lepas tu boleh pula ambil semula. Buruk siku betul!
           
“Kenapa, Encik Naim? Encik Naim kenal ke dengan dia?”
           
Naim cepat-cepat berpaling semula  ke arah Suri.
           
“Tak ada apa-apalah. Saya masuk ke bilik dulu.” Naim senyum seraya beredar menuju ke biliknya pula.
           
Sebaik sahaja meletakkan briefcasenya di atas meja, Naim duduk di atas kerusi. Dia masih terkenangkan kejadian di depan pintu lif tadi. Semalam jumpa di tepi jalan. Hari ini jumpa di tempat kerja dia pula. Esok jumpa di mana pula? Ah, jumpa di mana-mana pun tak kisahlah. Jangan datang jumpa dia bawa kucing sudah.

© Noraini Mohamad 2012
 
 

3 comments:

  1. hehehhe.. Ok da nie.. hope dpt bwt yg lbh ok lgi la..

    ReplyDelete
  2. Hai Naim ni macam ada hati dekat Husna je...hehehe :P

    ReplyDelete
  3. Anonymous: Tq. InsyaAllah. :)

    NurAtiza: Hehe.. kita tengok nanti macam mana ye.. :)

    ReplyDelete