21 May 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 3

“BESARNYA kucing-kucing encik ni. Encik beri dia orang makan apa?” soal Husna yang teruja melihat dua ekor kucing yang duduk di dalam bakul masing-masing. Sudahlah besar, gemuk pula tu. Kalau buat peneman tidur malam-malam, mesti lena sampai ke pagi.
           
“Pembetulan. Bukan kucing aku tapi kucing girlfriend aku,” tegas Naim. Marah benar dia apabila Husna mengatakan dua ekor kucing itu milik dia. Dia memang tidak suka dikaitkan dengan kucing.
           
“Habis tu, apa yang encik nak suruh saya tolong?” Husna masih tidak nampak pertolongan apa yang perlu dihulurkannya kepada lelaki itu.
           
“Aku nak suruh kau mandikan kucing-kucing tu. Lepas tu, beri dia orang makan kenyang-kenyang. Lepas tu pulak, kau tidurkan dia orang sampai dia orang lelap.”
           
“Ha?” Husna sedikit melopong. Kalau mandi dan beri makan kucing tu memanglah dia biasa buat di rumah. Tapi kalau tidurkan kucing, tak pernah pula dia buat. Bukankah kucing tidur sendiri dan tidak perlu sesiapa menidurkannya? Apa yang lelaki ni merepek?
           
Naim menjeling Husna sekilas.
           
“Kau suka ke tak suka ke, kau kena tolong aku jugak!” desaknya lagi.
           
Eh ini bukan minta tolong lagi. Ini dah dikira memaksa. Hisy! Husna mengetap bibirnya geram.
           
Naim terus memecut laju keretanya di atas jalan raya. Akhirnya, setelah hampir sepuluh minit perjalanan mereka sampai di sebuah kawasan apartment yang cukup elit. Serba-serbi lengkap dari segi infrastrukturnya dan kelihatan sangat esklusif.
           
Husna terkebil-kebil sebaik sahaja keluar dari kereta. Seumur hidupnya, tidak pernah lagi dia jejakkan kakinya ke kawasan mewah begitu. Kalaulah dia yang menetap di sini, belum cukup sebulan sudah tentu dihalau keluar terlebih dahulu oleh tuan rumah sebab tak mampu nak bayar sewa.
           
“Hah, apa lagi… cepatlah angkat kucing dua ekor tu keluar!” arah Naim sekaligus menghilangkan khayalan Husna.

Husna berdengus perlahan. Ah, rasa seperti sudah jadi kulilah pula. Suka hati sahaja arahkan dia buat itu dan ini.

“Ini apartment girlfriend aku. Dia pesan kat aku tadi suruh uruskan kucing-kucing dia sebab hari ni dia balik kerja lambat. Tapi kau tahu jelah kan, aku ni tak suka kucing. Sebab tu aku minta tolong dengan kau,” terang Naim panjang lebar ketika dia dan Husna sama-sama berjalan menuju ke arah lif.
           
Husna tidak memberi reaksi apa-apa dan hanya sekadar mendengar. Patutlah beria-ia sangat nak minta tolong. Lelaki itu memang bertuah sebab terserempak dengan dia semula. Tetapi adakah dia juga bertuah terserempak dengannya?

*****

PINTU lif terbuka di tingkat sepuluh. Setiap langkah yang diatur oleh Naim hanya dituruti sahaja oleh Husna dari belakang. Tidak terkeluar sepatah perkataan pun dari mulut Naim yang sudi bertanya sama ada tangan Husna lenguh atau tidak membibit dua buah bakul di kiri dan kanan tangannya.
           
Naim kemudiannya berhenti di hadapan apartment bernombor 398 yang terletak di barisan hujung sekali.
           
“Okey, sekarang kau pergi bawa kucing dua ekor tu masuk bilik air dan mandikan dia orang sampai bersih. Ingat, jangan kau pulak yang ikut serta mandi sekali,” pesan Naim sebelum masuk meninggalkan Husna yang terkial-kial sendirian di muka pintu.
           
Husna mengelek kedua-dua ekor kucing yang bernama Anchu dan Chicky masuk ke dalam bilik air untuk dimandikan. Kedua-duanya pula tampak seperti sudah biasa dengan keadaan itu. Tidak pula kedengaran bunyi suara mereka mengiau sebab takutkan air. Situasi itu membuatkan Husna berasa senang hati mengusik dengan merenjiskan air ke muka dengan mereka.
           
“Hoi! Aku suruh kau mandikan kucing tu, bukannya suruh kau main-main dengan dia orang. Cepatlah buat kerja yang aku suruh tu!” Suara Naim menyergah Husna dari muka pintu bilik air. Lain yang dia suruh buat, lain pula yang Husna buat.
           
“Saya nak mesra-mesra dengan dia orang dulu. Nak suruh dia orang biasa dengan saya,” jawab Husna sambil mendongak.
           
“Tak payahlah nak mesra lebih-lebih sangat. Aku dah tak ada masa dah ni. Karang mak nenek tu telefon, membebel pulak dia bila tahu kucing-kucing dia tak siap mandi lagi. Dah, cepat mandikan dia orang.” Naim bercekak pinggang sebelum beredar dari situ.
           
Husna hanya mencebik. Mujurlah dia ini jenis yang sukakan kucing. Bolehlah dia tunaikan permintaan lelaki itu. Kalau tidak, jangan haraplah!
           
Peralatan mandian kucing yang tersedia di dalam bakul kecil itu dibelek satu persatu. Ada shampoo, sikat dan beberapa peralatan yang lain termasuklah berus gigi. Eh, kucing pun kena berus gigi juga ke? Macam mana nak gosok ni? Husna garu kepala.
           
Namun melihat kesemua peralatan mandi itu dia dapat menebak bahawa pemilik kucing itu benar-benar menjaga kebersihan kucing-kucingnya. Kalau kucing di rumah dia, usah kata nak berus gigi, mandi pun belum tentu. Nak suruh badan bau wangi, letak bedak sahajalah.
           
Selepas siap memandikan Anchu dan Chicky, Husna memberi mereka makan sehingga kenyang. Patutlah dua ekor kucing itu besar sangat. Makan makanan yang mahal rupanya. Terbeliak mata dia apabila melihat stok makanan kucing berjenama ProDiet di dalam plastik besar yang terletak di ruang makan khas kucing tersebut.
           
Husna terkenangkan kucing-kucingnya yang hanya makan nasi dengan ikan kukus sahaja. Kucing kampung, biasalah. Makan sekadar yang termampu sahaja. Mahu makan makanan segera seperti  ProDiet itu, terpaksa catu duit belanja dialah jawabnya.
           
Sesudah itu, dibawa pula ke dalam bilik tidur khas untuk menidurkan mereka. Sekali lagi Husna tergamam apabila masuk ke dalamnya. Semua kelengkapan tidur tersedia lengkap. Bukan tidur di dalam kotak atau bakul biasa, tetapi di atas katil yang lengkap dengan bantal dan selimut. Oh, ada lampu tidur juga. Jelas menggambarkan betapa pemiliknya begitu memanjakan kucing-kucingnya.
           
Usai Anchu dan Chicky tidur, Husna keluar ke ruang tamu semula mendekati Naim yang sedang bermalas-malasan di atas sofa. Timbul rasa geram di hati apabila melihat lelaki itu begitu senang hati sekali berbaring sambil menonton televisyen.
           
“Saya dah selesaikan kerja yang encik suruh buat tu. Sekarang, boleh encik hantar saya balik?” tanya Husna. Memanglah dia kena balik. Sekarang sudah masuk waktu maghrib. Bimbang ibu dan ayah dia risau pula nanti.
           
Naim segera bangkit.
           
“Dia orang dah tidur ke?” tanya Naim.
           
“Dah,” jawab Husna sepatah.
           
“Kau tunggu sekejap. Biar aku pergi jenguk dia orang sekali lagi sama ada dah  tidur betul-betul ke atau tidur-tidur ayam je. Bukannya boleh percaya sangat kucing dua ekor tu.”
           
Naim berjalan ke arah bilik tidur Anchu dan Chicky. Apabila yakin kucing-kucing itu benar-benar telah tidur lena, Naim keluar semula dari bilik tersebut.
           
“Hah, jomlah aku hantarkan kau balik,” kata Naim sambil mencapai kunci keretanya di atas meja kaca berhampiran. Eh, pekak ke minah ni? Tadi beria-ia sangat minta hantarkan balik. Sekarang, dia ajak balik buat-buat tidak tahu pula.
           
Naim menoleh sekilas ke arah Husna yang sedang duduk di atas sofa. Laa, sudah tidur ke?
           
“Wei, bangunlah. Yang kau tidur kat sini, kenapa? Ini rumah orang, bukannya rumah kau.” Naim mencuit bahu Husna menggunakan hujung kunci keretanya beberapa kali.

“Saya kat mana ni?” tanya Husna setelah terjaga. Kelihatan seperti mamai sedikit. Ah, tidak sedar bagaimana dia boleh terlena. Mungkin kerana terlalu letih berjalan hari ini. Letak kepala sekejap sahaja pun terus terlelap.
           
“Kat bilik aku,” jawab Naim.
           
“Hah!” Husna terloncat. Dia terus bangun dari sofa.
           
Naim ketawa terbahak-bahak. Geli hati betul dia melihat gelagat Husna yang kelihatan cuak itu. Tahu pun takut. Macamlah aku ada hati sangat mahu tidur dengan kau! Kata Naim di dalam hati.
           
“Kau boleh tanya aku, kau ada dekat mana? Tidur tak sampai lima minit pun dah boleh lupa. Apalah kau ni. Kau ni ada penyakit nyanyuk ke?” perli Naim.
           
“Saya letih sangat tadi,” balas Husna sambil menenyehkan matanya beberapa kali.
           
“Alah, baru minta tolong sikit dah merungut letih? Macamlah berat sangat kerja yang kau buat tu.”  Naim mencebir lagi.
           
Husna menggigit bibir. Lelaki di depan dia ni memang terlebih makan cili burung agaknya. Dia bukan penat sebab itulah. Dia penat sebab hari ini hampir sehari suntuk dia berjalan turun naik ke pejabat orang cari kerja.
           
“Kalau macam tu, kenapa encik sendiri tak buat? Kenapa paksa saya buat?” bidas Husna pula. Satu jelingan tajam dilemparkan ke arah Naim.
           
“Sebab aku ni tak suka kucing. Lagi satu, sebab aku malas nak kotorkan tangan aku pegang kucing yang ada berjuta-juta kuman dan bakteria tu. Dahlah, cepat keluar. Nanti kalau girlfriend aku nampak aku bawa masuk perempuan dalam rumah dia, mengamuk pulak dia nanti.” Naim menggesa Husna. Akhirnya, dia mampu menarik nafas lega kerana dapat menyelesaikan masalahnya. Harap-harap tak ada bebelan lagi yang dia dengar nanti.

*****

“APA lagi yang awak duduk termenung dekat tangga tu? Mahgrib dah masuk lama dah. Masuklah ke dalam rumah cepat. Setan banyak bertenggek kat luar malam-malam macam ni.” Pak Hashim menegur kelakuan isterinya.

“Nak masuk macam mana? Hati saya ni tengah duk risaukan si Husna tu. Manalah perginya maghrib-maghrib macam ni tak balik lagi.” Mak Milah menjawab. Hatinya serba risau apabila anak bongsunya itu belum berada di depan mata.

“Anak awak tu, dah besar. Tahulah dia balik nanti.”

“Memanglah dah besar, tapi dia tu perempuan. Takutlah kalau terjadi apa-apa dekat dia. Tambah-tambah hari dah gelap macam ni. Saya risaulah, bang.” Mak Milah terus berkeluh-kesah. Dipanjangkan lehernya ke arah simpang jalan masuk ke rumahnya. Kosong. Namun, dia masih berharap kelibat Husna akan kelihatan di jalan itu nanti.

“Awak tu, suka sangat berfikir yang negatif. Selama ni pun kalau dia ke bandar, bukannya dia tak tahu jalan balik ke rumah,” tegur Pak Hashim lagi sambil menggeleng lemah.

“Awak mana nak risaukan dia. Dia bukannya anak kesayangan awak,” bidas Mak Milah laju.

“Sudahlah, Milah. Malas saya nak melayan awak lagi. Suka hati awaklah nak duduk bertenggek kat situ sampai tengah malam pun.” Pak Hashim terus masuk ke dalam rumah. Kalau bertekak pun tidak ke mana juga.

Mak Milah pula terus duduk bertongkat dagu di tangga, melayani perasaan risaunya. Ke manalah anak dia itu pergi? Dia tertanya-tanya sendiri. Tidak lama selepas itu, sebuah kereta masuk ke halaman rumahnya. Mak Milah kehairanan. Siapa pula yang datang? Dia rabun jauh, mana nak nampak. Namun, setelah melihat Husna keluar dari kereta itu, barulah dia menarik nafas lega.

“Assalamualaikum, mak.” Husna memberi salam.

“Wa’alaikumussalam. Husna, kenapa balik lambat? Risau mak tadi tau.”

“Teksi tak ada, mak. Mujur ada kawan Husna tolong hantarkan husna balik.” Kawan? Sejak bila pula dia jadi kawan dengan lelaki itu? Nama pun dia tidak tahu. Kawan apa macam tu?

“Kawan kamu yang mana pulak ni? Mak tak pernah tengok pun. Ajaklah dia singgah dulu.”

“Sekejap ya, mak.” Husna pergi mendapatkan Naim semula.

“Encik tak nak singgah ke rumah saya dulu ke? Mak saya pelawa encik naik. Nanti bolehlah solat dekat sini terus,” tanya Husna.

Naim melihat jam di tangan.

“Tak apalah. Aku balik sembahyang dekat rumah jelah. Sempat kut sampai.” Naim beralasan. Sebenarnya, dia risau sebab tikar sembahyang pun jarang dia hampar. Malulah dia kalau orang lain tahu tentang soal itu. Dibuatnya tiba-tiba kena jadi imam, ha… siapa nak jawab?

“Iya ke? Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih sebab hantar saya balik.” Husna akur. Dia juga malas mahu mendesak.

“Sama-sama. Aku balik dulu.” Naim mengundurkan keretanya dan terus meninggalkan kawasan rumah Husna.

“Kawan mana tu, Husna? Mak tak pernah tengok pun dia sebelum ni. Pakai kereta mewah macam tu, mesti anak orang kaya, kan?” Mak Milah berasa hairan. Sepanjang pengetahuan dia, anaknya itu tidak ada kawan di kalangan orang kaya begitu. Rata-ratanya terdiri daripada yang setaraf mereka sahaja.

“Kawan baru kenal, mak. Dahlah, mak. Jom kita naik. Dah malam ni,” ajak Husna sambil mendaki anak tangga rumahnya. Sebelum masuk, dia sempat berpaling ke arah jalan. Kereta lelaki itu telah hilang dari pandangan.

*****

“DAPAT ke kerja yang kau cari tadi?” tanya Pak Hashim kepada Husna ketika mereka sekeluarga sedang makan malam di dapur.

“Tak dapat, ayah. Nanti esok Husna cuba lagi,” jawab Husna.

“Kenapalah nasib kau ni tak macam abang dan kakak kau? Dia orang belajar tinggi-tinggi, habis belajar je terus dapat kerja yang bagus-bagus. Tapi kau? Hmm… susah-susah sangat, kau kahwin jelah, Husna.”

Nasi yang ingin disuap masuk ke dalam mulut terhenti. Husna melirik ke wajah ayahnya. Kahwin? Ah, itu adalah perkara terakhir yang akan dia fikir di dalam hidup dia. Apa kaitan tidak dapat kerja yang bagus dengan kahwin? Adakah kahwin itu akan dapat menyelesaikan masalah susah nak dapat kerja yang dia alami?

“Abang ni, kenapa cakap macam tu dekat dia? Janganlah nak bandingkan si Husna ni dengan si Taufik dan Lela tu pulak,” sampuk Mak Milah yang ternyata turut tidak berasa senang dengan kata-kata suaminya itu. Terdengar dengusan kecil yang dilepaskannya.

“Kenapa? Salah ke apa yang saya cakap tadi? Memang betul pun. Taufik dan Lela tu, keluar je dari universiti terus jadi pegawai. Anak awak ni, jadi apa? Jadi tunggul je duduk kat rumah main dengan kucing. Tak boleh nak dibanggakan langsung.” Pak Hashim sempat mengerling ke arah Husna.

Husna tunduk memandang nasi yang baru suku masuk ke dalam perutnya. Pedih sekali kata-kata ayahnya itu. Dia ingin membuka mulut untuk melawan, tetapi bimbang jika dikatakan sebagai kurang ajar. Lebih-lebih lagi mereka sekarang menghadap rezeki. Kata-kata itu ternyata payah sekali untuk ditelan.

Mak Milah yang duduk di sebelah suaminya itu turut sama terkedu.

“Astagfirullahalazim, abang ni… bercakap tu tak fikir perasaan orang langsung. Kecil hati Husna tu dengar abang cakap macam tu tau. Taufik dan Lela tu dapat kerja sebab dah rezeki dia orang. Si Husna ni, mungkin rezeki dia lambat. Lain orang, lain rezekinya. Sudahlah, Husna… kamu jangan nak ambil hati sangat dengan apa yang ayah kamu cakap tadi. Makan nasi tu,” gesa Mak Milah. Sebenarnya, lebih kepada memujuk perasaan Husna. Dia nampak wajah Husna berubah sebaik sahaja mendengar kata-kata suaminya tadi.

“Husna dah kenyang, mak. Mak dengan ayah makanlah ya.” Husna bangun menuju ke singki dan membasuh tangannya. Putus sudah selera dia mahu makan. Kata-kata ayahnya tadi sudah cukup mengenyangkan perutnya.

Selepas itu, Husna masuk ke bilik. Di dalam bilik, Husna menangis sepuas hati. Hatinya cukup terguris apabila ayahnya membandingkan dia dengan abang dan kakaknya. Dia tahu, sejak dari dahulu lagi ayahnya tidak pernah berasa bangga dengan dirinya. Sebabnya, di antara mereka tiga beradik, dialah satu-satunya anak yang paling tidak berjaya.

Walaupun berjaya masuk ke universiti, tetapi dia tidak pernah dapat anugerah Dekan setiap semester seperti mereka. Abang dan kakaknya menghabiskan pengajian tepat pada waktunya, tetapi dia pula terpaksa menambah dua semester disebabkan gagal dalam beberapa subjek yang diambilnya.

Apabila tamat pengajian, kedua-duanya berjaya mendapat pekerjaan di sektor awam dan bergelar pegawai tinggi. Dia pula masih menganggur sehingga sekarang. Sebab itulah ayah dia tidak berasa bangga dengannya. Mahu dipuji jauh sekali. Dikeji lagi ada.

Bagi ayah, ukuran bangga itu adalah apabila anaknya berjaya menjawat jawatan tinggi, ada kereta dan rumah seperti mereka. Tidak hairanlah satu kampung ayahnya mencanangkan kejayaan mereka untuk menyatakan betapa bangganya ada anak seperti mereka.

Bukannya dia tidak berusaha. Tetapi seperti kata ibunya tadi, rezeki setiap orang tidak akan sama. Mujurlah ibunya faham. Tetapi hati dia telah koyak rabak ditujah dengan kata-kata sembilu itu. Husna terus menangis sehingga tidak sedar bila dia terlelap. 

*****

NAIM sampai di rumah keluarganya sedang-sedang elok sahaja azan isyak berkumandang. Terlepas sudah solat maghrib yang sengaja tidak ditunaikannya. Namun baginya itu biasa walaupun solat merupakan rukun Islam kedua dan wajib ditunaikan oleh semua orang Islam seperti dia.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah, dia ditegur oleh Dato’ Mazlan yang sedang duduk di ruang tamu menonton televisyen.

“Ha, Im… lewat balik. Pergi ke mana tadi?”

“Pergi hantar kawan balik ke rumah dia, papa,” jawab Naim sambil menghenyakkan punggungnya di atas sofa baldu berwarna putih susu itu. Tali lehernya dilonggarkan.

“Anchu dan Chicky tu ke?” soal Dato’ Mazlan lagi. Dia ingat, petang tadi Naim ada sebut dua nama itu di depannya. Tetapi dia tidak sempat pula bertanya panjang kerana Naim begitu tergesa-gesa mengejar masa. Mahu menegur kelakuannya di dalam bilik mesyuarat tadi pun tidak sempat juga.

Naim kerut dahi. Itu kucing Bella, bukannya kawan dia. Yang dia maksudkan tadi itu adalah perempuan yang dia jumpa di tepi jalan sewaktu terlanggar kucing petang tadi. Namun diiakan sahaja kerana malas mahu bercakap banyak. Nanti banyak pula disoal oleh papanya itu.

“Yalah, dia oranglah.”

“Pelik betul nama orang zaman sekarang ni,” komen Dato’ Mazlan sambil bergumam.

Memanglah pelik sebab nama itu nama kucing bukannya nama manusia. Naim menjawab di dalam hati.

“Biasalah, pa… zaman moden macam sekarang ni, nama pun kenalah ikut peredaran zaman jugak. Mama mana, pa?” soal Naim bertanyakan tentang mamanya pula. Dipanjangkan lehernya mencari kelibat wanita separuh umur itu. Biasanya di mana ada papa, di situlah juga ada mamanya.

“Mama solat kat atas. Im dah solat ke belum?”

Alamak! Mulalah Naim berasa berdebar-debar mahu menjawab soalan papanya.

“Err… belum lagi, papa,” jawab Naim tersengih. Janganlah papa dia tanya, maghrib sembahyang ke tidak? Kalau dia jawab tidak, memang kepala dia kena hempuk dengan meja kaca di depan sofa ini.

“Pergilah bersihkan diri Im tu dulu. Lepas tu solat. Malam ni, Im tidur kat sini ke?”

“Haah. Tidur kat sini jelah kut. Letihlah nak balik ke rumah. Okeylah, papa… Im naik ke bilik dulu ya.” Naim segera angkat punggung dan mendaki anak tangga menuju ke biliknya pula.

Masuk sahaja ke dalam bilik, dia terus menghempaskan badannya ke atas katil sambil menggeliat malas. Sambil berbaring terlentang, dia sempat mengenangkan kembali kejadian yang berlaku petang tadi. Bibirnya tiba-tiba sahaja tersenyum meleret. Siapalah nama perempuan itu tadi ya? Lupa pula mahu bertanya nama. Ucap terima kasih pun dia terlupa juga. Mujurlah si gadis itu menjadi penyelamatnya keadaan. Kalau tidak, memang terkial-kiallah dia mahu menguruskan kucing-kucing Bella yang mengada-ada macam tahi kuda itu.

Telefon Naim tiba-tiba berbunyi. Nama Bella terpampang lagi di skrin. Dengan malas, dia menjawab panggilan tersebut.

“Dah, dah… I dah buat semua yang you suruh buat tu,” terang Naim sebelum Bella membuka mulutnya. Lebih baik dia bercakap dahulu untuk mengelakkan Bella memebel panjang kepadanya. Badan sedang letih, tidak larat mahu mendengar bebelan mak nenek.

“Thank you, sayang. I baru je sampai kat rumah ni. Lega hati I bila tengok dia orang dah tidur. Sorry tau sebab susahkan you tadi. Love you, sayang.” Suara Bella kedengaran lembut dan bernada riang. Jika Bella bersuara lembut macam perempuan Melayu terakhir seperti itu bermakna tugas yang Naim buat memang memuaskan hatinya.

“Hmm… love you too,” balas Naim lemah. Bella cakap sorry sebab susahkan dia? Memanglah Bella banyak menyusahkan dia, tetapi dia pun banyak susahkan orang lain juga. Tak apalah, yang penting semuanya sudah selesai.

Naim berkira-berkira mahu bangun dan menuju ke bilik air untuk mandi, tetapi terasa begitu malas sekali mahu bangkit. Ah, baring dululah sebelum mandi. Naim memejam mata dan dia terus hanyut dalam mimpi.

© Noraini Mohamad 2012

4 comments:

  1. HUSNAIM serasi betul...^_^)Y

    ReplyDelete
  2. hihi. Eh, Naim nanti akan suka dengan Husna kan? kan? ahaks. gatal tetiba.

    ReplyDelete
  3. Hehe, comel je HUSNAIM tu ek. :)

    ReplyDelete
  4. Kak Mardihah: Ahaks! Cepat garu.

    ReplyDelete