15 June 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 5

HARI sudah melewati waktu tengah hari. Husna membuat keputusan untuk berhenti makan di sebuah kedai makan yang terletak di pinggir jalan raya besar itu. Setelah hampir separuh hari dia mencari kerja, akhirnya barulah dia tersedar bahawa perutnya itu masih belum terisi apa-apa makanan sejak dari pagi.
           
Di rumahnya pagi tadi, ibunya ada memasak nasi goreng untuk sarapan. Namun dia tidak menjamah. Bukan tidak sedap, tetapi kerana ingin mengelak daripada bertembung dengan ayahnya. Hatinya masih lagi terasa dengan kata-kata ayahnya malam tadi. Hanya air kosong sahaja yang diminum sebagai alas perutnya.
           
Husna melewati meja yang tersusun dengan pelbagai jenis lauk-pauk di atasnya. Dia rambang mata. Semuanya sedap-sedap belaka. Namun akhirnya lauk ayam goreng dan sayur lemak pucuk paku yang menjadi pilihannya. Cukuplah untuk mengisi kekosongan perutnya. Yang penting dapat menghilangkan rasa lapar. Dia pun bukanlah seorang yang cerewet sangat dalam soal makan.
           
Ketika dia sedang makan, terasa kakinya digesel-gesel oleh sesuatu. Husna segera tunduk ke bawah meja. Ada seekor kucing sederhana besar mengeong meminta diberikan sesuatu.
           
“Hei, comel… kamu lapar ya? Nak makan?” tanya Husna. Beberapa pasang mata yang melihat gelagatnya bercakap dengan kucing tidak dipedulikan. Salah ke dia bercakap  dengan kucing? Di rumah pun dia bercakap macam ini juga dengan semua kucingnya.
           
Kucing yang bulunya bertompok warna hitam dan putih itu menyahut, seolah-olah mengiakan pertanyaan Husna. Ia mengangkat kedua-dua belah tangannya dan mendarat di atas paha Husna, bagaikan meminta simpati.
           
Husna mencubit sedikit isi ayam yang hampir-hampir tinggal tulang di dalam pinggannya, lalu diberikan kepada kucing itu. Dengan lahap, kucing itu makan dan menghabiskannya dalam sekelip mata.
           
Husna tunduk menggosok-gosok belakang badan kucing itu. Dia tahu, kucing itu lapar. Terdetik rasa sedih di hati mengenangkan nasib kucing itu yang terpaksa mencari makan sendiri. Lebih-lebih lagi dalam keadaan fizikalnya yang cacat sebelah tangan. Sekiranya ia kucing buangan, tergamak benar manusia yang menyisihkannya.
           
Selepas habis makan, kucing itu mengeong kembali. Husna beranggapan kucing itu masih lagi berasa lapar. Nasi yang tinggal di dalam pinggannya pula sudah hampir licin dimakannya. Kalau diberi pun memang tidak akan mengenyangkan kucing itu.
           
Oleh kerana tidak sampai hati, Husna bangun semula pergi menambahkan nasi dan mengambil seekor ikan goreng. Lalu, ikan itu gaulkan bersama-sama dengan nasi. Setelah itu, diletakkan nasi yang telah bergaul dengan ikan goreng tadi di atas sehelai tisu. Kemudian Husna meletakkannya di bawah meja. Bersungguh-sungguh kucing itu makan.
           
Belakang badan kucing itu sekali lagi diusap manja. Husna tersenyum sendirian melihat kucing itu mengisi perutnya. Terbit rasa senang hati setelah dapat menolong kucing itu makan. Tambah membuatkan hati dia senang apabila semua nasi yang diberi habis licin dimakan oleh kucing itu. Setelah makan, ia tidur kekenyangan di bawah meja.
           
Husna juga secara tidak langsung turut berasa kenyang.
 

*****

“PAGI tadi saya jumpa dengan Haji Ripin kat kedai Pak Mat. Dia ada tanya fasal anak kita.” Pak Hashim memberitahu Mak Milah mengenai hal tersebut tatkala mereka bersiap-siap mahu menjamu selera makan tengah hari.
           
“Anak kita yang mana satu? Kita ni ada tiga orang anak, bang,” kata Mak Milah sambil menghulurkan mangkuk air basuh tangan kepada suaminya.
           
“Si Husna tulah…,” jawab Pak Hashim sambil menyelukkan tangan kanannya ke dalam mangkuk putih itu. Kemudian, dia menyudu lauk gulai lemak nangka yang terhidang di hadapannya ke dalam pinggannya.
           
Sambil menyuapkan nasi ke dalam mulut, Mak Milah mengerutkan dahinya.
           
“Kenapa pulak si Haji Ripin tu tanya fasal Husna? Dia berkenan dekat anak kita ke?” tebaknya.
           
“Apa pendapat awak, Milah?” tanya Pak Hashim pula.
           
Mak Milah terbatuk tiba-tiba. Sampai berair-air matanya menahan batuk yang menggila itu. Pantas tangannya mencapai gelas berisi air kosong berhampiran, lalu diteguk perlahan untuk menghilangkan batuknya.
           
“Abang ni dah gila ke? Haji Ripin tu kan dah tua. Dah sama umur dengan abang dah. Takkanlah abang jodohkan dia dengan Husna pulak,” bantah Mak Milah setelah batuknya reda. Sungguh, dia benar-benar terkejut dengan hasrat suaminya itu.
           
“Apa salahnya. Diakan duda. Bukannya suami orang. Lagipun, orangnya jugak berduit. Kalau Husna kahwin dengan dia, senanglah sikit hidup dia nanti. Tak payah susah-susah nak cari kerja. Duduk kat rumah je, jaga makan minum pakai si suami. Tiap-tiap bulan, suami beri duit nafkah buat belanja,” jawab Pak Hashim tenang. Mulutnya terus-menerus menyumbat nasi ke dalamnya.
           
“Saya tak setuju! Anak kita tu baru dua puluh enam tahun. Haji Ripin tu, dah lima puluh enam tahun. Lelaki macam dia tu boleh diibaratkan sebagai ayah Husna tau, abang. Bukannya suami!” Mak Milah memandang Pak Hashim dengan pandangan yang kurang puas hati. Selera makannya sudah ditarik pergi sedikit demi sedikit.
           
“Saya cuma fikir untuk kesenangan dia saja. Haji Ripin tu pun bukanlah tua sangat pun. Dia pun berkenan dengan Husna. Salah ke?” tanya Pak Hashim lagi sambil menghentakkan tangannya bagi menjatuhkan nasi yang bertenggek di celah-celah jarinya.
           
“Mana abang tahu hidup Husna akan senang kalau kahwin dengan dia? Kaya tu belum tentu akan buat anak kita berasa bahagia. Kalau nak tengok anak kita senang sekalipun, janganlah sampai sanggup memperjudikan masa depan anak kita, abang.” Mak Milah terus menghentam hasrat Pak Hashim. Kalau dia sendiri yang menentang, tidak mustahil Husna juga akan turut menentang sama nanti. Siapa yang nak kahwin dengan orang tua?
           
Pak Hashim berhenti menyuap nasi masuk ke dalam mulut. Wajah Mak Milah dipandang lama.
           
“Itulah awak… bila saya nak buat sesuatu untuk anak-anak, awak cakap saya ni gilalah, tak betullah. Cubalah awak fikir ke depan sikit. Kalau Husna tu kahwin dengan Haji Ripin tu, kita jugak yang boleh menumpang kesenangan mereka nanti.”
           
“Habis sekarang, abang rasa kita sekeluarga tak cukup senang ke?” bidas Mak Milah lagi. Sedikit lantang berbanding tadi.
           
“Hati saya ni tak cukup senang tengok anak awak tu. Satu benda pun tak ada apa yang boleh membanggakan saya. Nak contohi abang dan kakak dia tu, lagilah jauh dia nak capai semua tu. Lebih baik dia kahwin saja daripada buat saya rasa malu. Haji Ripin tu, orang paling kaya dekat kampung kita ni tau. Paling kurang, bila dia kahwin dengan Haji Ripin, tak adalah saya rasa malu sangat. Tak ke awak pun berasa bangga nanti bila dapat bermenantukan orang kaya?”
           
Pak Hashim bersungguh-sungguh mempertahankan hasratnya. Dia sudah dapat membayangkan sedikit sebanyak keadaan itu apabila semuanya menjadi kenyataan. Pasti semua orang kampung memuji-muji dia sekeluarga kerana dapat menantu kalangan orang yang berduit. Tentang usia Haji Ripin pula yang sudah memasuki usia emas bukanlah satu persoalan yang besar. Baginya cinta boleh dipupuk dan tidak mengenal usia.
           
“Abang ni, memanglah. Yang kaya, yang berjaya itulah yang abang agung-agungkan sangat. Perasaan anak, abang langsung tak ambil peduli. Walau macam mana sekalipun, saya tetap tak bersetuju dengan keputusan abang!” Mak Milah terus bangun dari kerusi dan membasuh tangannya di singki. Dia benar-benar berasa marah dengan suaminya.
           
Pak Hashim pula hanya mengekori kelibat isterinya yang berlalu dari meja makan. Dia berdengus sambil merungut-rungut sendirian.

*****

MAK MILAH duduk di atas pangkin di belakang rumahnya membawa hati yang kecewa di atas apa yang telah berlaku di antara dia dan suaminya tadi. Segala macam perasaan yang berkampung di dalam dirinya.
           
Kalau benar suaminya benar-benar memaksudkan kata-katanya tadi, dia akan menentang habis-habisan. Manalah dia sanggup melihat anaknya berkahwin dengan lelaki tua seperti Haji Ripin itu. Haji Ripin dengannya pula hanya berbeza umur dua tahun sahaja. Takkanlah mahu jadi menantu dia pula.
           
Memanglah Haji Ripin itu orangnya kaya-raya. Tetapi itu tidak bermakna dia  lelaki yang sesuai dijodohkan dengan anaknya. Siapa yang tidak kenal dengan lelaki itu. Pantang benar apabila melihat perempuan cantik di depan mata. Mulalah datang penyakit gatal macam orang terkena miang buluh. Lagipun, sejarah perkahwinan Haji Ripin banyak yang tidak menyenangkan hatinya.
           
Sebelum ini, Haji Ripin sudah berkahwin sebanyak lima kali. Namun, semuanya tidak kekal lama. Ini disebabkan oleh sikapnya yang mata keranjang. Siapa yang tahan bersuamikan lelaki begitu. Usia sudah tua, tetapi perangai mengalahkan orang muda. Tetapi yang itu jugalah yang suami dia berkenan mahu buat menantu.
           
Sebagai ibu, kalau boleh, dia mahu melihat Husna bertemu jodoh dengan pasangan yang sesuai dengannya. Bukanlah dia memilih sangat, tetapi biarlah semua itu akan menyenangkan hatinya dan hati anaknya juga. Dia yakin, dalam soal ini Husna lebih suka membuat keputusan sendiri berbanding campur tangan orang tua.
           
Walaupun suami dia seringkali mengatakan tiada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan anaknya bongsunya itu, namun dia tetap sayangkan Husna. Husna anak yang baik. Tahu tanggungjawabnya terhadap kedua orang tuanya. Setiap bulan, Husna seringkali menghulurkan duit belanja kepada dia. Sedangkan Taufik dan Lela yang bekerja sebagai pegawai kerajaan pun jarang menghulurkan duit belanja. Namun Husna yang tidak bekerja dan hanya bergantung dengan duit simpanan belajarnya dahulu dilihat lebih bertimbang rasa.
           
Dia hairan melihat sikap suaminya yang bersikap berat sebelah. Kalau dia yang tidak membela Husna daripada ketidakadilan orang lain terhadapnya, siapa lagi?


© Noraini Mohamad 2012
 

4 comments: