02 May 2012

Meow! Kau Curi Hatiku 1

NAIM meraba-raba poket seluar slek hitamnya apabila mengesan isyarat getar telefon bimbitnya. Hisy, siapa pulalah yang telefon dia semasa tengah sibuk mesyuarat macam ni? Mengganggu konsentrasi betul. Terlupa pula dia mahu mematikan telefon tadi. Melihat nama yang tertera di skrin membuatkan dia serba salah mahu menjawab. Aduhai, kenapalah masa-masa macam ini dia nak telefon? Naim membebel di dalam hati.

“Helo, sayang… kenapa lambat jawab call? Sibuk ke?” soal suara di hujung talian sebaik sahaja Naim menjawab panggilan tersebut. Terpaksa jawab juga. Jika tidak, bertalu-talulah panggilan telefon dan mesej yang dia dapat nanti kalau panggilan itu tidak diendahkan.

“Haah. I tengah mesyuarat ni. You call semula lepas I habis mesyuarat nanti, boleh?” bisik Naim perlahan. Dia terpaksa mengawal suaranya untuk menggelakkan orang lain mendengar. Kalau bos besar dengar lagilah teruk dia kena nanti.

“Tak apalah, sayang. I cuma nak pesan dekat you je, nanti lepas balik kerja you tolong ambilkan Anchu dan Chicky kat rumah Awin ya. Hari ni, I balik lambat sikit.”

“Apa?!” Naim bertanya kuat. Serentak dengan itu, semua mata di dalam bilik mesyuarat itu tertumpu kepadanya. Naim tersedar daripada kesilapannya. Habislah dia kali ni. Lebih-lebih lagi apabila melihat mata bos besarnya turut mencerlung tajam ke arahnya.

“Bolehlah, sayang. I tak sempat nak pergi ambil. Lagipun, pukul enam nanti Awin nak keluar. Jadi, kena ambil dia orang sebelum Awin keluar. Nanti tak ada orang kat rumah dia. Lepas you ambil dia orang, you jangan lupa beri dia orang makan tau. Lepas tu, tidurkan dia orang sekali.” Panjang lebar arahan itu diberikan kepada Naim.

“Bella, I….”

“Okeylah, sayang… I ada kerja ni. Nanti apa-apa, I call you semula ya. Love you. Bye.”

Panggilan telefon itu diputuskan sebelum sempat Naim berkata apa-apa. Eii, si Bella ni… suka betul menyusahkan dia. Ingat dia ni bibik ke apa sampai nak kena buat semua kerja tu? Naim mengomel di dalam hati. 

“Ehem!” Suara Dato’ Mazlan tiba-tiba berdeham kuat.

Naim tersentak. Cepat-cepat disimpan semula telefonnya di dalam poket seluar dan menumpukan kembali perhatiannya kepada butir-butir perbincangan yang sedang diusulkan oleh ahli-ahli mesyuarat lain. Tapi sayangnya, satu pun tidak masuk ke dalam kepala dia. Yang bermain di fikiran dia sekarang adalah permintaan Bella yang tidak munasabah itu. Hatinya gusar.

Setelah hampir dua jam berbincang, akhirnya mesyuarat pun berakhir. Naim tidak menunggu lama untuk beredar dari bilik mesyuarat tersebut, namun hasratnya itu dihalang oleh Dato’ Mazlan.

“Tunggu sekejap. Papa ada hal sikit nak cakap dengan Im.”

“Ada apa, papa? Cakap kat rumah malam karang tak boleh ke? Naim ada hal ni,” jawab Naim. Aduh, masa dia nak cepat-cepat macam nilah ada pula yang menghalang. Dia tahu, papa dia mesti mahu menegur perbuatan dia yang tidak fokus di dalam mesyuarat tadi. Bukannya dia tidak pernah ditegur. Sebelum ini pun sudah acap kali dia kena tegur. Tetapi biasalah, dia bukan orang yang makan saman. Kena marah pun, buat pekak telinga sahaja.

“Im nak ke mana ni?” soal Dato’ Mazlan.

“Err… Im ada hal sikit, papa. Nak pergi ambil Anchu dan Chicky.” Jujur Naim berterus-terang. Dikerling sekilas jam di tangan. Ada lebih kurang dua puluh minit lagi sebelum jam mencecah ke pukul enam petang. Janganlah papa dia banyak bersoal. Dia sedang mengejar masa. Nanti terlambat, sakit pula telinga dia mendengar bebelan Bella.

“Anchu dan Chicky? Siapa pulak tu?” Dahi Dato’ Mazlan berkerut rapat. Ada ke orang bernama pelik macam itu? Hatinya tertanya-tanya sendiri.

“Papa mana kenal. Dia orang tu kawan Bella. Okeylah, papa. Im kena pergi dulu. Nanti kat rumah kita bincang semula ya.” Naim segera meninggalkan papanya yang kelihatan terpinga-pinga itu sendirian. Ah, lantaklah kalau papa nak marah pun. Semua tu tak penting lagi. Yang penting sekarang, pergi ke rumah Awin dan jemput Anchu dan Chicky. Eii… macam sudah tidak ada nama lain sahaja yang nak diberi. Naim sempat merungut dalam situasi kalutnya.
 
*****
HUSNA duduk di atas sebuah bangku di kaki lima jalan melepaskan penat berjalan. Air mineral di tangannya diteguk untuk menghilangkan rasa dahaga. Tamat misi mencari kerja pada hari itu.

Dari awal pagi sampailah ke lewat petang, satu bandar dia tawaf. Tetapi satu kerja pun tak dapat. Kenapalah susah sangat nak dapat kerja sekarang? Belajar tinggi-tinggi pun menganggur juga. Malang betul nasib dia. Adik-beradik dia yang lain semuanya sudah dapat kerja yang bagus-bagus. Malah, sudah mampu beli kereta dan motorsikal sendiri. Tetapi dia pula hanya mampu berjalan kaki, naik bas dan teksi sahaja. Husna sempat mengeluh nasibnya yang tidak berapa baik.

Sambil berehat, mata Husna melilau-lilau ke atas jalan melihat kenderaan yang lalu-lalang. Dalam masa yang sama juga, otaknya masih ligat berfikir di manakah lagi tempat yang harus dia pergi untuk mencari pekerjaan. Kalau hari ini gagal, esok kenalah cuba lagi.

Sudah lima bulan dia mengganggur sejak keluar dari universiti. Kawan-kawannya yang lain semuanya sudah bekerja dan sudah dapat pegang duit gaji sendiri. Dia pula, hanya mengharapkan duit simpanan PTPTN yang dia dapat dahulu sahaja. Mujurlah dia seorang yang berjimat cermat. Sekurang-kurangnya, adalah juga duit belanja untuk menyambung kehidupannya. Tetapi sampai bila mahu bergantung dengan duit itu? Semakin lama semakin susut duit simpanannya. Sebab itulah dia kena cari kerja cepat-cepat.

Ketika dia sedang susah hati memikirkan nasib dirinya, terdengar bunyi tayar kereta yang berdecit kuat di atas jalan. Husna pantas memanjangkan lehernya. Hatinya berdebar-debar. Ya Allah! Ada kucing kena langgar dengan kereta. Hatinya semakin kuat berdebar.

“Eh, yang encik duk tengok saja kucing tu kesakitan, kenapa? Tolonglah dia.” Husna menegur seorang lelaki yang hanya berdiri di sisi keretanya tanpa berbuat apa-apa sebaik sahaja dia datang mendekati. Hisy, boleh pula lelaki itu hanya tengok sahaja kucing itu menggelupur kesakitan. Bukannya ada rasa nak tolong.

“Kucing tu dah tak lama dah tu. Biar jelah dia mati kat situ. Rim kereta aku ni  kau tak nak tanya pulak teruk ke tidak tercalar kena divider,” jawab lelaki itu selamba. Dibelek-belek rim keretanya sambil mengomel sendirian dalam butir-butir yang tidak begitu jelas didengari oleh Husna.

Husna tercengang mendengar. Eh, ada juga manusia macam ini. Sudahlah tidak ada perasaan belas kasihan, benda yang tidak bernyawa itu pula yang lebih dirisaukannya. Ini yang buat dia rasa bengang ni.

“Encik dah langgar kucing tu, lepas tu encik tak mahu bertanggungjawab pulak?” tanya Husna sambil mencekak pinggang.

“Dah dia melintas tak tengok kiri kanan, nak salahkan aku pulak? Kucing nilah yang salah. Sepatutnya, dekat jalan raya macam ni mana boleh melintas. Kalau nak melintas jugak pergilah melintas kat zebra crossing sana. Guna jelah lampu isyarat yang dah ada tu.”

“Kucing manalah reti nak guna lampu isyarat. Encik ni tak reti nak fikir ke?” tempelak Husna. Geram sungguh dia mendengar jawapan bodoh yang diberikan oleh lelaki itu. Tengok penampilan macam orang profesional, tetapi otak tak tahu letak di mana.

“Ah, aku tak ada masalah nak fikir benda remeh-temeh macam tu!”

“Habis, kucing ni macam mana? Kesian dia. Encik kenalah bawa dia pergi ke klinik. Nanti kalau lambat rawat mungkin dia akan mati.”

Lelaki itu membeliakkan matanya.

“Apa? Kau nak suruh aku bawa kucing ni pergi ke klinik? Hei, kau ingat aku tak ada kerja lain ke yang nak kena buat? Aku ni dahlah lambat, kucing ni pulak datang buat hal. Biar jelah dia mati kat situ. Kau tolong aku, boleh? Alihkan kucing tu kat tepi sikit. Nanti kalau kereta aku bergerak, terlanggar lagi orang cakap aku bunuh dia pulak,” arah lelaki sambil mengacukan tangannya kea rah kucing yang terbaring lemah itu.

“Hei! Encik ni tak ada akal ke? Mana boleh biar macam tu. Itu dah dikira menyeksa binatang namanya. Saya tak kira, encik kena bertanggungjawab jugak terhadap kucing ni. Hah, kat sana tu ada klinik haiwan. Encik pergilah hantar cepat-cepat,” gesa Husna setelah terlihat sebuah klinik haiwan di seberang jalan berhampiran. Dia mengangkat kucing tersebut dengan penuh berhati-hati dan menghulurkan kepada lelaki itu.

Lelaki itu nyata terkejut dengan tindakan Husna dan mengundur beberapa langkah ke belakang.

“Jangan bagi kucing tu dekat dengan aku!” jeritnya lagi.

“Kenapa? Encik takut kucing ke?” tebak Husna pula. Dia boleh mengesan dengan cepat sikap geli lelaki itu terhadap kucing. Eleh, harapkan badan sahaja sasa. Penakut rupanya! Husna mengejek di dalam hati.

“Aku bukan takut, tapi kucing tu kan tengah luka. Nanti darah dia terkena baju aku ni pulak. Kau nak tolong basuh ke?”

“Habis tu, sekarang macam mana? Kucing ni nak kena ditolong, bukannya dibiarkan sakit macam ni.”

“Macam mana apa? Kalau kau nak tolong, kau tolong jelah! Aku ada hal lain ni yang lebih penting. Nah, kau ambillah duit ni buat bayar rawatan kucing tu. Kira selesailah hutang aku dengan dia. Aku dah tolong bayarkan duit rawatan untuk dia dah cukup baik tau daripada tak tolong langsung.” Lelaki itu mengeluarkan duit sebanyak seratus ringgit dan menghulurkannya kepada Husna.

Husna tergamam. Macam itu sahaja? Lelaki ini memang nak kena diajar! Tanpa berlengah, Husna terus masuk ke dalam kereta lelaki itu dan duduk di dalamnya diam-diam. Ketika itu dia bagaikan terlupa bahawa dia tidak pernah kenal dengan lelaki itu. Tetapi dengan muka tak malu dia boleh pula merempuh masuk ke dalam keretanya seperti sudah bertahun-tahun mereka berkawan! Ah, kalau fasal kucing memang dia tidak ada kompromi.

“Hei! Yang kau masuk ke dalam kereta aku ni kenapa pulak? Aku kenal kau ke? Kau keluar sekarang! Aku tak mahu bulu kucing tu melekat kat dalam kereta aku.” Lelaki itu mengarahkan Husna keluar. Bera wajahnya menahan marah dengan tindakan perempuan yang tidak dikenalinya itu.

“Hantar kucing ni ke klinik dulu baru saya akan keluar dari kereta encik.” Husna bertegas. Dia terus membatukan dirinya tanpa mengendahkan permintaan tersebut.

“Eii… kau ni, sama je dengan kucing tu. Menyusahkan aku je! Kau tahu tak yang aku ni dah lambat nak balik sebab aku ada hal penting yang nak kena diselesaikan. Hisy!” Lelaki itu terus merungut dan melepaskan kemarahannya pada bumbung keretanya. Namun selepas melihat Husna berdegil, dia masuk ke dalam kereta dan terus memandu ke arah sebuah klinik haiwan berhampiran.

“Yang kau sibuk-sibuk sangat nak tolong kucing tu, kenapa? Kucing tu kucing kau ke?” tanya lelaki itu kepada Husna sebaik sahaja keretanya berhenti di depan klinik tersebut.

“Habis, kalau encik tengok ada orang kena langgar, encik akan biar macam tu aje ke?”

“Kalau orang yang kena langgar, aku tolonglah. Tapi yang aku langgar tadi tu kucing je pun. Aku pergi kerja, hari-hari nampak ada kucing yang kena langgar. Tapi tak pernah pulak aku jumpa orang yang prihatin macam kau yang bimbangkan fasal kucing macam bimbang tengok orang mati sebab kena langgar.”

Husna mendengus. Dah kalau kau tak ada hati dan perasaan, memanglah kau tak akan jadi prihatin macam aku! Jawab Husna di dalam hati. Eii… lelaki ini memang teruk betullah. Tidak lahir dalam dunia ni lagi bagus kut.

“Saya tolong kucing ni atas ihsan sesama makhluk. Encik sepatutnya kena berbelas kasihan dengan kucing. Kucing pun makhluk Tuhan jugak,” bidas Husna tentang sikap tidak bermoral lelaki itu. Biar sedar diri sikit.

“Dah, dah… kau jangan nak membebel macam ustazah pulak. Cepat keluar dari kereta aku. Pergi selamatkan kucing kau yang dah nak mampus tu.” Lelaki itu menghalau Husna buat kesekian kalinya. Barangkali pedih telinga kerana dibidas begitu.

Husna hanya menjeling. Walaupun marah, dia sempat mengucapkan terima kasih kepadanya. Sekurang-kurangnya, ada juga bantuan yang diberikan oleh lelaki itu walaupun tidak ikhlas.

© Noraini Mohamad 2012


4 comments:

  1. siannya dekat kucing tu...
    yang langgar kucing tu mesti Naim kan?????

    ReplyDelete
  2. nampak gaya macam naimlah kut.. hehe. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sampai hati.kucing pon makhluk juga.huwaaa sungguh tak budiman encik naim tu.

      Delete
    2. Ya, sungguh tidak berperikemanusiaan. Dush! Dush!

      Delete