29 April 2015

Cerita Pendek


“Kau tengok apa?” Amri tegur aku. Dia pandang aku pelik. Mana tidaknya, makanan dah ada depan mata pun masih tengok ke lain juga.


Aku juih mulut ke luar restoran. Di tepi pintu kaca itu berdiri seorang budak lelaki sedang ralit perhati seorang lelaki makan di meja dekat situ. Lelaki itu kemudian menggerakkan tangannya menghalau dia agar pergi jauh.


Amri toleh belakang sekilas. “Oh, budak tu… Pengemis kut.” 


“Pengemis? Mana kau tahu?”


“Yalah, kau tengoklah baju yang dia pakai tu. Kotor. Carik sana sini. Eh, dahlah… kita datang sini nak makanlah. Yang kau sibuk pasal dia kenapa?”


“Tak adalah, aku kesian tengok dia. Dari tadi dia tengok orang tu makan. Macam lapar aje.”


“Habis, kau tak lapar ke? Ayam tu tak nak? Kalau tak nak, bagi aku ajelah. Biar aku habiskan.” Selamba saja Amri ambil ayam goreng aku seketul dan letak dalam pinggannya.
 

“Kau ni, dah makan dua ketul pun tak kenyang-kenyang lagi ke?” tegurku. Aku jauhkan pinggan daripadanya. Habis ayam tu nanti aku makan pingganlah jawabnya.


Amri sengih seraya menggigit ayam goreng itu tanpa rasa bersalah. “Dah kau tak nak makan. Aku tolonglah habiskan,” katanya. 


“Oi! Pencuri!” Tiba-tiba terdengar suara orang berteriak. Aku nampak budak tadi masuk ke dalam restoran dan mengambil sesuatu di atas meja lelaki tadi ketika dia pergi basuh tangan. Selepas itu berlari keluar dari situ cepat-cepat.


Tak jadi aku nak makan. Segera aku bangun pergi tengok ke mana budak itu pergi. Suara Amri yang terjerit-jerit memanggil tak kuhiraukan. Dia nak makan, makanlah.


Budak itu pergi ke lorong belakang. Aku intip dia di sebalik dinding. Di tangannya ada ayam goreng. Tapi ayam tu sudah tinggal tulang. Dia makan penuh berselera macam ada isi banyak. Terkedu aku melihatnya.


Perlahan-lahan aku mendekatinya. Bila nampak aku, dia terkejut dan cuba melarikan diri. Tapi aku berjaya menangkapnya.


“Bang, tolong bang… Jangan pukul saya. Saya tak ada niat nak curi ayam tadi. Saya teringin sangat nak makan ayam tu” jelasnya dengan suara terketar-ketar. Pandang aku pun takut-takut. Mungkin tahu dia dah buat salah mengambil sesuatu tanpa kebenaran.


“Jangan takut. Abang takkan apa-apakan adik. Abang nak ajak adik ikut abang. Mari…” pelawaku lembut. 


Dia terpinga-pinga. “Pergi ke mana?” 


“Adik teringin nak makan ayam tu kan? Abang belanja adik makan. Lagipun abang belum makan lagi. Boleh kita makan sama-sama.” 


Bercahaya matanya pandang aku. Muka takut-takut tadi sudah bertukar jadi ceria. Dia bersetuju. Tapi bila sampai depan pintu restoran, dia batukan diri dan enggan ikut aku masuk.


“Abang ajelah masuk. Saya tunggu kat luar aje,” ujarnya.


“La… dah tu takkan nak makan kat luar?”


“Abang tolong bungkus, boleh? Saya balik makan dekat rumah.”


“Siapa lagi ada dekat rumah?” 


“Mak dengan adik.”


“Kalau macam tu, tunggu kat sini. Jangan pergi mana-mana tau. Tunggu sampai abang datang semula,” pesanku. Dia angguk. 


Masuk ke dalam restoran, aku nampak Amri masih duduk dekat meja. Aku pergi menghampirinya. Nampak saja muka aku, terus dia membebel-bebel sebab marah aku tinggalkan dia makan sorang-sorang. Tapi aku rasa semua itu taklah buat dia putus selera makan. Aku tengok semua ayam dia makan sampai tinggal tulang. Termasuk ayam aku yang tinggal seketul tadi. Hampeh!


Selepas beritahu Amri yang aku ada hal, aku terus pergi ke kaunter beli makanan. Apabila keluar semula pergi dapatkan budak tadi, dia sudah tak ada. Melilau aku cari tapi langsung tak nampak bayang. Aku mengeluh. Habis, siapa nak makan semua ayam goreng ni?


“Abang!” Aku segera berpaling apabila mendengar suara itu memanggil. Aku tarik nafas lega. Terus aku pergi mendapatkannya.


“Pergi ke mana tadi? Puas abang cari. Ingatkan dah balik.”


“Saya pergi ambil kat belakang.” Dia tunjuk guni yang dipikul di belakang. 


“Apa tu?”


“Tin kosong. Nanti nak jual untuk beli ubat mak.”


Allah! Meruntun hatiku dengar kata-katanya. Datang sebak kecil tapi aku tahan. Teringat pasal ayam tadi terus aku beri kepadanya.


“Nah, abang belanja makan ayam goreng. Nanti makan sekali dengan mak dan adik ya.”


Dia ambil dan ucap terima kasih. Rezeki dia dapat makan sedap hari ini. 


“Adik ni nama siapa? Ni nak balik rumah, balik dengan apa?” soalku. Dari tadi lagi nak tanya sebenarnya.


“Nama saya Udin. Biasa saya jalan kaki aje. Senang sikit nak cari tin.”


Aku mendongak ke langit. Panas ni. Dengan tak ada payung kesian pula dia nanti. Lalu aku tawarkan diri hantar dia balik. Teruja bukan main apabila aku tunjuk di mana aku parkir kereta. Sejurus masuk, semua benda di dalam keretaku menarik perhatiannya. Katanya tak pernah lagi naik kereta mahal macam ni. 


Aku cuma senyum tengok gelagat dia. BMW X6 ini aku beli selepas bertahun-tahun aku simpan duit. Kereta pertamaku hasil titik peluhku sendiri.


“Nanti bila dah besar, saya nak jadi macam abanglah. Ada banyak duit, kereta besar,” nyata Udin tentang impiannya.
 

“Udin boleh jadi lebih baik daripada abang.”


“Tapi, boleh ke? Saya ni tak sekolah.”


Sekali lagi hatiku terusik. Aku tinggalkan pertanyaannya itu tanpa jawapan. Dia pun macam tak kisah sebab larut dalam kegembiraan dapat naik kereta mahal.


Beberapa minit kemudian, kami sampai di kawasan setinggan yang Udin tinggal. Keadaan jalan yang sempit buat aku terpaksa tinggalkan kereta di luar. Laluan nak ke rumah Udin agak berlecak. Jalan pun tak begitu rata. Habis kotor kasut aku melekat lumpur. Tapi, aku tak ada masa nak berasa susah hati kerana lebih fikirkan pasal Udin. Udin pakai selipar jepun buruk yang dah nak putus. Namun, tetap yakin dengan langkahnya.


Setibanya di rumah Udin, aku disambut oleh adik perempuannya. Aku agak usianya dalam lima atau enam tahun berdasarkan ketinggian dan fizikalnya. Mesra dia hulur salam walaupun nampak takut-takut.


Emak Udin kemudian mempelawa aku masuk. Orangnya pun boleh tahan ramah. Namun,  melihat keadaan mukanya yang pucat dan batuk sekali sekala, aku tahu dia terpaksa gagahkan diri melayanku sebagai tetamu. Disebabkan tidak sedap hati, aku meminta diri. Begitupun, Udin pula menghalang dan mempelawa aku makan dulu ayam goreng yang dibeli tadi. Aku nak tolak tapi apabila dia bersungguh-sungguh memujuk siap bawa pinggan ke tengah rumah, nak tak nak aku terpaksa akur.


Kami makan berempat. Tapi aku rasa ayam itu seperti tak jatuh ke perut. Melihat layanan Udin terhadap ibu dan adiknya, terus mataku jadi panas. Dia suap ibunya makan kemudian adiknya pula. Selepas itu barulah dia makan. Paling aku tak boleh tahan apabila dia beritahu kepada emaknya, “Mak... abang ni orang kaya tau. Pakai kereta besar. Bila besar nanti Udin nak jadi macam dialah. Kalau mak sakit, tak payah minta tolong dengan siapa-siapa lagi dah. Udin boleh hantar mak naik kereta Udin pergi hospital.”


Emak Udin senyum sambil mengusap kepala Udin. Apabila pandangan kami bertembung, seperti ada yang nak diluah tapi tersekat. Akhirnya aku faham sendiri. Cukuplah tengok keadaan mereka sekeluarga. 


Gara-gara asyik melayan Udin bersembang, tak sedar sudah dua jam berlalu. Macam-macam perkara Udin bercerita. Aku dengar sambil pangku adiknya, Mimi. Baru aku tahu, adiknya itu bisu. Aku bercakap dengannya menggunakan bahasa isyarat lintang-pukang. Mujurlah ada Udin tukang jadi penterjemah.


Kalau tak kerana terima panggilan dari pejabat, aku rasa sampai ke petang aku duduk di situ. Disebabkan ada perkara penting, aku terpaksa meminta diri pulang. Udin hantar aku sampai ke kereta. Masuk dalam kereta, aku teringat sampul duit di dalam baju kot yang tergantung di tempat duduk belakang. Aku keluar semula mendapatkan Udin dan beri sampul itu kepadanya. Duit aku nak simpan dalam bank sebenarnya. Dua ribu ringgit.


“Udin, dalam sampul ni ada duit. Nanti belikan mak ubat. Selebihnya buat belanja ya.”


Udin buka sampul. Matanya terbeliak. Mungkin tak sangka aku beri duit sebanyak itu. Terus dia beri semula kepadaku.


“Tak payahlah, bang. Nanti mak marah.” Dia menolak sambil menggeleng.


“Beritahu mak, abang sedekah.”


Udin nampak serba salah. Tapi kalau Udin tolak sekalipun aku tetap berkeras nak bagi juga. Akhirnya Udin ambil juga setelah aku menggesanya banyak kali. Aku tengok dia seperti nak nyatakan sesuatu kepadaku namun teragak-agak nak meluah.


“Udin ada nak cakap apa-apa ke dekat abang? Cakaplah,” pintaku.


“Lepas ni abang sudi datang ke rumah buruk saya lagi?” soalnya.


Aku pandang suasana setinggan di situ. Kemudian pandang Udin semula sambil mengangguk dan senyum. Tidak semena-mena selepas itu dia peluk aku erat-erat.


“Nanti saya simpan duit ni dan beli ayam dekat pasar. Saya belanja abang makan ayam goreng mak saya masak. Kita makan sama-sama macam tadi.”


Pipi aku sudah basah ketika itu. Lama Udin peluk aku macam berat nak lepaskan aku pergi. Kepalanya aku usap-usap perlahan. Sejurus pelukan terlerai, aku duduk mencangkung di  depannya. Kedua-dua belah bahunya aku pegang kemas sambil memandangnya tepat.


“Abang tahu Udin budak baik. Abang yakin bila dah besar nanti, Udin boleh berjaya walaupun Udin tak pergi sekolah.”


“Kenapa abang cakap macam tu?

“Sebab dulu, abang pun tak pergi sekolah.” Terkelip-kelip Udin pandang aku dengan muka tak percaya. 


Aku meminta diri dan tinggalkan Udin. Sepanjang perjalanan pulang, aku terus terkenangkan Udin. Mungkin nanti aku akan dapat tengok Udin pakai baju baharu. Selipar baharu. Aku akan tumpang bahagia untuknya. Sekurang-kurangnya, pemberian tak seberapa itu mampu menggembirakan hati Udin.


Aku tahu betapa nikmatnya dapat makan sedap, pakai baju baharu dan beli semua yang diinginkan bagi orang yang tak berduit. Sebab dahulu aku pernah duduk di tempat Udin. Miskin. Dipandang hina. Tapi aku tahu aku boleh bangkit keluar dari kemiskinan itu dan Udin pun sudah nampak dengan matanya sendiri. Semoga Udin tak mengalah dengan kesusahannya. 


Udin tak perlu ucap terima kasih kepadaku. Aku yang sepatutnya begitu. Pertama kali aku tengok Udin di luar restoran tadi, aku sedar apa yang aku ada sebenarnya bukanlah hak aku sepenuhnya seorang. Bahagian Udin pun ada di situ. Jadi, aku berikan kepadanya dengan penuh ikhlas dan reda.



Reeani Annur 
22/04/2015





3 comments:

  1. Sedih to bangga dgn kejayaannya.

    ReplyDelete
  2. Kalau dipanjangkan sikit jadi mini nvl pun best..... BEST 👍👍

    ReplyDelete